AIFA keluar untuk
menghirup udara pagi. Cuti hujung minggu begini sememangnya ditunggu. Kelmarin
juga dia sudah berehat sepanjang hari. Dia diberi cuti sakit kelmarin. “Awal kau bangun.”
Aifa terkejut saat suara itu
menyapanya. Aifa tersenyum kepada pemilik suara itu. Dia terhutang budi pada
lelaki itu, andai sahaja lelaki itu tidak membantunya, pasti kepalanya
terhantuk ke bawah. Menurut Amira, lelaki itu yang menyambutnya sebelum dia
jatuh ke lantai kelmarin.
“Saja bangun awal, seronok juga
hirup udara pagi-pagi ni.” Aifa berkata ramah. Rasanya inilah kali pertama dia
berlembut dengan lelaki itu. Semalam dia sudah berazam, dia tidak mahu
berperang dengan lelaki itu lagi. Azamnya dia mahu berkawan dengan Ikmal Hakimi
seperti dia berkawan dengan Syafiq. Ada benar kata-kata Aizam, bukan semua
lelaki sama seperti Safwan.
“Dah sihat?”
“Alhamdulillah, kepala tak adalah
rasa berat macam sebelum ni.” Terang Aifa. Suaranya masih dikawal. Lagipun
lelaki ini juga kelihatannya seperti mahu berbaik dengannya.
Hakimi tersenyum. “Tak sangka pula
minah gengster macam kau boleh pengsan! Tak rocklah beb!” Hakimi tertawa. Aifa
memandang Hakimi dari atas sehingga ke bawah. ‘Tadi baik sangat!’ Desis
hatinya. Matanya masih ralit memerhati Hakimi yang lengkap berpakaian sukan.
Mungkin sahaja dia hendak ke gymnasium kerana dia memang gemar ke sana sewaktu
cuti hujung minggu begini.
“Minah gengster pun orang juga.”
Nada suara Aifa masih terkawal. Mungkin sahaja Hakimi ingin menduganya dengan
bercakap sedikit kasar.
“Aku tak mimpikan sekarang ni?”
Hakimi seolah-olah bercakap dengan diri sendiri
sambil menampar-nampar pipinya. Dia melihat Aifa mengerutkan dahinya,
pasti gadis itu pelik melihatnya. Tiba-tiba sahaja bercakap tentang mimpi.
“Kenapa?” Tanya Aifa sepatah.
“Selalunya kau ni tak pernah cakap
baik-baik dengan aku, ada aje benda yang kau nak gaduhkan. Kenapa tiba-tiba aje
hari ini lembut betul suara kau. Kau kenapa? Terkena demam kepialu ke?”
Aifa memandang Hakimi geram. Dia
menyabarkan hatinya, mungkin sahaja lelaki itu ingin menduganya. “Cakap
lembutlah elok, baru nampak macam perempuan.” Aifa pura-pura tertawa, hatinya
kian panas. ‘Orang nak berbaik banyak cakap pula mamat ni!’
“Nama kau Aifa Nabilakan? Kau tak ada kembar seiraskan?
Lain betul kau hari ini.” Hakimi memandang Aifa, akhirnya dia tersenyum
sendiri. “Alahai minah gengster, tak sangka pula aku yang kau nak berbaik
dengan aku. Bagai bulan jatuh ke riba betullah!” Hakimi menghamburkan tawanya.
“Sekarang ni dah siang mana ada
bulan!” Tempelak Aifa, dia masih mengawal amarahnya agar tidak meletup di sini.
“Tak sesuailah minah gengster macam
kau nak jadi lembut.”
“Hei, kau dengar sini! Aku susah
payah nak berbaik dengan kau, tapi kau buat hal dengan aku. Sekarang ni siapa
yang cari pasal dengan siapa? Kau jangan ingat aku takut. Aku pun tak inginlah
nak berbaik dengan kau. Orang sengal aje suka cari pasal dengan orang lain.”
Kesabaran Aifa kian menipis.
“Wah, garangnya! Aku dah cakap tadi
orang macam kau tak sesuai nak jadi lembut.” Hakimi sengaja mencurah minyak
pada api kemarahan Aifa.
Aifa menjeling Hakimi sekilas
sebelum mengayun langkah untuk masuk ke dalam rumah.
“Minah gengster, baru semalam kau
minta maaf pada aku, hari ini kau buat pasal balik.” Terhenti langkah Aifa saat
itu jua. Badannya dip sing menghadap Hakimi.
“Hakimi, thanks for everything. Kak Amira cakap kau banyak tolong tadi,
terima kasih banyak ya. Lagi satu tentang pagi tadi, aku nak minta maaf
sangat-sangat.” Hakimi bercakap dalam nada suara yang lembut, meniru gaya Aifa
berbicara melalui telefon semalam. Aifa memandang Hakimi, andai sahaja Hakimi
itu boleh dimakan, pasti dikunyah lelaki itu saat ini juga!
“Kau ni kenapa? Nak cari pasal
dengan aku lagi ke? Semalam aku dah minta maaf, tapi sekarang kau yang cari
pasal dahulu. Maknanya bahagian aku dah lepas, aku dah minta maaf tapi semalam
dahsyat kau perli aku! Sekarang ni kau
pula yang mulakan semuanya. Kau yang cari pasal dulu!” Melenting Aifa apabila
mendengar musuh ketatnya mengajuk cakapnya semalam. Dia berpeluk tubuh sambil
meminjam badan keretanya sebagai tempat bersandar.
Melihatkan Hakimi yang tersenyum
sinis benar-benarkan membuatkan hatinya kian terbakar. Andai sahaja ada
penyukat untuk mengukur tahap kebenciannya pada Hakimi pasti sahaja alat itu
menunjukkan bacaan tertinggi.
“Kau ingat dengan cara kau bersandar
pada kereta macam tu dah macam gengster ke? Tolonglah sikit pun aku tak takut.”
Ejek Hakimi.
“Menyakitkan hati aku aje cakap
dengan kau ni! Aku ingatkan aku minta maaf semalam semuanya akan baik-baik tapi
sebaliknya. Opsss lupa pula aku, mamat sengal mana faham erti maaf.” Nada suara
Aifa juga seakan mengejek.
“Kau sakit hati ke? Kau nak ke aku
dermakan separuh hati aku pada kau? Untung-untung kita boleh berkongsi hati,
romantik gitu! Opsss lupa pula aku, hari itu aku dah berjasa pada kau, kalau
aku derma hati maknanya aku berjasa lagilah.” Hakimi mengejek cara percakapan
Aifa dengan menyebut ‘opsss’. Melihat muka Aifa yang kian tegang membuatkan
hati Hakimi bersorak riang. Suka benar melihat gadis itu marah.
“Berjasa?” Aifa tertawa sinis,
sengaja dia meninggalkan persoalan di situ sebelum dia menyambung percakapan.
“Aku hargai orang yang berjasa pada aku dan dia ikhlas!” Ditekankan pada
perkataan ikhlas.
“Kalau setakat tak ikhlas dan
mengungkit depan aku, tak ada guna juga.” Tambah Aifa lagi.
“Kau
ahli nujum ke yang boleh nilai keikhlasan orang? Keikhlasan itu umpama seekor
semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi
amat sukar dilihat. Kau yakin ke yang aku tak ikhlas, kalau betul aku tak
ikhlas lebih baik aku biar aje kau tidur atas lantai tu.” Sempat lagi Hakimi
menggunakan kata-kata hikmah. Sebolehnya dia mahu berdebat seperti seorang
peguam biar musuh ketatnya itu kalah,
sesedap hatinya sahaja dia tidak ikhlas!
Aifa
menjuihkan bibirnya. “Memang aku bukan ahli nujum tapi kalau orang tu asyik
sebut perkara yang dia dah buat, ikhlas ke namanya?” Aifa memandang Hakimi
dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Dia benci lelaki itu tetapi terselit
juga perasaan terhutang budi. Andai sahaja lelaki itu tidak menolongnya pasti
sahaja ayah atau ibunya perlu ke pejabat untuk mengambilnya. Tetapi entahlah
perangai lelaki itu benar-benar membakar hatinya!
“Aku
tak pernah sebut dan aku tak pernah ungkit. Kau yang buat aku sebut balik! Aku
memang ikhlas, biarpun kau tu selalu aje sakitkan hati aku tapi aku ni ada hati
perut, aku kesian juga tengok kau! Ingat tak pagi kelmarin waktu aku tanya kau
sihat ataupun tak? Waktu tu aku ikhlas tanya kau, aku cakap baik-baik tapi apa
yang kau buat? Sebab kepala batu kau itulah kita gaduh. Kalau kau tak melawan,
kau cakap baik-baik aku pun tak akan naik angin. Kalau ikutkan hati aku yang
memang panas lepas kau gaduh dengan aku, tak ingin aku nak tolong kau! Biar kau
tergolek di situ juga. Tapi waktu itu siapa yang sambut kau daripada jatuh?
Kalau aku lambat mungkin kepala kau dah kena jahit kau tahu tak? Itu ke yang
kau kata tak ikhlas?” Panjang Hakimi berceramah, tercabar egonya apabila Aifa
menuduhnya tidak ikhlas. Dia memang pantang andai ada yang menyebut dia tidak
ikhlas. Ayah dan ibunya sentiasa berpesan supaya hormatkan orang dan ikhlas
dalam setiap benda andai kita mahu orang hormatkan dan ikhlas pada kita.
Hakimi
memandang Aifa, dilihat wajah yang sudah berubah riak itu. Ada riak serba salah
yang terpamer di wajah gadis itu.
“Aku..
Aku tak cakap pun kau..”
“Apa
yang kau tak cakap? Kalaulah aku ada perakam suara dah lama aku rakam, aku
tunjukkan pada kau!” Pintas Hakimi, geram juga apabila Aifa seolah-olah cuba
menafikan percakapannya.
“Kenapa
bising sangat ni!” Tegur Aizam yang berjalan menghampiri Aifa. Dia juga
terkejut sewaktu mendengar suara mereka bergaduh, jelas sekali sampai ke dalam
rumah.
“Kau
orang berdua ni asyik gaduh aje, tak bosan ke?” Tergeleng-geleng kepala Aizam,
boleh kena migraine andai selalu dia
mendengar pertengkaran adik dan jirannya itu.
“Dia
orang ini memang. Kalau bergaduh macam rumah kita kena gempa bumi, bergegar
sakan. Tapi kalau berbaik, aku pula pelik tengok. Semalam setiap saat Kimi
bertanyakan Aifa, risau katanya Aifa tiba-tiba pengsan! Dia sampai suruh aku call
Zam tanya tentang Aifa.” Tambah Syafiq lagi. Dia yang berdiri di tepi pintu
tadi secara tidak sengaja terdengar peperangan mereka.
“Kimi
suruh kau call aku?” Berkerut dahi
Aizam, pelik juga dia memikirkan kata-kata jirannya itu. Kenapa sampai perlu
mengambil tahu sebegitu? Sedangkan Hakimi sendiri mendengar penjelasan doktor
yang merawat Aifa sebelum dia pulang ke pejabat.
Rahsianya
sudah bocor! ‘Tak guna punya kawan, tak boleh harap!’ Hamunnya di dalam hati.
“Apa yang
dimalukan Kimi, kalau suka buat aje cara suka! Aku ni wali dia, kalau aku cakap
on, kita langsungkan aje.” Tawa Aizam
dan Syafiq bersatu.
“Abang
jangan nak perasan, ayah wali untuk Aifa.” Potong Aifa sebelum abangnya
mengarut yang bukan-bukan.
“Kau
orang ni asyik gaduh aje, nanti tersayang baru tahu. Silap-silap rakan serumah
aku bawa beg masuk rumah sebelah.” Tambah Syafiq lagi, sengaja menambah perisa
pada gurauan Hakimi.
“Yes that right, give me five.” Seronok
benar Aizam apabila Syafiq berada di sebelahnya.
“Dengan mamat sengal ni? Tolonglah, tak ingin
langsung! Kalau Aifa kena tunggu seribu tahun untuk kahwin dengan lelaki lain
pun Aifa sanggup. Asalkan bukan dengan dia ni!” Aifa menuding jari ke arah
Hakimi.
“Kalau
aku pula, aku lebih sanggup tunggu sejuta tahun untuk kahwin dengan perempuan
lain daripada kahwin dengan kau!” Hakimi mengajuk kata-kata Aifa, tetapi
ditukar pada seribu menjadi sejuta. Biar gadis itu tahu, andai dia tidak sudi
Hakimi pula sejuta kali tidak sudi.
“Hei,
kau ingat kau bagus sangat ke?” Aifa kembali bercekak pinggang di hadapan
Hakimi.
“Sudah-sudah.
Tak elok gaduh-gaduh. Hari itu Aifa janji apa dengan Fiq?” Sengaja Syafiq
memancing perhatian Aifa daripada terus berperang dengan Hakimi. Dia sudah tahu
Aifa pantang berperang dengan lelaki, pasti dia akan hancurkan musuh-musuhnya
selumat-lumatnya.
“Janji
apa?” Tanya Aifa acuh tak acuh. Perhatiannya masih buat musuh ketatnya.
Dipandang Hakimi dengan pandangan tajam.
“Aifa
janji nak buat tomyamkan? Upah sebab Syafiq tukarkan tayar kereta.”
“Baru
ingat. Kejap lagi Aifa buatkan.” Aifa
memetik jarinya seolah-olah baru teringatkan janjinya.
“Ingat
tau jangan letakkan makanan laut
nanti tak pasal-pasal orang sebelah ni alergik
pula.” Syafiq menudingkan jarinya ke arah Hakimi sambil tertawa kecil.
“Kau
alergik dengan makanan laut Kimi? Tak pernah cakap
pun.” Tanya Aizam kurang percaya. Aifa pula buat muka seolah-olah tidak peduli,
dia bukan memasak untuk lelaki itu!
“Macam
mana nak cakap, kita tak pernah makan semeja pun.” Balas Hakimi acuh tak acuh.
Dia masih panas hati dengan Aifa.
“Okey,
Aifa nak pergi beli barang untuk masak tengah hari ni.” Aifa meminta diri,
daripada dia terus memandang Hakimi lebih baik dia meminta diri. Tenang sikit
hatinya! Aifa teringatkan sesuatu, kunci kereta dan beg duitnya masih berada di
dalam rumah.
“Biar
abang yang drive,masuk dalam rumah
ambil kunci kereta abang.” Langkah Aifa mati sebaik sahaja mendengar arahan
Aizam.
“Aifa
boleh drive sendiri.” Aifa memandang
Aizam, jangan hanya kerana dia pengsan dua hari lepas, lesen memandu keretanya
ditarik balik untuk seminggu! Abangnya itu memang, sengaja menempah perang!
“Biar
abang yang drive, kalau tak jangan
keluar langsung!” Tegas Aizam bersuara. Aifa memandang abangnya, andai suara
Aizam sudah berubah tegas, dia tidak mampu melawan lagi.
“Zam
nanti jangan lupa beli ubat cirit-birit sekali. Mahunya kau orang sakit perut
setahun kalau minah gengster tu yang masak.” Balas Hakimi selamba, tidak
dipedulikan jelingan tajam Aifa.
“Kau jangan risau
sebab kau tak akan sakit perut, aku nak masak untuk keluarga aku dan Syafiq,
bukannya untuk kau.” Bidas Aifa geram. Sebelum melangkah masuk, dia sempat
menjelirkan lidah kepada Hakimi.
“Aku masuk
dululah.” Hakimi pula meminta diri. Dia terasa bagai ingin mandi sekali lagi
walaupun dia baru sahaja mandi. Panas hatinya masih belum berkurangan.
“Kimi.” Langkah
Hakimi terhenti saat namanya dipanggil Aizam. Dia memandang Aizam.
“Kalau kau nak
jadi adik ipar aku boleh aje. Aku gerenti ibu dan ayah aku setuju.” Sakat
Aizam.
“Terima kasih
ajelah bakal abang ipar tak jadi.” Ditekankan pada perkataan ‘tak jadi’. Pantas
sahaja langkahnya diatur untuk masuk ke dalam rumah, enggan lagi dia dijadikan
bahan usikan.
Aizam dan Syafiq
hanya melihat pasangan merpati tak sejoli itu melangkah masuk ke dalam rumah.
“Sudah lama aku
kenal dengan Kimi, dari zaman universiti lagi. Aku rasa dia jarang bergaduh.”
Tutur Syafiq, dia juga hairan melihat rakannya yang selama ini sangat menjaga
tutur kata tiba-tiba sahaja berubah, bagaikan sudah mahir di pentas perang
mulut.
“Macamlah kau tak
kenal Aifa, semua lelaki yang kenal dengan dia mesti pandai gaduhlah! Orang
yang selama ini lembut pun boleh jadi juara berperang!” Aizam tertawa, cuba
menyembunyikan resah di hati. Hakikatnya dia juga runsing, Aifa memang gemar
berperang mulut dengan lelaki!
“Aku ada cara
untuk baikkan hubungan Aifa dengan Kimi. Kau nak tolong aku tak?” Syafiq
memberi cadangan, apabila terpandangkan kepala Aizam yang sudah
terangguk-angguk bersetuju, hatinya berbunga riang. Pantas sahaja dia
menceritakan pelannya sebelum mereka terkantoi dengan Aifa dan Hakimi. Rahsia
ini tidak boleh sampai ke pengetahuan mereka berdua.
“Okay, aku setuju.” Sambut Aizam.
“Rahsia kita
berdua aje. Deal?” Tambah Syafiq
sambil menghulurkan tangan sebagai tanda perjanjian.
“Deal.”Aizam menyambut huluran tangan
Syafiq, digenggam erat tangan lelaki itu. Tekadnya Cuma satu dia ingin melihat
Aifa melupakan dendamnya terhadap lelaki.