Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
222,085
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 3

“Kerana itulah tidak dibenarkan minum atau makan di tempat berkerja. Takut merosakkan meja kerja dan menambahkan kerja tukang cuci.” Adam menyindir Shaza yang masih berdiri di sisi Lisa.

Shaza mengetap kemarahan, mahu dituding dahi Adam tetapi ditahannya tidak mahu berbuat onar dan menambah kekecuhan di situ. Memandangkan dia masih baru dan adat serta kesopanan keMelayuan harus dijaga tertip, maka dia menelan barannya.

Sesungguhnya orang yang berjaya mengawal kemarahannya tat kala orang lain sedang marah adalah orang yang beroleh kemenangan. Dia teringat falsafah guru bahasanya sewaktu di sekolah menengah. Ya, aku lebih pintar dari dia. Setakat muka macam tu, di England bersepah, di kampung aku pun berlambak ada tak pulak sombong macam tu. Tajam kerlingannya membiarkan Adam meninggalkan kawasan. Lisa membantu makcik pembersih melunaskan kerja.

“Lisa, siapa dia tu? kerek semacam.”

“Oh, itu Encik Adam. Executive Manager, dia tu memang macam tu, tegas. Maklumlah anak bos.”

“Anak bos?” hampir terjerit Shaza, tersedar kerakusan suaranya, dia menutup mulut serentak Lisa menegakkan jari telunjuk di bibir yang dimuncungkan memberi isyarat supaya Shaza memperlahankan suara, bimbang Adam mendengar.

“Oh, itu dia anak Tuan Rusman?”

“Ada dua orang anaknya. Si adik belajar lagi, belum balik.”

Shaza angguk, dia sudah dimaklumkan Rusman usia Adam hampir 29 tahun dan masih bujang. Tidak gemar rapat dengan wanita, kuat kerja dan pentingkan keluarga. Serba sedikit latar peribadi Adam sudah dipoket Shaza, tidak sukar untuk dia mengenalinya lagi.

Sombong!

Shaza tiba-tiba pula terasa dirobek rasa iri, anak-anak ibu tirinya melimpah kesenangan, dipandang gah masyarakat sedangkan dia pernah dihina kerana anak yatim piatu tinggal bersama nenek tua dan maklong yang dipanggil emak. Berasa lagi pedihnya sewaktu dihina, dimalukan rakan-rakan sekolah, menyambung pengajian dengan pinjaman kerajaan, selepas pinjaman diberhentikan, dia terpaksa memohon biasiswa peribadi. Dengan biasiswa itu dia menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Pasti Adam dan Elsa megah berkereta ke sekolah, pakaian silih berganti, rumah selesa untuk belajar dan belanja sekolah mewah sedangkan dia berhujan berpanas berbasikal ke sekolah, dua pasang unifom dan membawa bekal untuk mengalas perut kerana duduk di perpustakaan untuk ulang kaji. Pendapatan Shatiah yang hanya kerani Jabatan Pertanian tidak memungkinkan dia dapat semewah anak-anak tiri Rusman.

Di manakah papa waktu aku susah? Di mana aku dalam hidup papa? Kata sayang, kata rindu tapi jelas-jelas ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Diulit seluruh tubuh Adam dari atas ke bawah, membandingkan dengan diri sendiri. Lagi Shaza menelan kemarahan dari rasa iri hatinya. Berusaha ditelan rasa dendam, dibuang rasa benci. Dia mahu hidup aman, bahagia tanpa negetif seperti nasihat Shatiah sebelum dia meninggalkan kampung.

“Cik, meja dah kering.” Kata-kata makcik pembersih menerbangkan lamunan Shaza.

“Terima kasih makcik.”

Dia sekadar angguk, senyum dan pergi.

Beberapa minit lagi dihabiskan Shaza bermenung menangguk sepi yang mesra seakan mentertawakan dia di situ sendirian tanpa berbuat apa-apa sedang di luar biliknya kaki tangan asyik dengan kerja masing-masing. Dia membuka laptop peribadi, mencari-cari di mana kedudukan perniagaan papanya berada. Sekurang-kurangnya sebelum mula berkerja dan sesi perkenalan dengan lebih ramai warga syarikat itu, dia sudah mengenali secara dasar.

Nama Creative Advertising ditaip pada muka google dan tekan ‘cari’. Pelbagai cerita tertera, dicari Shaza teliti. Salah satu dari tajuk, adalah berkenaan syarikat itu. Shaza menekan anak panah. Tertera pelbagai aktiviti dan perjalanan syarikat serta carta aliran kaki tangan yang diketuai Rusman. Penat membaca dan menyelusuri, Shaza bersandar lelah, bermenung, dia teringat sesuatu.

Maklumat pengajiannya pula dibuka melalui nombor kad pengenalan dan kad pelajar. Hah, sah biasiswa yang diperolehinya selama pengajian di luar negara adalah ditanggung Rusman dan Creative Advertising. Mengapa papa melakukannya, apakah sengaja atau dia tak tahu biasiswa itu disalur kepada anaknya sendiri?

Hah papa, papa. Macam-macam tersembunyi antara aku dengan papa. Nenek dan emak kata papa langsung tak menyara aku dan langsung tak ambil tahu pasal aku. Berbahagia dengan keluarga barunya, tapi mengapa dia membiaya pengajian aku dengan biasiswa maksimum? Atau mungkin papa nak ikat aku? Dah bagi biasiswa, maka aku kena berkerja dengan dia sampai seluruhnya terbayar? Bersandar lagi Shaza, sudah tidak lagi mahu menangguk sepi sebaliknya berusaha menjala buah fikiran. Mahu mencari apa lagi yang tersembunyi di dalam samar perhubungan dia dan Rusman dan apa lagi kejutan yang mendatang. Sedang befikir-fikir, pintu di bilik di ketuk Lisa.

“Cik Shaza, Encik Adam minta cik ke biliknya. Ada perkara yang nak dibincangkan.”

Shaza bangun, bertanya juga yang mana satu bilik pengurus yang dimaksudkan Lisa. Lina menemani Shaza sampai pintu bilik Adam dibuka. Di luar pintu tertera nama Adam Aiman (Executive Manager), tulisan berwarna putih pada papan berkilat berwarna hitam. Shaza masuk selepas Adam memerintahkannya. Lisa minta diri, pintu bilik ditutup semula.

“Ya, Encik Adam.” Shaza tidak terus duduk, menunggu diberi kebenaran itu.

“Ha, duduk.”

“Ada apa yang boleh saya bantu you?”

“Mengapa tadi awak tidak memperkenalkan diri kepada saya?”

Shaza diam, hanya senyum kosong. Lebih baik engkau tak payah kenal aku dulu, barulah mudah aku mengenali hati budi engkau. Sebaiknya melayan orang tanpa memilih status atau kasta, perlukah ada kufu baru dilayan baik? Berkumam ketidak puasan hati Shaza sendiri. Ditangkap mata Adam yang memanahnya, tidak langsung dia berasa sakit malah cedera jauh sekali. Kepayahan semalam mendidiknya menjadi gadis yang kebal sindiran dan penghinaan.

“Awak siapa sebenarnya? Bila interview?”

“Sepatutnya ditanya Pengarah Urusan Syarikat, saya hanya diarah ke sini untuk menempat di bilik yang saya duduk sekarang. Offer letter pun saya belum terima, tunggu Tuan Rusman masuk office baru bincang pasal itu.”

“Kelulusan awak?”

“Tamat darjah enam.”

Brash” terlalu perlahan kutukan Adam mengguna sepotong perkataan yang sangat singkat.

Shaza diam juga, kerusi didudukinya sudah memanaskan punggung namun, cekal dia menahan kebencian.

“Kenapa kurang ajar sangat? Your parents tak ajar macam mana menghormati orang?”

“Saya berlajar sendiri dari pengalaman hidup dan dari persekitaran saya. Encik Adam ajar saya supaya kurang ajar. Adakah you memperkenalkan diri sewaktu menanyakan siapa saya? Macam mana selayaknya kita berkenalan?”

Adam terus-terus menujah mata Shaza,mahu menewaskan gadis itu gayanya tetapi Shaza tidak mahu mengalah malah senyum dibalasnya.

“Kita tidak perlu tahu siapa orang itu, apa taraf pendidikannya, dari keluarga bagaimana dia datang, apa bangsa dan agamanya untuk kita bertatatertib. Sebaiknya kita layan makhluk Allah sama taraf sebab kita sama dengan makhluk di hadapan kita. Tidakkah begitu yang your parents ajarkan?”

“Hei, awak siapa hah?”

“Saya Shaza Amirah. Encik Adam boleh call me Shaza sahaja.”

Adam sudah bergetar, bangun dia mahu membuang kemarahan di tingkap cermin, langsir tersebak ke kiri dan kanan. Shaza merenung, tidak berasa menang, tewas juga tidak. Hanya kosong rasa puas menyedarkan anak tiri papanya.

‘Baik juga aku tak diperkenalkan lebih dulu sebagai anak papa, sekurang-kurangnya dapat aku tengok sendiri macam mana dalaman anak lelaki Mama Nadia ni. Emak bagus, tapi anak….’

“Saya belum pernah jumpa perempuan macam awak, tau?”

Shaza diam, merenung Adam bercakap dengannya dalam jarak beberapa meter antara mereka. Adam sudah berdiri membekalang cermin tingkap, Shaza dipanahnya.

“Semua di sini faham saya, hormati saya. Tapi awak…”

Shaza senyum mulus, sengaja mahu membakar perasaan Adam dengan cara halus.

“Saya hormati orang yang tahu menghormati orang lain. Tidak kira siapa dia, di mana kedudukannya, apa jawatannya dari keluarga bagaimana datangnya. Kalau Encik Adam hormati saya, saya hormati Encik Adam seadanya you sebagai lelaki hebat di syarikat ini.”

“Apakah saya tidak menghormati awak?”

“Sebagai pegawai atasan apakah Encik Adam tidak dilatih berkomunikasi? Bagaimana menegur orang yang baru pertama kali encik jumpa dan bagaimana menyapa orang yang tidak mengenali encik? Mengapa taraf pendidikan saya yang menjadi pertikaian, apakah tidak ada soalan yang lebih manis sebagai salam perkenalan?”

“Hei, awak siapa hah?” Adam semakin berang, dia mendekati Shaza yang masih duduk di kerusinya, di hadapan meja besar Adam.

“Panggil saya Shaza atau Amira.”

“Engkau boleh keluar sekarang.”

“Terima kasih encik, saya gembira kenal encik. Sila beri tunjuk ajar, saya baru di sini.”

Adam kucam, rasa disindir meski tidak dapat mengagak apakah Shaza menyindirnya.

Siapa dia? Berani benar mententang aku, kurang ajar dengan aku. Dia menghubungi Melinda, meminta gadis itu masuk ke biliknya. Hanya selang beberapa minit yang singkat Melinda sudah muncul. Tidak gembira di wajahnya kerana Adam sudah mengganggu masanya, dia sedang sangat sibuk dengan minit-minit mensyuarat dan susun atur jadual Rusman sepanjang seminggu akan datang.

“Ya Encik Adam, ada apa?”

“You terima mesej dari my father tadi berkenaan budak tu kan? Siapa dia sebenarnya?”

“Budak mana Encik Adam?”

“Budak perempuan yang baru keluar dari bilik saya tadi.” Meninggi suaranya, marah benar.

Berkerut Melinda, menoleh juga ke arah pintu bilik Adam. Dia langsung tidak nampak sesiapapun yang baru keluar dari situ.

“Yang awak perkenalkan kepada staff office ni pagi tadi.”

“Oh, Shaza? Kenapa encik?”

“Bapak saya kata dia tu siapa?”

“Tuan Rusman tak sempat bercakap banyak pada saya sebab dia mengejar masa. Tuan Rusman ada meeting dengan pegawai bank pagi ni, so dia cuma call saya beri tahu akan ada seorang perempuan bernama Shaza masuk ke office pagi ni dan Tuan Rusman mintak saya kenalkan kepada staff. Itu saja.”

Adam mendengar teliti, tidak satu perkataanpun diabaikannya. Dia memang jenis teliti.

“Kenapa encik?”

“Budak tu kurang ajar.”

Kurang ajar? Melinda berbisik sendiri dalam hati. Dalam hati yang sama dia tersenyum mengejek. Shaza yang sebegitu sopan, mana mungkin kurang ajar pada lelaki kacak seperti Adam. Sungguh tak masuk akal.

“Saya nak tahu dia siapa, bila interviewnya dan jawatan apakah dia di sini.”

“Dah cuba call Tuan Rusman?”

“Dia kalau tengah meeting bukan nak layan call kecuali sakit atau kematian.”

Angguk-angguk Melinda, memang diketahuinya Rusman memang begitu. Cadangannya hanya untuk menyedarkan Adam persoalan yang sedang mengganggu fikirannya hanyalah perkara remeh dan tidak sepatutnya dia dipanggil ke bilik itu sehingga mengganggu kerja yang bertimbun.

“Kalau tak ada apa-apa lagi yang penting, saya nak teruskan kerja saya.”

Adam angguk, memberi isyarat pergi mengguna jemari kiri. Melinda meninggalkan Adam sendirian.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.