Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
222,090
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 2

HARI pertama diperkenalkan dengan syarikat perniagaan Rusman dan keluarga, hanya diberitahu dia baru pulang dari luar negara dan bakal menempat di kerusi Penolong Pengurus Projek. Suatu jawatan yang dianggap besar, dipandang tinggi dan sangat mencabar baginya yang kosong pengalaman. Seluruh kaki tangan tertoleh-toleh seakan tidak puas pandang, ataukah tertanya-tanya sesama sendiri dari mana munculnya gadis berwajah pen Asia ini. Tiba-tiba dititipkan Tuan Rusman yang dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkannya di tempat kosong lalu meminta setiausahanya memperkenalkan Shaza sebagai keluarga baru Creative Advertising. Rusman tidak memberitahu siapa dia, dari mana datangnya, kelulusan dan kebolehannya kerana bos itu terlalu mengejar masa. Shaza tidak memperkenalkan siapa dia dan mengapa dia ditinggalkan di situ, hanya senyum dan minta ditunjuk ajar Melinda.

Dari sepasang lelaki dan perempuan, kini muncul seorang lagi. Kedudukannya pula di antara Adam Aiman dan Elsa Amilia. Mungkin persoalan itu yang difikirkan kakitangan di situ dan Shaza membiarkan ianya terus menjadi tanda tanya. Dia menyerahkan urusan memperkenalkan dia kepada umum di situ kepada papanya.

‘Aku nak jawab apa kalau orang bertanya, aku anak isteri pertama papa? Di mana aku selama bertahun-tahun ini dan apakah aku tidak boleh hidup sendiri, maka selepas nenek meninggal aku terpaksa dikepit papa dan ibu tiri? Hah. Aneh-aneh manusia di sini, semuanya terlalu menjaga tepi kain orang.’ Masih banyak ketidak puasan hati Shaza tetapi hanya bercakap sendirian, dia masih belum ada siapa-siapa yang boleh dijadikan kawan sembang.

Sudah 15 minit dia kembali ke bilik kerjanya selepas dibawa Melinda dari semeja ke semeja diperkenalkan sebagai warga baru, Penolong Pengurus Projek. Permukaan meja masih licin, kosong. Perhiasan yang ada hanya telefon pejabat, dua batang pen berdakwat merah dan hitam tegak dipacak pada tapaknya, dua biji cop rasmi syarikat bertulis ‘LULUS’ dan ‘SEGERA’ serta satu lagi cop di dalam laci meja berkunci yang kuncinya disangkut pada rangkaian kunci bilik itu bertulis jawatannya. Sekuntum bunga mawar mewah senyum di hujung pasu bunga kecil tinggi dan bingkai gambar meja, gambar perkahwinan papa dan arwah ibunya. Lama direnung foto perkahwinan itu, sekali imbas dia seakan melihat foto sendiri. Benar kata ibu tirinya, dia dan ibunya memang serupa.

“Ibu cantik, isteri papa pun puji ibu.” Tanpa sengaja terlontar pujian itu menggugah sepi ruang yang bukan sedikit.

Telefon di atas meja berdering memeranjatkan, merentap lamunan. Segera dijawabnya ringkas, hanya menyebut ‘hello’ tanpa memperkenalkan diri.

“Sha, papa ni.”

“Ya pa.”

“Dah selesai berkenalan dengan staff semua?”

“Dah. Tapi Sha masih belum tahu apa nak buat kat bilik ni, tak ada sesiapa bagi Sha kerja. Pembantu papa tadi kata, tunggu papa bagi penerangan.”

“Tak apa, pagi ni Pengurus Projek ada tugasan luar. Dia akan masuk kerja sebelah petang, nanti dia akan bagi Sha kerja. Jangan nanti sibuk sampai tak sempat lap peluh sudah.” Gurau Rusman disusuli tertawa gembira.

“Boleh berpeluh ke?” dia menyemah sekeliling bilik yang dingin lagi mendinginkan.

Rusman tertawa lagi, sedikit panjang tawanya dia mengakhiri. “Kalau Sha bosan, Sha boleh bersembang-sembang dulu dengan staff lain, atau turun minum di restoran bawah, papa pun belum pasti bila baru balik pejabat, meeting panjang di bank ni.”

“Tak apa. Sha kat bilik aja.”

“Ok, nanti kita makan malam bersama. Abang Adam ada malam nanti insyaallah.”

Shaza berasa dahaga benar di dalam dingin bilik itu, untuk turun ke restoran seperti disarankan Rusman, berasa malas. Lalu mencari sendiri di mana adanya pantry kakitangan di aras itu. Kepada kerani yang memperkenalkan dirinya sebagai Lisa dia ditunjukkan arah ke pantry. Lisa diberitahu, membantu tugas-tugas khas tuan Projek Manager. Bererti selepas hari itu dia akan kurang sibuk kerana Shaza sudah ada sebagai pembantu pengurus dan pastinya Lisa akan berurusan rapat dengan Shaza.

“MORNING.” Dia disapa dari sisi.

Tidak disedarinya sejak bila lelaki itu berdiri di situ, memerhati. Hampir tertumpah air panas yang sudah menakung di dalam cawan. Shaza menoleh, dari atas ke bawah lelaki itu direnungnya. Sepanjang penjelajahannya perkenalan seawal pagi, tidak pula dia diperkenalkan kepada lelaki itu. Dia tampak hebat, berkarisma dan santun pertuturannya tetapi keras, tegas, ketat sungguh dengan senyuman meski berwajah manis semulajadi. Siapa dia dan apa jawatannya? Kelu sudah Shaza, air panas putih yang baru mengisi perut cawan, dibiarkan meski dari bilik tadi dia berasa dahaga benar, mahu membancuh secawan kopi untuk memanas badan. Diamati sesusuk tubuh lelaki itu, tidak kosong fikiran tetap sarat persoalan siapa dia.

“You?” dia diseru, agak sopan merenung tetapi masih keras.

“Oh, selamat pagi.” Dijawab dalam Bahasa Melayu walaupun ucapan selamat mengguna bahasa Inggeris. Tergesa-gesa dia.

“Awak siapa?”

“Saya Shaza, staff baru.”

Dia angguk, tiada senyum meski sekelumit. Yang ada hanya kerut hairan, mungkin ragu jawapan Shaza atau tidak percaya ketelusan Shaza. Dia menghunus cawan ke bawah paip water filter,seperti yang dilakukan Shaza sebelumnya. Ditadah air panas berasap sehingga tiga suku cawan. Cawan ditarik keluar, lagi mata diaju kepada Shaza, masih dengan dahi berkerut, dari kepala sampai ke kaki ditelitinya, tidak langsung bermanis muka.

Dia mengambil sekampit serbuk coklat segera ‘tiga dalam satu’ berserta sudu kecil, dilakukan gerak kerja ringan itu dengan diperhatikan Shaza. Shaza meneka dalam kesamaran siapakah dia, mengapa ketat sangat mukanya? Jenis sombong atau berlagak bagus seperti tin kosong atau seperti tangkai padi yang berbuah hampa, tidak menjadi. Lagi lelaki itu dinilai dari belakang, kekal berdiri di tapaknya, mahu melihat sejauh mana kesombongan itu bermaharaja lela.

Nak berlagak? Aku anak tuan punya syarikat ni pun tak berlagak macam tu, dia setakat pekerja nak tunjuk hebat? Tegaslah konon. Shaza terus menunggu, mengomel dia dalam hati, sakit benar hatinya. Dia masih belum sempat berkenalan dengan orang-orang berpangkat tinggi di syarikat itu, hanya pekerja-pekerja peringkat sokongan. Menurut Melinda, sebelah pagi kebanyakan pegawai-pegawai keluar kawasan, yang tinggal di pejabat hanya pekerja sokongan yang melunas kerja-kerja yang diarahkan. Kerana itu dia tidak akan memperkenalkan Shaza kepada pegawai-pegawai yang menghuni bilik-bilik sendiri. Dan pastinya bos akan memperkenalkan Shaza dengan mereka sewaktu mensyuarat tertutup nanti.

Teh lady baru?”

Shaza diam, senyum diukir semanis mungkin.

Dari atas ke bawah Shaza disapu mata lelaki itu, langsung tidak masuk akal, pembancuh teh perkaian begitu ke tempat kerja. Seringnya tukang cuci dan pembancuh teh syarikat akan diberi unifom khas. Mana mungkin mengenakan dress labuh berjenama dengan tona warna segar seperti yang dipakai Shaza. Kasut bertumit tinggi dan pemakaian tudung kepala yang trendi masa kini.

“Baru stat kerja hari ni?”

Shaza angguk, meminggir sedikit memberi ruang lelaki itu bergerak ke meja pantry.

Sorry, encik siapa?” Shaza menuding soalan, dia tidak takut kerana sikapnya memang telus. Kerana lelaki itu tidak memperkenalkan diri, maka menjadi tanggung jawabnya bertanya.

Lelaki itu mencicip sedikit air di bibir cangkir. Mungkin kerana panas, dia tidak mampu meneguk banyak. Hanya sekadar merasa. Dia menyeka bibir dengan jari telunjuk dan ibu jari, membersihkan sisa air coklat yang tertinggal di situ. Shaza memerhati terus, menunggu pertanyaanya dijawab. Sebaliknya lelaki itu seakan tidak berminat memenuhi, duduk dia di kerusi pantry. Shaza faham sudah, dia tidak mahu diganggu. Oleh itu Shaza mahu berundur, minum air panas kosong itu sahaja hanya di bilik sendiri. Baru dia mahu membuka pintu pantry, Lisa muncul mungkin mahu mengambil air minum juga. Sama-sama mereka tersentak, hampir berlanggar.

“Eh, Cik Shaza? Dah minum?”

Shaza senyum, tunjuk cawan air yang dipegangnya.

“Oh, air kosong aja? Tak nak buat air sedap ke? Kat dalam kabinet ada banyak pilihan. Cik Shaza boleh pilih mana-mana suka.”

No, tak perlu. Saya nak air kosong aja.”

Lisa angguk berpuas hati dia jawapan Shaza. “Senang cari lorong ke sini tadi kan?”

“Pantry ada bau tersendiri.”

“Oh ya? Bau apa?”

“Kalau toilet ada bau air freshener toilet, pantry mesti ada bau air coklat yang harum.” Senyum Shaza sedikit menyindir lelaki yang asyik dengan aroma minumannya.

“Oh, ok.”

“Cik Shaza nak minum di bilik ke? Tak nak joint kita di sini?”

No, thanks.” Shaza berlagak cilik seraya mengerling pegawai yang juga berlagak sedang minum dengan aksi maskulin di kerusi pantry, dengan senyum manis Shaza meninggalkan Lisa.

“Encik Adam, minum seorang aja?”

Adam bersahaja, menjawab dengan isyarat bisu dia tidak berteman di situ.

“Siapa perempuan tu? berlagak ‘poyo’ kat sini? Langsung tak respect me. Tak perkenalkan diri, berani pulak tanya saya siapa.”

“Oh, tadi tu Cik Shaza. Staff baru masuk hari ni.”

Staff baru?” berkerut dahi Adam berfikir dan mengingat-ngingat.

“Bila interview?”

Lisa menjungkit bahu, mencebir isyarat tidak tahu.

“You jangan memandai-mandai, entah betul entah menyamar untuk tujuan jahat dia ke sini.”

“Itu saya tak pasti, Cik Melinda perkenalkannya kepada kami semua pagi tadi. Tuan Rusman bawa dia masuk, kenalkan kepada Cik Melinda dan Cik Melinda bawa dia pusing meja staff semua.”

Adam masih tajam, mendengar penjelasan Lisa.

“Kata Cik Melinda, Tuan Rusman call dari bawah mintak layan dia seperti sepatutnya staff baru.”

“Layan? What do you mean?”

“Perkenalkan dia kepada staff di level ini, tunjukkan bilik dia, bilik Tuan Rusman dan bilik meeting.”

Lagi terus Adam berfikir, jelas tidak berpuas hati dengan penerangan Lisa.

“Dia diberi tempat di mana? Ada meja kosong ke?”

“Meja Assistant Projek Manager.”

What’s? Assistant Encik Zafran?”

Lisa angguk, takut gayanya, ragu-ragu dengan jawapan sendiri. Adam masih berfikir keras, seketika merenung ke kekosongan, seketika ke wajah Lisa yang tidak yakin jawapannya.

“Ada baiknya Encik Adam bertanya Cik Melinda sendiri untuk ditel.”

Adam angguk. “Zafran ada?”

Out station, tak balik lagi.”

“Tapi kenapa Melinda tak kenalkan dia pada I tadi?”

Lisa senyum pahit, tidak berjaya merangka jawapan apa sepatutnya diberi.

“Cik Melinda hanya kenalkan Cik Shaza dengan staff bahagian kami aja. Encik Adam ada taraf ke nak kenal dengan kakitangan sokongan? Mungkin Cik Melinda takut Encik Adam sibuk atau mungkin nak tunggu Tuan Rusman sendiri perkenalkan?”

“It’s okay. Memang tak perlu rasanya. Tapi kalau di meja Assistant Projek Manager, bukan staff sokongan. Itu level pengurus.”

“Saya rasa tempat sementara dia aja. Tapi entahlah, lebih baik Encik Adam tanya father encik sendiri.”

“Ya, itu sebaiknya. Dah, abaikan perempuan tu.”

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.