Aku menjamah makanan di dalam pingganku. Aku hanya tunduk
memandang meja sejak beberapa minit yang lalu iaitu sejak Firqin
bersungguh menyatakan yang dia cintakan aku, hanya aku dan takkan ada orang lain
selain aku. Mindaku semahunya cuba menidakkan kata-katanya sebentar tadi tetapi hatiku tidak mampu untuk berbohong yang aku sebenarnya masih sayang pada
lelaki itu. Aku benar-benar buntu untuk buat keputusan. Macam-macam
yang bermain di fikiranku termasuklah kejujurannya, pendirianku dan
juga janji aku pada Izzaz.
Aku bertambah bercelaru apabila aku baru teringat yang Firqin
dan Izzaz bersaudara. Lambat laun Firqin pasti akan dapat tahu yang aku bakal
menyamar menjadi adik Izzaz. Ketika itu pasti rahsia aku dan Izzaz akan bocor
dan aku terpaksa tanggung akibatnya nanti. ‘Macam mana ni?Apa yang harus aku
lakukan?’ Rintihku di dalam hati.
“Apa yang awak fikirkan sampai berkerut dahi tu? Awak
marah dengan kata-kata saya tadi ke Maya? Saya tak bermaksud nak buat awak
marah, saya hanya cakap apa yang saya rasakan pada awak. Awak janganlah marah
saya ya?” Firqin memujukku. Aku menggeleng.
Aku kini benar-benar tersepit untuk membuat keputusan.
Kalau aku pilih Firqin dan menceritakan apa yang sedang berlaku di antara aku
dan sepupunya Izzaz iaitu aku terpaksa menyamar menjadi Kaisara kerana Izzaz
adalah orang yang telah membantu Norzie keluar dari masalah hutangnya adakah
Firqin dapat menerimanya? Tapi kalau dia berhadapan dengan Izzaz dan memarahi
sepupunya kerana tindakan dan rancangan yang tidak masuk akal yang melibatkan
aku macam mana pula? Aku juga yang bakal jadi mangsa Izzaz nanti. Lelaki itu
lagi tidak boleh dijangka tindak-tanduknya. Lagi pun di dalam kontrak yang
telah aku tandatangani itu tertulis jika aku tarik diri dari rancangan ini sebelum
tarikh luput perjanjian aku bakal dikenakan tindakan iaitu aku bakal di saman dan juga
dipaksa bayar balik wang yang telah Izzaz berikan kepadaku sebanyak dua kali ganda.
Mahu tidak mahu aku pasti akan bertembung dengan Firqin juga nanti. Saat itu aku tidak tahu apa yang
harus aku lakukan. Reaksi Firqin pula aku tidak tahu bagaimana. Pasti dia akan kecewa apabila mengetahui yang aku mendapatkan wang melalui cara ini. Dengan menyamar
dan memperdayakan orang lain. Firqin juga
pasti akan lebih kecewa kerana aku telah menolak tawarannya untuk mengganti duit yang
telah aku pinjam dari Izzaz. Tapi apalah dayaku apabila aku sudah mengikat
perjanjian dengan Izzaz dan aku tidak mampu untuk berundur lagi kecuali
melarikan diri.
“Apa yang awak fikir lagi tu?’ Sergahnya.
“Fikir nak lari.” Spontan jawapan itu keluar dari
mulutku.
“Awak nak lari dari saya ke Maya? Saya minta awak
fikirkan elok-elok tentang hubungan kita. Saya tahu awak masih marah pada saya
kerana awak masih salahkan saya dan anggap saya penyebab Akmal meninggal dunia
kan?” Sayu suaranya itu menyentuh jiwaku.
“Kin awak tak salah. Saya minta maaf sebab pernah tuduh
awak macam tu. Saya tengah berserabut masa tu jadi apa yang keluar dari mulut
saya bukan datang dari hati saya. Akmal pergi atas keputusan yang dia buat
sendiri. Cuma saya hanya kecewa pada keadaan. Semuanya berlaku dengan pantas
dan bertimpa-timpa dugaan datang menyapa saya.” Ujarku yang tulus aku luahkan
dari hati.
Firqin menguntum senyuman. “Jadi awak sudi maafkan saya
dan terima saya semula?”
Aku telan liur. Mataku masih memandangnya namun lidahku
terasa kelu untuk memberikan jawapan kepada persoalannya itu. Aku keliru dengan
situasi yang aku sedang berhadapan ketika itu. “Saya...saya....” Lidahku terasa
kelu untuk menolaknya. Hatiku berbelah bagi antara untuk menerima dirinya dan memulakan
hubungan yang benar-benar serius walau pun aku masih rasa kecewa
terhadapnya atau pun aku harus menolak
dirinya demi janjiku kepada Izzaz. Tapi kesudahan kepada apa pun keputusan yang
bakal aku buat itu akhirnya akan membuatkan diriku lebih menderita dan kecewa.
“Maafkan saya..” Aku tidak mampu untuk bertentang mata
dengannya.
“Maya pandang saya.” Pintanya.
Perlahan-lahan aku mengangkat wajah dan bertentang mata
dengannya. “Saya mengaku kesalahan saya dan saya benar-benar menyesal atas
tindakan saya yang terburu-buru yang saya tak sedar awak terluka kerana
tindakan saya. Saya sedar yang selama ini saya selalu pentingkan diri dan bagaikan
mempergunakan awak, tapi jujur saya akui dalam hati saya ni hanya ada awak
seorang saja Maya. Saya tak tahu apa akan jadi pada hidup saya lepas ni bila
awak tak ada.” Rintihannya itu semakin membuatkan aku serba salah untuk membuat
keputusan.
Aku cuba menahan sebak. Tidak mahu menangis lagi di
hadapannya. “Saya boleh maafkan awak tapi saya tak boleh janji nak terima awak kembali dalam
hidup saya. Saya harap awak hormati keputusan saya. Saya minta awak jangan cari
saya lagi lepas ni.” Ujarku dan aku terus mencapai beg tanganku untuk bangun
pergi.
Firqin mencapai tanganku. “Maya Ariana. Maya Ariana.” Dia
menyebut namaku.
“Saya nak balik.” Kataku. Aku cuba menarik tanganku
tetapi lelaki itu masih enggan melepaskan tanganku.
“Saya mahu awak jadi milik saya juga tak kira apa jadi.”
Firqin masih tidak berputus asa.
“Firqin! Awak nak saya cakap macam mana lagi baru awak
nak berputus asa terhadap saya?”
Firqin bangun dari kerusi dan terus menarik tanganku ke
kaunter pembayaran. Wajah seriusnya menggusarkan hatiku. Aku tahu dia sedang
marah. Marah kerana aku menolak permintaannya untuk berbaik semula. Aku berkali-kali cuba merentap tanganku dari
cengkamannya namun masih gagal.
“Firqin lepaskan tangan saya!” Teriakku ketika dia menarikku
keluar dari kafe itu. aku terkejut apabila Firqin tiba-tiba mendekatkan dirinya
padaku. “Kalau awak cakap sepatah perkataan lagi malam ni jugak saya bawak awak
kahwin lari!” Tajam matanya menikam wajahku.
Aku gusar. Tidak pernah aku lihat Firqin berkelakuan
seperti ini sejak aku mengenalinya. Firqin membuka pintu kereta untukku dan dia
segera masuk ke tempat duduk pemandu. Beberapa saat kemudian tanpa sepatah kata
dia memecut kereta yang dipandunya.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Aku mula panik. Takut
kerana ini kali pertama aku melihat Firqin sebengis ini. Selalunya dia tenang,
ceria dan kelakar orangnya. Mungkin malam ini aku telah mencabar tahap kesabarannya.
“Sebenarnya saya sendiri tak tahu saya salah apa dengan
awak Maya. Awak asyik salahkan saya atas banyak kesalahan. Saya ini hanyalah mangsa keadaan, Maya. Saya terpaksa terima Amera kerana saya
rasa kasihan dan saya akui saya terlewat untuk bantu kawan-kawan awak. Itu
kerana saya ni mangsa keadaan Maya. Saya juga tersepit dalam situasi yang sama
dengan awak. Tapi awak asyik salahkan saya dan tak nak dengar penjelasan saya.”
Firqin nampak benar-benar marah.
“Kin....” Panggilku. Aku mula menggigil ketakutan. Aku
rasakan lelaki yang sedang meradang itu bukan Firqin, tapi adalah orang lain.
“Diam! Saya belum habis cakap. Awak Maya, awak sedar tak
yang awak dah malukan saya dan jatuhkan air muka saya bila awak marah saya dan
tengking saya depan orang ramai? Awak tak sedar bukan! Tapi saya pujuk diri
agar terus bersabar dan masih tersenyum sebab saya sayangkan awak! Tapi apa
balasan awak? Awak tak hargai diri saya. Awak tak hormati saya. Awak pandang
rendah cinta saya pada awak.” Firqin sebak. Dia mengesat airmata yang bergenang
di peluput matanya.
Aku turut menangis mendengar luahan hatinya itu. Badanku
terasa menggigil mendengar katanya-katanya yang bagaikan pisau yang mensiat-siat hatiku
itu. Aku baru sedar yang aku telah melayaninya dengan buruk sejak peristiwa
yang menimpa Akmal walau pun Firqin datang merayu dan meminta maaf kepadaku
secara baik. Aku layannya dengan kasar tanpa memberinya peluang untuk memberi
penjelasan. Kini aku baru tersedar yang aku lah yang sebenarnya yang telah
menyakitinya. Kasih dan cintanya yang ikhlas aku balas dengan kebencian.
Kerana penuh dengan rasa benci dan dendam dalam hati, aku hilang pertimbangan
dan tidak menghormati dirinya sebagai seorang lelaki yang benar-benar
menyintaiku.
Aku teresak-esak menangis menyesali tindakan dan layanan
burukku terhadapnya. Selama ini aku yang terburu-buru menjatuhkan hukuman
terhadapnya tanpa menilai dengan betul tindakan mana yang betul dan tindakan mana yang salah.
“Firqin maafkan saya. Saya tak sedar yang saya dah banyak
menyakiti awak.” Aku cuba mencapai tangannya. Firqin menepis tanganku. Aku
terkejut dengan tindakannya itu.
“Saya dah puas merayu pada awak Maya. Jadi sekarang saya
rasa tak ada gunanya lagi untuk saya buat macam tu lagi setelah dua kali awak
tolak cinta saya. Saya pun ada maruah.” Tegasnya.
Hatiku terasa remuk ketika itu. Aku tersedar ini bukanlah
kesudahan yang aku mahukan. Aku sebenarnya telah melakukan satu kesilapan yang
besar iaitu telah melepaskan seseorang yang benar-benar menyintaiku dan juga
seseorang yang istimewa di dalam hatiku. Kerana ego dan pendirian yang cuba aku
pertahankan aku telah menyakiti satu-satunya lelaki yang bertakhta di hatiku.
“Firqin...” Rintihku.
“Hati saya hancur bila awak berulang kali tolak saya. Tak
cukup lagi ke keikhlasan yang saya tunjukkan sampai hati awak tu terlalu keras
untuk maafkan saya? Kini saya sedar Maya yang selama ni hanya saya seorang saja
yang bercinta bertepuk sebelah tangan. Hanya saya yang meluah rasa kasih dan
cinta pada awak sedangkan awak tak pernah balas rasa yang sama. Kini benarlah
kata awak tu yang awak tak pernah
sayangkan saya. Salah saya juga
kerana berani menaruh perasaan pada awak tanpa sedari dan cermin diri sendiri
dulu.” Kata-katanya itu semakin mengguris perasaanku.
Aku menggeleng. “Jangan cakap macam tu awak. Saya
sebenarnya....” Aku mahu meluahkan kepadanya yang sebenarnya aku juga menyintai
dirinya, tetapi Firqin lebih pantas memintas kata-kataku.
“Kita putus. Walau apa pun definisi hubungan kita,
sekarang dari mulut saya sendiri di hadapan awak saya terima keputusan awak
yang kita sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Saya janji tak akan muncul di
hadapan awak lagi selepas ni. Begitu juga awak, saya harap awak takkan cari
saya lagi. Sampai bila-bila.” Lelaki itu cuba menahan airmatanya dari gugur.
Bibirku terasa menggigl-gigil. Aku ingin cakap sesuatu
kepadanya tetapi tidak terkeluar dari mulutku.
Kenapa kenyataan yang baru keluar dari mulutnya itu betul-betul
menyakitkan hatiku?
“Awak main-main kan Kin?” Soalku bagaikan tidak percaya
dengan apa yang baru aku dengar.
Lelaki itu menggeleng. “Ini yang awak nak kan. Saya dah
tunaikan permintaan awak iaitu saya tak akan ganggu awak lagi dan akan pergi
jauh dari hidup awak selama-selamanya.”
Aku terdiam. Tidak mampu untuk berfikir lagi. Otakku
masih cuba menghadam kata-kata Firqin kepadaku. Benarkah kata-kata yang
dilafazkannya tadi? Adakah ini bermakna aku telah kehilangannya? ‘Ya maya, kau
telah kehilangan Firqin buat selama-lamanya kerana ego dan pendirian yang kau
pertahankan tu!’ Aku menyalahkan diriku sendiri di atas perpisahan ini. Aku lah
yang sebenarnya yang mencipta perpisahan ini. Tapi kenapa hatiku terasa yang
aku tidak boleh menerima keputusan ini? Mahu aku luahkan kepada lelaki itu yang
aku tidak mahukan perpisahan kerana aku cintakannya dan hatiku sudah terikat
padanya. Tiada lelaki lain di dalam hatiku selain dirinya malah aku tidak
terfikir untuk mencari pengganti dirinya. Aku tidak mahu orang lain, aku hanya
mahukan dirinya.
“Firqin saya sebenarnya ada sesuatu nak beritahu pada
awak.” Ujarku. Aku ingin berterus-terang tentang perasaanku dan juga mahu
menceritakan kepadanya tentang perjanjianku dengan sepupunya, Izzaz.
“Saya tak nak dengar apa-apa lagi dari awak. Kata-kata
awak saya anggap sebagai tidak bermakna lagi bagi saya.” Firqin bagaikan telah
benar-benar membenciku.
Aku terasa malu. Malu untuk berhadapan dengannya lagi.
Malu untuk mengakui yang aku telah menyesali akan tindakanku yang terlalu ego
untuk mempertahankan pendirian dan persepsi negatifku terhadapnya selama ini.
“Berhenti.” Pintaku.
Firqin memandangku. Aku mengesat airmataku. “Maya saya
hantar awak sampai rumah.” Ujarnya.
Aku tidak pandang wajahnya. “Awak turunkan saya kat
perhentian bas depan tu. saya suruh Farhin ambil saya.” Kataku sambil aku
membuka tali pinggang keselamatan.
“Tapi dah malam ni.”
“Awak tak payah risau. Saya boleh jaga diri” Balasku.
Firqin memberhentikan keretanya di perhentian bas yang
aku maksudkan. Aku membuka pintu kereta untuk keluar. Perlahan-lahan aku turun
dari keretanya. Di dalam hati sebenarnya aku berharap dia akan menghalang dan
menarik semula kata-katanya tadi. Tapi hampa apabila saja aku berpusing untuk
menutup kembali pintu keretanya, aku nampak Firqin langsung tidak sedikit pun
menoleh memandangku. Matanya fokus memandang ke hadapan.
Kali ini aku benar-benar sedar yang aku telah berjaya
membuatkan dia membenciku dan aku juga telah berjaya menyakitinya sampai dia
telah berputus asa terhadapku. Tahniah Maya. Tapi mengapa ucapan tahniah ini
tidak menggembirakan hatiku malah membuatkan hatiku terasa semakin berat menanggung
kesedihan.
Sebaik saja aku menutup kembali pintu keretanya, Firqin
terus memandu pergi tanpa menoleh pun ke arahku. “Aku dah hilang dia buat
selama-selamanya. Dia dah pergi. Firqin dah tak ada dalam hidupku lagi.”
Rintihku sendiri.
Aku duduk berseorangan di perhentian bas itu sambil
teresak-esak. Jam di tangan menunjukkan pukul 10.45 malam. Aku ingin menelefon
Farhin untuk memintaku mengambilku, tiba-tiba aku baru teringat yang Farhin
balik ke kampungnya di Kuantan. Farhin ada memaklumkan kepadaku semalam.
Aku menoleh ke arah kiri dan kanan berharap ada teksi
atau bas menghampiriku tetapi hampa. Aku baru tersedar yang kawasan ini jarang
dilalui kenderaan awam pada waktu-waktu begini. Mahu jalan kaki pulang ke rumah
agak jauh juga. Salah aku juga mengapa aku minta Firqin turunkan aku di kawasan
yang sunyi begini. Tidak ada kenderaan yang lalu lalang, sunyi yang jauh dari
perumahan. Aku menoleh ke belakang, semak samun yang gelap membuatkan aku mula
merasa takut.
Aku segera mendail nombor Aaron. Tidak sampai beberapa
saat panggilanku berjawab. “Aaron I nak minta tolong you ambil I boleh? I
sorang ni kat perhentian bas dekat dengan gudang kayu yang kita pergi minggu
lepas tu.” Pintaku.
“You buat apa kat sana Maya? Are you okay? Kawasan situ gelap, bahaya. I sebenarnya ada di
hospital sekarang ni. Melina tiba-tiba demam panas. I tak janji boleh ambil you
tapi I minta tolong pada kawan I untuk ambil you kat sana. You tunggu situ ya.”
“Okay
Aaron, thanks.”Ucapku dan terus
mematikan talian.
Aku kembali teringat akan segala kata-kata Firqin
terhadapku. Rasa sedih kembali menjalar ke dalam diri. Mengingati kembali luahan
rasa amarahnya terhadapku membuatkan hatiku bertambah sakit dan perit yang kesakitannya
bagaikan sedang ditoreh-toreh dengan belati yang paling tajam.
Aku menangis teresak-esak sendirian di sana. “Firqin
maafkan saya. Saya tak ada niat menyakiti awak. Saya sayangkan awak. Tapi
semuanya dah terlambat bagi saya. Saya malu dengan awak. Saya malu.” Aku
merintih menyesali akan kesilapan yang aku sendiri cipta.
Mengapa tiada pengakhiran yang bahagia buatku? Sejak dari
kecil hanya derita yang selalu mendampingi yang hadirnya bukan untuk menemani
tetapi hanya untuk menyakiti. Aku tidak minta banyak di dalam hidup ini, aku
hanya mahu kasih sayang dari orang yang benar-benar menghargai kewujudan diriku
di atas muka bumi ini. Namun bila orang yang aku nantikan itu telah muncul dan
dengan ikhlas dia menyayangiku, aku pula yang telah melepaskan dia pergi dari
hidupku buat selama-lamanya. Jadi adakah kasih dan sayang benar-benar wujud
buat diriku? Soalku kepada diriku sendiri.
“Maya...” Suara seseorang memanggilku. Aku mengangkat
wajahku untuk melihat pemilik suara yang kedengaran agak asing di telingaku.
Tidak berkelip mataku memandang ke arah seseorang yang
sedang melutut di hadapanku. “Taufiq.” Aku sebut namanya. Aku pantas berdiri
menjauhi Amar Taufiq.
“You buat apa kat sini? You nak buat apa pada I?” Badanku
mula terasa menggigil ketakutan. Aku berundur beberapa langkah ke belakang dan
bersedia untuk lari.
“Relax Maya. I
bukan nak apa-apa kan you. Aaron yang call
I minta tolong I ambil you kat sini. You okay ke? Ada apa-apa jadi pada you? I
risau bila Aaron kata you sorang kat tempat sunyi macam ni. Jadi I terus rushing dari rumah terus datang sini.”
Terangnya.