AIFA
melangkah keluar dari kedai menjual buku dan alat tulis dengan wajah yang masam
mencuka. Puas mindanya bermain teka-teki, rupa-rupanya Hakimi membawanya ke
kedai itu dan dia dipaksa membayar harga buku motivasi yang disiramnya bersama
Hakimi tempoh hari! Ini tidak adil, sesedap hatinya sahaja!“Cepatnya
kau jalan.” Hakimi cuba menyaingi langkah Aifa.
“Kau
cakap nak bawa aku ke tempat istimewa. Ini ke tempat istimewa tu? Sudahlah kau
suruh aku bayar harga buku kau! Tak patut betullah kau ni!”
“Kau
nak pergi mana tu?” Hakimi kalut apabila dia melihat Aifa berjalan bertentangan
dengan arah tempat letak keretanya.
“Aku
nak balik naik teksi! Kau jangan ganggu aku! Aku tahu apa yang aku buat, aku
boleh balik sendiri!”
Cekap
sahaja Hakimi berlari dan sudahnya memintas langkah Aifa. Wajah marah itu
dipandang. Aifa mendengus kasar. “Tolong jangan halang jalan aku.” Aifa
bersuara tetapi Hakimi masih berdiri di hadapannya, dia seolah-olah enggan
berganjak dari tempat duduknya sekarang.
“Kimi,
please! Aku nak balik sendiri.”
Suara Aifa separuh merayu.
“Aku
yang bawa kau ke sini, jadi aku yang akan hantar kau balik! Jom ikut aku!”
Hakimi memaksa Aifa mengikut langkahnya lantas ditarik lengan gadis itu agar
mengikutinya. Aifa masih berdegil, dia cuba merentap kasar lengannya daripada
pegangan kuat Hakimi.
“Aku
boleh balik sendirilah!” Aifa masih meronta-ronta minta dilepaskan.
“Encik
kenapa ni? Boleh saya bantu?” Seorang lelaki bertanya Hakimi. Sejak tadi dia
melihat pasangan ini seakan-akan sedang bergaduh. Si lelaki memegang kuat
lengan si gadis, namun si gadis berdegil, lengannya cuba direntap daripada
pegangan si lelaki.
“Tak
ada apa-apalah encik. Isteri saya ni bergaduh dengan saya. Jadi, dia tengah
merajuk. Saya tengah pujuk dia agar pulang ke rumah.” Hakimi mencipta alasan
yang tiba-tiba muncul di fikirannya.
“Bukan
encik, sebenarnya…errr..” Jelingan tajam Hakimi membuatkan kata-kata Aifa mati
di situ sahaja. Dia tidak berani memandang mata milik Hakimi! Dia membatalkan
niat asalnya untuk berterus-terang.
“Kalau
pujuk tu, pujuk elok-eloklah. Tak elok bergaduh depan orang ramai macam ni. Kalau
tak ada apa-apa saya minta diri dulu.” Lelaki tadi berlalu meninggalkan mereka.
Hakimi merenung tajam Aifa.
“Aku
yang bawa kau, jadi sekarang aku yang kena hantar kau balik. Jom aku bawa kau
balik pejabat untuk ambil kereta kau lepas tu aku ikut belakang kereta kau
sampai ke rumah.” Dia bersuara, lagaknya bagai dia suami Aifa sahaja! Sesedap
hati memberi arahan. Aifa menggosok perlahan lengannya kesan cengkaman Hakimi.
Biarpun berlapik, namun dia masih terasa sakitnya!
“Kau
ingat kau tu siapa nak bagi arahan pada aku?” Aifa masih berdegil, panas
hatinya masih belum reda malah semakin meluap-luap apabila Hakimi sengaja
mencipta alasan kepada lelaki yang bertanya mereka sebentar tadi.
“Aku
nak buat baik dengan kau tapi kau sombong dengan aku, keras kepala betullah kau
ni! Aku rasa batu lebih lembut dari kepala kau!” Hakimi memandang tajam Aifa.
Geram betul dengan sifat keras kepala gadis yang seorang ini!
“Orang
macam kau tahu buat baik ke?” Aifa tersenyum sinis. Puas hatinya dapat
menghantar kata-kata sepedih itu kepada Hakimi. Biar pandan muka Hakimi!
Hakimi
memusingkan badan memandangnya, tajam sekali renungan lelaki itu. Hatinya
bergetar hebat. Perasan takut, risau sudah bersatu. Saat Hakimi berjalan
mendekatinya, dia turut sama mengundur langkah ke belakang. Satu, dua, tiga
tapak dan dia tidak mampu bergerak lagi! Langkahnya terhalang oleh kereta yang
diletakkan di situ. Aifa menelan air liur apabila Hakimi merenungnya tajam.
Bibirnya terus kaku, dia bagai hilang kata-kata. Takut juga andai lelaki ini
mengamuk.
“Aku
atau kau yang tak tahu buat baik? Kerja menyakitkan hati orang aje kau ni.
Sekarang ni aku bagi kau dua pilihan. Kau nak pergi ke kereta aku secara
sukarela atau kau nak aku dukung kau? Bila kau keluar dari pejabat dengan aku,
secara automatik kau dah jadi tanggungjawab aku! Kalau apa-apa jadi pada kau,
yang nak kena menjawabnya aku! Jadi, boleh tak kalau kau ikut cakap aku kali
ini! Tolonglah jangan susahkan aku lagi!”
“Aku
ada kaki, aku boleh jalan sendiri!” Aifa menjawab acuh tak acuh. Hakikatnya dia
sendiri resah apabila berdepan dengan lelaki itu. Hatinya bagai melawan perkara
yang difikirkan akalnya. Hatinya bagai sudah cair apabila berdepan dengan
lelaki itu tetapi akalnya tidak membenarkan, kenangan pahit dikhianati oleh
lelaki membuatkan dia lebih berhati-hati. Sudahnya, dipendam rasa hati! Hakimi
musuhnya, musuh jangan diberi muka! Perangnya dengan Hakimi masih belum
selesai!
Hakimi
mengikuti langkah Aifa. Hatinya pelik melihat perangai Aifa, dia bagaikan
memendam suatu perasan benci buat lelaki! Kenapa ya?
AIZAM mengambil
tempat duduk di sebelah Aifa yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
Aifa masih khusyuk menonton.
“Kenapa
tiba-tiba aje senyap ni.” Aizam sengaja membeli mood adiknya. Muka masam Aifa
sudah menjelaskan semuanya. Kalau di meja makan, pasti sahaja mulut bertih jagung
Aifa itu tidak henti-henti berbunyi, bercerita itu dan ini. Tetapi tadi baru
hari pertama kerja mulut bertih jagung adiknya sudah bertukar menjadi mulut
orang terkena ulser, diam sahaja. Apabila ditanya sepuluh patah hanya sepatah
yang dijawab sedangkan sebelum ini tidak bertanya pun ada sahaja jawapannya.
“Abang
baru aje duduk sebelah Aifa tiba-tiba cakap Aifa senyap aje. Baru satu saat
duduk dah bertanya kenapa senyap? Nak cakap hai pun belum sempat!”
Aizam
tertawa kecil mendengar jawapan adiknya. Ini barulah Aifa Nabila, sepatah ditanya tetapi sepuluh
patah jawapannya.
“Ini
baru adik abang, bertih jagung pun kalah!” Aizam ketawa lagi. Aifa mendengus
marah, tawa abangnya itu menyakitkan hatinya. Rasanya mahu dicubit sahaja
abangnya itu. Entah mengapa dia begitu sensitif hari ini pantang dicuit sedikit
pasti melenting, ini mesti pengaruh si mamat sengal itu!
“Macam
mana hari pertama kerja?” Berhati-hati Aizam bertanya, enggan menggores hati
adiknya. Selepas pulang bekerja tadi mood Aifa benar-benar berubah 360 darjah.
“Okey aje.” Aifa menjawab malas. Hatinya
sudah menyumpah si mamat sengal! Dialah manusia yang berjaya mengubah dirinya
menjadi seorang yang moody. Ah, benci!
“Kalau
okey, mulut bertih jagung Aifa tu tak tahu senyap, ada aje benda yang nak
cerita. Ini mesti ada benda yang jadikan?” Teka Aizam. Dia benar-benar ingin
tahu perkara yang terjadi kepada adiknya. Dia yakin pasti ada perkara yang
terjadi kerana adiknya benar-benar berubah. Mulutnya itu biarpun ketika terkena
ulser masih ada loyar buruknya, mulutnya masih bising! Kerana itulah dia pelik,
adiknya senyap sahaja semenjak balik daripada kerja tadi, pasti ada perkara
yang disembunyikan!
“Kenapa
abang cakap macam tu? Salah ke Aifa senyap? Kalau Aifa bising abang suruh diam
katanya mulut macam bertih jagung tapi bila Aifa senyap abang suruh bising
balik!”
Aizam
tersenyum sumbing mendengar bebalan Aifa, nampaknya Aifa sudah kembali! “Seronok
ke hari pertama kerja?” Aizam masih cuba memancing mood adiknya.
“Abang
nak tahu sangat ke?” Aifa bertanya acuh tak acuh. Aizam pula mengangguk-angguk
kepala penuh semangat. Badannya sudah dipusing menghadap Aifa, dia benar-benar
bersemangat untuk mendengar cerita adiknya.
“Kalau
nak tahu Aifa moody sangat tadi sebab tengah geram. Abang tahu tak siapa senior engineer Aifa?” Aifa meninggalkan
tanda tanya kepada abangnya.
“Siapa?
Siapa?” Kalut Aizam menjawab, dia benar-benar teruja. Aifa menghamburkan tawa
melihat wajah ingin tahu abangnya, lawak benar rupanya!
“Aifa!
Abang serius ni! Cepatlah!”
“Marah
pula! Tak nak ceritalah!” Aifa berpura-pura merajuk. Dia berpeluk tubuh sambil
bersandar di sofa.
“Yalah,
adik abang yang comel, abang minta maaf ya. Ceritalah sayang.” Lembut suara
Aizam memujuk.
“Abang
nak tahu sangatkan? Si mamat sengal sebelah rumah tulah senior engineer Aifa. Sepanjang hari dia kenakan Aifa. Sampaikan
waktu makan pun dia kenakan Aifa. Lepas tu boleh pula dia kenakan Aifa di tapak
projek. Waktu perjalanan balik, dia suruh Aifa bayar harga buku dia. Geramnya
abang! Rasa macam nak tampar-tampar aje muka dia!” Aifa melepas geram. Tawa
Aizam kembali terburai sehingga mengalir air matanya! Aifa geram melihat tawa
abangnya yang tidak berhenti itu! Hidungnya sudah kembang kempis menahan marah.
Aifa
bangun sambil bercekak pinggang menghadap abangnya! Sudahlah geramnya buat
Hakimi masih belum hilang, sekarang abangnya pula menambah minyak pada api
kemarahannya. Kalau ini cerita kartun pasti asap sudah keluar dari telinganya!
Aifa merenung tajam abangnya mengharapkan renungan itu mampu mematikan tawa
abangnya. Namun, tawa itu tidak berhenti tetapi semakin menjadi-jadi.
“Abang!”
Suara Aifa meninggi.
Aizam
menutup mulutnya menggunakan tangan, tawanya masih belum reda. Ternyata
tangannya masih tidak dapat membuatkan tawanya itu berhenti. Aizam menarik
nafas panjang. Melihat muncung Aifa yang sudah panjang semeter membuatkan
tawanya terhenti.
“Abang
minta maaf, abang tak ada niat nak ketawa tapi cerita Aifa ni lawaklah. Itulah
lain kali bergaduh lagi dengan dia. Sudahnya berjiran dengan dia dan jadi rakan
sekerja dia. Ada jodoh ni!” Aizam tersenyum nakal. Suka benar dia melihat
adiknya merajuk lagaknya sangat keanak-anakan.
“Sebab
itulah Aifa malas nak cerita pada abang, Aifa dah tahu abang mesti ketawa.
Ingatkan cerita pada abang boleh kurangkan tekanan tapi semakin tertekan
adalah!”
“Sorry!” Aizam meminta maaf.
“Sorry
naik lori!” Aifa semakin panas apabila abangnya langsung tidak kasihan
padanya malah ketawa pula! Arghhh!
“Kenapa
dia pergi tapak projek dengan Aifa?” Aizam cuba memancing hati adiknya kembali.
Dia tahu dia salah kerana ketawakan adiknya itu. Sewaktu Aifa bercerita tadi
dia juga pelik kerana Aifa dan Hakimi adalah rakan sepejabat tetapi kenapa
mereka ke tapak projek bersama-sama sedangkan masih ramai rakan sekerja Hakimi
lain yang punya banyak pengalaman.
“Bos
letakkan Aifa di bawah Kimi.” Wajah Aifa kembali mencuka. Aizam menghela nafas.
Dia sendiri sudah buntu untuk menolong adiknya. Perangai adiknya ini memang
lain macam, dia memang panas dengan lelaki. Sejak dia putus tunang, pantang
sahaja lelaki cuba mendekatinya pasti akan ditembak habis-habisan!
Aizam
bingung memikirkannya, suatu hari nanti Aifa juga memerlukan lelaki dalam
hidupnya. Seorang lelaki yang bergelar suami. Kalau beginilah perangai Aifa,
lelaki manalah yang akan dekat dengannya? Entahlah! Aifa jarang sekali
berlembut dengan lelaki melainkan keluarga dan juga satu-satunya lelaki yang
dia rapat, Syafiq! Apabila ditanya pada Aifa katanya dia selesa dengan Syafiq
kerana mereka sudah lama berjiran, malah dia mengenali Syafiq sebelum kenangan
pahit dengan Safwan lagi. Ada benar juga kata-katanya itu.
“Aifa,
abang rasa abang dah puas nasihatkan Aifa. Suatu hari nanti Aifa perlukan
seseorang dalam hidup. Aifa perlukan suami. Kalau macam inilah perangai Aifa,
garang tak bertempat, ada ke lelaki yang nak dekat Aifa? Tolonglah berubah dik.
Tak semua lelaki sama, jangan kerana Safwan curang, Aifa buat kesimpulan semua
lelaki curang! Cuba tengok ayah setia aje pada ibu walaupun dah hampir tiga
puluh tahun berkahwin.”
Aifa
terdiam. Hatinya sudah menepis manusia yang bernama lelaki ini.
“Abang
cuma boleh nasihat aje. Aifa yang akan tentukan hidup Aifa. Waktu kecil dulu
Aifa cakap nak kahwin muda, kalau asyik gaduh aje dengan lelaki macam mana nak
kahwin muda?”
“Kahwin
muda angan-angan aje tu, kalau dapat memang bestlah. Tapi kalau Aifa nak kahwin
dengan abang boleh tak?” Aifa mula memberikan soalan tidak masuk akal, andai
Pak Pandir mendengar soalannya, pasti sahaja Pak Pandir bengang kerana Aifa
telah merampas gelarannya iaitu juara lurus bendul.
“Soalan
tak masuk akal. Kalau Mr Bean dengan Pak Pandir dengar soalan tu pun dia gelak
guling-guling.” Aizam tertawa kecil. Aifa hanya tersengih bagai kerang busuk,
dia sekadar ingin bergurau dengan abangnya tetapi dianggap serius pula!
“Abang
nak minta sesuatu boleh tak?”
Aifa
memandang abangnya sekilas sebelum mendengus perlahan. Dia sudah dapat mengagak
apa yang abangnya ingin katakana. Pasti sahaja abangnya ingin meminta agar Aifa
memberi kesempatan kepada lelaki. Mulut Aifa kembali muncung sedepa.
“Ini
kenapa pula? Abang belum sempat nak cakap mulut dah muncung macam mulut Donald
Duck?”
Mendengar
sahaja perkataan Donald Duck membuatkan Aifa menghamburkan tawanya. Bibirnya
yang comel disamakan dengan Donald Duck? Tak patut betul!
“Dah
tahu apa yang abang nak cakap. Aifa boleh tak tolong berikan kesempatan buat
lelaki, tak semua lelaki sama. Aifa perlu beri kesempatan pada diri Aifa untuk
mencintai dan dicintai untuk kali kedua. Kalau cinta pertama Aifa gagal, jangan
sesekali anggap cinta seterusnya juga akan gagal. Boleh tak Aifa janji dengan
abang, jangan cari gaduh dengan lelaki lagi?” Aifa meniru gaya percakapan
abangnya, suaranya sengaja diserakkan. Dia masih ingat permintaan abangnya
sewaktu mereka bercuti di Pulau Tioman tahun lepas. Acap kali abangnya berpesan
sehingga dia mampu menghafalnya.
Aizam
mengusap-usap kepala adiknya. Aifa memang selalu menggembirakan harinya, ada
sahaja telatahnya yang akan menghiburkan hati. Kerana itulah dia bengang
apabila Safwan mengkhianati adiknya. Selepas mengetahui Safwan curang, terus
sahaja lelaki itu dibelasah. Sewaktu itu Safwan sudah lembik dikerjakan, akhirnya
Syafiq menenangkannya. Kalau tidak, mungkin saja Safwan dirawat di ICU ataupun
tidak punya kesempatan untuk hidup di muka bumi ini lagi.
Aifalah
racun dan dialah juga penawarnya. Aifalah satu-satunya adik yang dia punya.
Aizam memandang Aifa, direnung mata adiknya itu penuh kasih mengharapkan Aifa
mengerti perasaan kasihnya buat Aifa. Dia cuma ingin Aifa hidup bahagia, anak
dan adik sebaik Aifa berhak untuk hidup bahagia.
“Macam
dah tahu-tahu nasihat abang sampai dah boleh hafal. Bukan sekadar hafal aje
tau, simpan di hati.” Nasihat Aizam penuh ikhlas. Saat dia perasan akan titis
air yang mengalir di pipi mulus adiknya itu, pantas sahaja air mata itu diseka
perlahan. Kepalanya digeleng perlahan mengisyaratkan agar Aifa berhenti
menangis. Tatkala terpandang senyuman Aifa, hatinya kian lega.