SUASANA di dalam kereta masih sepi, hanya
suara alunan radio sahaja memenuhi segenap ruang kereta Hakimi. Arus jalan raya
masih lancar, mungkin sahaja kerana waktu bekerja. Aifa membuang pandang ke
arah kiri, dia tidak mahu anak matanya bertemu pandang dengan Hakimi.
Aifa
asyik melayan perasan, mindanya masih ligat menayangkan setiap bait ayat
perbualannya dengan Insan Biasa di alam maya. Dia hanya tersedar dari dunia
khayalannya apabila Hakimi memberhentikan kereta.
Aifa
membuang pandang ke arah sekeliling, bukan di kawasan pejabat tetapi di kawasan
restoran. “Kau nak makan ke?”
“Tak
adalah, aku nak tukar tayar kereta di restoran tu.” Hakimi menjawab acuh tak
acuh.
Aifa
mendengus geram, jawapan tiada dalam skema! Tetapi salahnya juga kerana
bertanya soalan yang mampu di jawab oleh kanak-kana berusia 2 tahun. Hakimi
meletakkan kereta berdekatan kawasan restoran pasti sahaja dia mahu makan.
“Aku
tanya pun tak boleh ke?” Aifa sengaja mahu menutup malu.
“Boleh,
tapi soalan tu biarlah logik sikit.”
Aifa
menjuihkan bibir, dia terkena lagi!
“Kau
tak nak makan ke? Kalau kau nak duduk dalam kereta aje lebih baik aku keluar
dulu, perut aku dah berbunyi ni. Tetapi aku nak ingatkan kalau kau duduk dalam
kereta sekalipun, aku tak akan bukakan air
cond,buang duit aku aje pasangkan air
conduntuk orang macam kau.” Seusai melemparkan ‘bom bicara’, Hakimi terus
keluar dari kereta. Hatinya bagaikan digeletek apabila melihat wajah tidak puas
hati Aifa. Sudahnya dia tersenyum sendiri, mujur sahaja senyumannya itu tidak
dapat dikesan oleh Aifa kerana dia membelakangi gadis itu.
Senyuman
Hakimi mati apabila telinganya menangkap bunyi dentuman yang kuat. Terkejut dia
melihat Aifa menutup pintu keretanya seganas itu sehingganya bunyi yang
terhasil mampu menarik perhatian beberapa insan di sekeliling mereka.
“Kau
nak rosakkan kereta aku ke?” Kasar Hakimi bertanya.
“Kalau
betul pun kenapa?”
“Kau
ingat aku bayar kereta ni guna daun ke? Sesuka hati kau aje nak merosakkan
kereta aku.”
Aifa
menjuih bibir. Padan muka! Siapa suruh Hakimi tidak membenarkan mereka pergi
kereta berasingan. “Kau yang suruh aku naik kereta buruk kau ni, jadi jangan banyak
cakap!”
Hakimi
sudah berjalan merapati Aifa, jawapan Aifa bagaikan menjentik tangkai hatinya.
Ganas punya perempuan! Kalau diikutkan hati yang panas mahu sahaja dia
melempang gadis itu.
“Aku
suruh kau naik kereta ni sebab kita nak pergi ke tempat yang sama, tak perlulah
nak membazirkan petrol.”
“Kau
ingat aku kedekut ke? Aku boleh bawa kereta sendirilah!” Aifa membalas geram,
dia lebih rela menghabiskan petrol yang hanya beberapa ringgit daripada perlu
berkongsi kereta dengan Hakimi.
“Itu
bukan masalah utamanya. Sebenarnya aku ni jenis sayangkan alam sekitar. Kau
tahu tak apa kesan kalau banyak sangat kereta di Malaysia ni melepaskan gas
berbahaya daripada asap kereta? Kesannya alam sekitar kita akan tercemar, nanti
penuh dengan gas karbon dioksida dan gas tu bahaya untuk kesihatan. Itulah dulu
mak dan ayah kau hantar ke sekolah untuk belajar tetapi kau main-main. Sekarang
ini apa dah jadi? Ataupun kau nak aku jadi cikgu Sains kau?” Hakimi tertawa
kecil, melihat wajah Aifa yang tegang itu seolah-olah berjaya membuatkan urat
ketawanya bekerja lebih masa. Dia terasa seperti mahu ketawa!
“Tapi
aku tak rela jadi cikgu kau, sebabnya kau ni dulu ayat Bahasa Melayu pun
tunggang-langgang, masa dalam Matematik pun kau kantoi dan sekarang Sains pun
kau macam boleh tak boleh aje. Rasanya kalau aku jadi cikgu kau mahunya tak
tidur malam aku.”
Aifa
memandang geram ke arah Hakimi. Sesedap hatinya sahaja mengutuk aku! Hatinya
mengomel sendirian. Lidah Aifa seakan-akan kaku untuk memuntahkan kata, mungkin
sahaja mindanya malas mahu memikirkan jawapan balas. Aifa melangkah
meninggalkan Hakimi sendirian.
Hakimi
terpana, benarkah perkara yang dilihat sekarang? Aifa tidak membalas? Ini
perkara yang aneh! Hakimi menyaingi langkah Aifa, sesedap rasa sahaja gadis itu
melangkah meninggalkannya. Hakimi mempercepatkan langkah, dia mahu sampai
terlebih dahulu di restoran sebelum Aifa.
Kerana
terlalu asyik memandang ke arah restoran, Hakimi tidak memandang ke kiri dan ke
kanan. Buntang mata Aifa melihat motosikal yang sedang bergerak laju menunju ke
arah Hakimi, pantas sahaja dia merentap kasar lengan Hakimi. Akibat rentapan
kasar itu, Hakimi gagal mengawal imbangan badannya lalu terjatuh dan Aifa turut
sama terdorong ke arahnya apabila tangannya masih memegang kejap lengan Hakimi.
Beberapa
orang yang lalu lalang di kawasan itu berlari mendapatkan mereka. “Awak okey?”
Hakimi
hanya menangguk, dia memandang Aifa yang turut sama jatuh terduduk dengannya.
“Aku
yang sepatutnya jadi cikgu kau, aku kena ajar kau cara melintas jalan yang
betul.” Aifa berbisik perlahan agar hanya dapat didengari oleh Hakimi sahaja.
Dia tidak peduli beberapa orang di sekeliling mereka yang sedang sibuk bertanya
itu dan ini. Perkara yang menjadi fokus sekarang ialah membasuh Hakimi
secukupnya! Sudahlah dia menarik lelaki itu daripada dilanggar dan dia turut
sama menerima akibat apabila lelaki itu gagal mengawal imbangan badan dan
membuatkan dia turut sama terjatuh.
“Waktu
kecemasan macam ni pun kau boleh buat ayat tak masuk akal kau tu!” Hakimi membidas.
Niat asalnya mahu membantu Aifa bangun dan bertanya sama ada gadis itu
tercedera atau tidak. Tetapi mendengar sahaja jawapan panas Aifa itu
membuktikan gadis itu masih sihat.
Aifa
turut sama bangun. Dia dan Hakimi mengucapkan terima kasih kepada beberapa
orang yang membantu dan bertanya sama ada mereka tercedera atau tidak. Aifa
memandang Hakimi, hatinya masih panas mengenangkan bajunya menjamah jalan tar
panas sebentar tadi.
“Malam
ni kelas cara-cara melintas jalan kau bermula.” Aifa tersenyum sinis, padan
muka Hakimi!
TUMPUAN Aifa kini sudah beralih ke arah
jam dinding, dia asyik menghitung setiap detik yang berlalu. Dia merasakan jam
itu terlalu lambat bergerak. Tangan Aifa kembali lincah menghabiskan kerja yang
masih belum selesai, sesekali anak matanya melihat jam.
Aifa
tersenyum puas apabila masa yang dinanti tiba, waktu tamat kerja. Yeah!
Penantiannya untuk hari ini berakhir, dia tidak perlu lagi menghadap muka
Hakimi untuk hari ini, diulang untuk hari ini sahaja. Tetapi esok dia perlu menghadap
muka itu lagi.
Dia
sudah malas mahu memutarkan kembali kenangan ‘terindah’ antara dia dan Hakimi.
Sudahlah mereka membuat drama di tepi
jalan. Malunya usah dikata!
Aifa
mengemas barang-barangnya lantas cepat sahaja dia mengatur langkah meninggalkan
ruang pejabat. Dia menanti lif dengan seribu satu perasaan, dia tidak mahu
terserempak dengan Hakimi lagi. Cepatlah lif!
Aifa
terus sahaja menapak masuk ke dalam lif apabila pintunya terbuka. Belum sempat
pintu lif tertutup rapat, ia kembali terbuka. Aifa mengeluh, pasti ada orang
yang menekan dari luar! Buntang matanya melihat sesusuk tubuh yang sedang
melangkah masuk ke dalam lif. Hakimi!
Ah,
cepatlah masa berlalu! Aifa kian resah, dia terasa seperti mahu keluar dari lif
itu sekarang juga dan dia sanggup menunggu lif yang seterusnya. Duduk
bersama-sama Hakimi di dalam satu lif di saat mereka mempunyai konflik adalah
sesuatu perkara yang di luar jangkaannya.
Prangg!!!
Aifa
terasa lif yang mereka naiki bergegar hebat dan serentak itu lampu turut
terpadam. Aifa kaget, kenangan lama kembali menghantui mindanya.
“Ibu!”
Jeritnya sekuat hati.
“Kenapa
dengan kau ni? Menjerit mengalahkan budak kecil. Relax, lif rosak aje pun. Menggelabah mengalahkan orang yang kena
hukuman bunuh.”
“Ibuuuu..”
Suara Aifa kian perlahan dan yang pasti kian sayu. Dahinya sudah
berpeluh-peluh, kenangan lama kembali bertamu di mindanya. Air matanya sudah
mula menitis dan kian lama air matanya kian lebat.
“Ibuuuu..Aifa
takut.” Rintih Aifa lagi.
“Kau
diam boleh tak, macam budak kecil asyik-asyik menangis aje.” Hakimi kian
berang, hanya kerana terperangkap di dalam lif, Aifa menangis bagaikan
terperangkap di gua yang tidak berpenghuni.
Tanpa
mempedulikan Aifa, dia berjalan menuju ke dinding lif dan menekan butang
kecemasan. Hakimi berdoa agar bantuan akan tiba sebentar lagi.
Aifa
menutup kedua-dua telinganya dengan telapak tangan, kenangan itu kembali
menghantuinya. “Jangan ganggu aku, pergi. Pergi!” Jeritnya ketakutan.
Hakimi
cuba mendekati Aifa, dia terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan
Aifa. Secara tiba-tiba Aifa menjerit seperti itu?
“Aifa,
kau okey ke?”
Tanpa
kata kakinya dipeluk Aifa, dapat dirasakan tangan Aifa yang sedikit menggigil.
“Aifa,
kau okey ke?” Hakimi bertanya buat ke sekian kalinya, risau juga dia melihat
keadaan Aifa.
“Ibu,
jangan tinggalkan Aifa, Aifa takut bu.”
“Aifa,
ni akulah Kimi.” Hakimi cuba menjarakkan dirinya daripada Aifa, dia cuba
menarik kembali kakinya. Aifa bagaikan tersedar apabila Hakimi bersuara
lantang, dia sedar di hadapannya kini bukanlah ibunya tetapi Ikmal Hakimi.
“Ja..jangan
tinggalkan saya Kimi, saya takut.” Suara Aifa kian sebak, dia bagaikan sukar
untuk menyusun kata.
“Awak
ni kenapa Aifa? Tiba-tiba aje jadi macam ni? Lepaskan kaki sayalah.” Hakimi
cuba berlembut.
“Tak
nak, saya takut. Jangan tinggalkan saya. Tolonglah.” Rayu Aifa lagi, dia takut
peristiwa lama berulang kembali.
AIFA meraba-raba kawasan di sekitarnya,
dia cuba mencari Aizam. Sewaktu menghabiskan kerja sekolah, secara tiba-tiba
bekalan elektrik terputus. Sudahlah ibu dan ayah tiada di rumah.
“Abang
di mana?” Jerit Aifa.
“Ada
di sini. Kejaplah abang nak cari lampu suluh.”
“Jangan,
Aifa takut! Jangan tinggalkan Aifa.”
“Abang
cari lampu suluh kejap aje, cuba Aifa duduk senyap-senyap. Nanti abang datang.
Abang janji, kejap aje abang cari lampu suluh.”
Aifa
berpura-pura tenang, dia masih duduk di atas sofa, setia menanti Aizam.
Manik-manik peluh di dahi dikesat, dia sendiri tidak tahu peluh itu terhasil
kerana panas atau kerana dia sedang bimbang kini. Andai punya alat untuk
mengukur tahap kebimbangannya pasti alat itu akan menunjukkan bacaan paling
tinggi.
Aifa
kian resah, rasanya sudah lama dia menunggu abangnya. Sudahlah persekitarannya
gelap, di tambah pula waktu malam sebegini.
“Aifaaaa…”
Kecut
perut Aifa mendengar namanya dipanggil, rasanya itu bukan suara abangnya. Aifa
memejamkan mata, enggan melihat sekeliling. Matanya ditutup lama, setelah yakin
tiada lagi suara yang memanggilnya, Aifa kembali mencelikkan matanya.
Tegak
bulu romanya apabila matanya menangkap kehadiran ‘sesuatu’ di hadapannya.
Semuanya putih!
“Ibuuuuuuuuuuuu!”
Jeritnya sekuat hati. Aifa dapat merasakan degupan jantungnya kian berdegup
kencang. Dia kembali membuka mata dan bayangan makhluk putih masih di situ.
Aifa menjerit lagu sehinggalah dia rebah tidak sedarkan diri.
RENIK peluh di dahi Aifa kian hebat, dia
gelabah dan takut peristiwa lama berulang kembali.
“Aifa,
awak okey ke ni?”
Aifa
menggeleng-gelengkan kepalanya. Cukuplah sekali dia terkena. Biarpun bayangan
makhluk putih itu hanya lakonan abangnya tetapi peristiwa itu melekat di
mindanya sehingga menyebabkan dia trauma dengan gelap.
Pandangan
mata Hakimi masih tidak berganjak daripada memerhatikan tingkah laku Aifa.
Pelik benar dia melihat gadis itu, selalunya gengster mengalahkan Ah Long
mengutip hutang tetapi kini pengecut bagaikan kanak-kanak berusia setahun yang
ditinggalkan keseorangan.
“Awak
ni kenapa? Boleh lepaskan kaki saya tak? Saya dah kebas ni, saya nak duduklah.”
Hakimi
melepaskan keluhan berat apabila Aifa enggan melepaskan kakinya, tanpa kata dia
merentap kakinya sehingga pegangan kuat Aifa terlerai. Dia menjauhkan diri
daripada Aifa.
“PleaseKimi, jangan tinggalkan saya
seorang. Saya takut, tolonglah. Nanti makhluk tu datang ganggu saya.” Aifa
merayu.
“Apa
yang awak merepek ni? Sudahlah malas nak layan.” Hakimi bersandar di penjuru
lif, dia mahu menjauhkan diri daripada Aifa. Jika tidak pasti kakinya menjadi
mangsa Aifa. Dia memejamkan matam cuba menenangkan hati.
Telinga
Hakimi dapat menangkap tangisan Aifa yang kian menjadi-jadi. Rasanya Aifa tidak
main-main kali ini, dia bagaikan takut dengan situasi sekarang. Aifa takutkan gelap
ke? Persoalan itu yang bermain di mindanya kini.
Hakimi menyusun langkah mendekati Aifa, dia
mengambil tempat di sisi gadis itu. “Okey, saya temankan awak di sini.” Hakimi
berjanji.