Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,076,251
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
- Teaser Bab 36 - Aku tanpa cinta

                           "Taufiq hanya aku anggap sebagai seorang kawan, tiada

                                       rasa istimewa dariku untuknya lagi." MAYA

Aku menelan liur. Aku teragak-agak untuk mempercayai kata-kata Taufiq. “Aaron suruh you datang jemput I kat sini?” Soalku lagi bagaikan tidak percaya dengan kata-katanya sebentar tadi.

Taufiq mengangguk. “Dia kata dia ada di hospital sebab anak dia tak sihat. Aaron telefon I minta tolong ambil you. Katanya you sorang-sorang. Dah malam macam ni kan I pun risau pada you takkan I nak biar you tunggu lama sendirian kat sini pula.”

Aku masih lagi berdiri menjauhinya. Kejadian beberapa minggu yang lalu kembali bermain di dalam mindaku di mana Taufiq berkasar dengan aku ketika aku membuat pembentangan di pejabatnya, Golden Summit Group. Aku takut kalau-kalau dia tiba-tiba menarik aku masuk ke dalam keretanya dan akan mengapa-apakanku.

“Jom I hantar you balik Maya.” Taufiq membukakan pintu keretanya untukku.

Aku masih diam tidak berganjak. Ketika itu kebetulan sebuah teksi mendekati dan aku segera menahan teksi itu untuk berhenti.

“Maya takkan you nak naik teksi? I dah sampai sini, dah alang-alang biar I hantar you sampai rumah.” Taufiq menghalangku.

“I minta maaf sebab dah menyusahkan you Taufiq. Tapi tak apalah I boleh balik naik teksi. Aku segera membuka pintu tempat duduk penumpang. Namun belum sempat aku masuk ke dalam, Taufiq mengatakan sesuatu yang menarik perhatianku.

“I ni jahat sangat ke Maya di mata you?” Soalnya.

Aku menggeleng. “Tak Taufiq. I yang salah. I mengaku I yang salah kerana pernah kecewakan you. I minta maaf sangat-sangat pada you. Dan mungkin apa yang terjadi pada I sekarang ini adalah balasan kerana I pernah lukakan hati you. Sekali lagi I minta maaf.” Luahku yang ikhlas datang dari hati.

                       

                               “Kita putus. Walau apa pun definisi hubungan kita, 

                             sekarang dari mulut saya sendiri di hadapan awak saya

      terima keputusan awak yang kita sudah tiada apa-apa hubungan lagi." FIRQIN


“Adakah aku tidak ditakdirkan untuk merasai bahagia dengan orang yang dicintai?” Aku bertanya kepada diriku sendiri. Masuk kali ini sudah tiga kali aku bercinta yang akhirnya hanya berakhir dengan kecewa. Bermula dengan Amar Taufiq, Fakhrul dan baru beberapa minit yang lalu Firqin. Adakah ini balasan kerana aku pernah permainkan perasaan Abang Bukhary, Abah, Mama dan adik-beradikku yang lain apabila aku memalukan dan membelakangkan mereka dengan melarikan diri dari majlis pernikahan beberapa tahun yang lalu.

Aku melepaskan sebuah keluhan yang terasa berat keluar dari kerongkong. Sukarnya untuk aku menghadapi perpisahan kali ini. Ini mungkin kerana aku sudah merasakan perasaan yang istimewa terhadap Firqin. Kerana aku sedang tersepit di dalam situasi yang tidak memungkinkan aku untuk melepaskan diri, aku terpaksa akur dengan perpisahan ini. Aku berharap moga pengorbanan aku kali ini berbaloi untuk menebus kebahagian Norzie dan anak-anaknya. Aku ada menghubungi mereka kebelakangan ini sejak kami kehilangan Akmal, aku lega kerana Norzie sudah semakin tenang dan boleh menerima takdir yang telah ditetapkan. Anak-anak pula bertambah sihat tanpa gangguan dari lintah darat yang datang menyerang lagi.


                                "Apa macam hensem kan aku?” IZZAZ



“Senget kau potong kayu tu!” Suara seorang lelaki mengejutkanku. Kayu yang sedang aku potong tadi terlepas terkena tanganku yang dibaluti kain bandage.

“Sakitnya.” Aku mengadu kesakitan bahkan aku hampir menangis ketika itu. Aku menoleh untuk melihat siapa gerangan manusia yang tidak tahu memberi salam  itu, yang sesuka hati masuk ke sini tanpa meminta kebenaran.

“Izzaz!” Aku sedikit terjerit.

“Kau nampak hebat bila potong kayu tadi, ada gaya. Fokus betul kau ya sampai aku masuk pun tak perasan.” Dia berdiri sambil sebelah tangannya di masukkan ke dalam kocek seluar slack nya.

Aku merengus geram. “Awak keluar balik. Ketuk pintu, bagi salam baru masuk.” Aku memberi arahan.

Izzaz Rayqal buat muka tidak faham. “Sekarang.” Tambahku lagi.

“Aku?” Dia menunjuk ke arah dirinya sendiri.

Aku mengangguk.

“Aku tak nak!.” Bentaknya.

“Kalau tak nak awak boleh balik sekarang. Lagipun saya ada hak untuk suruh awak keluar sebab awak sekarang ada dalam pejabat saya.” Ujarku berani.

Izzaz memandangku geram. Perlahan-lahan dia bergerak semula ke pintu masuk. “Kau sengaja kan buli aku balik? Ingat aku tak tahu ke.” Omelnya.

Tuk! Tuk! Tuk! Dia mengetuk pintu studio yang terbuka itu.

“Assalamualaikum Cik Maya Ariana yang cantik jelita tapi garang gila!” Ucapnya yang lebih menyakitkan hati aku.

“Ada ajelah dia ni nak kacau hidup aku. Dua minggu tu kan lambat lagi tapi dah sibuk cari aku kat sini. Tak menyabar betul!” Omelku sendiri.

“Waalaikumsalam. Awak tu yang garang bukan saya.” Jawabku berani.

Izzaz memandangku atas bawah. “Dah berapa hari kau tak mandi ni? Serabut aku tengok kau ni. Nanti kejap yang ni paling penting kenapa kau tak jawab panggilan aku?” Seperti biasa Mr. Lion King akan memeluk tubuhnya bila dia marah.

Aku mencapai pisau di atas meja. Aku pandang Izzaz yang sedang menunggu jawapan. Wajahnya berubah pucat tatkala memandang pisau di tanganku. Dia berdehem beberapa kali. “Umi selalu pesan jangan main benda-benda tajam.” Ujarnya.

Aku tersenyum. “Takut ke?” Soalku bernada mengejek sebelum aku kembali memegang kepingan kayu tadi dan menoreh bahagian tepi kepingan kayu itu. Soalannya aku biarkan sepi. Aku fokus menghayati hasil kerja di tanganku.


                                       “Tak. Tak hensem pun.” MAYA

Berkerut dahiku memandang Izzaz apabila aku baru perasan yang ketika itu di tubuhnya tersarung uniform juruterbang. Aku memandangnya dari atas hingga ke hujung kaki. “Awak masih kerja pilot ke? Bukan hari tu Mak Piah kata awak dah nak berhenti ke?” Soalku.

Izzaz tersengih-sengih. “Masih lah, aku belum rasa nak berhenti lagi. Mak Piah dengan Umi aje yang beriya-iya bercerita. Apa macam hensem kan aku?” Dia mengangkat-angkat keningnya. Wajahnya ketika itu tak payah cakap, riak bangga tu memang terserlah.

“Tak. Tak hensem pun.” Jawapan ringkas dariku itu mematikan senyumannya.

“Semua pasal aku kau mana pernah suka.” Omelnya tidak berpuas hati.

“Boleh ke awak pakai macam ni bila luar waktu bertugas?” Soalku sekadar ingin tahu.

“Tak boleh. Aku tahulah. Tadi aku dari tempat kerja terus ke sini nak jumpa kau sebab kau tak jawab panggilan aku.” Terangnya.

“Saya sibuk. Awak sendiri kata saya nampak berserabut tadi kan. Awak tengok dalam studio ni bersepah macam ni maknanya saya bukan main-main kat sini. Lagi pun awak tak perlu telefon saya, nanti pandailah saya cari awak bila masa dah dekat.” Jawabku.

“Itu aje lah jawapan kau dari dulu. Sibuk dan sibuk. Dah lah aku nak pinjam bilik air kau, aku nak tukar baju.” Izzaz mengangkat beg plastik di tangannya dan dengan selamba tanpa mendengar izin dariku, dia terus berjalan masuk ke dalam bilik air yang terletak di tepi studio.

Aku menggeleng memandang kerenah lelaki itu. “Macam-macam perangai lah dia ni.” Aku kembali meneruskan kerja-kerja yang tergendala tadi. Namun hanya beberapa minit saja sebelum Mr. Lion King kembali mengganggu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.