Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
219,915
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 12

DIA dipanggil Adam ke biliknya melalui interkom. Shaza tidak tahu mengapa dia dipanggil dan untuk apa, kerana itu dia hanya membawa telefon bimbit, tidak ada sebarang fail atau dokumen bersama. Selepas pintu diketuk dua kali dalam nada sekali ketukan, pintu dikuaknya peralahan seraya memberi salam. Adam tidak menyahut, menjawab salam tidak, angkat muka jauh sekali. Terus bersama kucamnya memeriksa fail yang terbentang di atas meja. Dia duduk kemas, tampak berwibawa benar.

“Yes Encik Adam, ada apa ya?” berusaha dia tidak sampai menggugah hati Adam, jauh sekali mencabarnya. Dia sentiasa berlembut jika orang berlembut tetapi akan ikut keras jika orang yang berurusan dengannya keras. Itu prinsib Shaza yang agak berlainan dengan Zafran.

Adam angkat muka, fail yang sedang disemak dibaling keras ke pintu bertepatan dengan Zafran menolak pintu itu selepas diketuknya sama nada dengan Shaza sebelumnya.

“Wow, wow, wow. Apa ni?” Zafran mengutip fail, membetulkan kertas-kertas yang sedikit berkerumut akibat balingan. Dia membawa semula fail ke meja Adam.

Shaza masih kaget, berkerut tidak faham apa-apa. Mujur juga dia sempat mengelak dari terkena fail yang terbang laju.

“Apa hal bro?” Zafran meletak semula fail di atas meja Adam, di tepi meja, sedikit jauh dari tangan Adam.

“Engkau tak ajar ke pembantu engkau ni cara buat kira-kira? Macam mana buat barget sesuatu projek sebelum serah pada aku?”

“Kenapa? Apa masalahnya?”

“Engkau Tanya aku apa masalahnya?” dia mengambil semua fail yang diletak Adam, dibuka dan dibaling ke tengah meja. “Tengoklah.” Masih berang meski sudah sedikit mengendur kerana Zafran tidak membuatnya marah.

Shaza merenung, hati sudah terbakar namun masih berjaya dikawal maraknya. Tidak langsung dia mengambil fail itu untuk disemak apa yang membuat Adam berang. Zafran menoleh Shaza kemudian Adam sebelum mengambil fail dan menyemak.

“Owh, barget ni aku tak semak lagi, ini barget untuk apa ya?” Zafran menoleh Shaza yang kekal berdiri di sisi meja, tidak langsung berganjak. Zafran sudah duduk di kerusi ke dua di hadapan meja Adam.

“You pun tak reti baca ke, tajuk dokumen tu?” Shaza sudah ikut melatah.

Zafran senyum, menyebut ‘sorry’ dengan hanya gerakkan bibir dan isyarat tangan. Dia membacanya dan cuba memahami.

“Ini bukan projek kita, kita belum membincangkannya lagi.” Lagi Zafran menoleh Shaza.

“Tanyalah bos besar tu, projek apa? Saya minta penjelasan, dia suruh baca sendiri dalam fail maklumat. Dia mintak saya siapkan dalam masa beberapa jam sebab konon urgent.”

Zafran angguk, meminta fail yang dimaksudkan. Adam tidak mempeduli, terus bersandar melayan kemarahan. Shaza mengambil fail lalu dihempas di hadapan Zafran, di atas fail yang terbentang sedang diperiksa Zafran.

“Huish!” Zafran tersentak, sepantasnya dimendongak merenung Shaza yang kekal berdiri.

“Releks okay? You duduk dulu.” Zafran menarik kerusi di sisinya, mempelawa Shaza duduk bertenang.

“Tak guna berlembut dengan perempuan macam ni.” Adam seperti berungut namun cukup memedihkan.

Gilisan Shaza pula berang, kerusi ditolak mengena meja Adam. Berdegup dan menggegarkan meja, mengambil fail di hadapan Zafran lalu menghampasnya sekali lagi di tengah-tengah meja, berdesup angin hentakan menujah ke muka Zafran dan Adam. Atas meja Adam tonggang langgang. Zafran bangun, bimbang kegawatan emosi dua beradik itu meledak kuat sehingga disedari kakitangan di luar bilik.

“Wei, wei. Bertenang okay? Bawak berbincang, profesionallah sikit. Ini pejabat.” Zafran menasihati Adam.

“Nak bertenang apa? Engkau tak nampak apa dia buat? Macam ini ke staff yang bapak aku agong-agongkan?”

“Adam, you are bos okay? Jangan layan staff serendah ini.”

“Engkau ni nak sebelah mana sebenarnya ni?”

“Aku tengah-tengah, dia tidak engkau pun tidak.”

“Engkau tak tahu apa dia buat selama ni, siapa dia sebelum datang ke sini.”

“Apa masalah you sebenarnya Adam? You ada masalah dengan aku atau you ada masalah dengan barget ni?” Shaza sudah mengambil fail barget projek yang mula-mula terbang, dia mahu membaling kepada Adam pula.

“Hei, hei. Sudah, bertenang okay? Za keluar dulu, biar saya selesaikan dengan Adam.” Zafran pantas menyambar, fail yang masih dipegang Shaza turut dipegangnya. Dia berbisik, memujuk.

Adam merenung tajam, berdiri di sisi kerusinya bersedia berlengan jika perlu. Shaza berkeras, tidak melepas fail yang sudah diangkat tinggi, mahu membaling Adam. Mata Shaza Zafran bercantum, tikam menikam.

“Za, you keluar dulu, biar saya selesaikan.” Lagi Zafran berbisik.

Shaza masih berdegil, nafas naik dan turun berbau marah, barannya sudah memuncak.

Please, tolong saya tenangkan keadaan. Jangan buat macam ni, api dengan minyak akan membakar. Tak rugi kalau Za beralah. Please dear.” Semakin lembut memujuk seraya menarik perlahan fail yang semakin longgar di tangan Shaza.

“Keluar dulu okay?” pujuknya perlahan, sudah berjaya melerai fail yang mahu dibaling Shaza.

Shaza menujah mata Adam pula, seraya berdengus dan berlalu.

“Adam, janganlah ego sangat. Selain dia staff baru di sini, dia kan adik engkau?”

“Dia bukan adik aku! Faham?”

“Okay, cuma adik tiri kan?” Zafran sengaja mahu mengingatkan Adam siapa Shaza dalam syarikat itu.

Adam mengeluh, sudah kembali duduk dikerusinya seraya melonggarkan tali leher. Dia tampak rimas dicekik dengan tali leher dan butang kolar itu.

“Aku tak mau tahu urusan keluarga engkau, yang aku tahu dia di sini pekerja baru dan perlukan tunjuk ajar engkau dan aku. Itu amanah Tuan Rusman. Siapa dia dengan engkau dan dengan pemilik syarikat ini aku tak nak campur. Yang penting sekarang, engkau simpan masalah kekeluargaan engkau, sorok ego engkau, layan dia sama rata.”

“Aku cuba nak layan dia sama rata dengan staff lain, tapi engkau tengoklah tadi, betapa ganasnya dia.”

“Engkau mulakan dengan kekerasan, kasar, so tak salah kalau dia pun keras, berkasar. Pernah tak engkau main baling-baling fail selama memimpin staff di sini?”

“Sebab staff di sini mendengar kata, tapi budak seorang tu dah melampau. Nak tunjuk besar di sini.”

“Dia cuma buat apa yang engkau arahkan, engkau tak ajar dia macam mana nak buat dan format pun tak bagi, ditelnya pun tak bincang. Engkau serah fail suruh dia study, bila salah, engkau nak salahkan dia seorang? Memang salahlah cara engkau.”

“Ah, dia memang salah.”

“Kesalahan dia adalah kerana melangkah ke syarikat ini, kan?”

Adam berdengus, sudah semakin tewas namun tetap menunjuk kuat.

“Engkau jangan lupa, dia adalah anak Tuan Rusman. Lambat laun dia mesti ke sini juga kerana bapak dia di sini. Apa kata kalau engkau ketepikan emosi, anggap dia sama dengan staff lain. Dengan cara itu bukan saja engkau dapat selamatkan keadaan tetapi juga boleh menjaga imej diri engkau sendiri.

Adam mengeluh, nasihat Zafran ditelannya perlahan berasa tercekik dia. Kebencian masih di dalam tetapi menerima nasihat Zafran. Dia bernafas dalam, menghela perlahan meski tiada berbunga-bunga tetapi tidak juga berbau benci. Zafran minta diri, dia menyarankan Adam bertenang.

DI BILIK, Shaza sibuk di computer riba, mencari tiket penerbangan terawal bermula tarikh hari itu, Kuala Lumpur London. Dia sudah nekat, nafas masih turun naik tidak sekata nadanya. Tiba-tiba berasa pening benar, meloya. Terburu-buru dia bangun berlari ke tandas untuk memuntahkan isi yang meloyakan yang dibawa dari bilik Adam. Sebaik dia membelakang, berlari ke tandas, Zafran sampai di pintu. Dia melihat gaya tergesa-gesa Shaza yang tidak menyedarinya sampai di situ kerana dia tidak menoleh kebelakang. Zafran masuk juga meski Shaza sudah berlari pergi. Dia melihat skrin computer di atas meja Shaza, tempahan tiket kapal terbang ke London sudah diklik hijau penanda booking. Tidak sampai seminggu dari tarikh hari itu.

Zafran mengeluh kesal, dia sudah mengambil tempat di kerusi di hadapan meja Shaza. Ditunggu gadis itu kembali walau ke mana pun dia tergesa-gesa itu, tidak dipedulinya. Terus juga menunggu. Lima minit kemudian, Shaza kembali. Muka berpeluh-peluh, pucat, jelas sangat tertekan dia. tanpa mempedulikan Zafran tercongok di situ dia terus duduk di kerusinya, menunduk cuba bertenang. Tisu di atas meja dicabut dari kotak, banyak, digumpal-gumpal seakan melepas tekanan dengan cara itu. Dikesat seluruh permukaan kulit muka, selepas puas, dicampaknya kepalan tisu itu ke atas meja. Jemari digenggam sehingga menimbulkan urat lengan, dia menumpuk palang kerusi didudukinya seraya berdengus keras. Melihat gaya itu Zafran tahu Shaza sedang sangat-sangat tertekan dan tekanan dalaman itu tidak berjaya diluah. Dia bimbang keadaan itu boleh menjejas kesihatan Shaza yang sejak remaja sering diserang migren.

“Za, awak tak boleh di sini dalam keadaan begini. Jom keluar.”

“Aku memang dah tak boleh tahan! Memang tak tahan lagi. Kalau lama di sini aku akan bunuh dia.” tersekat-sekat, sakit benar bunyinya menahan tekanan dalaman.

“Za…”

Zafran sudah bangun, mahu menghampiri Shaza yang terus duduk menunduk. Genggamannya menongkat dahi, dia menangis semahunya. Zafran kian cemas, liar juga matanya memerhati arah pintu bilik, bimbang ada yang menerobos masuk untuk sebarang urusan. Zafran menghubungi Lisa mengguna telefon pejabat di atas meja Shaza, memberitahu dia dan Shaza tidak mahu diganggu kerana mereka ada perbincangan penting . Lisa faham dan akur. Zafran menekan tombol pintu, kemas. Sesendeng penutup cermin di sisi pintu juga dirapatnya. Setelah berpuas hati, dia kembali kepada Shaza.

“Za,”

“Memang saya silap. Sepatutnya saya tidak ke sini.” Masih menunduk dia, terhenjut-henjut menahan tangis namun terus menangis. Payah benar rupanya menahan tekanan dan tangisan.

“Za, jangan macam ni.” Zafran sudah menarik kerusi, duduk betul-betul di sisi Shaza. Memujuk seakan Shaza anak kecil.

“Bertenang okay? Ingat Tuhan. Kita orang Islam, mana boleh menolak takdir. Dalam senang dan susah kita, kita ada Allah. Istighfar bila awak rasa tertekan begini.” Belakang Shaza sudah digosok perlahan.

Shaza tidak tertahan lagi, meletak terus kepala di bahu Zafran. Zafran membiar, dia tahu Shaza tidak sengaja melakukan begitu, dia cuma perlukan tempat untuk menggalas kepala yang memberat. Lama dia menangis dengan cara itu, Zafran membiar. Akhirnya dia sedikit lega, perlahan-lahan menjauh. Zafran membiarkan juga, direnung muka Shaza yang semakin berencam. Shaza mengesat air mata, kasar. Zafran menarik tisu dari kotak, dihulur. Shaza menerima, dikesat lagi.

“Saya memang kena pergi. Di sini bukan tempat saya, saya silap.”

Zafran diam, tidak menambah apa-apa, membiar Shaza meluah apa yang terbuku dan berbuku. Zafran mengeluh, direnung terus Shaza masih belum berpuas hati dengan air matanya. Setelah tampak puas, dia bersandar namun tetap tidak tenang.

“Jom ambil angin, selagi terperuk kat sini, awak akan lebih teruk.”

Shaza bangun, beg tangan disandangnya. Bersetuju cadangan Zafran. Zafran menarik tali beg menghalang Shaza keluar begitu sahaja. Shaza merenung Zafran, tidak faham.

“Bedak sikit muka tu, nanti orang kat luar sangka awak menangis sebab saya pulak.” Senyum dia mengusik Shaza. Kening naik turun beberapa kali, nakal mengusik.

Shaza senyum sudahnya, mengeluar bedak sapu dalam beg tangan, menyapu ke muka mengguna sponge bedak. Dengan mengguna cermin pada penutup bedak, dia memerhati sekitar muka, bibir pula disapu lipstick yang juga diambil dari dalam beg tangan. Zafran hanya memerhati, menunggu sehingga Shaza selesai. Sudah tiada senyum di wajah Shaza, kembali kusam tetapi tidak tampak marah lagi, hanya muram.

“Okay jom.”

“Eh, awak nak ke mana?” Shaza merenung Zafran, hairan.

“Temankan awak?”

“Tak payah, saya pandai jaga diri.”

“Tak boleh, awak tak boleh pergi sendiri.”

“Eh, awak siapa nak control orang?”

“Kalau degil, duduk aja dalam bilik ni, jangan keluar. Jom.” Zafran memberi arahan.

Shaza bosan tetapi tidak mampu berbuat apa-apa, akur dia.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.