Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,076,282
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 32 - Secret Garden :)

Aku menunggu di luar sementara Izzaz membuat bayaran di dalam. Lama pula lelaki itu kat dalam dan bukan main rancak pula berbual dengan pemilik kafe ni. “Dia nak balik ke tak nak ni? Aku tinggal kat sini karang baru dia tahu. Nak bukak bisnes kafe pulak ke dia ni? Lama betul berborak kat dalam tu.” Omelku sendiri.

Titis-titis gerimis mula gugur ke bumi. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba saja hujan mulai turun. Tiba-tiba aku terkenangkan ‘dia’. Saat-saat Firqin menarikku ketika sebuah kereta menghampiriku kembali terbayang di ingatanku. Ketika itu hujan gerimis. Bermula saat itulah aku dan dia mula rapat dan aku mulai merasai perasaan yang istimewa buatnya. Tapi kini kenangan itu sudah tiada manisnya lagi bagiku. Firqin yang memulakannya dulu dengan mempermainkan perasaan aku. Aku rasa tertipu dan kini aku sedar yang dia masih tidak dapat melupakan Amera dari hati dan dirinya. Mungkin untuk selama-lamanya aku rasa. Entahlah...kadang kala soal perasaan, cinta, dan hubungan ini memang aneh yang mungkin manusia itu sendiri tidak dapat mengenal pasti pun definisinya.

“Jauh berangan? Ingat boyfriend ke?” Sergahan dari belakang itu mengejutkanku.

Aku pandang Izzaz geram. ‘Bila pulak dia keluar? Kenapa tak duduk kat kaunter tu sejam lagi, kan bagus. Kutukku di dalam hati.’

“Mana ada berangan lah.” Jawabku malas.

Izzaz sekadar mengangkat bahunya. “Bak sini kunci kereta kau.” Arahnya.

“Awak nak buat apa mintak kunci kereta saya?” Soalku pula.

Lelaki itu senyum lebar kepadaku. “Aku nak ganti kereta kau dengan Maserati. Sebagai hadiah saja-saja. Hebat tak?”

“Hah? Awak ni buang tabiat ke apa nak bagi saya kereta semahal tu?” Aku pula yang bingung.

“Memang buang tabiat kalau aku belikan untuk kau. Nak buat apa lagi? Aku nak baliklah. Bak sini aku drive lagi senang, kau tahu ke nak ke rumah aku tu? Aku malas nak jadi co-pilot yang jadi pandu arah suruh belok kiri, belok kanan ni. Senang biar aku aje bawak kereta buatan tempatan kau tu.” Sinis kata-katanya. Macam biasalah.

“Aku hulurkan kunci keretaku kepadanya bersama satu jelingan. “Berlagak betul. Tahulah dia bawak kereta buatan luaran negara. Apa salah kereta kita kena kutuk pulak. Kereta kita tu lah banyak berjasa bawak kita ke mana-mana. Lagipun aku bayar kereta tu guna duit sendiri, bukan duit dia.” Omelku sendiri ketika Izzaz berjalan di hadapanku.

“Aku dengar apa yang kau bebelkan tu. Dah lupa ke syarat-syarat tadi ke?” Lelaki itu menoleh memandangku.

“Ingat, ingat...ingat sangat. Jom!” Aku bergegas masuk ke dalam tempat duduk penumpang. Malas dah dengar bebelannya lagi.

Izzaz mula memandu keretaku. Dari cara pemanduannya, aku tahu dia amat berhati-hati ketika di atas jalan raya. Matanya fokus ke arah jalan raya, hanya sesekali saja dia mengerlingku.

Aku malas untuk berbual, aku memilih untuk menyemak pesanan Whatapps di telefon pintarku. Ada beberapa group chat yang aku balas untuk mengelak dari berbual-bual dengan lelaki di sebelahku itu walau pun chat yang aku balas hanyalah simbol like atau pun smile.

“Kau dah ada boyfriend?” Soalnya tiba-tiba. Aku menoleh ke arahnya. Rasa pelik kerana tiba-tiba saja persoalan itu diajukan. Dah tak ada topik lain ke nak dibualkan?

Aku menggeleng.

“Tipu!” Balasnya.

“Nak tipu apa, memang saya tak ada, saya nak cakap apa lagi.” Ujarku.

Lelaki itu mencebik. “ Kalau sampai aku tahu kau sorok pakwe, lepas tu kau cerita pasal rancangan kita ni kat dia, siap kau.”

“Awak nak buat apa kat saya kalau betul pun?” Balasku berani. Aku tak suka Izzaz selalu ugut-ugut aku.

“Kau menjawab ya.” Dia mengerlingku di sebelah.

“Macam mana saya tak menjawab kalau awak setiap kali tuduh saya yang bukan-bukan perkara yang saya tak buat pun. Lepas tu suka nak ugut-ugut saya. Saya tak suka cara awak. Ish...kesian ya makwe awak kena tahan dengan perangai awak ni. Syukur saya, awak tak ada taste kat saya. Kalau tidak mesti kena bebel hari-hari.” Luahku berani. Biarlah dia nak marah ke, nak potong gaji ke aku dah tak kisah. Lelaki macam ni sesekali kena tegur baru dia tak berani nak buat andaian sesuka hatinya saja.

“Mana ada aku tuduh kau bukan-bukan. Aku cakap aje.” Tergagap-gagap dia membalasnya.

Aku melepaskan keluhan. “Izzaz awak kena bezakan tuduh dengan cakap. Kedua- dua tu perkara yang berlainan. ‘Menuduh’ tu boleh mendatangkan kemarahan orang lain dan boleh menjadi punca pergaduhan sedangkan ‘bercakap’ itu membuatkan orang lain rasa terpujuk dan boleh dijadikan nasihat kalau betul caranya. Awak ni memang kasar macam ni ya? Tak tahu cakap elok-elok?”

Agak lama Izzaz terdiam selepas aku berterus terang tentang personalitinya.

“Aku tak nak orang pijak kepala aku lagi. Bila aku baik, orang ambil kesempatan atas aku. Tipu aku sampai aku rasa betul-betul dikhinati. Sebab dulu aku baik lah, aku dilayan macam sampah. Kawan-kawan aku akan cari aku bila mereka susah, bila mereka senang dan aku dalam kesusahan semua lari termasuklah orang yang aku sayang.” Izzaz meluahkan apa yang dirasanya kepadaku.

“Jadi aku kena jadi tegas macam ni baru orang hormat aku!” Serius benar dia ketika itu.

Aku nak menjawab jadi tidak berani pula. Biarlah dulu, ini bukan masa yang tepat untuk aku beri nasihat. Nanti-nantilah. Terdetik di hatiku mungkin Izzaz juga pernah dikecewakan sebelum ini oleh seseorang yang dicintai, sama seperti aku yang mungkin membuatkan personalitinya terus berubah. Mungkin dia buat begitu kerana tidak mahu dilukai lagi agaknya. Aku sekadar membuat andaian sendiri.

Tapi bagi aku cara yang dipilih Izzaz ini salah. Personalitinya yang agresif ini bagaikan menghukum orang lain. Mungkin dia rasa dengan ketegasannya dapat membuatkan orang lain hormat kepadanya, tapi bagaimana pula tanggapan orang-orang di sekeliling bila di belakangnya pula? Puas kena kutuk aku rasa. Aku yang baru kenal dia beberapa hari sudah kutuk dia macam-macam apatah lagi pekerjanya, kawannya atau sesiapa pun yang berhadapan dengannya setiap hari.

“Awak pulak, dah ada girlfriend?” Soalku sekadar saja-saja.

“Perempuan pandang aku ni ada taste ke? Kau baru cakap tadi kan kesian siapa yang jadi makwe aku.” Lelaki itu memerliku. Sengaja lah tu.

“Entah mana saya tahu.”Balasku tidak berperasaan.

Of course lah ada. Bukan aku yang cari perempuan, diorang yang datang berbaris depan aku lah.” Mula lah dia puji diri sendiri. 

Kesedaran datang tak sampai seminit, dah kembali ke perangai asal. Memang susah nak dibentuk lagi dah perangai Si Izzaz ni. ‘Layan kan sajalah Maya, dia kan akan jadi abang kau untuk setahun. Kau layan dia sama dengan Abang Bukhary, senang tak payah pening-pening.’ Ujarku sendiri.

“Oh Iya ke?” Aku sengaja menunjuk minat agar dia lebih bersemangat bercerita.

“Mestilah. Ini Izzaz lah...hero Malaya. Hehehe... kat UK dulu masa aku belajar aku ni ramai peminat tau. Kalau aku kumpul makwe-makwe aku dulu, aku rasa aku dah boleh buat Mini Sukan Olympic dah. Macam-macam bangsa dari pelbagai negara boleh sertai. Kau tanya Bukhary kalau tak percaya betapa popularnya aku kat universiti dulu.” Lelaki itu ketawa bangga.

“Tapi mesti ada seseorang yang istimewa kan dalam hati awak? Tak kan lah tak ada kalau dah popular macam tu kan. Jadi cepat-cepat lah kahwin sebelum masuk 3 Series. Kedut-kedut kat tepi mata dengan tepi mulut dah mula nampak dah tu.” Aku sengaja memberi cadangan mengusik begitu.

Cepat-cepat Izzaz menelek wajahnya di cermin tengah. “Kau ni memandai je kan. Satu kedut pun tak ada lah. Kalau ada pun aku lelaki, tak kisah sebab lagi naik saham aku bila makin berusia. Perempuan lain makin berkedut, makin berusia tak laku. Orang gelar andartu. Anak dara tua.” Jawabnya. Ada saja alasannya kalau nak menang tu.

Izzaz menekan-nekan punat butang on untuk menghidupkan radio. Banyak lagi ditekan-tekannya. “Radio kau ni zaman bila punya? Puas aku tekan tak hidup pun.” Bebelnya.

“Saya tak perasan radio saya bermasalah lepas kemalangan tu. Nantilah saya repair.”

“Eh mana boleh! Kena dengar lagu baru tak bosan perjalanan kita ni. Kau nak aku nyanyi untuk kau?” Izzaz dah mula buat perangai gila dia.

Aku menggeleng-geleng. “Tak payah. Terima kasih aje ya.” Balasku.

Tapi lelaki itu apa kisah. Dengan selamba dia terus menyanyi lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain tu. Mak ai....suara dia memang out! Tak sedap langsung. Buat sakit telinga aku aje. Tapi aku senyum jugalah, menghargai usahanya ‘nyanyi’ untuk aku.

“Ni lagu ni aku selalu bawak masa karaoke. Aku juara karaoke tau.Ternyata ku perlukan cinta....dari dirimu sayang...” Lagi menjadi-jadi Mr. Lion King nyanyi.

Aku perasan Izzaz sedang mengelak dari berbual tentang topik ‘siapa orang istimewa di hatinya’ sebab itu dia berkelakuan pelik seperti ini. Entah apalah yang pernah terjadi padanya agaknya dalam hubungan cinta? Mungkin ini cara dia agaknya untuk memujuk kekecewaan diri.

“Suara awak macam ni nyanyi dalam bilik air lepas lah. Kalau juara karaoke saya tak rasa juri terkesima. Saya tak percaya langsung. ” Aku sengaja mengusiknya.

“Kau jangan pandang rendah kat aku tau. Masa aku nyanyi kat malam gala ulangtahun syarikat, ramai pekerja aku bersorak dan tepuk tangan tau. Sebabnya diorang terharu dengar suara lunak aku lah.” Lelaki itu tersengih-sengih.

“Mungkin pekerja awak bersorak sebab nak jaga hati awak aje. Entah-entah bingit telinga dengar suara katak puru awak tu.” Tambahku.

“Ong gedek, ong gedek gedek....” Ini baru suara katak.

Aku tersenyum melihat kerenahnya yang boleh tahan itu. Boleh dibawa bergurau juga Si Izzaz ni rupa-rupanya.

“Suara kita yang merdu bak buluh perindu ni di katanya macam katak. Okay kita test suara. Nanti kau dah duduk rumah aku, kita karaoke sama ya? Aku ada bilik karaoke sendiri tau kat rumah!” Beriya-iya dia mempelawaku.

Amboi dia ni memang kaki menyanyi aku rasa. Sampai kat rumah pun ada bilik karaoke sendiri. Dasyat betul.

“Tak nak saya. Sakit telinga nanti.” Jawabku.

“Arrggghhhhhh......”Izzaz menjerit di telingaku.

Aku terkejut. “Apa ni? Sakit telinga saya lah. Awak jerit kuat sangat.” Omelku.

Izzaz ketawa tidak bersalah. “Itu baru namanya sakit telinga.”

“Kejam...” Kutukku.

“Biarlah. Yang penting aku puas hati dapat sakitkan hati kau.” Lelaki itu ketawa mengejek.

Aku mencebik geram. Tak apa, tak apa. Kau tunggu nanti. Aku jerit kat telinga kau nanti siap aku letak speaker besar kat tepi telinga tu. Baru padan muka! Omelku geram di dalam hati.

“Kita dah nak sampai rumah aku. Tapi sebelum tu aku nak kau practice sikit.” Ujarnya.

Practice apa?” Sebelah kening aku angkat.

Izzaz mengerlingku. “Panggil aku Abang.” Dia senyum.

“Tak nak saya. Geli lah.” Jawabku.

“Melawan? Kau kena biasakan panggil aku macam tu. Nanti depan Umi kau kekok panggil aku Abang, dah bocor rahsia kita. Umi aku tu bijak orangnya. Dia dapat baca apa yang ada dalam fikiran dan hati kita tau. Jadi bila kau panggil aku Abang Izzaz tu kena mesra dan ikhlas tau.”

“Awak ni memang cerewet kan. Buat apa saya nak panggil sekarang. Tunggulah depan Umi nanti.” Balasku tidak puas hati. Aku malu sebenarnya nak panggil dia dengan gerangan itu bila berdua-duaan saja dengannya. Segan lah.

“Aku kan bos. Bos memang kena cerewet. Aku tak kira. Cepat cakap sekarang jugak.” Izzaz mendekatkan telinganya ke arahku.

Aku terpaksa menurut juga kehendaknya. Aku semakin faham lelaki ini kalau aku semakin melawan, dia makin tidak mahu mengalah. Ikutkan ajelah, kalau itu boleh buat dia bahagia.

“Ab...abang.” Ujarku perlahan.

Izzaz senyum. “Apa dia? Tak dengar sangat lah. Kuat sikit. Sekali lagi.”

Aku ketap bibir menahan geram. “Abang Izzaz.” Abang Izzaz. Abang Izzaz.” Ulangku.

Lelaki itu senyum lebar. Dia berpaling ke arahku. “Macam itu lah adik aku!” Dia mengusap rambutku.

Aku terkejut dengan tindakannya itu. “Aku yakin kau boleh jadi adik yang baik dan dengar kata.” Izzaz kembali memandang ke depan.

Aku keliru. Mana satu sebenarnya personalitinya? Izzaz yang sinis dan garang atau Izzaz yang ramah dan kelakar?

Aku ada masa satu tahun untuk mengenali lelaki itu. Tiba-tiba aku berdebar. Bolehkah aku jalankan tugas yang berat ini? Mampulah aku menghadapi Umi dan saudara-maranya. Ini semua idea Izzaz. Aku yakin dia ada sebab dan cara untuk memastikan rancangan menyamar ini berjalan lancar.

Izzaz memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah yang bagiku terlalu besar itu. Ini kali pertama aku nampak rumah yang sebesar ini. Bulat mataku memandang pagar rumah banglo itu yang tingginya mungkin menyamai bangunan satu tingkat. Rumah banglo berwarna putih itu terletak di atas bukit. Memang cantik. Aku sempat memuji di dalam hati.

“Ini rumah ke istana?” Soalku tidak percaya.

“Tutup sikit mulut kau tu. Melopong masuk lalat karang. Inilah rumah yang arwah Baba bina untuk kami. Selamat datang ke Villa Kaisara!”

Izzaz memandu masuk kereta sebaik saja pengawal keselamatan rumah itu membukakan pintu kayu berukiran itu untuk kami.

“Berapa harga pintu pagar tu?” Tanyaku teruja. Kalau dah cantik macam tu aku rasa mahu sampai puluhan ribu. Sebab aku pernah nampak pagar ukiran kayu seperti itu ketika aku menghadiri seminar ukiran kayu jati tidak lama dulu.

Izzaz memberhentikan kereta di garaj. Aku keluar dari kereta. Mataku melilau terpesona melihat keunikan seni bina rumahnya. Vila besar berwarna putih itu nampak berseri dengan tamanan-tanaman hijau di sekelilingnya. Ada mini taman, beberapa buah gazebo yang di hias cantik. Aku rasa aku macam bukan berada di Kuala Lumpur. Aku berada di sebuah tempat yang lain. Sebuah gazebo dari material kayu berwarna putih dan dihiasi kain sifon berwarna putih sebagai langsir di kiri dan kanan gazebo itu menarik perhatianku.

“Romantiknya kalau buat candle light dinner kat situ.” Oleh kerana terlalu teruja melihat seni bina seperti itu, aku tidak sedar apa yang keluar dari mulutku.

Di sebelah gazebo itu pula terdapat sebuah mini taman yang dihiasi banyak pokok bunga yang berwarna-warni. Kreatif sungguh orang tinggal di dalam rumah ni. Aku senyum lebar melihat keseluruhan luaran villa itu. Semuanya serba putih. Tenangnya. Kalau kat luar dah cantik macam ni, dekorasi kat dalam rumah itu aku rasa lagi hebat.

“Kreatif betul orang yang design landscape  rumah awak ni.” Pujiku.

Izzaz senyum puas hati. “Aku yang design landscape ni semua. Gazebo-gazebo tu, mini taman dan kolam air ikan tu semua aku buat sendiri dengan tangan aku ni.”

“Wow! Berbakat juga orangnya awak ni. Minta maaf lah sebab saya teruja sangat bila lihat senibina, landskap dan reka bentuk gazebo itu sebab minat saya lebih kepada benda-benda macam ni. Saya ni bekerja sebagai pereka perabot sebenarnya.” Balasku.

“Oh iya ke. Kalau macam tu boleh lah kau buatkan aku meja dan kerusi untuk ruangan santai kat belakang tu nanti.” Izzaz pula yang nampak teruja. Aku mengangguk.

Tiba-tiba aku terfikir yang aku macam pernah nampak saja landskap rumah ini di tempat lain, gazebo putih yang berlangsir putih dialas oleh rumput hijau yang rapi. Hah! kat dalam drama Korea Secret Garden! Rumah hero tu Kim Joo Woon. Aku ingat dalam drama aje rumah dan landskap cantik macam ni wujud, rupanya dalam realiti pun ada. Kat Malaysia lagi. Pujiku di dalam hati.

Tiba-tiba aku perasan akan sesuatu. Lalu aku pandang wajah Izzaz yang sedang membelek sebuah pasu bunga di sebelahku. ‘Baru aku perasan yang perangai Mr. Lion King ini lebih kurang sama aje dengan watak hero dalam cerita tu. Mulut yang suka membebel dan sinis tu paling sama. Okay, Izzaz adalah Kim Joo Woon versi Malaysia! Ternyata watak macam tu wujud dalam realiti dan orangnya adalah Izzaz Rayqal.” Aku tergelak bila terbayangkannya. Macam fantasi pulak aku rasa.

“Kenapa kau ketawa?” Soal lelaki itu pelik.

Aku menggeleng. “Tak ada apa-apa cuma saya teringat pada seseorang yang agak serupa dengan awak.” Aku cuba tahan senyuman. Karang tak pasal-pasal kena ayat ‘aku cepuk kau karang’ dari Mr. Lion King.

“Emm...suka hati kau lah. Kalau dah teruja sangat dengan rumah aku ni cepat-cepat lah pindah sini. Aku nak dua minggu lagi kau masuk ke sini.” Ujar lelaki itu.

“Dua minggu?” Ulangku.

Izzaz mengangguk. “Iyalah. Bila lagi? Dah jom aku bawak masuk dalam rumah. Jangan risau, Umi tak ada. Tapi 5 orang gaji aku ada.” Dia senyum lagi.

“Nak menunjuk dia ada 5 orang gaji lah tu!” Aku mencebik. Tapi aku cakap perlahan-lahan sebab telinga Mr. Lion King tu tajam, karang tak pasal-pasal aku kena bebel lagi.

Aku mengekori Izzaz dari belakang. Tidak sabar untuk melihat reka bentuk perabot di dalam rumahnya pula.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.