SEAWAL pukul tujuh setengah pagi mereka sudah membelah dingin, belum lagi dia memberitahu Shaza ke mana arah tuju mereka. Masih rahsia katanya tetapi yang pasti, kereta dipandu Adam ke arah Pahang. Shaza senyum nakal Adam yang semakin menjadi-jadi dan keceriaan yang berlebih-lebihan.
“Abang ni semakin pelik.”
Adam tertawa perlahan, tekun memandu dalam kederasan biasa. Sesekali laju, sesekali perlahan. Dia menghulur sebotol kecil air mineral sejuk dan seketul roti berinti, untuk alas perut katanya.
“Macam ni? Ini yang abang kata nak bawak Sha breakfasttempat special?”
“Sabarlah sayang. Ini kan alas perut aja, sementara nak sampai.” Adam mengerling nakal.
Shaza membuka botol air, ditonggang perlahan, meneguknya sekali. Botol tidak kembali ditutup, hanya dipegang dia masih memerhati arah luncuran kereta. Adam menghulur, mengambil botol air dari tangan Shaza. Ditonggang juga lalu meneguk dua kali.
“Hei, Sha dah minumlah. Nanti Sha bukakan abang botol lain.”
“Tak apa, mulut adik abang kan?” dia menoleh Shaza dengan senyum berbunga, dipulangkan botol air. Shaza mengeleng dengan kening berkerut. Hairan. Adam menoleh lagi, senyum lagi.
“Tadi bagitahu emak, Sha pergi mana dengan abang?”
Shaza angkat bahu, “tak cakap pergi mana.”
Adam berkerut, ditoleh Shaza berkali-kali sambil terus memandu. “Tak bagi tahu keluar dengan abang? Emak tak risau ke?”
“Dah Sha sendiri pun tak tahu abang nak bawa Sha pergi mana, Sha nak bagitahu apa kat emak?”
“Bagitahulah keluar dengan abang.”
Shaza angguk, tunjuk Adam sekali memberi maksud itulah ayat yang disusun untuk memberitahu Shatiah. Adam angguk berpuas hati.
“Sha nampak lain pagi ni.”
“Lain? Apa lainnya?” Shaza menilai dirinya dari atas ke bawah setakat yang dia nampak dengan mata kasar.
“Pakai begini nampak cantik sangat, pakai fesyen biasa Sha pun cantik.”
“Habis tu, apa lainnya?” Shaza tertawa, mentertawakan alasan Adam yang tidak menjadi.
Adam terasa disindir, turut tertawa. Berfikir juga sejenak yang singkat untuk menyusun ayat lain untuk memberitahu fesyen simple Shaza dengan jean, blaus potongan kemeja serta mengenakan kerudung juga sederhana begitu dia tetap cantik seayu berfesyen busana yang menjadi pakaian biasanya.
“Bukan, maksud abang, Sha nampak lain hari ni tapi tetap cantik. Selalu Sha pakai dress dengan tudung fesyen-fesyen pelik, abang nampak Sha cantik sangat. Tapi bila pakai simple macam ni walaupun nampak lain tapi tetap juga cantik. Dua perbezaan keterampilan dalam diri orang yang sama.” Sedikit berbelit-belit dia mahu menyatakan kecantikan Shaza bukan dari fesyennya tetapi semula jadi tetapi agak sukar menyusun ayatnya kerana dia tidak pernah memuji wanita.
Senyum dia memandang Adam dari sisi, lama sehingga Adam sedar dirinya dikunyah Shaza dengan senyum seribu makna. Dia menoleh Shaza sekali dengan kening berkerut.
“Kenapa?”
Shaza geleng perlahan, senyum kekal, mata juga kekal pada Adam. Adam menoleh lagi, semakin tidak tenang dia memandu.
“Kenapa ni?” dia menggosok pipi kiri dengan tapak tangan, direnung tapak tangan itu, digosok lagi direnung lagi. Bimbang ada kotoran di situ yang menjadi perhatian Shaza.
Shaza tertawa melihat aksi Adam. Adam semakin tidak keruan, tangan Shaza ditangkapnya dipegang longgar memaksa Shaza memberitahu apa yang menarik perhatian Shaza sehingga menggelikan hatinya.
“Tak ada apa.” Shaza berusaha melerai pegangan Adam yang tidak seketat mana, mudah. “Sha cuma hairan perubahan abang sekarang. Abang tengah bercinta ya? Muka, berseri semacam.”
“Kenapa tuduh abang macam tu?” nerves benar dia, serius.
“Ala, relekslah. Macamlah jatuh cinta tu satu dosa, yang abang nak takut sangat ni apa pasal?” lagi Shaza mentertawakan, dibuang tawa ke kiri dalam usahanya mengurangkan kegelisahan Adam.
Adam sudah senyap, berkali-kali pula Shaza direnungnya dalam detik yang singkat kerana tekun memandu. Shaza sudah melupakan usikannya, sibuk pula meneliti laluan, mahu ke mana dia dibawa Adam. Satu persatu papan tanda jalan dan simpang dibacanya. Dia membuka telefon, map dipasang berserta line internet. Dia mahu mengesan laluan apa yang sedang mereka lintasi. Dikerling Adam dengan senyum menguja. Adam mengerling juga, berkerut lagi dia. Dia mahu mempermainkan Shaza, akhirnya dia pula dipermainkan. Shaza melihat jam tangannya, kembali ke map.
“Kurang sejam lagi sampailah kan?” telahnya tanpa memandang Adam.
Adam menoleh seketika, hairan. “Kurang sejam? Nak sampai mana?” dia cuba mempermainkan.
“Kan Sha nak bawa abang pergi tengok Fraser Hill? Ha, tak lama lagi kita sampailah.” Nakal dia mengusik.
Adam kucam, mengerling menunjuk rupa kesal Shaza sukar dipermainkan. Dia lebih cekap berfikir. “Mana Sha tahu kita nak ke sana? Sha kata tak pernah ke mana-mana pun dalam Malaysia termasuk Fraser Hill.”
Shaza tertawa perlahan, dia menunjuk map yang digeledahnya dari google. “Zaman serba canggih, maklumat tanpa sempadan ni, bukan mudah lagi nak culik orang tau? Mangsa culik boleh mengesan ke mana dia dibawa malah boleh hantar terus maklumat ke balai polis tempatan dan antarabangsa lokasi dia dilarikan.” Bersenda dia, mengusik Adam.
Adam mengeluh perlahan, lagi dia tewas.
“Jarak KL Fraser Hill lebih kurang 100 kilometer dan memakan masa lebih kurang 2 jam perjalanan dalam kelajuan biasa. Ha, tengok? Semuanya di hujung jari.” Shaza memusingkan skrin telefonnya kepada Adam. Adam merenung sekilas, jelas pintar, komennya dalam hati.
“Kenapa?” Shaza mengesan rasa tidak puas hati Adam.
“Kenapa Sha search? Abang nak buat surprise.” Merajuk gayanya membuat Shaza tertawa kuat.
Tawa Shaza semakin membuat Adam bengang, kucam dia merajuk panjang. Shaza beranak tawa akhirnya hanya senyum ringan.
“Ala, abang nak bawa Sha pergi mana sebenarnya ni? Sha takut.” Rengeknya berlakon dalam usaha membujuk Adam.
Adam tertawa, terasa marah dipermain Shaza. Dia mencari telinga Shaza di dalam tudungnya, ditarik perlahan. “Nakal ya?”
Shaza menolak tangan Adam, mengelak juga. Adam terus tertawa. Sambil Adam masih dengan tawa riang, Shaza pula hanyut sudah. Telinganya masih dipegang dari luar tudung, teringat dia perbuatan Adam suatu ketika. Ngilu hatinya mengenang detik bahagia mereka lalu rindu bertaut lagi. Keluhnya tersangkut di rengkung, dibuang mata ke kiri sekali lagi mahu menyimpan rasa di situ supaya tidak dikesan Adam. Dingin sudah jemarinya menahan rasa yang tidak berasa di hati. Rasa apa sebenarnya? Mahu menangis, untuk apa? Sedangkan aku yang berkeputusan begitu. Mahu menyesal juga tiada gunanya, aku bertindak demi jiwa semua. Sudahnya dia yang lemas sendiri.
“Sha, kenapa ni?”
Shaza menoleh Adam, geleng dia perlahan. Berusaha dia senyum semanisnya tetapi mata pula beranak air. Jauh di dalam dia berharap ada seseorang yang boleh meminjamkannya semangat untuk dia menumpang kekuatan. Selain Zafran, dia tiada sesiapa lagi. Shatiah terlalu dewasa untuk dia bicara permasalahan orang muda dan bimbang juga dia anak dara terlajak itu mungkin akan terimbau kezalimannya ke atas adik sendiri untuk kepentingan diri. Sudahnya dia yang makan hati. Adam masih menunggu, berharap Shaza meluah apa yang sedang menyakitkan.
“Sha? You okay?”
Shaza senyum lagi, angguk perlahan.
“Sha ingat siapa?”
Shaza tertawa perlahan tetapi hambar dalam usahanya melindungi air mata yang semakin memanas. Sambil tertawa dia menyeka mata, berpura-pura gatal di kelopak mata.
“Abang ingat tak Sha pernah cerita pasal kekasih awal?” dia tertawa lagi. “Cinta monyet?”
Adam angguk, berkerut bimbang dia. “Dia dah kembali?”
Shaza geleng. Adam bernafas lega, perlahan dadanya diurut tanpa disedari Shaza.
“Baru-baru ni Sha selalu ingat dia.”
“Rindu?”
“Entahlah.”
“Apa perbuatan abang yang membuatkan Sha teringat dia?”
Shaza pegang telinga sendiri, tidak merenung Adam. Adam menoleh, angguk dia perlahan. Faham, perbuatannya menarik telinga Shaza membuat Shaza teringat si dia.
“Sorry, abang buat Sha sedih. Abang janji akan bantu Sha lupakan kenangan yang menyedihkan.”
Shaza senyum tipis, menggeleng menyebut tidak mengapa, perlahan. Lama pula mereka sepi, hanyut dengan perasaan sendiri. Adam kembali mengesyaki ada sesuatu yang istimewa dalam perhubungan Shaza dan Zafran, tetapi segera dinafikannya.
“Tak mungkin.” Tanpa sedar tercetus dua perkataan ringan itu dari lidah Adam. Shaza menolehnya, hairan. Mahu dia pertanya apa yang tidak mungkin, tiba-tiba telefonnya bernada panggilan.
“Papa.” Sebutnya perlahan seraya bersedia menjawab panggilan. Adam menoleh, keberatan dia Rusman mengetahui dia bersama Shaza tetapi tidak dinyatakan rasa hatinya. Shaza memberi salam awal, bertanya pula Rusman di mana dan Rusman menyatakan dia ke rumah Shaza, Shatiah memberitahunya dia keluar bersama Adam.
“Sha ke mana dengan Adam?”
Shaza senyum, menoleh Adam. Kereta sudah memasuki ruang parker, perlahan menetapkan tempat.Hand break diketatkan tetapi tidak mematikan enjin kereta, dibiarnya Shaza berbual di telefon bersama Rusman.
“Pergi Fraser Hill, baru je sampai ni. Ada apa papa cari Sha?”
“Tak ada apa. Lepas tai chi cadang nak sarapan dengan Sha.”
"La, sorry pa." Shaza masih duduk menyenget, berhadapan Adam yang kekal duduk di tempat pemandu.
“Tak apa. Habis, bila balik ni?”
“Baru sampai ni, belum keluar kereta lagi papa dah tanya bila nak balik.”
“Okay, balik cepat tau? Kat sini dah mendung, macam nak hujan.”
Shaza merenung ke langit, Adam menurut gaya Shaza. “Kat sini tak nampak nak hujan pun.”
“Balik cepat.” Rusman menurunkan perintah.
“Baik bos.” Shaza tersenyum senang. “Nanti Sha boleh bawa papa ke sini, nampak macam best, tenang. Ada padang golf.” Shaza sudah membuka pintu kereta dan keluar, terus juga bercakap di telefon.
“Tahu…” Rusman bosan bunyinya. Shaza tertawa lagi, perbualan ditamatkan.
“Cantik tempat ni, damai, tenang, aman. Selalu tengok dalam gambar aja, datang tak pernah.” Kepada Adam, Shaza seakan mengadu.
“Ha, sekarang dah datang, kan? So enjoy….” Adam menggedangkan tangan ke atas memberi maksud bebas dari beban tugas dan masalah berat atau ringan.
“Rasa macam tak nak balik.”
“Baru sampai dah jatuh cinta sampai tak nak balik. Mudah benar hati Sha ni jatuh cinta?” Cuba ditebak untuk melihat isinya.
Senyum Shaza. “Jatuh cinta tu kan sesuatu yang unik kadang-kadang pelik sikit. Ada kalanya kenal bertahun-tahun, menyelami seluruhnya tapi cinta tak ujud. Tetapi adakalanya hanya sesaat kenal, tapi kesannya sangat mendalam.
Adam mengerling, memikirkan apa yang cuba disampaikan Shaza. ‘Berapa pratuskah kebarangkalian Shaza dan Zafran sebenarnya sudah masing-masing jatuh cinta dan sekarang putus. Dan Shaza sangatlah kecewa, Zafran pula tidak sanggup berhadapan kekecewaan lalu lari bersembunyi. Atau mungkin papa ternampak mereka dalam keadaan mencurigakan, papa marah sebab Zafran akan kahwin dengan Ell.’ Lagi Adam mengerling, mencari dalam fikiran sendiri. ‘Mungkin papa tak nak restu mereka atau papa ternampak apa yang cuba dilakukan Zafran pada Sha. Hah, tak sangka juga kalau benar Zafran sanggup berbuat tak senonoh. Sangat tak masuk akal.’
Shaza merenung Adam yang merenungnya sedikit lama. Adam tersedar perbuatannya meletak mata sebegitu keras kepada Shaza.
“Oh, begitu definisi cinta rupanya. Abang baru tahu.” Adam mahu lari dari kesangsian Shaza.
Shaza menoleh, berkerut dia memandang Adam yang beriring di sebelahnya. Adam tidak mempeduli.
“Nanti ajar abang fasal cinta ya?”
Lagi Shaza menujah Adam, marah dipermainkan. Adam pula tertawa perlahan, cuba mengelak.