Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 49

PENJELASAN


Kedua-dua tangan Ilham ditolak ke hadapan lalu dirapatkan bersama oleh dua orang askar yang memegang tubuhnya. Dia ingin memberontak tetapi kudratnya tidak mampu melawan kekuatan dua orang lelaki dewasa. Tubuhnya masih lemah. Qarin memasangkan gari elektronik di tangan Ilham untuk mengekang pergerakannya.

Ilham yang pada waktu itu sedang duduk di atas katil dipaksa untuk bangun. Dia kemudiannya dibawa secara paksa oleh dua orang askar yang memegang tubuhnya keluar dari bilik itu. Mengikuti langkah Qarin yang turut keluar.

Setelah pintu bilik rawatan itu terbuka, Ilham dapat lihat sebuah koridor serba putih menjamu pandangannya. Ilham dibawa keluar oleh dua orang askar itu. Qarin berjalan di hadapan. Mereka berjalan melewati koridor serba putih itu melalui beberapa buah lorong yang bersimpang-siur.

"Ke mana kita nak pergi ni?" Ilham bersuara memecahkan keheningan yang terbentuk antara mereka.

"Ke bilik kamu," jawab Qarin tanpa memandang ke arah Ilham.

"Bilik? Tapi ... selama ni?" soal Ilham tidak faham.

"Kita akan pergi ke bilik kamu yang sebenar. Yang sebelum tu bilik rawatan. Sebab kamu tercedera, kamu ditahan di situ," jelas Qarin sambil berjalan.

Ilham hanya mengiakan di dalam hati. Otaknya masih cuba menghadam apa yang cuba disampaikan saintis itu. Dia ingin bertanya lagi tetapi takut akan menimbulkan kemarahan jika bertanya soalan yang sama berulang kali. Jadi, dia diamkan sahaja persoalan yang ingin diajukan.

Sepanjang perjalanan, Ilham melewati beberapa buah bilik yang dia sendiri tidak tahu apa fungsinya. Sampai di sebuah koridor, dia nampak bilik-bilik di situ semua berlabel dengan tiga hingga empat siri nombor. Ilham tertanya-tanya, apa maksud siri nombor itu.

Sampai di sebuah bilik berlabel 209, Qarin menghentikan langkahnya. Langkah Ilham dan dua orang askar itu turut termati. Qarin mengeluarkan kad matriknya lalu dilalukan di alat pengimbas yang terletak di sebelah pintu.

Setelah pintu terbuka, tubuh Ilham ditolak masuk. Perhiasan di dalam bilik itu sangat ringkas. Hanya terdiri daripada sebuah katil, sebuah meja dan kerusi serta sebuah almari pakaian. Seluruh bilik itu berwarna serba putih, dari lantai sampai ke siling. Semua perabot di dalam bilik itu turut berwarna putih.

Dengan gari yang dipakainya masih tidak dibuka, Ilham dibawa ke katil dalam bilik itu. Dia didudukkan secara paksa. Tangannya yang bergari dihalakan ke hadapan. Qarin memasukkan sejenis alat seperti kunci pada lubang yang terdapat pada gari tersebut. Gari itu terbuka. Tangan Ilham akhirnya bebas daripada terus dibelenggu gari itu. Lega Ilham dibuatnya.

"Eksperimen akan mula esok," beritahu Qarin.

Ilham yang pada waktu itu sedang menunduk terbeliak matanya mendengar pemberitahuan Qarin. Apa yang paling ditakutinya sudah pun berlaku. Dengan pemberitahuan itu, Ilham faham situasinya kini. Dia bakal menjadi subjek eksperimen mereka.

"Harap kamu sudi beri kerjasama," pesan Qarin lagi sebelum melangkah keluar meninggalkan bilik Ilham. Dua orang askar yang membawanya tadi turut keluar bersama.

Ilham perhatikan sahaja tingkah tiga orang manusia yang meninggalkan biliknya. Sebelum Qarin meninggalkan bilik itu, hati Ilham tiba-tiba terlintas untuk menanyakan sesuatu.

"Sekarang ni dah pukul berapa?" soal Ilham dengan suara dalam.

Langkah Qarin terhenti sejenak. Dua orang askar yang bersamanya hanya menunggu di hadapan pintu. Dia berjeda seketika sebelum berpaling menghadap Ilham.

"Kenapa? Buat apa kamu nak tahu?" soal Qarin. Dia amat tidak menyangka soalan itu akan meniti di bibir Ilham.

"Sa ... saya nak tahu ... bi ... bi ... bila eksperimen akan mula esok." Tergagap Ilham menjawabnya. Berusaha mencari alasan. Dia khuatir, jika dia menyatakan tujuan sebenar soalan tadi diajukan, saintis itu tidak akan menjawabnya.

"Kalau nak tahu pukul berapa, kamu tengok je kat jam dinding tu." Qarin menuding jari ke suatu arah. Menunjukkan jam digital yang tergantung di dinding bilik itu. Ilham terus memandang ke arah yang ditunjukkan Qarin.

Ilham hampir-hampir tidak menyedari kehadiran jam dinding itu. Jika tidak kerana Qarin yang menunjukkan jam itu, alamatnya dia tidak akan sedar pun akan kewujudan jam tersebut. Penting untuk dia mengetahui sekarang ini pukul berapa, memandangkan tiada tingkap di bilik ini untuk menunjukkan siang atau malam.

Ilham memandang ke arah jam dinding itu. Dia sebenarnya ingin menganggarkan pukul berapa untuk dia solat. Lagipun, dia boleh menjadi gila jika terkurung dalam bilik ini tanpa mengetahui siang dan malam.

Walau bagaimanapun, ada satu lagi masalah. Qarin baru sahaja ingin melangkah keluar tetapi sekali lagi panggilan Ilham menghentikannya.

"Doktor? A ...." Ilham tidak tahu sama ada ingin bertanya atau tidak. Apa alasan yang harus diberikannya untuk menanyakan tentang kiblat? Dia tidak tahu apa yang patut ditanyakan.

"Ada apa lagi yang kamu perlukan?" soal Qarin cepat dan mendatar. Dia seperti tidak suka Ilham terlalu banyak bertanya.

"Kat mana kiblat? Nanti saya nak solat juga," soal Ilham dengan selamba. Qarin terkesima mendengar soalan itu. Lagi sekali soalan yang terpacul dari bibir Ilham betul-betul di luar jangkaannya.

"Jawablah. Kenapa? Kau tak solat ke?" Lagi sekali Ilham bertanya dengan selamba. Nadanya seperti ingin menimbulkan provokasi sahaja.

Akibat tidak tahan disua dengan provokasi, Qarin mengambil keputusan untuk menjawab soalan Ilham. Dia menggunakan aplikasi pada telefon pintar untuk mencari kiblat di bilik itu.

"Dah, kalau takda apa-apa lagi yang kamu perlukan, saya nak pergi dulu. Esok, kamu tunggu je kat bilik." Qarin meninggalkan pesanan terakhir sebelum meninggalkan Ilham seorang diri di bilik itu.

Setelah pintu bilik itu tertutup, Ilham terus menunduk sambil meraup kasar mukanya. Suasana dalam bilik itu menjadi hening. Dalam bilik serba putih yang hampir tiada apa-apa perabot ini, tiada apa yang boleh dilakukannya. Baru beberapa minit dia duduk di situ, dia sudah terasa bosan.

Keadaan Ilham daripada duduk tadi mula berubah. Dia bangun dan berjalan mundar-mandir di sekeliling bilik itu. Daripada berjalan mundar-mandir, dia mula membentuk bulatan. Setelah penat berjalan, akhirnya dia berhenti.

Ilham berdiri di tengah bilik. Kepalanya mendongak memandang siling. Dia memang sudah tidak tahu apa yang patut dilakukan. Hari ini dirasakan begitu panjang. Masa dirasakan sangat lambat berlalu. Mungkin ini yang dikatakan masa itu relatif.

'Kalau lama-lama aku macam ni, boleh mati kebosanan ni,' rungut Ilham di dalam hati.

Tidak berapa lama kemudian, pintu biliknya terbuka semula. Ilham berkalih pandang ke muka pintu. Ingin melihat siapa yang datang. Hairan dia dibuatnya. Bukankah eksperimen akan dijalankan esok seperti yang diberitahu saintis itu tadi? Apa lagi yang mereka mahukan?

Salah seorang askar yang berkawal menjaga Ilham selama ini melangkah masuk bersama beberapa buah buku. Buku-buku tebal dan berkulit tebal itu diletakkannya di atas meja. Ilham perhatikan sahaja tingkah askar itu dengan penuh tanda tanya. Untuk apa buku-buku itu dibawakan kepadanya?

Setelah tugasnya selesai, askar itu terus melangkah keluar tanpa berkata apa-apa. Ilham tidak sempat menanyakan apa tujuan askar itu membawa buku-buku itu masuk. Malah, askar tersebut langsung tidak memandang wajahnya.

Ilham yang sedari tadi berdiri tercegat di tengah bilik mula mengatur langkah ke meja tempat diletakkan buku-buku tersebut. Baru dia tahu, buku-buku itu sebenarnya buku Fizik. Mungkin buku itu diberikan kepadanya untuk dia belajar. Tidak sangka mereka masih memikirkan soal pelajarannya walaupun dia dikurung.

Ilham merenung sejenak buku-buku itu sebelum mengambil salah satu daripadanya untuk dibaca. Sekurang-kurangnya, dapatlah dia membunuh kebosanan dengan membaca buku itu.

Kerusi ditarik. Ilham kemudian melabuhkan punggung di atasnya. Dia kemudian mengambil salah sebuah buku itu untuk mula membacanya. Sebaik dia membukanya, sehelai kertas terjatuh ke atas lantai. Tatkala Ilham menyedarinya, dia terus membongkok untuk mengambil helaian kertas yang terjatuh.

Ilham dapati ada sesuatu yang tertulis di atas kertas itu.

Kita sambung perbincangan kita mengenai hukum sebab dan akibat sebelum ini yang tertangguh. Saya mahu dengar apa jawapan kamu. Sebab itu saya bagi buku-buku ini untuk kamu belajar. Selamat membaca.

Mesej ringkas yang tertulis di atas kertas itu diakhiri dengan lukisan berbentuk emoji senyum. Penulis mesej itu seolah-olah ingin memberi semangat kepada Ilham. Ilham tidak dapat mengagak siapa yang memberi surat ringkas ini kepadanya. Di bawah mesej ringkas itu tidak dituliskan siapa nama pengirimnya.

Sekali lihat, tulisan itu tidak seperti tulisan Zahran. Ilham kenal dengan tulisan pensyarah itu. Dia pernah melihat tulisan tangan beliau melalui sebuah nota kuliah yang diberikannya. Siapa sebenarnya yang menuliskan surat itu? Siapa sebenarnya yang menghantar buku itu kepadanya?

Kertas berisi mesej ringkas itu Ilham selitkan di halaman lain buku tersebut. Jika itu yang dimahukan si pengirim surat, Ilham akan sahut cabaran ini. Dia mahu merungkaikan segala persoalan yang kian membelit di benaknya.

Lagipun, tiada apa yang boleh dilakukannya di bilik itu. Bolehlah dia menggunakannya untuk membunuh masa yang terbuang.

Sebelum dia memulakan penerokaannya ke alam ilmu pengetahuan, Ilham perlu memastikan persediaannya mencukupi untuk menghadapi sebarang onak dan ranjau sepanjang perjalanan.

Maklumat-maklumat yang sedia ada disusun di perpustakaan mindanya. Tujuannya adalah untuk memudahkannya untuk menyeru mana-mana maklumat yang tersimpan sekiranya dia memerlukannya.

Bermula dengan hukum sebab dan akibat. Hukum sebab dan akibat adalah hukum yang menentukan bagaimana alam ini bergerak. Memberikan penjelasan di sebalik setiap fenomena yang berlaku. Menentukan hubung kaitan antara dua fenomena. Menentukan sama ada sesuatu fenomena itu patut wujud atau tidak.

Melalui pemerhatian yang dilakukan oleh golongan saintis, mereka mendapati alam bertindak menuruti satu set peraturan yang dikenali sebagai hukum sebab dan akibat. Hukum alam tidak membenarkan fenomena yang tidak mematuhi hukum sebab dan akibat untuk berlaku.

Alam pula mematuhi hukum ini. Oleh itu, alam tidak membenarkan fenomena yang tidak mematuhi hukum sebab dan akibat untuk berlaku. Hukum alam juga tidak membenarkan dua fenomena yang saling tidak berkaitan untuk berlaku. Jadi, fenomena aneh sepatutnya tidak boleh berlaku.

Hubung kaitan antara dua fenomena diperolehi melalui set pemerhatian dan eksperimen yang dijalankan berulang kali di dalam makmal. Kesimpulan yang dibuat melalui hasil-hasil eksperimen akan membentuk asas kepada hukum sebab dan akibat. Hukum ini pula akan membentuk asas kepada pemikiran logik manusia.

Fenomena yang tidak mematuhi hukum sebab dan akibat akan dianggap sebagai tidak logik, tidak masuk akal dan mustahil. Jadi, bagaimana Ilham mampu memerhati fenomena-fenomena aneh yang tidak masuk dek akal?

Apa yang selalu Ilham alami itu tidak mematuhi hukum alam pun. Kadang-kadang, sesuatu fenomena terjadi sendiri tanpa ada sebab yang menjadikannya. Kadang-kadang, fenomena yang menyusuli selepas sesuatu fenomena langsung tiada kaitan pun.

Kadang-kadang, akibat yang sepatutnya menyusuli selepas sebab tidak berlaku pun. Sama ada berganti dengan fenomena lain atau langsung tiada apa-apa yang berlaku.

Jikalau fenomena aneh itu hanya dialami sekali-sekala, Ilham tidak kisah. Dia boleh mengabaikan sahaja fenomena aneh itu. Mungkin benar kata Fizri dan kebanyakan saintis lain. Fenomena unik cuma sekadar ralat dalam pemerhatian.

Akan tetapi, apa yang dialami Ilham ini bukannya sesuatu yang boleh diabaikan. Bukan sekali Ilham alaminya. Malah, terlalu banyak kali fenomena aneh itu berlaku di sekelilingnya.

Sebagai kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa, dia terima sahaja semua fenomena aneh itu pada mulanya. Dia masih terlalu naif pada waktu itu. Dalam masa yang sama, dia menzahirkan keinginannya untuk menjadi seorang ahli fizik disebabkan ilham yang selalu datang menyinggah.

Ilham itu memberikan keyakinan pada dirinya akan kewujudan fenomena alam yang tidak mampu diperhatikan. Memberitahu kepadanya akan kewujudan rahsia alam yang masih belum terungkai.

Sebagai seorang yang amat meminati Sains, Ilham tidak dapat mengelakkan otaknya daripada terus berfikir mengenai fenomena aneh di sekelilingnya. Dia ingin berfikir kenapa dan bagaimana fenomena itu boleh berlaku.

Disebabkan ilmu pertama yang diterimanya berkait rapat dengan Fizik Moden, dia gunakan teori-teori di dalamnya untuk mencari penjelasan di sebaliknya. Walau bagaimanapun, apa yang dilakukannya ini benar-benar memberi kesan kepada pemikiran logiknya.

Otaknya tidak mampu menerima ilmu berkaitan Fizik Klasik pada mulanya. Pemikiran logiknya juga tidak terbentuk dengan baik. Pemikiran logik secara automatiknya akan menolak segala kewujudan fenomena yang di luar daripada hukum sebab dan akibat.

Akan tetapi, hal ini tidak berlaku langsung kepada Ilham. Dia cuba juga melakukannya tetapi dia tidak mampu. Dia terus diasak dengan pelbagai fenomena aneh di sekeliling sehingga otaknya terpaksa menerima kewujudan fenomena tersebut.

Bagi mengelakkan dia bertambah gila disebabkan pemerhatiannya terhadap fenomena aneh berserta dorongan rasa ingin tahu, Ilham cuba juga gali juga jawapannya. Semakin lama dia semakin jauh menyimpang daripada pemikiran logik. Sedangkan logik adalah sesuatu pemikiran yang patut ada bagi setiap orang Sains.

Keadaan ini mendorong Ilham untuk membentuk pelbagai teori aneh sebagai penjelasan kepada fenomena-fenomena yang berlaku di sekelilingnya. Ilham cuma memerlukan penjelasan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Selepas dia mendapat penjelasan itu, dia akan berpuas hati.

Dia berpuas hati sampailah dia mendapat tahu pada suatu hari yang penjelasannya selama ini salah. Seluruh pemahamannya selama ini salah. Segala penjelasan yang dikemukakannya amat bertentangan dengan prinsip Sains sedia ada.

Rupa-rupanya selama ini dia cuma menipu dirinya sendiri. Dia sangkakan dia faham. Rupa-rupanya tidak. Selama ini dia cuma memaksa ilmu Sains sedia ada memberi penjelasan kepada fenomena aneh yang berlaku di sekelilingnya.

Kalau ikutkan, ilmu Sains sedia ada tidak mampu memberi penjelasan saintifik kepada segala fenomena aneh yang dialaminya. Kalau ikutkan, apa yang seringkali dialaminya itu adalah mustahil untuk berlaku.

Oleh sebab itulah Ilham tidak mampu mencari penjelasan yang sebenar. Akan tetapi, jika dia tidak menjumpai penjelasan yang sebenar, bermaksud dia menafikan fenomena yang dialaminya. Dia tidak boleh menafikannya. Dia tidak mampu untuk menafikannya.

Jadi, satu-satunya cara adalah dengan memaksa ilmu Sains sedia ada memberi penjelasan kepada fenomena itu. Tanpa Ilham sedari, dia telah memutar belitkan pemahamannya sendiri terhadap prinsip Sains supaya penjelasan dapat diberikan. Tambahan pula, pemikiran logiknya sangat lemah. Sudah tentu dengan mudahnya pemahaman Ilham jauh tersasar.

Disebabkan tiada siapa yang tampil memberi penjelasan sebenar kepada Ilham, semakin lama Ilham semakin jauh tersesat. Dia hampir-hampir sahaja tidak menemui jalan pulang.

Pertanyaan Zahran dan perdebatan dia dengan Fizri tempoh hari benar-benar membawa Ilham semula ke jalan pulang. Akan tetapi, dia masih tidak dapat mencari penjelasan akan kewujudan fenomena unik. Penjelasan ralat dalam eksperimen tidak cukup untuk memuaskan hatinya.

Entah kenapa Ilham merasakan itu bukan jawapan yang dicarinya. Dia pasti ada jawapan lain yang masih belum dirungkai. Jawapan itulah yang ingin Ilham cari selama ini.

'Itu rupanya yang menjadi punca masalah aku selama ni.'

Ilham melepaskan keluhan berat sambil menyemak helaian pertama buku di hadapannya. Penerokaannya ke alam ilmu pengetahuan untuk mencari khazanah bernilai bernama jawapan baru hendak bermula.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.