Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
220,066
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 5

“SAYA tetap tunggu awak Za. Tetap saya tunggu awak.” Setiap kali melihat skrin labtopnya, lukisan pensil foto gadis dalam ingatannya akan menemarakkan semangat. Lukisan itu diusahakannya menyudahkan untuk hadiah ulang tahun gadis itu yang ke 17. Mana tahu rupa-rupanya hari yang ditunggu-tunggu menjadi sejarah hitam dalam perhubungan. Sudahnya lukisan itu disimpan sendiri dalam bingkai kenangan, dijadikan screen sever komputer riba. Dibawa dan direnung di mana sahaja komputer itu digunakan. Lisa pernah bertanya siapakah si gadis pemilik lukisan itu, Zafran hanya senyum. Tidak menjawab apa-apa malah Adam juga pernah berkerut kening tertanya-tanya, juga hanya senyum dia. Tidak dijawab.

Mentah benar dah jatuh cinta, itulah akibatnya. Senyum Zafran sendiri, merenung skrin komputer riba. ‘Di mana agaknya dia sekarang?’ alam dingin bilik berhawa sejuk itu, dia berpeluh rindu benar.

Sudah puas dia menjejak gadis yang hilang, melalui face book dan twiter cuba dikesan keberadaan yang dirindui tetapi jelas gadis itu tidak aktif berlaman social atau mungkin dia mengguna nama samaran dan gambar-gambar tampalan. Untuk ditanyakan kepada nenek dan emak saudaranya tidak mungkin sama sekali. Dia sedar kedudukan dia di hati mereka seperti juga kedudukan keluarga itu di hati keluarganya. Saling tidak memaafkan.

Teringat dia detik akhir dia dan gadis itu ‘berputus arang’ apabila orang tuanya berkeputusan membawanya tinggal di bandar sehabis peperiksaan SPM untuk menimba pengalaman sebelum memulakan pengajian seterusnya. Dia berusaha menolak dengan alasan mahu terus menemani neneknya yang sudah tinggal sendiri selepas pemergian suami lebih setahun. Tetapi neneknya memberi alasan dia juga mahu tinggal bersama di bandar. Terkedu Zafran, bererti hanya tinggal seminggu dari hari itu dia di kampung itu bersama buah hati. Gadis itu pula bakal menduduki peperiksaan SPM tahun berikutnya. Beza usia mereka hanya setahun. Dan, sehari sebelum berangkat ke bandar Zafran menerima surat pemutus. Zafran mahu bersemuka tetapi masa tidak mengizinkan, gadisnya sibuk di sekolah sementara orang tuanya tiada banyak masa untuk tinggal meski sehari lagi di situ. Maka dengan berat hati dia meninggalkan pesanan melalui surat kepada Enna, sahabat karib mereka. Berpesan agar Allah memberi peluang mereka bertemu dan semoga mereka sama-sama berjaya dalam pelajaran dan lebih berani lagi, berharap agar jodoh mereka diwangikan Allah. Surat yang panjang dibalas hanya dengan nota ringkas namun padat tetapi meninggalkan tanda tanya besar dan banyak.

‘Apabila awak buka dan baca surat pertama dari saya ini, bererti ianya juga adalah surat terakhir. Antara kita putus, saya tak kenal awak dan awak tak perlu ingat saya lagi. Saya bukan sahaja tak sudi lagi berkawan dengan awak tetapi saya benci awak selamanya, nama awak juga menjijikkan. Titik.’

Hanya itu nota terakhir darinya. Tidak ada nama penerima, tanda tangan pengirim juga tiada. Hanya nota itu dianggapnya surat, dihantar melalui Enna dan Enna gagal menerangkan apa-apa. Bisu. Zafran langsung tidak boleh terima apa yang ditulis tetapi terpaksa. Dia menyimpan ‘nota maut’ itu, perkataan jijik dan benci dalam nota itu menjadi tanda Tanya hingga ke hari itu.

Dan sewaktu di dalam kereta orang tuanya untuk meningalkan kampung, Zafran berselisih dengan dua gadis itu yang berbasikal pulang dari sekolah, pemilik surat tidak langsung menoleh jauh sekali berhenti. Zafran meminta ayahnya memberhentikan kereta untuk mengucap selamat tinggal kepada dua sahabat itu, apabila kereta berhenti hanya Enna menemuinya mengucap selamat jalan dan selamat berjumpa lagi. Enna turun menyalam orang tuanya dan nenek, memperkenalkan diri sebagai sahabat karib Zafran.

Benci benar dia pada aku. Apakah kerana aku terpaksa mengikut emak dan ayah ke sini maka aku dibenci begitu? Sangat tidak lojik, dia bukan jenis begitu malah dia yang pujuk aku supaya tidak menentang kemahuan orang tua. Katanya jauh di mata tidak semestinya jauh di hati, mereka boleh berhubung dan sesekali pastinya nenek pulang melihat rumah pesakanya, aku boleh ikut nenek dan kami berjumpa. Tercari-cari terus dia alasan apa dia dibenci. Meski hanya cinta zaman kanak-kanak namun tanda soal itu kekal menyakitkan. Dia sudah berjanji pada diri sendiri, tidak akan bercinta lagi selagi tanda soal itu tidak berjawab.

Lamunan terganggu apabila intercom di atas mejanya berkelip dan menjerit manja. Dia menekan suiz lalu menyebut ‘ya’ sekali lantas mendengar.

“Encik Zafran, Tuan Rusman minta you bersiap untuk meeting pagi ni.”

“Pukul berapa?”

“Tuan Rusman on the way, kurang lebih 10 minit akan sampai office, dia akan terus ke meeting room.”

“Ok, siapa lagi ya?”

“Encik Adam, Tuan ru, staff baru dan you.”

“Agenda?”

“Sekadar memperkenalkan pembantu you.”

“Ok, rojer.” Zafran bersiap memperkemaskan diri. Sut hitam yang disangkut pada penyandar kerusi berpenyandar tinggi ditarik, disarung dan dibutang di tengah. Baju kemeja bahagian dalam dikemaskan di bahagian kolar dan pinggang. Seluar dibelek untuk memastikannya bersih, licin dan rapi. Dia beralih ke cermin di dinding, rambut di sisir mengguna jari, bulu hidung diintip supaya tidak mengintai, bibir di renggang untuk melihat keadaan gigi supaya tidak terlekat sisa makanan dan pangkal mata juga dicuit supaya tiada kotoran mata melekat. Setelah berpuas hati segalanya kemas seperti biasa, dia mengambil pen diselit ke poket bahagian dalam sut, telefon bimbit disilent disisip ke dalam poket. Begitu selalunya dia apabila ada urusan rasmi sama ada bertemu pelanggan atau bos besar.

Entah mengapa dadanya berdebar untuk menghadiri mensyuarat pagi itu. Berkali-kali dibaca al-fatihah dan bismillahi tawakkal tu ‘alallah, lega seketika, berdebar kembali. Dibaca lagi, lega seketika, berdebar kembali.

‘Hei, kenapa ni? Dia hanya anak bos kut? Dua orang anak bos boleh saja jadi kawan, tak kan yang akan diperkenalkan nanti musuh? Lagipun tak ada apa yang merisaukan, perempuan…’ dia cuba memperlekeh kaum lemah itu seperti mana Adam sering memperlekehkan. Sebelumnya dia sering membangkang jika Adam memandang rendah kaum ibu itu, tetapi hari itu dia membujuk hati dengan cara memperendahkan mereka. Senyum Zafran menyelar diri, ‘Melayu mudah lupa’. Lagi dia tersenyum.

‘Tenang Zafran, tenang.’ Lagi dia menggosok dada.

Dengan lafaz bismillah dia meninggalkan biliknya dengan dada yang lapang meski debaran masih terasa.

“Hai, morning.” Di luar biliknya dia bertembung Adam.

Morning.” Dijawab seraya menghulur tangan, bersalaman kemas.

“Kenapa nampak cam nervous aja?”

Zafran tertawa perlahan, bahu Adam ditepuk ringan.

“Jangan risau, perempuan yang ni bukan macam yang dulu. Yang ni heghhh…” Adam mencebir memberi maksud langsung tidak menyelerakan.

Adam tertawa perlahan.

Mereka melangkah perlahan menuju ke bilik mensyuarat yang dijanjikan.

Zafran tertawa terus.

“Tapi ‘kerek’ sikitlah. Engkau kena tahan dengan dia ni.”

“Oh ya?” Zafran teruja.

“Tunjuk bagus, tak sedarnya pengalaman kosong.”

“Engkau tak pernah bagitahu aku, bapak engkau ada seorang lagi anak?”

“Tak penting. Aku pun tak ingat dan tak pernah ambil kisah.”

Berkerut dahi Zafran tetapi, tidak mahu menyiasat lebih. Masalah keluarga bukan urusannya untuk ambil tahu.

“Tahu-tahu hari tu dia muncul di pejabat ni, buat pejabat ni macam bapak dia punya.”

Zafran tertawa. “Tapi memang pun bapak dia punya.” Tawanya bersambung.

Adam mengerling, tersedar kesilapan ayatnya. Mereka sudah sampai di tempat dituju, di pintu sudah bersedia Melinda dengan senyum mulus menyambut Adam dan Zafran. Pintu dibukakan, dipersilakan masuk juga.

“Bos dah sampai?”

“Belum, on the way.”

Staff baru?”

“Pun belum.” Melinda disoal sedikit dijawab juga sedikit namun terus bermanis senyum dan pergi.

“Hem itulah, hari pertama dah tunjuk belang. Betul tak apa yang aku cakap pada engkau tadi Zafran?”

Zafran senyum cuma, tidak memberi komen buruk atau baik hanya dengan komen Adam.

“Dia datang sendiri ke?” Adam menguatkan suara, bertanya Melinda yang sudah beberapa langkah meninggalkan mereka.

Melinda menggeleng, mencebir juga. “Mungkin dengan tuan.” Melinda berlalu.

“Tengok? Bapa aku berkepit dengan dia ke hulu ke hilir.”

“Relekslah Adam, engkau ni. Tak cari gaduh tak boleh ke? Itu adik engkau kan?”

“Masalahnya budak tu berlagak. Kalau engkau tengok nanti engkau pun akan bengang tau.”

Zafran tertawa lagi, menggosok-gosok bahu Adam. Mereka mengambil tempat masing-masing, pintu tertutup perlahan.

“Aku tanya kelulusannya apa, dia boleh jawab tamat darjah enam? Kurang ajar, tak ke bengang aku?”

“Mana tahu kut-kut betul darjah enam aja?”

Adam berkerut pandang Adam.

“Tapi anak bos, tak sekolah pun boleh jadi pengurus jugak.” Tujuan Zafran hanya bersenda tetapi silap waktu. Adam melenting.

“Hei! Sorry ya? Kami tak amalkan system macam tu. Buruk-buruk kelakuan Ell, tetap juga sambung belajar cari ilmu.”

“Aku gurau ajalah. Engkau ni emosional sangatlah. Releks kawan, nanti darah tinggi naik pulak.”

Adam sedikit mengendur tetapi kekal kucam.

“Ingat, engkau jangan nak bagi muka kat dia. Jangan pulak ada hati ke, jiwang-jiwang ke. Aku nak engkau buli dia biar dia panas di sini.”

“His, apa punya abang ni?”

“Dia bukan adik aku.”

“Beginilah Adam, keluarga engkau adalah urusan engkau, aku tak nak masuk campur. Bapa engkau letak dia assist aku, aku terima baik. Aku tak kan nak buli orang tak tentu pasal, berdosa.” Dalam senda dia serius.

Ke dua-duanya sudah senyap, sementara menunggu Rusman dan Shaza sampai, mereka mengambil peluang melayan laman sesembang di telefon bimbit masing-masing.

Dalam melamun, berfikir dan mengenang kenangan, pintu bilik mensyuarat ditolak perlahan dari luar. Dua pasang mata menoleh pintu, tenang menanti pastinya Shaza dan Rusman. Zafran terpukul, bagaikan dihayun cemati panas di pundaknya, mujur tidak meraung kesakitan. Hanya terpaku kesakitan sendiri. Adam pula terbakar marah dan iri hati Rusman berduaan dengan Shaza.

“Za?” terlalu perlahan berkumam sepotong nama ringkas itu berlari di lidah, terluncur jatuh mujur tidak didengari sesiapa kerana serentak salam yang diberi Rusman. Bergetar kakinya seakan tidak mampu berdiri lagi.

“Assalamualaikum.” Rusman bersemangat.

Hampir serentak yang di dalam bilik menjawab salam. Mereka tidak bangun, Adam hanya memusingkan penyandar kerusi menyambut kedatangan Rusman dan Shaza dengan cara itu. Rusman tidak membenarkan mereka menghormatinya dengan cara bangun dan angguk apabila dia masuk ke bilik mensyuarat itu. Cukup dengan hanya menyambut salam katanya.

Berlainan dengan Adam, Zafran kaget benar. Bagaikan ditipu mata sendiri tidak mempercayai apa yang ditafsir otaknya. Za? Tak mungkin Shaza ini adalah Za aku yang hilang. Tak mungkin. Za cucu Nek Piah, anak saudara mak long yang menumpang kasih. Geleng, tunduk, dongak, geleng lagi dan tunduk lagi dia. Berkali-kali juga paha kiri dicubit jari kiri, sakit. Paha kanan pula dicukup jemari kanan juga sakit.

“Hah.” Terlancut tanpa sengaja.

“Maaf, kami terlewat. Pak Abu menyangka tak jam, tapi rupa-rupanya sesak betul jalan. Dah lama tunggu?” Rusman sudah mengambil tempat di hujung meja, di kerusi biasa setiap kali jika dia mempengerusikan mensyuarat di bilik itu. Dia turut mengarahkan Shaza duduk di sebelah Adam, di sebelah kanan meja.

“Adam dah kenal dah Shaza. Hanya Zafran.” Baru sahaja Shaza meletak punggung, Rusman sudah bermukadimah.

Shaza masih bergetar hati, bukan kerana takut bertemu abang tiri tetapi berdepan Zafran membuatkannya sakit begitu namun, sebagai gadis yang sudah jenuh dilambong ombak, tegar dia menentang renungan Zafran yang bagai mahu membunuh mati dia.

“Zafran, mulai sekarang awak sudah ada pembantu. Shaza akan membantu awak dalam soal projek-projek iklan. Walaupun dia anak saya, tetapi di sini Shaza adalah pekerja dan pembantu awak. Layan dia selayaknya rakan sekerja seperti juga penerimaan awak pada Elsa dan Adam. Okay?”

Zafran angguk perlahan. “Okay.” Perlahan benar hanya dia mendengar.

Rusman melihat kumit bibir Zafran dan melihat anggukannya, dia faham Zafran sudah faham.

“Sha, ini Zafran ketua Sha. Dia orang lama di sini, lebih kurang sama dengan Adam. Papa harap Sha dan Zaf boleh berkerja sama baik.”

Sure.” Hanya itu dijawab Shaza, kucam semalam sewaktu dipertikai Adam, kembali semula sebaik menangkap renungan Zafran.

“Alhamdulillah. Kalau ada apa-apa masalah berbincang cara baik, kalau dah tak boleh selesai, datang jumpa papa.” Redup mata Rusman memandikan Shaza dengan manisan kasih sayang.

Shaza angguk lagi, terus menempat mata pada Rusman tidak langsung sudi memandang Zafran yang asyik benar merenungnya.

“Zafran ada apa-apa nak cakap?”

No, cuma…” gugup benar dia berusaha disimpan rasa tidak keruan itu.

Semua menunggu sambungan perkataan ‘cuma’ itu. Seakan tergantung benar.

“Cuma saya takut anak Tuan Rusman tak selesa dengan saya, saya ni kasar sikit.”

“Sha? Macam mana?” Rusman menyerah kepada Shaza untuk menjawab.

“Dalam kerja seharusnya kita profesional, bagaimana watak kita di luar harapnya tidak mempengaruhi tugas. Saya bersedia menerima buruk baik Encik Zafran dan saya harap semua di sini juga bersedia menerima kekurangan saya. Sila beri tunjuk ajar pada saya.” Senyumnya bergetar, berusaha dimaniskan.

Zafran angguk berkali-kali Adam juga angguk. Setiausaha Rusman muncul memberi tahu sudah sampai masanya dia menemui seseorang dan seseorang itu sudah menunggu di biliknya. Rusman minta diri, membenar tiga orang ahli mensyuarat meneruskan perbincangan. Semua terus melekat di kerusi masing-masing. Adam dengan niat mahu menyakitkan hati Shaza, Zafran kerana keterujaan bertemu gadis yang dirindui sekian lama sementara. Sementara Shaza kerana menghormati senior-senior dia, maka terus memaku diri.

“Bidang pengajian awak dengan jawatan yang diamanahkan lari jauh, tahu? Harap dapat menyesuaikan diri.” Adam masih mahu menegaskan Shaza tidak sesuai di tempatnya.

Study course apa?” Zafran tidak bertanya Shaza tetapi mengemuka kepada Adam, terlalu perlahan tetapi Shaza mendengar.

Shaza terluka cara Adam mempersoal pengajiannya dan Zafran yang mengaju pertanyaan berkenaan dirinya kepada orang lain, bukan dia sendiri.

“Abang belajar apa dekat kolej?”

“Don't call me abang. Saya Encik Adam.”

“Sorry ENCIK ADAM.” Sudah keras intonasi Shaza namun masih perlahan. Encik Adam belajar apa di kolej?” dia mengulang soalannya tetapi menukar panggilan ke atas Adam.

“Apakah yang you belajar dulu you practickan di meja Executive?”

“Saya lain. Saya lelaki.”

“Usah bongkak, wanita juga mampu.” Shaza menyindir dengan hanya beberapa patah perkataan yang ringkas.

Zafran diam terus.

“Bukan itu maksud saya, saya dan Zaf memang membesar di Kuala Lumpur, seluk beluk bandar ini dan kami orang bandar, kami mahir berbanding orang yang membesar di kampung terpencil kemudian tinggal lama di luar negara. Baru pulang terus pegang jawatan penting. Saya takut awak tak biasa aja.”

“Sejak bila berangkat ke London?” baru itu Zafran bersuara.

“Lima tahun lepas.”

“Lama, tu. Mujur ingat Malaysia lagi. Kampung ingat?” Zafran tidak langsung mempertikai kebolehan Shaza, sebaliknya lebih kepada memancing perasaan.

Shaza mengemas diri, telefon bimbit dipegangnya, dihidupkan dan dibelek-belek pesanan yang mungkin tersimpan di situ selama ianya dimatikan. Selepas berpuas hati, dia bangun.

“Okaylah kalau tak ada apa-apa lagi saya minta diri dulu.” Berdiri dia di antara kerusi dan meja.

“Encik Adam.” Jahat matanya menujah.

“Saya tidak merayu, mohon diterima juga tidak, tetapi jawatan ini diserahkan kepada saya oleh bapak saya. Saya pulang kerana ini tanah air saya dan papa saya masih di sini, pusara ibu dan nenek saya juga di sini. Kerana ikatan darah daging saya dengan papa maka saya akur permintaannya tidak meninggalkannya lagi. Juga permintaan Mama Nadia yang menangis-nangis minta saya beri sedikit peluang kepadanya dan papa. Kalau ikut marah saya dibiar, di sisih selama 25 tahun ini, Encik Adam ingat saya lapar dengan jawatan ini? Maaf cakap, London sudah menjanjikan pekerjaan untuk saya dan saya sebenarnya sudah serasi di sana.” Lancang, lantas dan keras melontas patas perkataan langsung tidak tersekat di mana-mana.

Semua termangu, mendongak merenung Shaza yang berdiri di sisi kerusi yang tadi menempatkannya. Shaza bernafas panjang, sedikit tersekat-sekat dik rasa terbuku yang mahu dimuntahkan berlumba-lumba dengan rasa sebak dipertikai keujudannya di situ.

“Asalnya saya memujuk hati saya untuk menerima keluarga ini, membuang tanggapan buruk keluarga ibu tentang keluarga ini dik mulianya hati mama Encik Adam. Tetapi rupa-rupanya pepatah Melayu emak borek anak rintik sama sekali tidak benar. Awak menyerlahkan siapa awak sebenarnya tidak perlu saya menduga atau menyiasat dari orang lain.” Sudah naik turun suaranya, kemarahan bersaksi Zafran hanya diam. Adam juga bungkam.

“Encik Adam sebenarnya takut saya tak mampu menjalankan tugas yang disandang ke bahu saya atau sebenarnya Encik Adam takut pada bayang-bayang sendiri? Takut saya merampas semua yang sudah Encik Adam punyai sejak 25 tahun ini?”

“Jaga sikit mulut apabila bercakap.”

“Saya memang menjaga mulut dan emosi saya sejak kali pertama diperkenalkan kepada you, tapi selagi saya menjaga, semakin ringan you memijak-mijak perasaan saya. Apa awak ingat selama 25 tahun saya terbuang sebagai orang miskin, perasaan saya sudah tergadai?” dari merenung Adam, dia beralih kepada Zafran yang dianggapnya pernah menghina dia anak miskin dagang merempat.

“Hei, dengar sini ya? Walaupun saya membesar tidak dengan kekayaan seperti you dan adik you, tapi saya tidak pernah menggadai maruah saya.” Shaza sudah bersedia meninggalkan ruang mensyuarat. Kerusi miliknya ditolak merapat ke meja, sedikit kuat melepas kemarahan dengan cara itu.

“Oh ya, jangan risau. Saya Shaza Amirah binti Rusman akan meninggalkan syarikat ini dan tidak mungkin akan menuntut walau satu sen pun harta orang tua saya. Hiduplah tuan-tuan semua dengan harta dunia. Saya tak perlukannya kerana saya sudah diberi pengalaman pahit bertemu tuan-tuan semua.” Shaza sudah puas, lapang dadanya pergi.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.