Aku memandu tanpa
arah tujuan yang pasti. Kakiku menekan pedal minyak sambil fikiranku terus
menerawang memikirkan jalan penyelesaian masalah hutang arwah Akmal. Kereta
yang aku pandu terus memecut laju di tengah gelap malam. Aku memegang kepalaku
yang sedang berserabut ketika itu. Aku buntu untuk memikirkan cara lain agar
masalah tersebut dapat diselesaikan. Abang Bukhary! Ya, hanya abang saja yang
dapat membantuku. Aku memikirkan amaran Mama terhadapku melalui pesanan ringkas
siang tadi. Mahu tidak mahu aku perlu menebalkan muka menelefon Abang Bukhary
walau pun hari ini merupakan hari bersejarah hidupnya. Tujuanku bukan
untuk menganggu hari bahagianya tetapi hanya untuk meminta bantuannya saja.
Lantas telefon bimbit
di dalam beg tangan segera aku capai. Bismillah, nombor Abang Bukhary terus aku
dail. Agak lama ianya berdering sebelum orang di sana menjawab panggilanku.
“Assalamualaikum
Abang!” Sapaku agak teruja. Kerana sudah agak lama juga kami tidak berhubung.
“Abang apa khabar?
Sihat? Sorry lah Abang, Maya telefon ni. Maya tak ada niat nak ganggu abang
pun. Tapi Maya betul-betul nak minta tolong Abang. Penting sangat hal ni.”
Ujarku. Tapi Abang Bukhary di talian sana masih diam.
“Abang?” Panggilku.
Perasaanku terasa aneh ketika itu.
“Em...bagus lah kalau
Maya rasa macam tu. Memang menganggu pun. Cukup-cukup lah ganggu Bukary, Maya!”
Aku tersentak. Aku
kenal benar dengan suara itu. Abah!
“Abah...” Nama Abah
meniti di bibirku. Mataku mula berkaca. Aku rindu pada Abah. Aku tergamam
mendengar suara Abah setelah sejak sekian lama aku tidak pulang ke rumah walau
pun kata-kata Abah itu mengguris hatiku.
“Assalamualaikum
Abah, Abah sihat? Lama Maya tak dengar suara Abah.” Kataku ramah.
Abah mendengus. “Emm...buat
apa nak tanya? Selama ni tak ada nak ambil tahu pun.”
Aku terasa hati
dengan kata-kata Abah itu. “Abah jangan cakap macam tu Bah. Maya tahu Maya
salah. Tapi bukan Maya tak nak balik ke rumah...” Aku belum habis berkata-kata
Abah sudah mendahului.
“Sudah lah Maya. Abah
tak nak dengar alasan kamu lagi. Apa yang kamu mahu sebenarnya ni? Kenapa kacau
Bukhary lagi? Bukan ke kamu sendiri yang tak nak dia, lari dari majlis
pernikahan dulu tu. Sekarang ni kamu cuba nak ganggu hari bahagia dia pula ke?”
Tuduhan Abah itu benar-benar melukakan hatiku.
Sampai hati Abah tuduh
aku begitu sekali. “Abah...Maya tak ada niat pun nak ganggu Abang Bukhary. Maya
mengaku yang Maya pernah buat salah pada abang, Abah dan juga Mama. Maya lakukan
kesalahan itu pun kerana Maya tak nak burukkan lagi keadaan. Maya tak nak
lukakan hati mama.”
“Itu alasan kamu tapi
kamu tahu tak yang perbuatan kamu tu memalukan Abah. Malu kami sekeluarga kamu
tahu tak Maya!” Abah memarahiku.
Aku mengesat airmata
yang entah bila sudah mengalir di pipi. Terguris benar perasaanku apabila Abah
melayaniku sama seperti yang mama lakukan.
“Abah maafkan Maya
bah. Maya janji yang Maya tak akan buat lagi. Maya akan dengar cakap Abah, Maya
nak kembali pada keluarga kita.” Aku bersungguh-sungguh.
Namun jawapan Abah
menghampakanku. “Abah rasa tak perlu kamu nak kembali dalam masa sekarang ni. Abah
tak nak Bukhary tu sedih, teringat lagi pada kamu bila dia nampak muka kamu
nanti. Kesian pada isterinya nanti. Dahlah Maya, Abah tak nak cakap banyak. Abah cuma minta kamu jangan rapat dengan Bukhary. Jangan cari dia. Abah nak dia
bahagia. Kalau dia tak dapat bahagia dari kamu, Abah berharap ada orang lain
yang boleh bahagiakan dia. Dia anak Abah,Abah nak yang terbaik untuk dia.”
Airmataku semakin meluncur laju ketika butir-butir bicara Abah menjengah ke
telinga.
“Tapi Maya pun anak
Abah jugak kan. Abah pun sayangkan Maya kan? Abah ingat lagi kan waktu Maya
masih kecil dulu, Abah selalu ada untuk Maya. Kan Abah?” Teresak-esak aku
menahan tangisan.
Abah diam di hujung
sana. Agak lama sebelum Abah kembali bersuara setelah berdehem beberapa kali. “Walau
apa pun Bukhary tetap anak kandung Abah.” Suara Abah tidak setegang tadi. Aku perasan
suara Abah juga kedengaran hiba sepertiku.
“Maafkan Maya, Abah. Tolong
terima Maya kembali Bah. Maya takut nak hidup sorang-sorang lagi.” Aku merayu.
“Entah lah Maya. Abah
tak ada jawapan untuk permintaan kamu tu. Muka Abah ni masih terasa malu sampai
sekarang ni depan kawan-kawan Abah bila kamu lari dari majlis pernikahan tu. Kamu
betul-betul kecewakan Abah.” Suara Abah mula berubah. Aku semakin sedih dan
rasa bersalah kerana telah buatkan Abah kecewa terhadapku.
“Maafkan Maya Abah.”
Rayuku lagi.
Aku dengar Abah
menghembuskan satu keluhan berat. “Apa yang kamu mahukan dari Bukhary
sebenarnya?” Soal Abah.
“Err...Maya...Maya
nak minta tolong dari abang, err...Maya perlukan duit Bah.” Aku teragak-agak. Aku
malu untuk berterus-terang Abah. Aku tidak mahu lagi Abah beranggapan yang aku
hanya menggunakan Abang Bukhary demi kepentingan diri.
“Abah atau Bukhary tak
akan bagi duit lagi pada Maya. Sekarang Maya dah besar, dah ada pilihan
sendiri, mahu berdikari. Itu yang Maya kata pada Abah dulu bukan? Jadi sekarang
ni Maya pandai-pandailah berfikir untuk terus kan hidup.” Keras betul hati Abah
rupa-rupanya.
“Abah! Jangan cakap
macam tu. Sampai hati Abah buat Maya macam ni. Tolong lah Bah kasihan kan Maya.
Maya benar-benar perlukan duit sekarang ni. Kawan Maya dalam kesusahan, ini
antara hidup dan mati Abah...tolong Bah...” Aku terkedu. Tersentak. Abah mematikan
talian dari sana.
“Abah....” Rintihku.
Aku memandang telefon
bimbitku kosong. Lama. Airmata masih tidak mahu berhenti. Hatiku benar-benar
terguris dengan kata-kata Abah itu. Adakah sebenarnya aku telah kehilangan Abah
sejak aku lari dari majlis pernikahan dulu? Adakah Abah telah buang aku dari
terus menjadi anaknya? Adakah aku perlu menjauhkan diri dari keluarga yang aku
membesar bersama? Adakah aku yang bersalah? Semua persoalan itu berlegar-legar
di dalam kepalaku.
“Maya...apa yang dah
jadi pada hidup kau ni? Kenapa semua orang benci pada aku? Kenapa di saat aku
mula sayang pada seseorang tu, aku pula yang dikecewakan. Dan pula paling aku
kecewa dan tragis adalah apabila memikirkan mengapa Akmal memilih jalan macam tu
untuk selesaikan masalahnya? Macam mana untuk aku fikir dan cari jalan lagi
agar dapat bantu Norzie dan budak-budak tu. Kesian mereka. Ya Allah, bantulah
aku.” Rintihku.
Aku mengalih
pandangan ke arah hadapan. Aku tidak perasan kereta di hadapanku telah berhenti.
Aku tidak sempat berfikir untuk bertindak apa ketika itu. Jiwaku kosong. Fikiranku
kosong. Aku tidak sempat mengelak atau pun menekan brek.
Dum! Aku melanggar bahagian
belakang kereta hadapan. Hentaman yang kuat itu membuatkan kepalaku terhantuk
di stereng. Perlahan-lahan aku membuka mataku. Fikiranku cuba mentafsir keadaan
ketika itu. Adakah aku cedera? Adakah aku masih hidup? Aku memegang dahiku. Terasa
cecair panas sedang mengalir dari kepalaku.
“Auch sakitnya.”
Aduku sambil mengesat darah yang mengalir.
“Orang kereta depan!”
Aku baru tersedar tentang kereta yang aku langgar. Aku nampak seorang lelaki
keluar dari tempat duduk pemandu. Dia memegang belakang kepalanya. Lelaki itu
memeriksa belakang keretanya yang jelas kemek akibat dentuman tadi. Kedua-dua
belah lampu belakang juga pecah. Agak teruk keadaan keretanya aku hentam.
Dalam keadaan mata yang
sedang berpinar-pinar aku cuba memandang jelas wajah lelaki itu. Dia kemudian mengetuk
pintu kereta di tempat duduk pemandu, mengisyaratkan aku supaya keluar dari
kereta.
Aku sempat berfikir
ketika itu dan bercakap kepada diri sendiri. “Adakah hari ini merupakan hari
kejatuhan kau Maya? Hari yang buat jiwa kau mati untuk selama-lamanya.” Aku
tergelak sinis beberapa saat sebelum aku mula teresak-esak menangis.
“Apa yang
dah jadi dengan hidup aku!” Teriakku
sendiri sambil aku menyandarkan kepalaku di atas stereng kereta.
Ketukan di cermin
tingkap terus aku abaikan sampailah Si pemandu di hadapan itu membuka sendiri
pintu keretaku.
“Boleh you keluar
tak?” Suara serak basah seorang lelaki menegurku.
Perlahan-lahan aku
mengangkat kepalaku dan mendongak memandang ke arahnya. Si pemandu itu merenungku.
Aku memandang wajahnya tanpa perasaan. Jiwa aku hilang, terbang di bawa pergi
kerana terlalu terkejut dengan beberapa peristiwa yang berlaku hari ini,
termasuklah kemalangan ini.
Airmataku terus
mengalir di pipi. Mataku masih tepat memandang wajah lelaki itu. Aku perasan
wajah tegangnya berubah ketika matanya mendarat di wajahku. Agak lama dia terus
merenungku sehinggalah kereta di belakangku membunyikan hon.
Dia berdehem. “Err...boleh
you alihkan kereta ke tepi. Orang lain pun nak guna jalan ni.” Ujarnya sebelum
dia kembali ke keretanya dan mengalihkannya ke tepi.
Ketika aku sudah
mengalihkan keretaku di belakang kereta lelaki itu, barulah aku tersedar yang
aku telah melanggar bukan calang-calang kereta. Aku menelan liur melihat
belakang kereta mewah yang remuk yang aku langgar itu. Sudah, matilah aku kali
ni. Cayenne S Hybrid tu!
Perlahan-lahan aku
buka pintu kereta dan keluar. Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan ketika
itu. Ini kali pertama aku mengalami kemalangan sejak aku pandai memandu. Siapa yang
perlu aku telefon untuk minta bantuan? Apa yang harus aku lakukan kalau lelaki
yang sedang memeriksa kerosakan keretanya ketika itu tiba-tiba bertindak kasar
terhadapku?
Aku segera
mengeluarkan telefon bimbit. Nama Firqin segera aku cari. Namun tiga saat
kemudian, jari-jemariku terus kaku dari terus mendail nombor itu apabila
mindaku mula tersedar akan realiti yang sebenarnya. Realiti yang lelaki itu
sudah bernikah dengan perempuan lain dan hanya mempermainkan aku. Kenapa aku
teringat pada dia ketika aku dalam keadaan susah seperti ini pula.
“Miss...Miss!”
Panggil lelaki itu agak kasar.
“Hah?” Aku tersedar
dari menggelamun.
Aku pandang wajahnya.
Matanya redup, kulitnya sawo matang. Pakaiannya kemas. Macam baru pulang dari
pejabat. Usianya mungkin dalam awal 30 an. Namun wajah serius tanpa senyuman itu menggusarkan
hatiku. Sempat aku scan lelaki di hadapanku itu.
Memanglah dia tak
senyum, kau langgar kereta dia kot. Takkan dia nak tergelak suka pula bila kau
langgar kereta mahal macam tu Maya. Hatiku berkata-kata.
“Adik berdua okay ke?’
Tanya seorang lelaki yang dalam lingkungan usia 40 an yang mungkin menjadi
saksi kepada kejadian ini tadi.
“Saya okay bang. Tapi
tak tahulah, orang yang langgar saya ni okay ke tak.” Ujar lelaki itu. Oh! Sinisnya.
“Saya okay.” Balasku
pendek.
“Adik kena pergi
klinik atau hospital ni. Tu dahi awak berdarah tu.”
“Tak apa, sikit aje
ni. Saya okay. Encik...err macam mana nak selesaikan hal ni? Saya kena bayar
berapa?” Soalku. Aku memegang kepalaku yang terasa berdenyut.
Aku memberanikan diri
untuk bertanya walau pun degupan jantung di dalam dada ini sudah tidak seirama.
Rasa macam nak gugur dah. Ditambah dengan kepala yang terasa berpusing dan mata
yang berpinar. Namun aku gagahkan juga.
Agak lama lelaki itu
memandangku. Seakan-akan berfikir. Wajahnya sama seperti tadi, serius. “Kita
pergi klinik dulu, hal kereta ni nanti kita settle.”
Lelaki itu nampak yakin dengan kata-katanya.
“Hah? Tak apa saya
okay. Kita selesaikan kereta Encik dulu.” Pintasku.
“Kalau awak mati kat
sini saya lagi susah tau! Kepala dah berdarah macam tu masih kata okay lagi. Saya
tak nak bertanggungjawab kalau jadi apa-apa pada awak nanti. Do you get me Miss Clumsy?” Sinis betul
pemilihan perkataan-perkataannya.
“Abang...terima kasih
kerana ambil berat. Saya boleh uruskan dari sini. Hal ni saya selesaikan
sendiri.” Baik pula Mr. Lion King ni bercakap dengan pak cik tu. Senyum dan
siap tepuk-tepuk bahu lagi. Nampak sangat anti-perempuan. Aku mula rasa jengel
walau pun aku yang salah di dalam kemalangan ni.
Tekakku tiba-tiba rasa loya. Aku memuntahkan isi perut yang ada. Aku memegang kepalaku
yang terasa semakin berdenyut. Mataku pula semakin kabur. Tiba-tiba aku rasa
ada seseorang memegang lenganku. Aku mengelak. Tidak mahu dipegang sesuka hati
oleh lelaki yang tidak aku kenali.
“Are you sure you okay?
Muka awak pucat tahu tak.” Wajah lelaki itu pula yang nampak panik.
“Don’t worry..I can
handle my self Encik....” Aku tak tahu nak panggil lelaki itu dengan nama atau
gelaran apa.
“Izzaz” Katanya.
“Huh? Issuz?”
Ulangku. “Pelik nya nama. Terbelit lidah nak sebut.” Kataku perlahan.
Aku nampak lelaki di
hadapanku tersenyum. Namun segera dia sembunyikan. “It’s Izzaz. I.Z.Z.A.Z.” Dia
mengeja namanya untukku.
“Oh...okay. By the way Mr. Izzaz, kita tak payah
pergi klinik. Encik cakap aje berapa encik nak ganti rugi, Insya Allah saya akan
bayar. Sebab saya memang kesuntukan waktu sekarang ni. Saya ada hal lebih
penting nak uruskan.” Kataku berlagak berani walau pun renungan Mr. Lion King
tu menggerunkan sebenarnya.
“I tak kisah kalau
jadi apa-apa pada you. But do not put the
blame on me if anything bad happen to you later, okay. You ada parut ke,
jadi cacat ke jangan cari I. ” Ujarnya yang lebih kepada ugutan untuk
menakutkanku.
“I boleh jaga diri
sendiri....”
Pap! Aku terus rebah.
Sebelum aku pitam aku sempat merasa ada tangan yang menyambut tubuhku dari
tersungkur ke atas tanah. Lepas tu aku dah ingat apa-apa. Semuanya gelap.