PENAT Aizam
berjalan menemani Aifa. Adiknya itu kalau sudah mula membeli-belah bukannya
satu kedai dijelajah, sepuluh kedai pun belum tentu dapat memuaskan hatinya.
Masuk kedai pertama, tidak minat! Katanya baju terlalu ikut bentuk badan. Masuk
kedai kedua, masih sama, tidak minat! Katanya baju terlalu banyak labuci. Masuk
kedai ketiga, tidak minat juga! Katanya warna baju terlalu terang. Masuk kedai
keempat, masih sama tidak berminat! Jika tadi baju terlalu terang, sekarang
alasannya baju terlalu pudar. Aduh, dia sendiri tidak tahu cita
rasa Aifa. Susah benar mahu mencari baju yang menepati cita rasi gadis itu.
Lebih baik dia mengambil kursus menjahit baju dan dia dapat menghasilkan
sendiri baju yang diminatinya.
“Lambat lagi ke? Lepas ni Aifa beli
baju hujanlah. Senang sikit! Tak payah guna payung. Ataupun, Aifa beli baju
tidur pergi kerja. Balik aje dari kerja terus tidur, bangun aje tidur boleh
terus pergi kerja. Tak payah nak beli baju banyak-banyak.”
Jelingan tajam yang dihadiahkan Aifa
tidak dipedulikan. Perkara yang lebih penting sekarang, kakinya sudah kebas.
Sudahlah Aifa berseronok membeli-belah, barang-barang yang dibeli dia juga kena
pegang. Nasib menjadi seorang lelaki, andai dibiarkan Aifa memegang sendiri
barangnya, dicop lelaki tidak gentelmankatanya. Mulut manusia, bukannya
boleh ditutup.
“Kalau abang bosan, tinggalkan aje
Aifa di sini. Nanti pandai-pandailah Aifa balik sendiri naik teksi.” Ujarnya
tanpa memandang sekilas pun pada Aizam. Tumpuannya hanyalah pada baju yang
menarik perhatiannya.
Aizam mencebik. Bolehlah adiknya
bersuara begitu, kerana ibu dan ayah sudah memberi amanah untuk dia menemani
Aifa membeli-belah hari ini. Kenapalah dalam banyak-banyak perkara yang boleh
dibuat, ibu dan ayah meminta dia menemani Aifa membeli belah. Dia lebih rela
mop lantai keliling pusat beli-belah daripada menyuruh menemani Aifa. Sama
sahaja penatnya. Jika dia mop lantai, dia masih perlu mengelilingi pusat
beli-belah hanya sekali. Tetapi jika menemani Aifa, dia perlu mengelilingi
lebih daripada sekali.
Hati Aifa bukan boleh diduga, andai
hatinya kembali tertarik kepada baju yang dia lihat di kedai sebelumnya, dia
akan mencari kembali kedai itu dan membeli baju berkenaan. Waimanya,
berpusing-pusing kiri, kanan, atas dan bawah pun dia sanggup asalkan dia dapat
membeli baju itu. Sudah betul kalau membeli-belah dengan gadis bernama Aifa!
“Mengumpat dalam hatilah tu!” Aifa
menyergah dari belakang.
“Dah tu, shoppingmengalahkan
anak jutawan. Kita keluar rumah pukul 2 tadi tau, sekarang dah hampir pukul 5.
Asar pun belum lagi ni. Jom pergi solat dulu, lepas tu kalau Aifa nak sambung shopping
sampai subuh pun ikutlah. Tapi jangan lupa, solat maghrib dan isyak dulu.”
“Over!” Hanya sepatah dia membidas
sebelum berjalan meninggalkan lelaki yang masih elok duduk di kerusi. Jeritan
kecil Aizam yang memanggil namanya tidak dipedulikan, biarkan lelaki itu penat
mengejarnya. Padan muka!
“Kebas kaki ni kalau ikut Aifa shopping.Lain kali, lebih baik shopping
onlieaje. Badan pun tak penat, kaki tak letih, jiwa tak terseksa. Betullah
orang cakap, kalau perempuan shoppingmemang susah nak duga.” Mulutnya
masih tidak berhenti membebel apabila dia berjaya menyaingi langkah Aifa.
“Jom solat.” Dia kembali bersuara
apabila Aifa masih diam memandang kiri dan kanan, mencari kedai seterusnya.
“Abang solat, Aifa nak sambung
jalan-jalan tengok baju.”
“Solatlah dulu, baju tu lepas solat
boleh tengok.”
“Aifa cuti, abang pergilah surau
dulu. Nanti dah habis solat abang telefon Aifa kita catch updekat
mana-mana, okey?” Langkahnya kembali diatur laju meninggalkan Aizam, baru tiga
tapak melangkah dia kembali menoleh ke belakang. “Barang-barang Aifa tu abang
pegang dulu, abang seorang yang gentlemankan, tolonglah pegangkan. Bye!”
Aizam merungut sendirian, inilah
yang membuatkan dia malas mahu menemani Aifamembeli-belah. Sukar benar
mahu penuhi keinginannya dan ini merupakan kelemahan kedua Aifa. “Nasib badan!”
Dia bersuara sendiri sebelum mengatur langkah ke surau.
AIZAM meletakkan
barang-barang di kerusi sebelum dia duduk berhadapan Aifa. Makanan di atas meja
dipandang dengan senyuman, ini adalah kelebihan Aifa. Adiknya itu tahu benar
cara mengambil hatinya, makanan kegemarannya sudah siap berada di atas meja.
“Terima kasih sebab teman Aifa
petang ni. Sayang abang!” Ucapnya ikhlas.
“Waktu sekarang baru nak sayang
abangkan? Kalau tak asyik cari gaduh.”
“Gaduh-gaduh sayang tu perlu supaya
kita jadi lebih mesra.” Matanya dikenyitkan nakal. Dia tahu, jauh disudut hati
Aizam benar-benar menyayanginya. Cuma, biasalah bebelan kecil letih menemaninya
membeli-belah itu selalu didengarnya. Kerana itulah ibu dan ayah jarang benar
mahu menemaninya membeli-belah.
“Aifa, dah tahu ke belum esok ada
orang baru nak masuk rumah Syafiq?” Aizam bersuara memecah suasana.
Wajah Aifa dipandang apabila tiada
jawapan balas didengar, gadis itu sekadar menggelengkan kepala sambil menutup
mulutnya dengan tisu. Ya, itulah didikan yang sering diterapkan oleh ibu dan
ayah mereka. Jangan bercakap ketika makanan penuh berada di dalam mulut, tidak
elok katanya.
“Fiq nak kahwin ke?” Soal Aifa
teruja setelah mulutnya kembali kosong.
“Agak-agaklah kalau nak tanya
soalan.” Aizam melepaskan tawa menampakkan barisan giginya. Kelakar benar
soalan Aifa.
“Apa yang lawaknya?” Aifa kembali
bengang, betullah soalan yang ditanya!
“Tak logik betul! Esok dah masuk
orang baru, tiba-tiba tanya Fiq nak kahwin ke? Tak mungkin dia kahwin dalam
masa sehari aje, tak jemput kita pula tu!” Tawa Aizam masih bersisa.
Aifa mencebik bibir, menyampah dia
dengar tawa yang masih bersisa itu. “Siapa tahu kalau tiba-tiba Fiq kahwin tak
jemput kita.” Dia masih mahu mempertahankan kata-katanya.
“Fiq tu kekasih pun tak ada, nak
kahwin apanya?” Aizam kembali membidas.
“Siapa tahu kalau mak ayah dia
carikan calon? Sekarang ni pun masih ada orang kahwin dengan calon pilihan mak
ayah, bahagia sampai ke akhir hayat.” Bidasnya, masih tidak mahu mengalah. ‘Ini
Aifa! Pantang menyerah! Juara petah bicara sewaktu zaman tadika!’
“Kalau macam tu bolehlah abang suruh
ibu dengan ayah carikan jodoh untuk Aifa, boleh kahwin dan insya-Allah bahagia
sampai ke akhir hayat.”
Cadangannya disambut oleh jelingan
tajam Aifa. Alamak, dia tersalah cakap lagi! Pantang betul andai adik gadisnya
itu diutarakan topik seperti ini. Entah bila prinsip Aifa akan berubah?
“Nak sambung kes pagi tadi ke?”
Sinis soalan yang ditanya. Kalau lelaki di hadapannya ini mahu meneruskan
gelanggang perdebatan, dia sanggup!
“Abang mengalah!” Kedua-dua
tangannya diangkat. Lemah benar dia dengan isu ini.
“Abang, nampak tak kedai buku dekat
tingkat atas tadi?”
“Tak payah buat soalan poyo, cakap
ajelah nak abang temankan beli novel baru. Jom! Lepas ni cakap tu biar terang,
tak payah nak belok-belok. Abang dah kenal Aifa luar dan dalam. Cakap belok
kiri kanan pun abang faham maksud dia.”
Aifa tersengih sebelum menghadiahkan
senyuman paling manis. Oh, inilah abang terbaik di dunia! Sudah arif benar dia
dengan niat adiknya. Aifa bangun saat melihat Aizam sudah mula menapak keluar
daripada ruangan makan pusat beli-belah berkenaan.
Baru sahaja dia mahu mengatur langkah,
tubuhnya dilanggar dari belakang dan serentak itu dia merasakan tubuhnya sejuk
disiram air.
“Maaf, saya tak sengajar. Cik okey
ke?” Suara lelaki memohon maaf jelas kedengaran di telinganya.” Aifa pantas
berpusing ke belakang, sakit hatinya saat merasakan sejuk air ais masih bersisa
di tubuhnya. Habis baju putih bercorak bunga kecil bertukar menjadi
tompok-tompok perang. Nampkanya petang ini dia dimandikan dengan air teh ais!
“Maaf kau kata? Kau buta ke apa? Tak
nampak aku nak jalan tadi?” Mencerlang biji matanya memandang lelaki yang
memandikannya tadi.
“Maaf, saya betul-betul tak sengaja.
Cik jalan mengejut tadi sebab itulah saya terlanggar. Maaf lagi sekali.” Tisu
yang kebetulan berada di tangan, digunakan untuk mengesat baju gadis di
hadapannya.
“Kau dah kenapa? Ambil kesempatan
nak raba badan aku?” Suara Aifa kembali menyinga. Tidak dipedulikan orang
sekeliling yang memandang pelik ke arahnya. Aizam yang melihat adegan sebabak
itu terus berpatah balik mendapatkan adiknya. Aifa ini tidak boleh dibiarkan
berseorangan dengan lelaki, nanti habis semua lelaki akan dibuat musuh. Apatah
lagi dengan lelaki yang mula mencipta sejarah buruk pada kali pertama bertemu
seperti ini.
“Saya cuma nak kesat air, itu aje.
Tak adanya saya nak ambil kesempatan.” Lelaki tu membela diri. Gadis di
hadapannya dipandang dengan riak terkejut. Masih wujud golongan garang seperti
ini! Hanya kerana tertumpahkan air, garangnya bagaikan ibu singa yang mengamuk
kerana anaknya diganggu.
“Maaf, encik! Kami pergi dulu. Maafkan
adik saya lagi sekali.” Tangan Aifa ditarik agar mengikutinya. Semakin lama dia
membiarkan Aifa di situ, semakin teruk adegan sebabak itu akan berlangsung.
Cukuplah Aifa menjadi pelakon tak berbayar di situ tadi.
Lelaki itu sekadar memandang gadis
singa tadi ditarik oleh abangnya. Secara tiba-tiba dia merasakan hatinya
berdebar laju. Mungkin berdebar kerana malu apabila melakonkan adegan sebabak
tadi.
Gadis singa, wajahnya manis dan
cantik dipandang. Tetapi perangai bengisnya itu menyesakkan jiwa. ‘Ah,
biarlah!’ Lelaki itu meninggalkan cawan teh ais yang masih berbaki separuh
sebelum berjalan meninggalkan ruangan makan tersebut.