Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
90,371
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2

Bab 2


BAYU pantai menampar lembut pipi Raudah Maryam. Tudung di kepala, menari-nari rancak mengikut arah tiupan angin. Raudah Maryam tercegat di pasiran Pantai Teluk Kemang itu, dekat dengan pepohon rhu. Pandangan matanya dilemparkan ke segenap buana yang terbentang luas. Langit cerah. Sang suria galak bersinar. Lelayang juga begitu riang berterbangan melintasi samudera nan membiru.

Ombak sesekali datang mendakap pantai. Rakus. Deburannya menenggelamkan ratusan suara pengunjung yang datang ke situ. Anak-anak kecil berlari-larian. Di tangan mereka memegang lelayang. Pelbagai jenis lelayang ada di jual di situ. Bermacam saiz dan berwarna-warni.

Ada juga berlepakan di tepian pantai bersama keluarga, menyiapkan istana pasir. Ada yang bermandi-mandian. Ada juga yang berjalan menyusuri gigi pantai sambil galak melayani buih-buih kecil yang menenggelami betis mereka. Hari ini, hari Rabu tetapi cuti sekolah masih berbaki. Jadinya, ramai keluarga meluangkan masa bersama anak masing-masing. Kerana Marissa Norhanis juga, hari ini, Raudah Maryam dan Halim terpaksa emergency leave.

“Ada nampak kakak tak?” soal Halim sambil memegang bahu Raudah Maryam. Isterinya yang ralit melayani panorama pantai itu berpaling lantas bersuara, “Tak ada pun kakak, abang. Tak datang sini nampaknya dia.” Raudah Maryam bernada hampa.

Kalau diikutkan klu yang cuba dicari mereka, Marissa Norhanis memang tidak datang ke sini. Sudah dua hari mereka menginap di sebuah hotel di Teluk Kemang, Port Dikcson. Hotel yang sama setiap kali mereka sekeluarga pergi bercuti di sini. Tetapi, tiada sebarang klu yang menunjukkan Marissa Norhanis pernah ke mari.

Sudah dua hari mereka mencari Marissa Norhanis di hotel-hotel sekitar dan cuba mendapatkan kerjasama pihak pendaftaran penginapan. Tetapi kebanyakan hotel, tidak mendedahkan identiti pelanggan mereka atas alasan keselamatan dan privasi.

“Kita nak staylagi sehariatau terus balik KL?” soal Halim sambil melabuhkan punggung di sebuah kerusi batu.

“Abang…malam tadi, saya bermimpikan kakak. Kakak macam ada kat kawasan-kawasan pantai. Saya fikir, dia memang berada kat sini. Macam yang pernah dia buat dulu.”

“Asal merajuk je lari. Asal lari je sebab adalah yang dirajuknya. Sebijik ikut perangai ibunya,” sindir Halim.

“Sudah-sudahlah menyakitkan hati saya, bang. Sekarang ni bukan masa kita nak salahkan sesiapa. Kita cari jalan penyelesaian. Kita kena cari kakak dan pujuk dia balik ke rumah.”

“Kesian kakak tu. Agaknya, kurang dapat kasih sayang kita. Itulah yang jadi macam tu. Awak sebagai ibunya, terlalu sibuk kebelakangan ni nak dengar masalah anak-anak. Abang pun perasan.” Halim bersuara perlahan.

Raudah Maryam terkesima. Kata-kata Halim terkesan di sukma. Memang dia sangat sibuk kebelakangan ini. Bekerja dengan Kementerian Pertahanan, masa bekerja jadi tidak menentu. Bukan mengikut waktu pejabat. Adakalanya, mesyuarat petang dibawa ke malam. Lepas mesyuarat, beberapa kertas kerja harus diteliti dan laporan harus disiapkan.

Pernah beberapa tahun lepas, Marissa Norhanis dan Hakim merajuk dengan mereka. Semuanya kerana Raudah Maryam termungkiri janji kerana berdepan masalah di tempat kerja. Percutian yang dirancang mereka untuk ke luar negara terbatal. Perasaan teruja Marissa Norhanis dan Hakim bertukar rasa kecewa yang amat sangat. Apatah lagi percutian itu adalah hadiah kerana mereka memperolehi keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah, PMR.

Tanpa disangka Raudah Maryam dan Halim, Marissa Norhanis dan Hakim ke Port Dickson secara senyap-senyap. Ketika itu, Halim dan Raudah Maryam keluar bekerja. Dua beradik itu menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Seremban. Dari Seremban ke Port Dickson pula, mereka menaiki teksi.

“Sah lah tu merajuk panjang. Letih saya nak layan perangai anak-anak ni. Nak turutkan sangat salah, tapi…kalau bangkang macam ni lah jadinya.” Nada suara Halim kedengaran kecewa.

“Ermmm…sesekali, kakak kena terima hakikat. Bukan semua benda yang dia nak, dia akan dapat.” Raudah Maryam berhujah.

“Itulah…sebenarnya, dunia remaja macam kakak tu, dia mahukan lebih perhatian daripada kita. You and I, very busy person. Lately, sejak kakak duduk di asrama, memang kita jarang mendengar ceritanya, kan?” kata Halim.

“Yalah. Kakak balik rumah hujung minggu pun, tak banyak masa untuk kita dengar masalah dia. Di asrama pun, kalau kita nak jumpa dia tiap-tiap minggu, tak boleh. Kakak pulaksibuk dengan aktiviti asrama.” Raudah Maryam melemparkan pandangannya ke tengah laut. Halim mengeluh kecil.

‘Kakak, di mana dirimu sayang?’ Raudah Maryam merintih dalam hati.

“Kita cari-cari dulu kakak kat kawasan ni. Kalau tak ada juga, kita pusing-pusing , patah ke belakang cari kat Pantai Cermin, Tanjung Biru dan Pantai Purnama. Kalau tak jumpa juga, terpaksalah kita tuju ke Pantai Cahaya Negeri, Pantai Saujana, Bagan Pinang dan Tanjung Gemok. ”

“Nampaknya, macam banyak tempat aje kena pergi. Sempat ke tak sempat ni bang kita nak cari kakak?”

“Ermmm…kalau tak sempat, kita stay sini lagi sehari. Esok kita sambung cari lagi,” balas Halim.

“Aisyyy…mana pulak perginya budak bertuah ni!” rungut Raudah Maryam seraya berjalan ke gigi pantai. Halim membuntutinya. Seharian itu, mereka menyusuri pantai dengan harapan akan menemui Marissa Norhanis.

DI DAPURrumah, Raudah Maryam menelan liur pahit. Hatinya dipagut rasa bimbang yang teramat sangat. Memikirkan ke mana perginya Marissa Norhanis, fikirannya buntu. Hatinya berdebar-debar. Segala kerja yang dibuatnya menjadi serba tak kena. Nak memasak? Dia tiada mood untuk berbuat demikian. Nak makan, seleranya sudah termati sejak dua hari yang lalu. Hanya air masak pemberi tenaga dirinya. Di benaknya, hanya memikirkan pasal Marissa, Marissa, Marissa!

Di bilik perpustakaan rumah, Halim mundar mandir. Raut wajahnya tegang sekali. Sesekali, dia menulis sesuatu di buku catatan. Sesekali juga dia melayani telefon di bilik itu yang tak putus-putus berdering. Sesekali, Halim memandang syiling rumah. Sesekali juga, Halim tergesa-gesa ke tingkap nako apabila terdengarkan bunyi kenderaan di kawasan rumah mereka. Puas bermundar mandir, Halim duduk di kerusi. Seminit dua, dia bangun dan menjenguk ke luar tingkap. Halim benar-benar dalam kegelisahan.

Hakim hanya memerhati gelagat orang tuanya yang sedang kegelisahan. Berita tentang kehilangan Marissa Norhanis belum menemui sebarang klu. Petang tadi, sebaik saja pulang dari Port Dikcson, mereka terus membuat laporan kehilangan Marissa Norhanis. Jejak Marissa Norhanis tidak ditemui di sana.

Hakim yang sibuk dengan perlawanan bola sepak hari ini dan semalam juga buntu memikirkan sikap Marissa Norhanis. Kesudahannya, dia langsung tidak dapat menumpukan permainan dengan baik. Selaku kapten pasukan, Hakim beberapa telah melakukan kesilapan dalam strategi perlawanan. Malah, dia juga telah ditegur beberapa kali oleh ketua jurulatih.

Kalau tidak kerana perlawanan ini penting, dia sudah tidak peduli untuk menyertainya. Kalau boleh dia mahu menemani Raudah Maryam dan Halim mencari Marissa Norhanis. Tetapi, sebagai ketua pasukan, dia juga perlu memberikan komitmen yang tinggi. Rakan sepasukan memerlukannya. Mujurlah, pasukan bola sepaknya menang walaupun sekadar menang tipis 1-0.

‘Kakak ni kenapa? Sanggup buat semua orang runsing? Tak tahu ke semua orang sayang kakak? Kenapa kakak keluar dari rumah ni, pergi tanpa sebarang pesan. Sesuka hati kakak saja!’ Hakim membentak geram.

Hakim tidak fikir Marissa Norhanis diculik. Dalam tempoh 72 jam, telefon rumah mahupun telefon bimbit mereka tidak menerima sebarang panggilan masuk daripada sesiapa yang meminta wang tebusan. Dia menghela nafas berat. Harap-harap, sekejap lagi, ada panggilan telefon yang diterimanya daripada Marissa Norhanis atau sesiapa saja yang memberi perkembangan positif tentang kakaknya itu.

Pun begitu, naluri Hakim kuat mengatakan yang Marissa Norhanis telah membuat satu keputusan penting dalam hidupnya. Tapi ke mana Marissa Norhanis pergi, Hakim tidak dapat pastikan. Mungkinkah Marissa Norhanis bersama Zafran tika ini? Mungkinkah? Hati kecil Hakim menebak.

Kalaulah benar seperti mana diduga, harus bagaimana reaksi yang akan diterima Halim dan Raudah Maryam nanti. Memikirkan semua itu, hatinya kian merusuh hebat.

“Ya ALLAH, walau di mana pun kakak berada tika ini, walau dengan siapa, ku mohon Ya ALLAH agar KAU lindungi dirinya. Sekiranya dia bersama Zafran, KAU tutupkanlah segala pintu-pintu maksiat agar mereka tidak pernah sesekali terjebak dalam melakukan dosa. KAU jauhilah mereka daripada melakukan sekecil-kecil mahupun sebesar-besar zina. Demi ALLAH, aku sangat menyayangi kakakku juga keluarga ini. Ya Rahman Ya Rahim, peliharakanlah keluarga kami daripada orang-orang zalim, juga daripada kami menzalimi diri kami sendiri. Aamiin.”

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.