Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
88,791
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 25

NINA melangkah keluar dari kereta. Masjid Syuhada menjadi destinasinya. Segala yang dirancang akan dilakukan dengan baik. Nina tahu Iskandar ada di sini.

Jam di tangannya dilihat. Baru pukul 11.30 pagi. Selendang di kepalanya dibetulkan. Rambut yang kelihatan di dahi juga dibetulkan. Dia mahu meyakinkan Iskandar bahawa dia benar-benar telah berubah.

Nina memerhati sekeliling Masjid Syuhada. Bayang lelaki itu tidak kelihatan. Walau di hatinya tidak suka dengan apa yang harus dia lalui kini, namun Nina terpaksa demi cintanya pada Izz Zafran. Misi utamanya mahu menjadi isteri kepada bekas suaminya itu.

“Assalamualaikum...”

Khayalan Nina terhenti. Dadanya berdegup kencang. Seorang lelaki menyapanya dengan memberi salam. Ninapusing belakang.

“Waalaikumussalam...” jawab Nina agak sopan dan menundukkan kepalanya.

“Ini Cik Nina, bukan?” soal lelaki itu.

Nina mengangguk. “Ya, saya. Saya Nina. Nina Natasha.”

Lelaki itu tersenyum.

“Saya Ustaz Syukri, penjaga Masjid Syuhada. Err... Cik Nina buat apa kat sini? Hari ini kuliah saya tak ada. Ataupun Cik Nina nak tumpang di masjid ni?”

Lembut Ustaz Syukri bertanya. Dalam hatinya terkejut juga dengan kemunculan anak orang kaya ini yang kelihatan agak sopan berbanding dulu. Pasti ada sesuatu yang dicari oleh wanita ini. Bahkan cara Nina bercakap juga sudah berubah.

Setahunya, Nina seorang yang bengis. Mukanya tidak pernah senyum. Biarlah. Mungkin juga dia sudah sedar kesilapannya yang lalu. Tidak ada manusia yang terlepas dari melakukan dosa. Fikir Ustaz Syukri.

Hati Nina yang berdegup kencang tadi kembali reda. Cuma dia kelihatan gugup. Nina mengangkat kepalanya.

“Maafkan saya ustaz. Saya sebenarnya... memang ada niat nak belajar agama dengan ustaz. Cuma, saya...” kata-kata Nina mati di situ.

Meluat pula dia pada diri sendiri kerana berpura-pura menjadi baik.

“Oh, kalau Cik Nina niat begitu baguslah. ALLAH tu Maha Pengampun. Malam ini ada Habib Zainal datang ke sini. Tapi ceramah tu berlangsung bawah khemah sana. Cik Nina jemputlah datang. Banyak ilmu yang kita akan dapat nanti,” ulas Ustaz Syukri.

Nina mengangguk.

“Saya... saya sebenarnya cari Iskandar. Dia bekas pemandu Tan Sri Shahril. Ustaz kenal ke Is?” Nina terus bertanya pada tujuan asalnya.

“Iskandar? Mestilah saya kenal. Is tu kawan baik saya. Dia ada di belakang masjid tengah cuci longkang. Maklumlah kawan saya tu sedang berjinak-jinak dengan dunia perniagaan,” beritahu Ustaz Syukri dengan wajah ceria.

Terbayang di matanya peluh yang mengalir di dahi sahabatnya itu. Iskandar seorang yang rajin dan tekun. Sahabatnya itu tidak pernah kenal putus asa. Alhamdulillah, sahabatnya itu telah diiktiraf sebagai salah seorang kontraktor di negeri Kelantan. Banyak juga tender yang diterimanya. Rezeki ALLAH itu luas.

“Cuci longkang? Bisnes apa sampai kena cuci longkang?” tanya Nina. Dia mula berasa geli dengan kerja yang dilakukan oleh ‘bakal suaminya’ itu.

“Is tu bukan saja ambil upah cuci longkang. Banyak projek yang dia buat. Membersihkan hutan, memasang pagar rumah, memasang aircond pun dia buat. Alhamdulillah, perniagaan dia pun bertambah bagus.

Setakat ni dia dah ada tiga orang pekerja. Cuma hari ni dia terpaksa lakukan seorang diri sebab pekerja dia yang lain sibuk menguruskan projek di Ketereh,” terang Ustaz Syukri bersungguh-sungguh tentang Iskandar.

“Ooo...”

Hanya itu yang dijawab oleh Nina. Lantaklah apa yang laki tu nak buat. Yang penting misi aku mesti tercapai. Dia nak cuci longkang ke, nak duduk dalam longkang ke, itu dia punya pasal, bentak Nina di dalam hati.

“Oh ya, lupa pulak saya. Cik Nina nak jumpa Is, kan? Marilah saya tunjukkan tempat Is buat kerja.”

Ustaz Syukri sudah bergerak ke depan diikuti Nina yang terkumat-kamit mulutnya mengutuk Ustaz Syukri.

“ADO gapo Cik Nina nok jupo sayo? Sayo raso sayo ni takdok apo-apo urusan dengan Cik Nina. Atau Cik Nina ni saloh ore?”(“Ada apa Cik Nina nak jumpa saya ni? Saya rasa saya tak ada apa-apa urusan dengan Cik Nina. Atau Cik Nina ni salah orang?”)

Suara Iskandar kedengaran agak sinis. Sakit hatinya setiap kali mengingatkan perbuatan Nina pada dia dan Puan Leha. Dia meneruskan kerjanya tanpa melihat Nina yang berdiri tegak di depannya.

Nina hanya memerhati gerak-geri Iskandar yang langsung tidak memandang ke arahnya. Takut pula mendengar suara Iskandar yang agak serius. Dia tahu lelaki ini masih tidak dapat melupakan perbuatannya dulu.

“Hmm... saya ada hal sikit nak cakap dengan awak.” Lembut Nina melantunkan suaranya penuh hati-hati.

Royaklah, saya dengar.”(“Cakaplah, saya dengar.”)

Iskandar masih seperti tadi. Langsung tidak memandang ke arah Nina, wanita yang pernah menggoncangkan perasaannya suatu ketika dulu.

Nina tunduk. Air mata mengalir di pipinya. Dia teresak-esak di situ. Iskandar yang masih dengan kerjanya terus memandang Nina. Kenapa pulak? Bisik hatinya.

Kemudian, matanya jatuh pula pada pakaian Nina yang jauh lebih sopan dari sebelum ini. Selendang dan jubah yang dipakai Nina membuatkan Iskandar tergamam. Tambahan pula mendengar esakan Nina yang mula berlagu.

Cik Nina kalu mari sini setakat nok nangis depe sayo, baik Cik Nina kelik. Sayo ni ore miskin hino tok reti nok pujuk ore dan sayo toksi tahu masaloh Cik Nina. Cik Nina ore hebat! Ore biso! Takdok sapo buleh lawe Cik Nina. Ore biso ni mano buleh nangis. Wak malu jahnyo! Gilah kelik!”

(“Cik Nina kalau datang sini setakat nak menangis depan saya, ada baiknya Cik Nina balik. Saya ni orang miskin hina tak reti nak pujuk orang dan saya tak nak tahu masalah Cik Nina. Cik Nina kan orang hebat. Tak ada siapa pun boleh lawan Cik Nina. Orang hebat ni mana boleh menangis. Buat malu aje. Pergilah balik!”) Iskandar berterusan memerli Nina, walhal hatinya teringin mahu tahu apa yang membuatkan wanita ini datang mencarinya.

Nina mengangkat kepala. Pipinya basah. Mata mereka saling bertentangan. Nina masih jelita seperti dulu.

“Saya datang sebab nak mintak maaf pada awak dan mak awak. Saya banyak lakukan dosa pada awak dan Puan Leha. Saya banyak buat silap. ALLAH dah balas segala perbuatan saya. Saya mintak sangat awak maafkan saya, Is. Saya menyesal sangat dengan apa yang saya dah buat pada awak selama ini.”

Nina menangis tersedu-sedu sambil mengelap pipinya. Air mata laju membasahi pipinya.

“Saya tahu awak takkan maafkan saya. Tapi saya nak awak tahu yang saya betul-betul nak mintak maaf pada awak. Kalau awak dan Puan Leha tak maafkan saya, hidup saya takkan aman. Dulu, saya selalu sakitkan hati awak. Saya maki hamun dan saya halau awak dari rumah saya.

Saya tak patut buat begitu. Saya terlalu ikutkan hati dan sekarang saya benar-benar menyesal. Saya takut pada ALLAH.” Nina meneruskan lakonan seperti yang diarahkan oleh produser tak bertauliah, iaitu Izz Zhafran.

Iskandar berwajah serius. Dia dapat lihat wajah kekesalan Nina tetapi dia tidak peduli. Hatinya terlalu sakit.

“Saya dengan mak saya dah lama maafkan awak, Cik Nina. Kami tak berdendam pun. Apa yang Cik Nina cakap selama ni memang betul. Saya dengan mak saya tak sedar diri. Lepas Cik Nina cakap macam tu baru saya sedar. Terima kasih sebab sedarkan saya.”

Nina menggeleng berkali-kali. Dia terus menangis.

“Saya datang sini sebab nak mintak maaf pada awak, Is. Saya nak mintak ampun pada mak awak. Saya dah tak ada apa-apa lagi,” luah Nina berpura-pura mengelap pipinya yangbasah.

Sayo ni ore miskin hino. Kalau Cik Nina mari stakat nok royak ado masalah besar sekalipun sayo meme tokleh tulong sebab sayo takdok harto. Baik Cik Nina keliklah. Buang maso jupo ore miskin mace sayo ni. Maso sayo pun terbuang sebab laye ore kayo mace demo. Demo keliklah!

(“Saya ni orang miskin hina. Kalau Cik Nina ada masalah besar sekalipun saya memang tak boleh tolong sebab saya tak ada harta. Lebih baik Cik Nina balik ajelah. Buang masa jumpa orang miskin macam saya dan jugak buang masa saya layan orang kaya macam Cik Nina. Cik Nina baliklah!”) Iskandar bersuara tegas. Dia menyibukkan diri dengan mengemas peralatan. Iskandar langsung tidak berperasaan.

“Is, memang saya mengaku banyak dosa saya pada awak dan mak awak. Saya nak berubah. Saya perlukan seseorang untuk bimbing saya ke jalan yang benar. Sanggup ke awak tengok orang Islam terus hanyut?” Nina mengutarakan soalan yang membuatkan Iskandar mengeluh.

“Saya ni tak pandai nak bimbing orang. Diri sendiri pun terumbang-ambing, inikan pulak nak didik orang cerdik pandai macam Cik Nina!” tegas Iskandar lagi.

Nina tunduk. Dia berpura-pura mengelap pipinya yang basah. Berlagak betul jantan ni! Macam aku nak sangat hadap muka dia! Benci! Getus Nina geram.

Walaupun kepalanya tunduk tetapi mulutnya terkumat-kamit menyumpah Iskandar. Kemudian, Nina mengangkat semula kepalanya. Dia berpura-pura sedih.

“Is, tolong saya...”

Lama Iskandar merenung Nina sebelum dia berjalan ke arah bangku. Dia langsung tidak mempelawa Nina. Nina yang faham dengan tindak balas Iskandar, cepat-cepat menghampiri lelaki itu.

“Mintak maaflah. Bau saya mungkin tak menyenangkan Cik Nina. Tapi nak buat macam mana itu kerja saya.”Iskandar memulakan perbualan. Suaranya tetap serius dan tiada langsung senyuman di wajahnya.

Nina sudah duduk menghadap lelaki ini.

“Jangan bercik-cik dengan saya. Saya bukan lagi Nina yang dulu. Saya dah berubah. Sebab tu saya datang sini untuk mintak maaf dengan awak dan mak awak. Maafkan perbuatan saya yang lalu.” Nada suara Nina benar-benar berubah menjadi lembut.

“Saya dah lupakan semua yang berlaku dulu. Mungkin apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Cuma saya terkilan sebab saya masih lagi belum menemui Tan Sri Shahril.” Di hujung ayatnya suara Iskandar bergetar.

Dia terlalu mengingati bekas majikannya itu yang boleh disifatkan sebagai pemurah.

“Saya jugak dah berusaha mencari papa saya, tapi tak jumpa. Saya betul-betul kesal dengan apa yang berlaku, Is. Saya nak jadi orang yang baik. Saya nak bina semula hidup saya. Lepas Izz Zhafran ceraikan saya dulu, hidup saya tak ubah seperti orang gila.

Dari situ saya mula ingatkan ALLAH dan saya perlukan seseorang untuk membimbing saya. Saya tahu, saya seorang yang lemah dan iman saya terlalu nipis. Saya takut jika tiada sesiapa bersama saya ketika ini saya akan terus hanyut sedangkan saya mahu mendalami ilmu agama.”

Panjang lebar Nina meluahkan isi hatinya yang penuh dengan kepalsuan itu.

“Alhamdulillah. Baguslah kalau awak dah berubah. Bukan senang dari sifat tidak baik mahu berubah menjadi baik!” balas Iskandar pula ringkas.

Dia sendiri tidak tahu hendak mengulas lanjut. Harap-harap Nina akan terus berubah. Cara percakapan wanita ini juga terlalu merendah diri dan lembut. Tiada lagi kata-kata nista yang lahir dari mulut wanita ini.

Nina menelan liur sebelum menyambung kembali kata-katanya

“Mama dah lama tinggalkan saya sebab ikut kekasih hatinya. Saya tak tahu mama kat mana sekarang. Suami saya jugak dah ceraikan saya dengan talak tiga. Saya terpaksa pecat Mak Cik Minah dan Pak Cik Mahmud sebab tak mampu nak bayar gaji mereka. Mercedes saya tu pun bila-bila masa aje akan ditarik. Syarikat papa pulak dah semakin muflis. Tak lama lagi rumah saya jugak akan dilelong. Saya tak tahu hendak ke mana lagi, Is. Hidup saya betul-betul tersepit. Ini semua akibat dari perbuatan bongkak saya dulu.”

Nina tidak dapat meneruskan kata-katanya. Sekali lagi dia menangis. Iskandar yang mendengar luahan Nina sebentar tadi benar-benar terkejut. Syarikat Shahril Holding semakin muflis? Masya-ALLAH! Beratnya dugaan yang ditanggung Nina.

“Astaghfirullahalazim... sabarlah Cik Nina. Ini tandanya ALLAH sayang pada awak, Cik Nina. Kita ni hanya manusia biasa. Bila dapat ujian berat macam ni baru kita ingat ALLAH. Mujurlah ALLAH sedarkan awak awal-awal. Sabarlah hadapi ujian ini. Insya-ALLAH dosa yang lalu akan terhapus.”

Baru kini suara Iskandar berubah menjadi lembut. Tidak sangka, syarikat yang sudah lama bertapak di Malaysia, sekelip mata sahaja jatuh merudum. Kalaulah Tan Sri Shahril tahu akan hal ini pasti hatinya terluka.


“Saya tak tahu hendak ke mana lagi, Is. Saya jugak takut sangat sebab sejak akhir-akhir ini kekasih mama suka mengganggu saya. Bila saya tanya tentang mama, dia hanya jawab tak tahu. Saya takut sebab dia pernah ugut untuk melakukan perkara yang tidak baik kepada saya.”

“Maksud awak?”

“Hisyam! Kekasih mama saya. Saya dah kenal dia. Selama ini dia selalu ikut saya,” jawab Nina seraya mengesat pipinya yang basah.

“Is...” panggil Nina lembut.

Iskandar memandang Nina. Kasihan pula dia melihat Nina.

“Saya perlukan seseorang untuk melindungi dan membimbing saya ke jalan yang benar. Saya mahu jadi muslimah sejati. Saya nak berubah, Is. Saya mahu jadi orang yang baik. Tolonglah saya, Is. Saya tak malu lagi merayu pada awak sebab saya betul-betul nak berubah.”

Suara Nina kedengaran sayu di telinga Iskandar. Wajahnya juga suram tidak ceria seperti dulu.

“Hmm... apa yang boleh saya tolong? Kalau tolong bab duit, mintak maaflah Cik Nina saya tak mampu. Kalau dari segi nasihat, Insya-ALLAH saya akan cuba.

Sebagai permulaan awak datanglah ke masjid Syuhada. Kat sini banyak kuliah dan awak boleh belajar ilmu-ilmu agama,” sambung Iskandar pula dengan suara yang perlahan.

Jika benar wanita di depannya ini sudah berubah, dia bersyukur pada ALLAH. Sekurang-kurangnya Nina telah sedar kesilapannya selama ini.

“Saya faham tu Is, tapi saya perlukan pertolongan awak dari segi yang lain.”

“Dari segi apa?” soal Iskandar agak keliru dengan maksud Nina.

“Hmm... saya mahu awak jadi suami saya.”

Laju saja Nina menuturkan kata-kata itu membuatkan Iskandar tergamam.

“Cik Nina jangan main-main dengan saya. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba saja awak ajak saya kahwin. Macam pelik aje! Apa muslihat awak nak kahwin dengan saya ni?” Iskandar ketawa perlahan bagaikan tidak percaya.

“Saya tak main-main Is. Saya serius. Saya yakin hanya awak yang boleh bimbing saya ke jalan yang benar. Tolonglah saya Is. Saya nak berubah.”

Sekali lagi air mata palsu Nina menitis di pipi. Bukan mudah untuk dia berpura-pura menangis hingga matanya pedih.

“Saya tak rasa itu jalan yang terbaik!” putus Iskandar.

Nina tunduk.

“Saya tahu banyak dosa saya pada awak dan mak awak. Saya menyesal sangat. Saya nak jumpa dengan mak awak. Saya nak mintak ampun padanya. Saya mahu jadi anak perempuan mak awak. Saya tak ada sesiapa lagi, Is. Saya seperti yatim piatu. Kegagalan saya dalam rumah tangga saya yang lalu buatkan saya sedar dan insaf. Saya tak mahu lagi mengulangi kesilapan yang sama.” Tersedu-sedu Nina berbicara.

Iskandar memandang Nina.

“Cik Nina tak ada rasa malu ke? Dulu macam-macam awak cakap pada saya dan mak saya. Awak hina saya sebab saya miskin. Awak hina mak saya sebab mak saya tak sempurna. Awak halau saya dan mak saya macam kucing kurap. Orang yang tak ada hati perut aje sanggup buat macam tu. Awak memang hati batu, Cik Nina! Kalau saya jadi awak, saya malu! Malu! Sekarang awak dah tak ada apa-apa, awak datang cari saya. Awak rasa tindakan awak ni betul ke?”

Bertubi-tubi Iskandar mengenakan Nina. Dia sebenarnya tiada niat mahu menyakitkan hati Nina, tetapi dia mahu menyedarkan wanita ini supaya jangan sesekali memperlekehkan orang lain.

“Saya dah buang perasaan malu tu, Is. Saya dah insaf. Saya tahu bukan senang untuk awak terima saya lepas apa yang saya buat pada awak dulu. Tapi itu dulu, Is. Kalau saya jadi isteri awak, saya mahu jadi isteri solehah dan taat pada suami. Kesilapan saya dulu sebab saya tak hormat suami saya. Saya menyesal. Lagi pula saya perlukan seorang lelaki untuk melindungi saya.”

Iskandar menghembus kuat nafasnya.

Kasihan pula Iskandar melihat Nina yang bersungguh-sungguh mahu berubah. Jika benar Nina telah berubah dan mahu menjadi manusia yang baik, salahkah kalau dia menerima cadangan Nina untuk berkahwin dengannya? Lagi pula, dia masih menaruh hati pada Nina cuma dia tidak pernah menunjukkan rasa cintanya itu.

Ah! Payahnya hendak buat keputusan ini. Tiba-tiba saja Nina muncul dengan berubah identiti dan mengajaknya berkahwin. Apakah ini benar atau sebaliknya?

Nina terus memujuk lembut dengan air mata palsunya. Dia amat berharap agar Iskandar bersetuju dengan cadangannya itu.

“Saya benar-benar mahu jadi isteri awak, Is. Saya sebenarnya dah jatuh sayang dan cinta pada awak. Hanya awak yang boleh bahagiakan saya. Saya mahu melupakan apa yang pernah berlaku dulu dan membina hidup baru bersama seorang lelaki bergelar suami. Saya jugak mahu kita sama-sama cari papa saya sebab saya terlalu rindukan papa,” ujar Nina lagi, mula mengelap kelopak matanya yang basah.

Iskandar masih membisu. Dia tidak tahu jawapan apakah yang harus diberikan kepada Nina.

“Awak bukan tak tahu yang saya ni tak berharta. Sekolah tak tinggi macam awak. Kereta pun tak ada. Yang ada pun kereta Proton Saga lama. Rumah pulak goyang sana sini, bertampal tak kira tempat. Sanggup awak nak berhujan panas di rumah saya?

Duit tak usah ceritalah. Tak pernah penuh poket. Orang kata cukup-cukup makan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Awak nak ke macam tu? Harta yang saya ada sekarang ni adalah mak saya. Tu ajelah harta yang paling bernilai. Awak kena ambil kisah jugak tentang semua yang saya beritahu tu. Saya tak nak awak menyesal.”

Satu per satu Iskandar menjelaskan pada Nina agar wanita di depannya ini faham dan berubah fikiran.

Nina menggeleng. Wajahnya kembali sedih.

“Saya tahu selama ni saya terlalu menjadi hamba dunia. Saya hamba duit, saya hamba kemewahan. Tapi itu dulu, Is. Sekarang saya mahu berubah. Saya mahu jadi orang yang baik. Saya tak nak ulangi lagi kesilapan yang lalu.

Cukuplah sekali dosa itu dalam kamus hidup saya. Saya menyesal. Saya nak bertaubat. Saya nak mintak ampun pada ALLAH. Saya takut jika saya tak sempat bertaubat, entah macam mana saya di alam kubur nanti. Sebab itulah saya perlukan seseorang untuk bimbing saya. Saya nak solat, saya nak puasa.”Tersedu-sedu suara Nina memujuk Iskandar.

Iskandar menghembus lembut nafasnya. Berat permintaan wanita ini. Apakah benar Nina telah berubah atau ada perkara lain?

Iskandar tidak mahu berburuk sangka. Lama dia memerhati Nina yang masih tersedu-sedan menangis. Dia dapat lihat di wajah wanita ini, dia telah benar-benar berubah dan dia juga tahu Nina juga telah kehilangan segala-galanya.

“Saya janji jika awak sudi mengambil saya sebagai isteri, saya mahu jadi isteri yang baik dan solehah. Saya mahu lupakan perkara yang lalu dan mahu bina hidup baru bersama suami saya.

Saya dah tak mahu ingat lagi soal duit, rumah besar, kereta mewah. Itu semua merosakkan saya, Is. Kerana kemewahan itu, hidup saya kucar-kacir. Bekas suami saya jugak tak pedulikan saya lagi. Hubungan kami dah lama berakhir dan saya mahu lupakan dia.”

Nina berterusan merayu. Tangisannya semakin reda. Dia menyapu air mata di pipinya.

“Berikan saya masa. Soal kahwin ni bukan perkara main-main. Saya harap awak faham. Lagipun perkahwinan ini bukan untuk sehari dua, tapi untuk selama-lamanya. Tak ada siapa pun yang mahu perkahwinan hancur di tengah jalan.”Terang Iskandar sejujurnya.

“Saya faham, Is. Tapi saya janda. Saya harap awak boleh terima saya seadanya. Fikirkanlah permintaan saya ni. Saya benar-benar perlukan awak untuk membimbing saya.”

Nina memandang sayu mata Iskandar. Kedatangan Nina kali ini benar-benar membuatkan perasaan Iskandar terdera.

Apakah perlu dia menerima cadangan Nina atau menolaknya secara baik? Iskandar keliru. Moga-moga ada jalan yang ditunjukkan oleh ALLAH kepadanya.

“IS jangan main-main soal kahwin ni. Mak tak nak nanti Is merana di kemudian hari. Mak bukan buruk sangka pada anak Tan Sri Shahril tu, tapi mak tak sedap hati, Is.”


----------------------------------------------------------------------------------------

Puan Leha memandang lama wajah satu-satunya zuriat yang dia miliki. Hatinya resah. Sejak Iskandar memberitahu tentang kemunculan Nina, Puan Leha benar-benar tidak sedap hati. Tambahan pula bila Iskandar beritahu bahawa Nina mahu berkahwin dengan anaknya.

“Is satu-satunya anak mak. Bukan mak tak suka pada Nina. Tapi Is tak ingat ke apa yang dia dah buat pada kita. Kita bukan taraf dia nak,” tambah Puan Leha lagi tidak tenang.

Iskandar memandang lembut wajah emaknya. Dia tahu dia telah meresahkan hati emaknya, tetapi dia tiada pilihan. Puan Leha satu-satunya warisnya. Jadi tiada rahsia yang perlu disembunyikan antara mereka berdua.

“Mak, Is mintak maaf. Is tak ada niat nak susahkan mak tapi Is nak mintak restu mak. Tempoh hari Nina datang. Dia dah insaf mak. Dia nak jadi orang baik. Hari tu pun dia datang dengan memakai tudung. Dia nak Is jadi suami dia supaya Is boleh bimbing dia ke jalan yang benar.

Lagipun mak, Puan Sri Suzana dah lama tak balik rumah. Tan Sri pulak hilang entah ke mana. Syarikat Tan Sri sekarang dah bankrap, mak. Villa yang besar tu tak lama lagi mungkinakan jadi milik orang lain. Sekarang Nina sebatang kara mak. Dia tak ada sesiapa lagi untuk bersama dia. Bekas suaminya pun dah tak peduli pada dia.”

Panjang lebar Iskandar menerangkan pada Puan Leha tentang kedudukan Nina. Dia mahu emaknya memahami keadaan Nina.

“Bila ingatkan apa yang Nina dan Puan Sri buat pada kita, mak rasa marah sangat. Bahkan hati mak ni sakit sangat setiap kali mereka sakitkan anak mak. Sekarang mudah saja Nina datang mintak jadi menantu mak,” bicara Puan Leha sedikit tegas.

“Mak, benda yang dah lepas tu janganlah kita ingat lagi. Itu urusan dia dengan ALLAH. Kalau kita masih ingat lagi perkara yang lalu dan tak boleh lupa, hati kita juga sakit.

Dari situ mulalah timbul dendam. Dalam Islam kan tak boleh berdendam. Nina sekarang ni dah berubah mak. Dia nak jadi orang baik. Dia pun menyesal dengan apa yang dia dah buat pada kita berdua. Nina jugak cakap nak datang jumpa mak. Dia nak mintak ampun dengan mak.”

Lembut Iskandar memujuk hati emaknya. Dia tidak mahu Puan Leha tergores dengan kata-katanya. Biarlah perkahwinannya kelak mendapat restu emaknya.

“Kalau betul Nina tu nak berubah, kenapa dia tak cari orang lain yang boleh tolong dia? Kenapa dia nak jugak Is tolong dia? Mak takut kalau dia ada niat lain.”

Puan Leha masih tidak boleh membuat keputusan. Hati seorang ibu begitu risaukan diri si anak.

“Entahlah mak. Is pun tak tahu. Mak bukan tak tahu si Nina tu mana ada kawan kat sini. Semua kawan dia kat KL. Lagi pulak dia bukan kenal sesiapa kat sini melainkan kita aje. Lagi satu mak, mungkin jugak ALLAH dah berikan hidayah kepada Nina untuk berubah. Apa salahnya jika kita membantu orang-orang yang dah kembali pada ALLAH. Insya-ALLAH kita akan dapat pahala, mak.” Lembut suara Iskandar membalaskata-kata Puan Leha.

Puan Leha menghembus nafasnya lembut. Dia juga buntu. Begitu juga dengan Ustaz Syukri yang turut berada di rumah Iskandar. Mereka bertiga menghadap di antara satu sama lain di atas tikar mengkuang.

Mok saye ko Is. Is satu-satunyo anok mok. Mok takdok tempat nok bergantung doh. Mok takut bilo anok mok ado isteri, Is tok ingat ko mok lagi.”

(“Mak sayang pada Iskandar. Iskandar satu-satunya anak mak. Mak dah tak ada tempat nak bergantung. Mak takut bila anak mak ada isteri, Iskandar tak ingat pada mak lagi.”)

Kali ini suara Puan Leha bergetar. Dia takut kehilangan anak kesayangannya itu.

Iskandar tunduk. Dia faham apa yang sedang bermain di fikiran emaknya saat ini. Sedih juga dia melihat emaknya yang seolah-olah tidak mahu berpisah dengannya.

Aku tokleh nok kato gapo Is. Keputusan ado ngan mung. Mung buatlah keputusan hok molek jange sapa mok kito kecik hati. Sebagai saing, aku buleh doa jah ko mung,

(“Aku tak boleh nak cakap apa-apa, Is. Keputusan ada pada kau sendiri. Kau buatlah keptusan yang baik jangan sampai mak kita berkecil hati. Sebagai sahabat, aku hanya mampu berdoa,”) sampuk Ustaz Syukri yang sejak tadi mendiamkan diri hanya menjadi pendengar perbualan dua beranak ini.

Iskandar mengangguk tanda faham. Kemudian, dia mengengsot menghampiri Puan Leha. Tangan emaknya dipegang penuh kasih sayang. Sejuk.

“Mak...” panggil Iskandar.

“Is tak ada sesiapa lagi di sini mak. Tak ada sebab Is nak tinggalkan mak. Sejak dari kecil Is hanya dengan mak. Satu hari Is tak dapat tengok mak, Is tak senang hati. Inikan pulak nak tinggalkan mak. Kalau masa kecil mak boleh jaga Is, takkan bila mak dah tua Is tak boleh jaga mak. LagipunIs terhutang budi dengan mak.”

Suara Iskandar tersekat di situ. Kerongkongnya tercekik. Kaki Puan Leha disentuh lembut. Hatinya sebak serta-merta.

“Kaki mak jadi macam ni sebab Is. Mak berkorban segalanya untuk anak mak. Mak korbankan nyawa mak untuk Is. Kalau mak tak tolong Is, dah tentu Is takkan sesempurna macam ni. Kenapa mak sanggup selamatkan Is? Kenapa mak? Kenapa?”

Air mata Iskandar bergenang lantas laju membasahi pipinya. Dia terus memeluk Puan Leha yang turut sama menangis. Ustaz Syukri tunduk. Perasaan sedih juga bertamu di hatinya.

“Is anak mak. Satu-satunya zuriat yang arwah ayah tinggalkan untuk mak. Is amanah ALLAH dan mak dah jaga amanah ALLAH ini sebaik mungkin. Kalau Is tak sanggup lihat keadaan mak macam ni, mak lebih dari itu. Mak tak sanggup tengok anak mak cacat. Mak tak sanggup. Mak rela hilang anggota badan dari hilang seorang anak yang mak sayang.”

Puan Leha memeluk lengan Iskandar. Air matanya menitis di atas lengan Iskandar.

“Mak jugak amanah ALLAH pada Is. Takkan semudah itu Is nak lupakan mak. Mak menanggung sakit ketika mengandungkan Is. Mak hampir putus nyawa melahirkan Is.

Mak jugak menggadaikan seluruh hidup mak untuk beri Is makan. Mak hantar Is ke sekolah, mak sediakan bekal untuk Is dan mak buat segalanya untuk Is. Takkan Is lupa semua tu mak. Percayalah, Is takkan tinggalkan mak.”

Teresak-esak Iskandar menangis di bahu Puan Leha. Bahkan Ustaz Syukri juga menitis air mata melihat aksi anak-beranak ini.

“Mak restu apa aje keputusan Is. Mak restu, nak...”

Kata-kata Puan Leha itu membuatkan hati Iskandar bertambah sayu. Beruntungnya dia memiliki seorang ibu bernama Leha. Moga-moga ALLAH menempatkan emak di syurga.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.