Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
222,103
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 16

Dan dia mulai menyesali kerakusan keegoannya, rasa bersalah menyakiti hati anak tunggal Rusman, mempertikai kedudukan Shaza di jawatannya. Shaza yang jelas anak tunggal usahawan ternama itu tidak pernah bongkak dengan kedudukannya, kekal merendah diri di rumah mahupun di pejabat. Rata-rata dia disenangi seluruh kakitangan termasuk cleaner juga, Shaza sentiasa senyum, menyapa siapa sahaja. Mengenangkan itu Adam terasa malu sendiri. Jelas dia seperti peribahasa Malayu, lebih sudu dari kuah.

Mengeluh lagi dia, digosok-gosok kaki yang sudah tidak dibalut tebal, hanya balutan tipis melingkari pergelangan kaki dan tumit untuk mengelak berlaku pergerakan kencang sehingga mencederakan lagi bahagian terseliuh. Mujur ada dia, kalau tidak, mungkin aku tidur di bawah pokok dalam keadaan kesejukan menunggu si prihatin lain menyinggah membantu. Entah-entah datang ular, katak, pacat atau paling-paling semut menghurung. Teringat dia bantuan Shaza menyelamatkannya. Sehingga hari itu, belum lagi dia berkesempatan mengucap terima kasih kepada gadis itu.

Masih dia terasa halusnya bantuan Shaza, harumnya wangian dia yang sudah dibasahi hujan. Dipapahnya Adam erat menuju ke kereta, disandarkannya perlahan tanpa mengira dalam kereta turut basah dik basahnya mereka, kasut dan sarung kaki dibukanya untuk memberi keselesaan. Dibujuk seakan anak kecil ketakutan kerana Adam menyangka kakinya patah. Dia sudah macam kakak dan ibu-ibu, bijak memujuk. Senyum Adam sendiri, terasa malu merengek sakit sedangkan dia sudah berpakaian ego sejak kali pertama perkenalan.

Aku marah dia, aku benci dia. Rupa-rupanya dia sangat mulia, membantu tanpa mengingat kejahatan aku, tidak berdendam langsung. Adam menelan duka sendirian, terasa malu benar.

Adam melihat Shaza dari tempat dia duduk melamun, Shaza keluar dari bilik berselimut kain tuala lebar, tebal, berjubah pijama berwarna putih labuh menutup sampai ke kaki. Sukar dikenali itu adalah dia, cuma lengguk dan gayanya adalah Shaza. Adam mengamati dari tempat dia duduk, tidak cerah, kawasan santai tepian kolam hanya ditemani neon pagar dan dingin bulan. Lampu kolam tidak dipasang.

Shaza semakin mendekat, Adam terus memerhati mahu ke mana dan apa aktiviti malam gadis itu dengan berpakaian begitu.

Shaza melerai kain tuala yang menutup kepala juga tubuh, disangkut pada kerusi di tepi tangga kolam, membuka juga tali pijamanya juga diletak bertindanan dengan tuala. Kemas tubuhnya kini dibaluti sut pakaian mandi muslimah berwarna hitam. Dia mengeluarkan pembalut rambut, disarung ke kepala, goggles dipakai lalu seringannya tubuh dicampak cara menjunam ke dalam kolam. Professional gayanya menimbulkan tubuh ke permukaan lalu berenang dengan gaya bebas. Shaza berenang ke tepi kolam, menghampiri tempat Adam duduk bersantai. Sebaik tersentuh kepalanya, dia membalikkan tubuh, berenang dengan kuak lentang kembali ke tempat asal dia terjun. Kembali lagi dia berenang ke tempat Adam dan kembali semula ke tempat asalnya. Empat kali berulang alik, dia melonjak-lonjak dengan cara berjengkit, menyelam lama, timbul dengan cara melonjak tinggi, menyelam lagi melonjak lagi. Tampak gembira benar meski sendirian berenang dan menyelam. Adam hanya memerhati, tidak mahu mengganggu. Sedikit rasa terhibur dia melihat ada yang memanfaatkan air kolam itu.

Patutlah shapedia cantik, tinggi lampai, kaki panjang, rupa-rupanya dia gemar berenang. Tapi di kampung dia ada kolam renang ke? Entah-entah berenang di sungai, senyum Adam sendiri membayangkan Shaza berenang bersama buaya-buaya sungai.

Hanya satu jam dihabiskan renangan di serata kolam, Shaza sudah memanjat tangga. Goggles dibuka, topi penutup kepala ditarik, terburai rambut panjangnya mencecah tengah belakang, lurus berkilat. Dilengguk ke kanan dan ke kiri, tuala diguna mengesat tubuhnya yang masih berpakaian renang, jubah pijama disarung diikat tali pinggangnya. Tampak puas sudah, dia meninggalkan tepian kolam. Adam terus memerhati.

Cantik. Hanya itu di hatinya sejak kemunculan Shaza dalam gaya berbeza malam itu. Dia biasa melihat adiknya dan rakan-rakan Elsa sewaktu dahulu berenang di situ, tetapi semuanya mengenakan pakaian mandi yang hanya menutup bahagian tengah badan. Leher, sebahagian dada dan paha dibiar dilihat sesiapa yang mahu melihat. Meski ramai berkata tertarik dengan keseksian pakaian renang wanita begitu namun, bagi Adam kerana sudah terlalu kenyang dihidangkan maka dia berasa jemu benar. Sudah tiada keenakannya lagi. Tetapi malam itu, dia dihidang dengan juadah yang lain dari kebiasaan. Tenang mata memandang, tampak hebat dia.

Memang bertuah papa ada anak sejelita dia, seseksi dia, seanggun dia. Digosok dadanya membayangkan Shaza lebih dari yang dilihatnya selama sejam di kolam. Ditenung air kolam yang masih berkocak perlahan, tidak tenang seperti sejam sebelum. Masih terbayang duyung yang mengocak air itu sehingga berjaya mengocak hatinya.

Adam bangun, teringin benar dia mencecah kaki di air kolam itu, dingin atau suam-suam? Perlahan-lahan dengan gaya rengkat sebelah kaki dia mendekat tepian kolam, dicecah hujung kaki yang terseliuh, senyum dia sendiri. Suam-suam kuku. Desisnya perlahan, senyum senang.

Shaza datang kembali, sudah lengkap dengan pijama tidur berwarna merah jambu lembut. Dengan berpakaian seluar tidur dan baju tidur berbutang di tengah dan kolar baju berbulu lembut sedikit tebal begitu, dia tampak remaja dari usia sebenar. Rambut diselubung mengguna tuala rambut ala-ala serban benggali, berjalan tenang membawa mug yang tampak masih berasap. Shaza melihat Adam di situ, terpegun dia, terperanjat juga mungkin namun jelas mengawal rasa itu.

“Hai.” Adam meringan mulut bertegur sapa.

“Hai, sejak bila Encik Adam di situ?” tanyanya, curiga.

“Baru aja. Rasa panas kat bilik, tak boleh tidur.” Buat pertama kalinya dia gugup mendepani gadis itu. Terasa rendah diri dengan kehebatan gadis bakal pemilik segala harta yang ditumpanginya.

“Sha, tak tidur lagi?”

Shaza geleng. “Masih awal.”

Adam angguk, sudah kembali duduk di tempat asalnya.

“Kaki macam mana? Ok? Tak jadi dipotong?” bersahaja dia menyindir.

Adam tertawa perlahan, malu disindir Shaza. Dia mempelawa Shaza mengambil tempat di kerusi sebelah. Shaza menurut, tidak menunggu soalannya dijawab, mug air susu diletak atas meja rendah pemisah kerusi santai mereka. Adam menjengah isi mug, senyum pula pandang Shaza.

“Minum susu?” gaya pertanyaannya seperti menyindir Shaza menggemari minuman kegemaran bayi dan kanak-kanak.

“Oh, bila terasa nak dimanjakan, saya akan minum susu.” Lucu sendanya namun, dia menunjuk rupa serius.

Adam terhibur jenaka bersahaja itu.

“Encik Adam nak air ke? Saya buatkan.”

Adam angguk perlahan, bergetar senyumnya.

“Nak air apa? Coffe or teh atau air susu?” dia merenung mugnya memberi maksud air seperti dia.

“Air coklat.”

“Ok, Encik Adam tunggu sekejap.”

“Please call me abang. Abang Adam.” Lirih permintaannya, Shaza terpinga. Dia pernah dilarang menyebut ganti nama itu. Geli katanya.

Shaza akur, tidak lagi memanggilnya abang, hanya Encik Adam walau di mana mereka. Adam berpuas hati dan rasa dihormati.

Please, usah berencik-encik di luar waktu pejabat.”

“Tapi bukankah dulu…”

Adam angkat tangan, memberi isyarat tidak mahu perkara lama diungkit kembali.

Past is past. Abang minta maaf masa lalu, kita adik beradik. You are my sister.

Shaza terharu, dia angguk lalu meninggalkan Adam dengan perasaan yang berkecamuk terus, berkocak kencang tanpa kenal diri sendiri. Tidak lama di dalam, Shaza kembali membawa mug air coklat kegemaran Adam. Di pejabat berteman air begitu, di rumah juga ketagih air coklat pekat. Shaza mahu meletaknya di atas meja hampir dengan Adam, Adam mahu terus menyambut tetapi dilarang Shaza.

“Panas.” Dia mahu meletak sendiri.

Adam angguk, merenung air di dalam mug seakan tidak sabar.

“Tunggu suam sikit, nanti melecur lidah.”

Adam senyum juga, entah mengapa dia rasa tersindir. Kata-kata pertamanya meletak Shaza sebagai teh lady. Rupa-rupanya dialah anak pemilik syarikat dan meski sudah diperkenalkan Nadia juga Rusman siapa Shaza sebenarnya, dia tetap mahu menunjuk sombong. Mahu terus dihormati gadis itu dan sengaja mencari kesalahannya meski tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Dan akibat kata-kata yang panas itu kini dia terasa melecur, ingin benar diundurkan waktu tetapi Shaza sudahpun terluka pastinya.

Shaza sudah tidak mempeduli Adam, apa perasaannya, apa yang dia rasa. Shaza terus menikmati air susu yang sudah tinggal suam. Tampak berselera seteguk demi seteguk, selesai minum dia bersedia pergi. Adam memerhati dengan ekor matanya, tidak berani merenung seberani dahulu, dia sudah terasa kerdil berbanding gadis yang tidak bersaiz besar itu.

Adam meneguk sekali selepas pasti air coklatnya sedikit suam. Angguk dia memuji.

“Hemm sedap.” Terlalu perlahan, tidak berniat memberitahu Shaza.

Teh lady buat air memang sedap. Berpengalaman, kan?”

“Sha, abang mintak maaf.”

“Untuk?”

Teh lady.”

Shaza berkerut kening, mahu Adam memperjelaskan maksud.

“Dulu abang kata Sha pembancuh air pejabat.”

“Oh, tak apa, teh lady juga manusia. Malah mama kata mama juga pernah jadi teh lady dulu.” Dia ingat cerita Nadia waktu dia menjadi hamba suami sendiri. Untuk membesarkan Adam, dia terpaksa berkerja sebagai teh lady walaupun punya pelajaran tinggi, demi bersembunyi dari lintah darah yang mencari suaminya minta hutang judi.

Adam mengeluh, malu dia terasa disindir.

“Encik Adam.” Serunya sekali.

Adam senyum. “Abang.” Dia membetulkan.

Shaza senyum, angguk. “Sorry. Ya, abang…” Shaza mengajar diri sendiri.

“Sha masuk dulu. Tak nak masuk ke?”

Adam senyum angguk perlahan. “Sha masuk dulu, nanti abang masuk.”

“Nak jadi jaga kat sini? Nak jaga apa? Air kolam?” Shaza bersenda, bersahaja.

“Malam ini papa kan tak ada. So abang bertanggung jawab menjadi keselamatan keluarga ini.” Dia mencuba bersenda meski kedengaran janggal.

“Jaga ada kat pintu pagar? Cc tv pun berfungsi di sekeliling rumah ini, tak perlu jaga di kolam ni lagi.” Serius bersenda.

“Itu tanggung jawab jaga, ini tanggung jawab abang.”

Shaza angguk faham, tertawa juga dia. “Okay, up to you, tapi nanti boleh jalan ke, masuk dalam? Kalau nak Sha tolong jom.”

No, no. Tak apa. Abang dah kuat, lagi pun tongkat ada.” Dia menunjuk tongkat terbaring di lantai, sebelah kerusinya.

Shaza angguk. “Okay, tapi jangan lama sangat dekat sikit. Malam ‘kliwon’ ni, banyak yang keluar mencari teman.” Sendanya membuat Adam berkerut.

“Apa tu?”

Shaza geleng seraya tersenyum, berlalu meninggalkan Adam dan kolam renang.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.