Aku berjalan semula untuk ke rumah Norzie. Ketika aku
sedang menunggu lif di bawah, aku perasan seseorang sedang menghampiriku. Aku menoleh.
Aku terkejut kerana lelaki itu tiba-tiba muncul di hadapan mataku. Firqin! Tanpa
ada sebarang berita, kini dia muncul di depanku begitu saja. Perasaan marah,
benci dan kecewa mula menjalar di dalam
hati. Aku benci melihat wajah lelaki itu.
“Maya...” Panggilnya.
“Jangan you berani
dekat dengan I.” Kataku tegas.
Namun dia masih lagi
mahu menghampiriku. “No! Stop. Just go!” Tengkingku. Aku memang sudah hilang
kesabaran tatkala itu. Tiada maaf buat lelaki itu kali ini.
“Maya please. I am so sorry. Saya tak tahu nak cakap apa. Tapi apa
yang saya boleh cakap, saya tak sengaja buat semua ni. Saya terlupa janji pada
awak untuk bantu kawan awak tu.” Penjelasan Firqin itu langsung tidak membuatkan
hatiku terpujuk.
“Tak sengaja? Itu aje
ke alasan yang awak ada. Dah lah. Baliklah Firqin. Saya dah tak perlukan awak.”
Ujarku sinis.
Dia melepaskan
keluhan. Tanganku cuba diraih. Pantas aku tepis. “Jangan sentuh I!” Aku beri
amaran.
“Saya tahu saya
salah. Saya datang ni nak bantu awak. Nak tebus kesalahan saya dan juga untuk
tunaikan janji saya pada awak tu.” Jelasnya lagi. Ah! Alasan saja tu.
“Tak payah! Nak buat
apa? Kawan aku dah mati dah pun. Dah mati! Kau faham tak? Ini semua salah kau
tahu tak. Aku dah tak boleh sabar, nak cakap baik-baik dengan orang yang
mungkir janji macam kau ni. Kan senang dari awal lagi kau tak payah nak janji
tolong kawan aku tu, aku boleh cari jalan lain. Sebab kau dan janji kau tu,
Akmal mati.” Aku memarahinya.
Aku tidak pernah seberani ini memaki seseorang. Airmataku
mula menitis tanpa aku pinta. Rasa sakit yang aku rasa dalam hati ketika itu
tiada tolok bandingnya. Sakit sangat rasanya apabila disakiti oleh orang yang kita
paling percayai dan yang juga orang yang paling disayangi.
Firqin terdiam. Lama dia
memandangku. Nafasnya turun naik. Mungkin rasa bersalah mula dirasainya. “Sabar
Maya. Saya tahu saya salah kerana dah mungkir janji saya. Tapi percayalah, saya
tak sengaja. Saya ada alasan kenapa saya tak datang pada hari yang dijanjikan semalam. Ini
saya ada bawa cek yang saya janjikan tu.” Bersungguh-sungguh dia cuba
menyakinkan aku untuk mempercayainya.
“Simpan aje lah cek
tu. Bagi kat isteri kau lagi bagus. Dah lah, aku tak nak dengar apa-apa langsung
pun dari mulut kau. Aku tak boleh nak hadam pun walau sepatah apa yang keluar
dari mulut kau. Sekarang ni perasaan dalam hati aku pada kau hanya lah benci.
Benci! Benci sangat.”
“Tapi besar sangat ke
salah saya tu Maya?”
Aku mendengus. Tahan geram.
“Tak besar? Kerana kau mungkir janji tu
satu nyawa melayang. Aku tak kisah kalau dari mula kau kata tidak. Kau tak
dapat tolong sekurang-kurangnya aku boleh mintak tolong orang lain. Tapi masa
tu kau bukan main baik, pujuk aku, yakinkan aku tak perlu risau sebab kau
ikhlas nak bantu. Tapi akhirnya kau entah ke mana? Bernikah dengan perempuan
lain? Hei! Apa benda ni? Kalau kau nak balas dendam dengan aku sekali pun,
jangan libatkan orang lain. Jangan libatkan orang yang aku sayang pulak!”
Tengkingku.
“Cukup Maya!”
Suaranya pula yang meninggi. “Apa yang awak marahkan sangat ni? Balas dendam? Bila
masa pulak saya berdendam dengan awak. Tak pernah Maya. Tentang awak nampak
saya hari tu, sebenarnya saya tak jadi bernikah. Pernikahan tu dibatalkan.”
Aku ketawa. Rasa macam
lepas baru dengar satu cerita yang sangat kelakar. Firqin memandangku
pelik. “Tak jadi nikah? Kesiannya pada
kau. Oh...bila tak jadi baru datang cari aku kat sini. Tak apa lah, kau boleh
balik saja. Silakan.” Sinis aku balas.
Firqin mememang
lenganku. “Kenapa awak berubah macam ni Maya? Ini bukan diri awak. Awak bukan
macam ni orangnya. Saya mengaku saya salah kerana tak tepati janji. Tapi seharusnya
kesalahan sebab kawan awak mati bunuh diri tidak boleh awak letakkan di atas
bahu saya kerana dia sendiri yang buat pilihan begitu. Itu pilihan dia untuk
selesaikan masalahnya. Jadi Maya, saya mintak tolonglah jangan salahkan saya. Saya
pun sedih dan simpati atas apa yang dah terjadi.”
Aku diam. Airmata terus
mengalir dari tubir mata. Mulutku diam tapi di dalam dada, rasanya hatiku bagai
dihiris-hiris. Senang saja dia cakap, tapi dia tahu ke apa yang aku hadapi? Aku
marah, aku sedih, aku kecewa kerana dia tidak tepati janji dan juga kerana dia
mempermainkan perasaan aku dengan memilih orang lain, padahal dia sendiri kata
dari mulutnya yang dia sukakan aku. Aku marah kerana dia bagaikan bermain
dengan harga diri aku, campak aku ke tepi macam aku ni tak berharga.
Aku akui sebenarnya aku
tidak salahkannya atas apa yang terjadi pada Akmal. Akmal buat begitu atas
pilihannya sendiri. Aku sedang marah, jadi semua di dalam hati aku luahkan
walaupun aku tidak bermaksud untuk menyalahkannya.
“Kenapa kau perlu
datang jumpa aku? Antara kita dah selesai. Aku tak perlukan pertolongan kau
dah.” Kataku.
“Sebab saya nak beri
juga wang ni pada kawan awak.” Balas Firqin.
Aku memandang cek di
tangannya dan wajahnya silih berganti. Bagiku cek itu hanya sekeping kertas
kosong yang tak ada nilainya dah. “Tak perlu. Aku dah bayar semua hutang tu.
Kau simpan ajelah.”
Berkerut wajah lelaki
itu. “Eh mana boleh. Awak memang perlukan duit ni bukan? Masih sempat lagi ni
belum 24 jam. Jom saya teman awak jumpa Along tu.”
“Kan aku dah kata tak
perlu.” Kataku malas.
“Tapi susah kawan
awak dengan anak-anaknya nanti. Lagi cepat selesai lagi elok.” Kata lelaki itu pula. Menyampah
aku. Cuba buat baik pula.
Aku menggeleng sinis.
“Kau ni tak faham ke, kan aku dah kata aku dah bayar hutang tu semua. Dah bayar!”
“Tapi awak bayar
dengan apa?” Soalnya. Tapi aku buat tak tahu saja.
“Bayar dengan apa
Maya?” Desaknya. Suaranya sedikit tegas. Lenganku diraih lagi. Dia mungkin
sudah hilang sabar dengan aku agaknya. Kata-kata pedasku mungkin telah
membuatkannya marah.
“Dengan jual diri
aku! Aku bayar dengan jual diri aku!” Balasku. Hilang sabar.
“Awak jangan
main-main Maya. Saya serius ni.” Lenganku perlahan-lahan dilepaskannya.
“Aku tak main-main. Aku
serius. Aku jual diri aku dengan harga tiga puluh ribu ringgit pada lelaki yang
aku tak kenal!” Tajam mataku menikam wajahnya.
“Err...err sebab apa
Maya awak buat macam tu?” Aku nampak matanya berair.
“Sebab kau. Sebab kau
tak datang semalam. Aku tak ada pilihan.” Airmataku menitis. Segera aku menyeka dengan belakang tanganku. Rasa marah dan
dendam semakin membuak-buak apabila memikirkan yang aku terpaksa mengikat
perjanjian dengan lelaki yang tidak aku kenali, berikutan penyebabnya adalah
lelaki di hadapanku itu.
“Awak..awak jual
diri? Saya tak percaya awak akan buat macam tu? Siapa lelaki tu? Saya nak jumpa
dia dan bagi balik duit dia. Saya nak awak putuskan apa saja yang awak dah
janjikan dengan lelaki tu.” Firqin sudah hilang sabar.
“Apa yang aku buat
dan akan buat dah tak ada kena-mengena dengan kau.” Aku tidak memandang
wajahnya.
Terasa tangan kiriku
disambarnya. Firqin memaksaku untuk mengikutinya. “Lepaslah!” Aku meronta.
“Ikut saya. Saya nak
berbincang dengan awak. Saya mahukan penjelasan tentang apa yang awak mengarut
kan tadi tu.”
“Penjelasan apa? Ini realiti.
Kau dengan aku dah tak ada apa. Dah berakhir!” Teriakku.
Wajahnya bertukar
bengis. Dia mengetap giginya menahan marah. Ini kali pertama aku melihat lelaki
itu dalam keadaan seperti ini.
“Bila masa pula
antara kita dah berakhir? Saya tak tahu pun.” Katanya.
“Sejak kau nikah
dengan Amera semalam! Sejak aku nampak kau masuk dalam rumah tu, perasaan aku
terkubur untuk kau. Aku benci kau. Aku tak suka. Aku menyampah nak tengok muka
kau lagi. Faham tak. Dah lah, jangan tanya macam-macam lagi. Jangan muncul
depan aku lagi. Aku tak nak jumpa kau lagi sampai bila-bila.” Aku berpusing
untuk beredar.
Namun tanganku
diraihnya semula. Dipegangnya erat. “Saya tak nak kehilangan awak. Antara kita
belum berakhir Maya. Saya tak pilih Amera atas kehendak saya. Saya tak ada
pilihan. Saya terpaksa buat macam tu sebab nak tolong dia. Amera...” Firqin
merayuku.
“Aku tak ada masa nak
dengar kisah cinta kau dengan Amera dekat sini. Aku tak berminat. Tolonglah pergi.
Aku tak nak tengok muka kau lagi. Kau dah hancurkan hidup aku. Kau tak puas
lagi ke? Apa yang kau nak dari aku lagi? Tolonglah pergi.” Aku pula yang merayu
kepadanya.
Dia masih lagi tidak
mahu melepaskan tanganku.
“Saya dah letih
Firqin. Saya dah penat dengan semua ni. Saya rayu awak tolonglah lepaskan saya.
Jangan ganggu saya lagi. Antara kita dah berakhir.” Kataku hiba.
“Saya tak akan Maya! Saya
sayangkan awak. Saya tak nak kehilangan awak.” Firqin masih lagi tidak berputus
asa.
“Firqin...kau nak aku
maki kau lagi ke baru kau boleh faham keadaan sekarang ni?” Soalku. Aku mahu
dia putus asa.
“Saya tak faham dan
saya tak nak faham pun. Yang saya nak buat awak faham sekarang ni ialah awak
pulangkan balik duit lelaki yang awak pinjam tu. Saya bagi awak duit tu, awak
bagi pada dia.” Satu arahan dikeluarkan lelaki itu.
“Aku tak boleh. Aku dah
janji. Aku dah tak boleh berpatah balik walau apa jadi sekali pun. Aku dah berjanji untuk kahwin dengan lelaki tu. Aku akan jadi isteri orang lain. Orang yang dah bantu aku bila aku dalam kesusahan. Jangan cari aku lagi." Bohongku dengan harapan lelaki di hadapanku itu bakal pergi dari hidupku buat selamanya.
“Saya tetap tak
percaya apa yang awak cakapkan ni Maya. Awak seorang pelakon yang bagus tapi
saya tahu dan saya dapat rasa yang awak tengah bohong dengan saya sekarang ni.”
Firqin masih lagi tidak berputus asa.Aku merentap tanganku
dari tangannya. “Terpulanglah kau nak percaya atau tidak. Aku cuma minta kau
jangan jumpa aku atau cari aku lagi selepas ni.”
Firqin meraup
wajahnya beberapa kali. “Maya awak jangan kusutkan fikiran saya boleh tak
dengan lakonan awak tu? Awak cakap lah apa sekali pun, saya tak akan percaya.”
“Buat apa aku nak
susah-susahkan kau, nak serabutkan fikiran kau? Aku banyak benda lagi nak fikir
daripada nak berlakon. Tolonglah sedar Firqin, aku bakal jadi milik orang lain.
Jadi hak milik lelaki lain.” Ayat yang terakhir saja aku tekankan supaya dia
faham yang aku ni bukan sesiapa untuknya.
Wajahnya nampak kusut
ketika itu. Dia berlegar mundar-mandir di hadapanku sambil berfikir sesuatu. Tidak
lama selepas itu, dia kembali memandang aku. Lama. Namun mulutnya terkunci. Lidahnya
terkelu mungkin untuk mencari patah perkataan lagi.
“Sakitkan? Hati kau
sakit kan bila dengar aku cakap macam ni? Macam ini lah aku rasa bila kau pilih
Amera semalam. Sekarang kau boleh faham kan perasaan aku, apa yang aku rasa
bila diri rasa dikhianati?” Soalku dalam esakan.
Lelaki itu diam, tapi
matanya nampak layu. “Saya tak sangka...tak sangka yang benda ni nak jadi pada
kita. Masalah ni buat awak terikat dengan lelaki lain. Saya minta awak fikir balik Maya, fikir
masak-masak sebelum buat keputusan terima siapa pun lelaki itu. Awak tak kenal
siapa dia kan? Macam mana awak nak terima dia jadi suami awak? Kalau-kalau dia apa-apakan
awak dan sakiti awak nanti. Bahaya Maya. Awak jangan buat keputusan
terburu-buru boleh.”
Aku pandang ke arah
lain. Tidak mahu bertembung mata dengannya. “Tak ada bezanya pun. Aku kenal kau
tapi kau dah sakiti aku jugak.”
“Awak tak sayangkan
saya ke Maya? Awak tahu kan saya sukakan awak. Saya cintakan awak.”
Aku masih lagi
berpaling muka. Namun airmata masih jua
tidak mampu berhenti mengalir. Sebab apa? Adakah kerana aku sayangkannya? Sebab
tu aku rasa sakit macam ni sekali. Tapi dia tak menghargai aku. Tindakannya
menyakiti aku.
“Aku tak pernah cakap
kat kau pun yang aku suka kat kau. Kan? Hanya kau seorang aje yang bertepuk
sebelah tangan. Aku tak rasa apa-apa pun pada kau.” Bohongku.
“Kalau awak tak rasa
apa-apa terhadap saya, kenapa awak menangis macam ni depan saya? Awak jangan
tipu perasaan awak lagi Maya. Saya mintak awak jangan menangis lagi. Saya tak
nak tengok airmata awak. Saya akan rasa makin bersalah. Tolonglah terima saya Maya.” Rayunya lagi.
“Dahlah Kin. Aku tak
nak dengar apa-apa lagi. Cukuplah!” Balasku.
“Tapi Maya....”
“Just go!” Arahku.
“Maya.” Namaku
disebut lagi.
I said go. Tak faham
ke? Now!” Aku menuding jari menyuruh
dia beredar.
“Betul ke ini yang
you mahukan Maya?” Soalnya perlahan. Macam hilang semangat.
Aku mengangguk. Tidak
terkeluar kata-kata yang bukan datang dari hati. Aku buat keputusan ini dalam
keadaan marah, kerana aku terpaksa dan juga kerana aku kecewa. Tapi macam mana pula dengan apa yang ada dalam hati? Perasaan itu boleh aku tipu ke? Tidak.
“Baiklah, kalau itu
yang awak nak.” Lelaki itu perlahan-lahan berundur pergi.
Sejurus saja lelaki
itu beredar, aku kembali lemah. Aku cuba setabah dan sekuat mungkin berlagak di
hadapannya tadi yang aku tidak perlukan dia di dalam hidupku. Tapi sebenarnya
tidak. Sejujurnya aku akui yang hati aku rapuh, aku lemah dan aku tak kuat
untuk berhadapan dengannya. Aku sedih dan kecewa dengan tindakannya yang
mungkir janji dan memilih wanita lain sebagai isteri tanpa pengetahuanku walau pun katanya tadi pernikahan itu tak jadi. Aku rasa
tertipu selama kami berkawan. Hakikatnya, aku kini sedar yang hatinya masih
lagi ada pada Amera, bukan aku. Iya, itulah jawapannya yang sebenarnya.
Selamat tinggal
selamanya. Kini antara kita dah tiada apa-apa. Kisah kita yang baru sahaja nak
bermula, tamat di sini. Cinta telah berakhir. Aku cuba menerima hakikat itu.
Aku harap dia juga begitu.