BAB 4
MARISSA
NORHANISmenelan liur pahit tatkala melihat wajah
tenang Halim tiba-tiba berubah. Raudah Maryam yang sedang menuang kopi panas ke
dalam cawan di dalam dulang juga terkejut besar. Anak yang menghilang tanpa
khabar berita selama seminggu itu tiba-tiba muncul di depan mata.
Marissa Norhanis menapak langkah gugup. Dia menyertai mereka di
ruang dapur. Zafran pun turut membuntuti tubuh isterinya.
“Ayah...”
Marissa Norhanis memanggil Halim. Halim merenungi tajam wajah Marissa
Norhanis. Tiada sepatah perkataan pun keluar dari bibirnya. Dia menahan segala
perasaan yang berbaur-baur di lubuk hatinya.
Mata Halim memanah pula ke arah
Zafran. Kepala Zafran hanya tertunduk, menekur lantai. Wajah Halim yang
menyinga amat menggerunkan Zafran.
“Ayah, ibu …kakak dan Abang Zafran
dah bernikah. Kami bernikah di Songkhla,” jelas Marissa Norhanis dengan nada
tersekat-sekat. Sesekali matanya memandang ke arah Halim. Sesekali pula ke arah
Raudah Maryam.
Wajah Halim yang menyinga bertukar
hampa yang amat sangat. Sesekali pandangan matanya tertebar ke wajah Marissa
Norhanis. Sesekali pula beralih pula ke wajah Raudah Maryam dan Hakim di dapur
itu. Marissa Norhanis jelas, wajah ayah, ibu dan adik kembarnya tergambar
perasaan terkejut dan hampa. Ternyata, masing-masing tidak menyangka dengan
pengumuman Marissa Norhanis. Halim menahan sebak. Marah, sedih, tercabar dan
kecewa mula bergumpal menjadi satu. Tubuhnya menggeletar hebat.
Sebenarnya, petang semalam, Halim
sudah dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang menyiasat kes kehilangan Marissa
Norhanis. Menurut mereka, anak perempuannya itu menaiki pesawat ke Bangkok dan
tiket ditempah bersama Zafran. Dia dapat mengagak Marissa Norhanis dan Zafran
ke sana untuk bernikah. Halim terkejut besar dan cuba menolak kebenaran itu.
Tapi hari ini, kebenaran itu didengarinya daripada mulut Marissa Norhanis
sendiri.
‘Allah, Allah…tabahkan hati hambaMU
yang lemah dan hina ini.’ Halim berdoa berkali-kali dalam hati.
“Ayah, tolong restui pernikahan kami ya.” Marissa Norhanis
memberanikan diri bersuara meskipun jiwanya hampir mati melihat reaksi sekalian
mereka.
“Ayah…” Marissa Norhanis merapati
tubuh Halim.
Dia cuba memegang tangan Halim seeratnya. Dia ingin memohon maaf dan
meluahkan rasa bersalahnya terhadap insan bernama ayah itu. Marissa Norhanis
ingin berkongsi rasa bahagia ini bersama insan-insan yang amat disayanginya.
Biarpun Halim benar-benar nekad untuk tidak mewalikan pernikahan dengan lelaki
pilihannya, itu tak mengapa!
Bagi Marissa Norhanis, biarpun dia
dan Zafran bernikah tanpa kehadiran mereka, tapi Marissa Norhanis berharap pernikahan ini
membuka ruang di hati ibu dan ayah untuk menerima Zafran seadanya. Baginya, dia sudah melakukan tindakan yang
betul di sisi agama.
Tidak salah kan untuk dia menentukan
masa depannya sendiri? Berdosakah dia bernikah dengan lelaki itu walhal apa
yang dilakukannya adalah untuk menghalalkan hubungan anak cucu Adam dan Hawa?
Sedangkan sudah lama dia sendiri khuatir, hubungan tanpa ikatan yang sah akan
merosakkan masa depannya. Dia seorang
gadis yang sedang dilamun cinta. Dia dan Zafran saling mencintai. Cinta dan
anugerah. Semua itu sudah menjadi fitrah insan untuk merasai semua nikmat
pemberian ALLAH.
Secara biologinya juga, dia dan Zafran saling tertarik antara satu
sama lain. Bak Kutub Utara dan Kutub Selatan pada medan magnet. Masing-masing
punya tarikan yang sangat kuat untuk saling melekat. Marissa Norhanis pasti
tentang itu. Dia mengerti perasaannya dan juga Zafran. Masing-masing saling
berkehendak untuk menzahirkan perasaan mereka dalam bentuk belaian kasih sayang
juga. Maka kerana itu, Marissa Norhanis memilih jalan ini adalah demi maruah
keluarga. Demi menjauhi mereka dari terjerumus ke lohong maksiat.
Demi ALLAH, itu
niatnya.
Tetapi mengapa dia ditentang sebegini teruk? Mengapa dia
dipersalahkan? Mengapa dia tidak diberi sokongan dengan segala tindak tanduknya
ini? Jiwa mudanya membentak-bentak. Hatinya berdendang pilu. Dirinya berbaur
emosi yang kian merusuh. Semuanya menjadi tidak keruan.
“Pergi! Kenapa balik? Pergi ke mana
pun kau nak pergi ikut jantan tu, pergi!” tengking Halim tiba-tiba seraya
menepis tangan Marissa Norhanis. Ayahnya itu bingkas bangun dan membasuh tangan
di singki. Marissa Norhanis buru-buru
mengikut langkah Halim. Juraian air mata tiba-tiba menubir laju di pipi.
“Maafkan kakak, ayah…” rayu Marissa
Norhanis. Dia berusaha untuk memegang tangan
Halim. Namun berkali-kali dia berusaha berbuat demikian, berkali-kali
juga Halim menepis kasar perbuatannya.
“Maaf? Maaf untuk apa? Kau
tahu tak, betapa selama kau hilang tanpa khabar berita, aku dan ibu kau macam
nak mati mencari kau situ sini. Boleh jadi gila kami kat rumah ni fikirkan kau
kena culik ke, mati dibunuh ke? Dahlah pergi tanpa khabar berita? Telefon
tidak, tinggalkan mesej pun tidak. Ada kau fikir tak semua tu? Ada kau fikir
perasaan kami? Ada?!” Halim menengking kuat.
“Ayah, maafkan kakak. Kakak tahu kakak dah buat silap…”
“Kau ingat dengan memaafkan kau, kami akan restui pernikahan kalian?
Kau ingat senang-senang je kami boleh lupakan apa yang kau dah buat?” Suara
Halim menengking tinggi.
“Ayah, maafkan kakak...”
“Kau dah conteng arang kat muka aku, berhari-hari tak balik sebab
nikah dengan jantan keparat ni,sekarang kau nak cakap maaf?!” tengking Halim
lagi. Nadanya semakin meninggi.
“Ayah…” rayu Marissa Norhanis.
“Berambus, aku kata berambus!”
Bergema seisi dapur itu dengan jeritan Halim.
Rasa kecewa yang mendongkol di hati Halim dilampiaskan dengan
jeritan sekuat halilintar. Tangan Halim menolak kuat tubuh Marissa Norhanis.
Terpelesok tubuh Marissa Norhanis di lantai, dekat dengan kabinet pinggan
mangkuk. Terpempan Marissa Norhanis bukan kepalang dengan sikap kasar Halim.
Mana pernah Halim melayaninya sekasar itu.
“Berambus kau! Berambus dari sini!”
tempik Halim lagi. Tubuhnya menggigil-gigil menahan marah.
“Ayah…” Marissa Norhanis cepat-cepat
bangun dan mendapatkan tubuh Halim.
“Pergi! Aku kata pergi!”
Dam! Dam! Dam! Halim menumbuk badan meja makan sekuat hati. Beberapa
kali. Seisi yang ada tersentak melihat kemarahan Halim. Raudah Maryam sudah
bergenang air mata. Melihat keadaan suaminya yang sedang melepaskan perasaan
marah, sungguh dia sebak. Raudah Maryam tidak kuasa mententeramkan Halim.
Biarlah Halim menghamburkan perasaannya terhadap Marissa Norhanis. Biarlah!
Sudah seminggu keadaan Halim nampak tidak terurus. Emosinya sensitif benar. Kes kehilangan anak gadis
mereka memberi tamparan hebat kepada Halim dan Raudah Maryam. Kalau Halim
berasa marah dan kecewa, Raudah Maryam pun demikian juga. Sungguh, dia terkesan dengan sikap dan
keputusan satu-satunya anak perempuan yang mereka ada.
‘Bernikah di Songkhla? Ya ALLAH, tergamak kakak buat semua ni.
Sampai hati kakak. Sungguh ibu tak sangka kerana lelaki bernama Zafran, kakak
bertindak sejauh ini. Kenapa kakak?
Kenapa sanggup memalukan kami?’ Raudah Maryam merintih hiba.
Merenungi sepasang mata
Marissa Norhanis yang sedang menghujan lebat, segala apa yang terbuku di dada
Raudah Maryam, tidak terluah di bibirnya.
Marissa Norhanis menangis dan menangis. Perasaan sedih dan hiba
sudah tidak terkawal lagi melihat kemarahan Halim yang membuak-buak. Ternyata, Halim tak bisa
dipujuk.
Sungguh tak
disangka Marissa Norhanis , betapa keras hati Halim untuk menerima keputusannya
kali ini.
Nampak sangat yang Halim benar-benar bertegas dengan
keputusannya. Marissa Norhanis menginsut
tubuh, cuba memeluk belakang kaki Halim. Namun dengan kuat, Halim merentap
kakinya itu.Tertiarap Marissa Norhanis
di lantai. Zafran yang sejak tadi terpempan menyaksikan perbalahan di antara
anak dan ayah itu mulai mampir. Dia membantu Marissa Norhanis untuk bangun.
“Ibu…” Marissa Norhanis memanggil dan memandang sayu
wajah Raudah Maryam.
Dia berharap benar agar Raudah Maryam akan menyokong perbuatannya,
demi meminta maaf daripada Halim. Namun Raudah Maryam hanya membisu dalam
genangan air mata yang sedang berjejehan jatuh di birai pipi.
“Ibu, maafkan kakak bu. Maafkan
kakak!” Marissa Norhanis menapak lesu, cuba mendekati tubuh Raudah Maryam.
Raudah Maryam sekadar membatukan diri kala Marissa Norhanis cuba
memegang tangannya. Ternyata Raudah Maryam sedang menahan segala perasaan sedih
dan kecewa yang kian bermaharaja lela di tubuhnya. Tiada patah kata yang
meluncur dari bibirnya.
“Sebelum keadaan menjadi lebih
buruk, baik kau keluar dari rumah ini. Keluar!” tengking Halim lagi. Perasaan
Marissa Norhanis semakin tersentap. Hatinya bagai dilapah-lapah mendengar
kata-kata Halim itu.
“Aku kata berambus, berambus!
Kau…dan kau, berambus keluar dari rumah aku. Sekarang!”
Terketar-ketar tangan Halim mengurut
dadanya yang berombak kuat. Pandangan matanya menikam tajam ke arah Marissa
Norhanis sebelum beralih ke Zafran.
“Ayah….” Melihat keadaan Halim seperti kelelahan, Marissa
Norhanis menerpa mendapatkan tubuh ayahnya. Semua yang ada di situ terpana.
Masing-masing terkaku melihat tubuh
Halim yang kian longlai di lantai.
“Aku kata keluar, keluar! Jangan kau
balik lagi ke rumah ini. Sampai bila-bila, aku tak izinkan. Pergi, aku kata
pergi! Pergi!” Suara Halim semakin kuat dan menekan, di saat Marissa Norhanis
memegang bahunya.
Tiba-tiba Halim terbatuk-batuk dalam
menahan perasaan marah yang sudah berapi-api di jiwa.
“Pergi, jangan sentuh aku! Jangan
sentuh aku!”
Tatkala Marissa Norhanis cuba mengurut dada Halim
yang kecungapan, ayahnya itu bertempik lagi. Hakim mendapatkan tubuh Halim.
“Ayah, bawak mengucap ayah. Bawak
mengucap. Bersabar, beristigfar,” pujuk Hakim.
“Kim, kau suruh kakak bunuh aje lah
ayah. Biar puas hati dia dah malukan ayah. Sekarang, kakak kau dah puas hati
dapat bernikah dengan lelaki tu! Memang dasar anak derhaka. Pergi kau dari
sini. Pergi, kau bukan anakku! Bukan!” kata Halim lagi. Antara marah dan
tangis, Halim kemengahan.
Perasaan Marissa Norhanis kian
tersentap. Sekeping hatinya bagai
dicincang halus mendengar kata-kata Halim. Sungguh, Marissa Norhanis
benar-benar kecewa dan sedih. Kemaafan yang cuba diraihnya gagal sama sekali.
Keegoan seorang ayah menyebabkan dia terhukum dengan keadaan.
“Baiklah ayah. Kakak akan pergi.” Suaranya terlontar dalam sendu
yang benar-benar menyeksa jiwa.
Marissa Norhanis mendapatkan Raudah Maryam. Tangan ibunya sempat jua
disalami. Pipi ibunya itu dicium kiri dan kanan. Raudah Maryam tidak mampu
berkata apa-apa tetapi Marissa Norhanis
perasaan ibunya itu mengesat lelehan air mata dengan hujung lengan baju.
Melihat adegan sedih ini, Hakim
tergamam. Perasaannya sebak. Hakim berasa sangat kasihan melihat keadaan Halim
dan Raudah Maryam. Pada masa yang sama, dia turut bersimpati dengan kakak
kembarnya itu. Kalau boleh, dia ingin memujuk
Marissa Norhanis agar tidak pergi dari situ. Namun segalanya bagai
tersekat di kerongkong. Perasaannya mula bercampur baur. Sebak dadanya bukan
kepalang.
“Kim, jaga ibu dan ayah baik-baik
ya. Maafkan kakak dengan keputusan ini.” Kata-kata Marissa Norhanis terkesan di
kalbu.
Lambat-lambat Hakim mengangguk. Sungguh tak disangkanya, keluarga
sakinah mereka begitu mudah berantakan. Sungguh tak diduga, Marissa Norhanis
yang selama ini seorang anak yang taat dan berprinsip, begitu mudah terpujuk
dengan cinta seorang lelaki. Marissa Norhanis berubah sama sekali kerana
Zafran.
“Kakak, tolong…jangan pergi dulu.”
Suara Hakim tersekat-sekat cuba menahan langkah Marissa Norhanis .
“Kakak, tunggu!” panggil Hakim lagi menyebabkan Marissa Norhanis
termati langkah.
“Kim, jangan kau halang langkah
kakak kau. Biarkan dia pergi dari rumah ni. Biarkan dia merasa pahit maung
jalan yang dia pilih. Biar dia sedar hitam putih, perit jerih kehidupan.” Suara
Halim lantang, keras dan menekan. Mata Halim mencerlung merah memandang Hakim.
Perasaan marah Halim terhadap Marissa Norhanis berpindah kepada Hakim pula.
“Berambus, aku kata berambus! Jangan
pernah lagi kau balik ke sini. Aku haramkan kau jejak kaki ke rumah ni lagi.
Anak tak kenang budi. Anak yang memalukan keluarga. Kecik-kecik aku tatang kau
baik-baik, dah besar kau pijak-pijak maruah aku. Huhhhh!” Halim bersuara lagi.
Tubuhnya kian menggeletar menahan perasaan amarah yang berombak kencang di
dada.
“Ayah , janganlah macam ni ayah. Bagilah peluang pada kakak. Ayah
terimalah keputusan kakak baik-baik. Kita bincang perkara ni elok-elok.” Hakim
memujuk rayu Halim.
“Eh Kim, kau jangan nak bela kakak
kau pulak! Kau tahu bahana kakak kau tu? Kau tahu? Ayah menanggung malu Kim.
Malu yang amat besar! Ayah seorang
majistret tapi gagal membentuk anak sendiri. Anak aku sanggup kahwin lari sebab
ikut jantan tak guna tu!” tengking Halim kepada Hakim. Tangan Halim menunding
tepat ke wajah Zafran.
“Ayah dah gagal, Kim. Ayah dah
gagal!” Suara Halim bertukar lirih.
“Ayah, maafkan kakak ayah. Tolong
restui pernikahan kami ayah,” rayu
Marissa Norhanis lagi. Dia yang mahu menapak keluar, berpatah ke
belakang mahu mendapatkan semula tubuh Halim. Tangan Halim cuba dipegangnya.
Namun sepantas itu juga, Halim menepisnya.
“Kau berambus Marissa , berambus!
Pergi kau, pergi! Aku tak pernah punya anak derhaka macam kau!” Wajah Halim kian
menyinga. Dia mencerlung tepat ke wajah
Marissa Norhanis dan Zafran dengan perasaan marah berbaur benci dendam
yang bukan sedikit.
“Ayah, bersabarlah. Kita bincang hal
ni baik-baik. Kita bagi peluang kat kakak, ya?” Hakim masih tidak berputus asa
memujuk Halim. Dia masih berusaha mahu meredakan kemarahan ayahnya.
“Arghhh, sudah Kim, sudah!Tak ada
yang nak dibincangkan lagi. Jangan kau pujuk ayah untuk terima kakak lagi. Kau
beritahu kakak kau tu, aku tak pernah ada anak macam dia. Jangan pernah datang
ke rumah ni lagi. Aku haramkan dia jejak kaki ke sini!” Suara Halim yang
menggigil menahan perasaan itu berakhir dengan tangisan.
“Ayah…” Melihat tangisan
ayahnya, Marissa Norhanis tidak
tertahan. Dia cuba memeluk tubuh ayahnya itu.
“Maafkan kakak, ayah. Maafkan
kakak.” Marissa Norhanis merayu dalam
tangisan yang panjang.Tangan Halim masih cuba dipegangnya. Namun, sepantas itu
juga Halim menepis tangan Marissa Norhanis.
“Pergi! Aku kata pergi! Jangan
pernah kembali lagi. Aku tak halal kau panggil aku ayah lagi! Pergi! Baik kau
pergi sebelum kau tengok aku mati kerana kau!” Suara tangisan Halim bercampur tempikan semula.
“Ayah..”
“Jangan pernah panggil aku ayah lagi. Jangan ambik walau sesen pun harta benda kat rumah ni. Pergi! Pergi!”
Tubuh Marissa Norhanis ditolak
kasar. Marissa Norhanis terhenyak di
lantai itu.
Zafran menerpa, mendapatkan
tubuh isterinya. Bagi Marissa Norhanis, kata-kata Halim dan tindakan kasar
ayahnya itu benar-benar menusuk jiwa.Tertikam tepat ke tangkai jantung dan
hatinya. Air mata kian lebat berjejehan. Ayahnya sudah tidak mampu dipujuk
lagi. Patah kata yang terbit dari mulut Halim cukup menggambarkan perasaan
benci yang tak terbendung lagi.
‘Kalau benar ayah sudah tidak mahu
mengampuni aku, untuk apa lagi aku merayu begini. Untuk apa lagi aku menunggu
di sini andai caci cerca saja yang keluar dari mulut lelaki yang amat ku sayang
ini. Sesungguhnya aku tidak pernah menyangka sebegini benci ayah kepadaku hanya
kerana cintaku terhadap lelaki bernama Zafran.
Sesungguhnya rasa benci ayah sudah
melenyapkan semua rasa kasihnya padaku selama ini. Apakah mungkin tiada lagi
bakinya meskipun sekelumit cuma? Maafkan aku ayah. Tiada pernah terniat di
hatiku untuk menjadi anak derhaka. Tak pernah ibu, tak pernah ayah.’ Marissa Norhanis bertempik dalam dirinya.
Sentuhan lembut Zafran di bahunya
menyedarkan Marissa Norhanis daripada terlalu taksub dengan kesedihannya.
Zafran memandang wajah Marissa Norhanis dengan rasa simpati yang melimpah ruah.
Pandangan dan anggukan Zafran juga memberi maksud agar mereka pergi saja dari
situ. Marissa Norhanis menyambut tangan
suaminya. Zafran menggenggam erat tangannya. Marissa Norhanis tahu, Zafran cuba
memulihkan semangatnya yang hilang tadi.
Jauh di sudut hati Marissa Norhanis
, dia ingin memeluk ibunya saat itu. Namun segalanya bagai terhalang tatkala
bercambahnya perasaan marah dan ego di ruang hati. Ego seorang anak terhadap
kedua orang tuanya hanya kerana kemaafan yang cuba diraihnya sia-sia
belaka. Marissa Norhanis melangkah kaki
laju, keluar dari rumah itu.
Zafran hanya menyaingi langkah isterinya. Dia sendiri menjadi kelu dan bisu melihat
titis air mata yang tak berhenti-henti di pipi isterinya. Zafran hanya
memulakan bicara tatkala mereka sudah berada di dalam perut kereta dan sudah terlalu
jauh meninggalkan rumah besar itu.