BAB 3 – BAZAR RAMADAN DAN MISTERI KUIH HILANG
Pada malam itu, bazar Ramadan di Kampung Melayu meriah seperti kebiasaannya. Bau harum ayam percik, murtabak panas, dan roti john memenuhi segenap ruang udara, menambahkan lagi suasana ceria para pengunjung yang berpusu-pusu membeli juadah berbuka. Aiman, Badrul, Johan, dan Din berjalan perlahan di celah-celah orang ramai, mata mereka liar memerhati sekeliling, mencari sesuatu yang mencurigakan.
“Kita perlu cari kuih yang serupa dengan kuih yang hilang,” ujar Aiman sambil menolak bingkai cermin mata yang melorot di batang hidungnya.
“Jika kita temui gerai yang menjual kuih yang sama, kita siasat pula siapa pembekalnya,” tambah Badrul, yang sejak dari rumah sudah bersedia dengan buku nota kecil di tangan, kononnya ingin bertindak persis penyiasat profesional.
Johan yang bertubuh tinggi lampai berdiri di hujung barisan gerai sambil memerhati deretan penjual kuih raya. Tiba-tiba, dia menepuk bahu Din perlahan.
“Din, kau nampak itu?” soalnya, sambil menunjuk ke arah sebuah gerai yang kelihatan sesak dengan pelanggan.
Gerai tersebut tidak memiliki papan tanda yang jelas, cuma sehelai kain rentang kecil tertulis “Kuih Raya Istimewa. Harga Terbaik”. Namun, apa yang lebih menarik perhatian mereka ialah dulang-dulang kuih yang tersusun kemas di atas meja gerai tersebut. Ada Almond London, tart nenas, dan batang buruk — semuanya persis kuih yang dilaporkan hilang!
“Tidak mustahil ini kuih curi,” bisik Din penuh curiga.
“Kita beli dahulu, periksa dengan teliti,” cadang Badrul.
Lantas mereka menyusun strategi. Johan, sebagai individu paling tinggi dan tampak matang dalam kalangan mereka, ditugaskan membeli kuih tanpa menimbulkan sebarang syak wasangka. Dengan gaya santai, Johan melangkah ke gerai tersebut, kononnya sebagai pelanggan biasa yang tertarik dengan kuih yang dipamerkan.
“Bang, semua kuih ini abang buat sendiri?” Tanya Johan sambil menunjukkan ke arah Almond London.
Penjualnya, seorang lelaki berbadan gempal dengan misai tebal melintang, tersenyum lebar.
“Sudah tentu! Kuih buatan sendiri, memang sedap,” jawabnya penuh yakin.
Johan hanya mengangguk kecil sebelum membeli sekotak kecil Almond London. Sementara itu, di seberang jalan, Aiman dan Badrul memasang telinga, cuba menangkap butir perbualan antara penjual dan pelanggan lain.
“Tiap-tiap tahun, kuih abang ini memang laku keras,” ujar seorang pelanggan wanita.
“Betul tu! Tahun ini stok lebih banyak daripada biasa sebab ada pembekal baru,” jawab si penjual, bangga sekali nadanya.
Aiman segera berpaling ke arah Badrul. “Pembekal baru?” bisiknya penuh tanda tanya.
Badrul mengangkat kening. “Semakin pelik…”
Sebaik berkumpul semula di satu sudut bazar, Johan membuka bekas Almond London dan mereka semua menatap kuih tersebut dengan penuh perhatian.
Aiman mengambil sebiji lalu meneliti lapisan coklat serta taburan badam di atasnya. Sebagai anak kepada pembuat kuih berpengalaman, dia amat mengenali rupa dan rasa kuih buatan ibunya.
Dengan debaran di dada, Aiman menggigit kuih itu perlahan-lahan. Mata Johan, Din, dan Badrul tidak berkelip memerhatikan reaksinya.
“Bagaimana?” soal Din yang sudah tidak sabar menunggu jawapan.
Aiman menelan sisa kunyahan sebelum bersuara perlahan, “Ini... kuih buatan emak aku.”
Keadaan menjadi sunyi seketika.
Badrul menepuk dahinya. “Ini memang kes besar. Kita perlu cari siapa ‘pembekal baru’ yang penjual itu maksudkan.”
“Dan kita kena bertindak segera sebelum lebih banyak kuih hilang,” tambah Johan dengan penuh serius.
*******
Mereka berpatah balik ke gerai tersebut. Kali ini, mereka berpecah mengikut peranan yang telah dipersetujui.
Din dan Badrul berpura-pura menjadi pelanggan biasa sambil cuba mengorek maklumat daripada pekerja gerai, manakala Aiman dan Johan pula memerhati dari kejauhan.
Di celah-celah orang ramai, pandangan Aiman tertancap pada sesuatu yang mencurigakan. Seorang lelaki muda dengan beg sandang berwarna hitam jenama Nike kelihatan sedang menghantar beberapa kotak kuih ke bahagian belakang gerai.
Lelaki itu memakai topi jenama Puma dan wajahnya seperti pernah dilihat sebelum ini.
Aiman menggamit Johan. “Kau nampak budak itu?”
Johan memerhati dengan lebih teliti. “Eh... bukankah dia pekerja bakeri sebelah kedai mak kau?”
Aiman tersentak kecil. “Ya, aku rasa aku pernah nampak dia. Dia memang kerap keluar masuk ikut belakang kedai.”
Mereka segera mendapatkan Din dan Badrul yang baru sahaja selesai ‘membeli’ kuih. Tanpa berlengah, mereka berkumpul semula di luar kawasan bazar untuk berbincang.
“Aku syak budak itu ada kaitan,” kata Aiman.
“Siapa?” tanya Badrul.
“Pekerja bakeri sebelah kedai emak aku. Aku nampak dia hantar kuih ke gerai tadi.”
Johan menyilangkan tangan di dada. “Kalau begitu, adakah kuih yang dicuri datang dari bakeri itu?”
Din pula menggaru kepala. “Tetapi... bakeri itu pun jual kuih raya, bukan? Kenapa pula dia perlu curi?”
Badrul mengusap dagu, termenung sejenak. “Mungkin dia bertindak sendiri. Bos dia pun mungkin tidak tahu apa-apa.”
Aiman menarik nafas panjang. “Esok kita pergi siasat bakeri itu. Kita mesti gali apa sebenarnya yang sedang berlaku.”