Aizam mengetuk
pintu bilik adiknya. Selepas mendapat kebenaran daripada Aifa, barulah dia
memulas pintu bilik dan melangkah masuk ke dalamnya. Entah mengapa malam ini
dia begitu skema! Kalau selama ini dia hanya menerjah masuk bilik adiknya tanpa
mengetuk pintu tapi kali ini dia bagaikan orang yang paling skema. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah
selepas menghantar Mazliana pulang, hatinya diterjah pelbagai perasaan. Gembira,
khuatir dan perasaan yang dia sendiri tidak tahu untuk diertikan!
Tanpa sebarang kata Aizam terus
sahaja duduk di atas sofa, di sebelah adiknya. Aizam melepaskan keluhan berat,
dia sendiri susah untuk melahirkan rasa hatinya kini. Dia gembira dengan
keputusan ibunya untuk mempercepatkan pernikahannya dengan Mazliana tetapi
bukanlah secepat ini! Mazliana sendiri terkejut dengan keputusan ibunya.
Aifa hanya memandang wajah kelat
abangnya itu, bagai teh yang tidak dimasukkan gula sahaja gayanya. Tumpuannya
kini bukan lagi kaca TV.
“Abang dah hantar kak Maz balik
rumah ke?” Aifa cuba memecahkan kesunyian yang hadir antara mereka. Dia berasa
pelik kerana selama ini andai mereka bersama-sama pasti sahaja bergegar rumah
ini gara-gara mereka tapi kini abangnya itu diam seribu bahasa.
Aizam hanya mengangguk. Tiada
jawapan yang keluar dari mulutnya itu, gayanya bagai sedah kehilangan suara.
“Peti suara abang rosak ke?” Aifa
cuba untuk bergurau. Opss baru dia teringat secara tidak sengaja dia telah
terpinjam kata-kata Ikmal Hakimi! ‘Aduh, tiba-tiba aje terpinjam kata-kata dia!
Ah, dia bukan tahu pun!’ Desis hatinya. Bayangan Hakimi cuba diusir jauh,
diberi perhatian kepada abangnya kini.
“Tadi abang cari klinik peti suara
tapi tak ada, Aifa tahu tak klinik mana yang ada perkhidmatan peti suara?”
Aizam turut sama melayan keletah adiknya, terubat jua hatinya yang sedang
runsing.
“Ada pun suara ingatkan tadi peti
suara dah hilang.”
Aizam hanya tertawa kecil cuba
menyembunyikan gelisah yang kian bersarang di hati. Aifa pelik melihat sikap
abangnya itu, suruh kahwin pun muka dah macam jemput-jemput pisang digoreng
petak-petak. ‘Aduh, macam-macam betullah abang ni!’
“Abang setuju ke nak kahwin hujung
tahun ni?” Aifa cuba berbincang dengan abangnya. Selama ini mereka berdua
sememangnya rapat, Aifa merupakan tempat Aizam bercerita dan meluahkan perasaan.
Aifa juga begitu, Aizamlah tempat dia meluahkan rasa hatinya ketika suka
mahupun duka. Malah sewaktu dia putus tunang dulu acap kali sahaja bahu
abangnya menjadi mangsa. Waktu itu sapu tangan Aizam acap kali sahaja basah
apabila dipinjamkan kepada Aifa. Biarpun jarak umur yang jauh dan berbeza
jantina, namun ini sama sekali tidak menghalang dua beradik ini agar saling
memahami.
“Entahlah Aifa, abang rancang nak
kahwin hujung tahun depan.”
“Apa yang abang nak risaukan?
Lagipun semua persiapan ibu dan ayah yang sediakan. Sempat aje kalau nak
langsung hujung tahun ni. Perkara yang paling penting sekarang ni adalah diri
abang sendiri. Abang perlu bersedia fizikal dan mental. Lepas abang kahwin
tanggungjawab dah bertambah, abang perlu bertanggungjawab pada isteri abang.
Aifa rasa abang berkemampuan, gaji abang lebih dari cukup untuk keperluan abang
dan kak Maz.” Lembut sekali Aifa memberi nasihat. Lagaknya seolah-olah dia
sudah berkahwin.
Aizam hanya diam, dia cuba untuk
memamah setiap butir nasihat adiknya. Aifa memandang abangnya sekilas sebelum
menyambung ‘ceramah’nya.
“Lagipun
ada hikmah ibu nak cepatkan pernikahan abang dengan kak Maz. Sekurang-kurangnya
lepas ni abang tak tanggung dosa keluar berdua-dua dengan anak dara orang.
Hari-hari main mata dengan anak dara orang, hari-hari makan berdua-duaan dengan
dia. Sekarang ni Aifa nak tahu abang ada masalah ke kalau kahwin hujung tahun
ni?” Aifa memandang abangnya, merenung anak mata milik lelaki itu, cuba mencari
sinar keikhlasan daripada jawapan yang bakal diberikan.
“Abang takut susahkan ayah dan ibu.
Mesti ayah dan ibu perlu rushing
untuk persiapan perkahwinan tu.”
“Abang
ni, kalau Aifa cakap abang ni kurang cerdik rasa macam tak patut pula sebab
doktor pakar macam abang mesti cerdik. Sebelum ibu buat keputusan, ibu dah
fikir baik buruknya. Abang tak perlu risaulah. Ibu yakin dia sempat buat
persiapan untuk majlis perkahwinan abang, lagipun itu yang ibu cakap pada Aifa
semalam, dengan bantuan ayah, abang dan Aifa, rasanya insya-Allah kita sempat.”
“Oh, Aifa dah bincang dengan ibu
semalam tapi tak cerita pada abang pun!” Aizam pantas mencubit geram lengan
Aifa. Adiknya mengaduh dek cubitan Aizam itu. Dia tidak peduli, semakin adiknya
mengaduh semakin kuat pula cubitannya. Dia benar-benar geram kerana Aifa
menyembunyikan perbincangannya dengan ibu semalam.
“Sakit, janganlah!” Tangan Aifa
pantas sahaja menghalang Aizam daripada terus-menerus mencubitnya.
“Kenapa rahsiakan daripada abang?
Seronok-seronok aje Aifa bincang dengan ibu tapi rahsiakan daripada abang.”
Protes Aizam. Selama ini tiada rahsia antara mereka berdua, tapi kini?
Aifa menjuihkan bibirnya. “Aifa dah
janji dengan ibu supaya rahsiakan daripada abang. Amanah tu, mana boleh
beritahu abang. Lepas aje abang cakap nak bawa kak Maz, terus aje ibu beritahu
pelan ibu. Lagipun ada baiknya ibu cepatkan pernikahan abang, takkanlah kita
nak biarkan pisang berbuah dua kalikan?”
Berkerut dahi Aizam memikirkan
maksud tersirat di sebalik kata-kata Aifa.
“Aifa dulu pernah putus tunangkan?
Ibu tak nak benda yang sama jadi pada abang.” Aifa menarik nafas dalam sebelum
meneruskan percakapannya. Dia cuba menenangkan hatinya yang kian berkocak
hebat. “Lagipun tak elok bercinta lama-lama macam-macam boleh jadi. Abang ambil
Aifa sebagai contoh pun dah cukup. Bercinta daripada sekolah tapi baru aje
bertunang setahun waktu belajar di universiti dah putus. Tak elok bercinta
lama-lama abang, banyak dugaannya.” Aifa kian sebak, suaranya kian serak.
Empangan air matanya tidak dapat ditahan lagi, titisan air mata kian merembes
di pipinya. Kesabaran yang dia cuba tahan dari tadi akhirnya pecah jua. Sedih memikirkan kisah silamnya, pedih yang
tercipta benar-benar meruntun jiwanya.
Pedih yang ditanggung kian lama
semakin meruntun jiwanya. Mengapa dia yang harus melalui semua ini? Cinta yang
dibelai penuh kasih selama ini akhirnya dikhianati. Benteng kekuatan Aifa
akhirnya pecah jua, dia menangis sepuas-puasnya. Biarpun dia pernah berjanji
tidak akan lagi menangis hanya kerana seorang lelaki yang bernama Safwan, tetapi
entah mengapa dia benar-benar lemah hari ini. Dia menangis sepuas-puasnya.
‘Keluarlah air mata, keluarlah sepuas-puasnya.’ Biarlah ini kali terakhir dia
menangis kerana lelaki itu. Lelaki seperti itu sama sekali tidak layak untuk
diingati dan dicintai.
Pernah jua Aifa berjanji pada
dirinya sendiri supaya tidak menangis lagi kerana lelaki itu, tetapi benteng
kekuatannya hari ini benar-benar lemah, mudah sekali rebah. Saat Aizam mengesat
lembut air mata yang masih mengalir, terus sahaja Aifa memeluk abangnya itu.
Dilepaskan segala-galanya yang mencengkam jiwa. Dipinjam bahu abangnya itu
untuk melepaskan keluh-kesah jiwa. Parah sekali andai dikhianati. ‘Wahai hati
tolonglah kuat!’ Desis hatinya.
“Aifa, kena kuat. Jangan macam ni,
risau abang tengok. Kenangan dulu hanya sekadar pengalaman kepada kita bukannya
sebagai pelemah semangat kita. Pengalaman baik kita jadikan sebagai batu
loncatan, pengalaman buruk kita jadikan sebagai pengajaran. Pengalaman tak
boleh dibeli sayang. Abang tahu Aifa kuat, ingat janji kita dulu, no more tears for that man. You had promised
me before right?” Lembut Aizam memujuk, tangannya mengusap lembut belakang
Aifa.
Dia
tahu perasaan yang bersarang di hati adiknya. Usahkan Aifa, dia juga terasa
apabila lelaki yang mencintai Aifa dari sekolah menengah mengkhianati adiknya
saat hubungan mereka sudah diikat dengan tali pertunangan. Ikatan yang selama
ini disangka kuat akhirnya putus jua. Bukan ini yang dipinta, tetapi
sekurang-kurangnya dia bersyukur kerana Safwan menunjukkan belangnya sewaktu
mereka bertunang, andai sahaja mereka sudah berkahwin dia sendiri tidak dapat
membayangkan perkara yang akan berlaku pada Aifa. Mungkin sahaja mereka akan
bercerai-berai.
“Kita memang akan ditemukan dengan
pasangan yang salah terlebih dahulu sebagai pengajaran buat kita. Kalau Aifa
buat macam ni, nampak sangat yang Aifa lemah. kalah pada Safwan. Jangan jadi
bodohlah adik! Safwan sedap-sedap aje berkepit dengan perempuan lain, Aifa pula
menangis macam ni. Tak ada faedahnya, cuba Aifa bangkit, bagi peluang pada diri
sendiri. Aifa muda lagi, jangan sia-siakan masa depan Aifa sebab manusia tak
guna macam tu. Buang masa aje.” Aizam mengangkat muka Aifa daripada terus
meminjam bahunya. Kedua-dua tangannya memegang pipi Aifa, lembut tetapi tegas.
“Dengar cakap abang, Aifa sayang
abangkan?”
Aifa mengangguk lemah. “Aifa sayang
ibu dan ayahkan?” Aifa mengangguk lagi.
“Kalau sayang kami semua tolonglah,
kali ini aje abang minta. Tolong hentikan semua prinsip salah Aifa ini. Prinsip
yang nak menunjukkan ego! Prinsip mampu hidup tanpa lelaki! Prinsip apa tu?
Tolonglah Aifa, dah berapa kali abang nasihat tapi kali ni tolonglah dengar
cakap abang.” Suara Aizam separuh merayu. Mata berair adiknya ditenung penuh
kasih, cuba menyalurkan kekuatan.
“Setiap orang di muka bumi ini
dicipta berpasangan. Aifa pernah belajarkan? Gagal dalam cinta pertama tak
bererti kita akan gagal dalam cinta selamanya!” Aizam mengesat lembut air mata
yang masih bersisa di pipi adiknya, dia benar-benar mengharapkan segala
nasihatnya selama ini dapat menyuntik semangat Aifa untuk berubah, supaya
kembali menjadi Aifa seperti sebelum ini. Hanya itu harapannya.
Tangan Aizam yang masih berada di
pipi digenggam. Kasih sayang yang bersarang di jiwanya buat lelaki yang
dipanggil abang itu usah dipertikai. Dia tahu Aizam mahukan yang terbaik untuk
dirinya, tetapi entahlah pengalaman lalu tidak dapat mematangkannya. Peristiwa
itu benar-benar menghancurkan hatinya. Sedih usah dikata, hampir setiap malam
dia menangis saat mengetahui Safwan mengkhianatinya. Saat ibunya memulangkan
cincin pertunangan, hampir setiap masa dia termenung. Entah dimana silapnya dia
sendiri tidak pasti. Tetapi apa yang pasti kini hatinya sudah tertutup untuk
mana-mana lelaki sekalipun. Sukar benar untuk dia mengubah kenyataan itu
walaupun baru sahaja Aizam memberi segunung nasihat. Di mulut sahaja dia mampu
mengata ya, tetapi tidak di hati.
“Abang, maafkan Aifa.” Aizam
mengeratkan genggaman tangan Aifa, cuba menenteramkan adiknya. Aifa pantang
menangis, andai dia mula menitiskan air mata, susah sekali untuk berhenti.
Malah adiknya itu diberi gelaran ratu air mata oleh rakan-rakannya.
“Sudahlah sikit-sikit, simpan sama
air mata tu nanti kering nak cari ganti di mana?” Aizam sempat bergurau, tidak
sanggup untuk melihat air mata itu untuk terus menitis. Ternyata gurauan Aizam
berhasil, akhirnya Aifa tersenyum. Biarpun senyuman itu hanya seketika, biarpun
senyuman itu tidak semanis biasa namun itu sudah cukup membuatkan Aizam lega.
“Tahu pun senyum, ingatkan kambing
dah curi senyuman tu.”
Aifa menampar geram lengan abangnya,
masih ingin bergurau walaupun dia dalam mood ‘banjir’. Tetapi dia mengaku
hatinya sedikit sebanyak terhibur juga, untuk ke sekian kalinya Aifa mengesat
sisa air matanya. ‘Nyahlah air mata. Janganlah turun lagi sebab lelaki macam
tu, tiada gunanya. Ya, tiada gunanya. Selamat tinggal Safwan, selamat tinggal
buat selamanya.’ Tekad Aifa. Dia sudah berazam, selepas ini lelaki itu tidak
akan sama sekali menjadi punca dia menitiskan air mata, tidak sama sekali.
“Abang, Aifa mengantuklah.”
“Amboi, habis menangis terus halau
abang keluar nampak!” Aizam menjegilkan matanya. Aifa kembali tersenyum buat ke
sekian kalinya, tangisnya kian reda. Tekadnya hampir menjadi nyata.
“Bukan halau tapi usir!” Ujar Aifa
dengan riak muka tidak bersalah.
“Okey, nanti abang tak nak masuk
bilik ni lagi.” Aizam mengugut tetapi hakikatnya dia gembira melihat perubahan
adiknya. Biarpun tidak seceria sebelumnya namun ini sudah cukup menenangkan
hatinya.
“Lagi seronok.” Balas Aifa selamba.
“Ingatkan abang masuk bilik ni tadi
sebab nak minta nasihat Aifa, nak tenangkan hati. Rupa-rupanya abang yang kena
bagi nasihat, kena tenangkan orang tu. Asyik menangis aje kerjanya.” Aifa sudah
muncung sedepa.
“Okey, abang nak masuk tidurlah. Mengantuk.”
Belum sempat Aizam menapak, Aifa sudah memegang erat tangannya.
“Apa keputusan abang? Masih dengan
rancangan ibu atau rancangan abang sendiri?” Aifa bertanya, sayu sekali
suaranya.
Aizam menarik nafas panjang sebelum
melepaskannya semula. “Abang ikut ibu, ada baiknya ibu buat macam tu, Aifa
jangan risaulah, insya-Allah, perkara lama tak akan jadi kembali.” Tenang Aizam
menjawab, Aifa pula mengangguk mengiakan kata-kata abangnya sebelum tersenyum.
Aifa melihat kelibat abangnya
sehingga hilang dari pandangan. Alat kawalan jauh dicapai lantas dis mematikan
suis TV. Moodnya hilang sama sekali untuk menonton TV. Selepas mengunci pintu
bilik, Aifa berbaring di atas katilnya. Kata-kata abangnya terngiang-ngiang di
minda.
‘Mengapa susah sangat untuk dia
melupakan Haris Safwan?’ Hatinya berbisik. Bantal di tangan ditumbuk geram. Dia
membayangkan bantal itu sebagai Safwan.
‘Tak guna punya lelaki!’ Hamunnya di
dalam hati. Aifa mengeluh lagi. Hatinya
benar-benar terluka tika ini, tanpa sedar pipinya kian basah. Matanya terlalu
sukar untuk dia memejamkan mata, tetapi untuk mengeluarkan air mata mudah pula!
Tanpa diundang kenangannya bersama-sama Safwan kembali bertamu di minda. Puas
dia mengusir, namun kenangan itu kian hebat menjelma. Dia sudah letih,
benar-benar letih melayan setiap perkara yang punya kaitan dengan lelaki itu!
Malam itu mindanya Cuma tertumpu pada suatu benda, Haris Safwan!
Aifa hanya membiarkan air mata yang
kian galak mengalir, dia sudah tidak berdaya untuk menghalang. Biarlah!
Aifa cuba memujuk matanya agar lena
tetapi sia-sia, kian dipaksa kian menjadi-jadi tangisnya. Sudahnya tika angka
jam menginjak ke angka lima barulah dia mampu melelapkan mata.