Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
88,020
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

DIA baru sahaja selesai membaca al-Quran. Jiwa yang tidak tenteram terasa tenang apabila dapat mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.

Jemaah yang lain sudah lama pulang. Kini hanya Iskandar dan Ustaz Syukri sahaja berada di masjid Syuhada. Iskandar bangun. Dia menyimpan kitab suci ALLAH di tempat yang telah disediakan. Kemudian, matanya mencari sahabat baiknya, Ustaz Syukri. Kelihatan sahabatnya itu masih lagi di atas sejadah sedang berzikir.

Iskandar berjalan ke arah koridor dan duduk di situ. Bulan begitu terang menyinari alam milik ALLAH. Bintang pula penuh di dada langit. Terasa angin malam menyapa tubuhnya.

Nina Natasha? Nama itu terlintas di fikiran Iskandar. Kemudian, wajah bengis anak gadis Tan Sri Shahril menjelma di ruang matanya. Walaupun wajah gadis itu masam mencuka, namun kejelitaannya tetap ada dan tidak pernah hilang.

Iskandar cuba untuk memadamkan wajah cantik itu tetapi ternyata dia tidak mampu. Wajah itu tetap juga menari di depan matanya. Terbayang saat-saat Nina memarahinya kerana tinggal di rumah rehat Villa Suzana. Dia tahu Nina tidak menyukainya bahkan dia juga sedar gadis itu seakan membencinya.

Tapi kenapa? Dia tidak pernah menyakiti hati Nina apatah lagi mengganggu gadis itu. Apakah kerana dia tidak berharta dan Nina dilahirkan di dalam dulang emas, maka dia dilayan sebegitu? Jika benar begitu keadaannya, dunia ini tidak adil!

ALLAH tidak pernah membezakan hamba-NYA. Yang berbeza di sisi ALLAH adalah setiap amalan hamba-hamba-NYA. Semoga Nina mendapat hidayah ALLAH.

Iskandar cuba membayangkan Nina yang cantik dan manis apabila tersenyum, namun tidak berjaya. Dia tidak pernah melihat gadis itu tersenyum. Nina akan menunjukkan muka masamnya apabila melihatnya. Iskandar yakin Nina pasti kelihatan cantik apabila tersenyum kerana gadis itu cukup sempurna di matanya.

Iskandar tersenyum. Dia masih membayangkan anak gadis Tan Sri Shahril. Nina yang cantik, bijak dan segala-galanya indah tentang gadis bertubuh genit itu. Hatinya yang kosong mula terasa hidup dan berbunga indah.

Jatuh cinta? Ya! Iskandar jatuh cinta pada Nina dan cintanya ini tidak bohong. Belum pernah dia alami perasaan ini dan inilah kali pertama dalam hidupnya. Lagi pula dia tidak pernah mempunyai teman wanita. Perasaan ini mula dirasai apabila melihat wajah Nina di dalam bingkai gambar keluarga Tan Sri Shahril.

Bermula dari detik itu, hatinya seakan tidak sabar mahu mengenali Nina. Tetapi itu semua tidak akan terjadi. Nina tidak pernah menunjukkan keramahannya pada Iskandar. Jadi bagaimana Iskandar mahu berbual dengan gadis itu? Hendak menegur Nina pun dia rasa tidak layak apatah lagi hendak berdamping dengan gadis itu. Bawak-bawak sedar dirilah Iskandar! Cukuplah hanya dipendamkan di dalam hati.

“Nina! Nina Natasha!” Iskandar menyebut-nyebut nama itu dan senyuman tidak putus di bibirnya.

“Nina? Siapa Nina?”

Sapaan Ustaz Syukri mengejutkan Iskandar. Dia terus duduk menegak. Betulkah dia menyebut nama Nina sebentar tadi? Ustaz Syukri melabuhkan punggungnya di sebelah Iskandar.

Aku dengar mung sebut namo ore tino tadi. Nina! Sapo Nina?”(“Aku dengar kau sebut nama perempuan tadi. Nina! Siapa Nina?”) soal Ustaz Syukri bersungguh-sungguh.

Dia mahu tahu. Nama yang disebut oleh Iskandar sebentar tadi cukup asing di telinganya. Tidak pernah-pernah sahabatnya ini menyebut nama perempuan melainkan nama emaknya, Puan Leha.

Aku sebut namo ore tino ko tadi?”(“Aku sebut nama orang perempuan ke tadi?”) Kali ini Iskandar pula bertanya dan memandang sahabatnya ini.

Holah. Aku dengar mung sebut namo Nina. Aku ni tok tuli lagi. Sapo Nina tu? Gewe ko?” (“Yalah. Aku dengar kau sebut nama Nina. Aku ni belum pekak lagi. Siapa Nina tu? Awek ke?”) Ustaz Syukri menyoal lagi dan ketawa mengekek-ngekek.

Iskandar diam sebentar. Lebih baik dia berterus terang tentang perasaannya ini dan memberitahu Ustaz Syukri siapa Nina sebenarnya. Tetapi dia malu. Bimbang jika Ustaz Syukri ketawakannya.

Dia seorang lelaki pemalu. Hendak bercakap dan berbual dengan perempuan pun dia malu. Tetapi berlainan pula apabila berdepan dengan Nina. Dia boleh menjadi seorang peramah apabila berdepan dengan Nina walaupun gadis itu sering memarahinya.

Iskandar memandang Ustaz Syukri. Wajah sahabatnya direnung penuh kasih.

“Hmm... Nina Natasha. Cantik tak nama tu?” tanya Iskandar perlahan.

Ustaz Syukri mengangguk.

“Cantik! Kenapa?”

“Orangnya lagi cantik,” tambah Iskandar dan senyuman mula menghiasi bibirnya.

Ustaz Syukri mula terasa kelainan pada sahabat baiknya ini. Iskandar kelihatan seperti orang angau.

“Hisy... kau ni cuba terus terang kat aku. Tak payahlah kau nak sorok apa-apa dari aku. Lambat laun aku akan tahu jugak. Baik kau beritahu awal-awal,” desak Ustaz Syukri.

Iskandar masih membisu mencari kata-kata yang sesuai untuk diluahkan pada Ustaz Syukri. Lama membisu barulah dia menjawab.

“Nina Natasha tu anak Tan Sri Shahril. Dia baru aje habis belajar di Australia. Sekarang dia ada di Villa Suzana.”

Walaupun terasa sedikit malu, Iskandar tetap berterus terang. Betul kata Ustaz Syukri, lambat laun sahabatnya itu akan tahu juga perasaannya.

“Jadi kenapa dengan dia? Ada yang tak kena ke?” Ustaz Syukri terus menyoal, masih tidak dapat memahami hati sahabatnya ini.

“Tak ada apa-apalah!” jawab Iskandar.

“Eleh, tak ada apa-apa konon! Kau ingat aku tak tahu apa yang ada dalam hati kau tu. Kau suka pada anak dara Tan Sri Shahril tu kan?”

“Kau ni pandai-pandai ajelah, Syuk! Mana ada! Kalau bab meneka bagi kat kau ajelah!”

“Ha! Kau pun tahu yang aku terror bab-bab meneka ni. Jadi kenapa kau nak tipu aku lagi? Aku tahu kau ada hati pada Nina Natasha, kan?” asak Ustaz Syukri tidak berputus asa.

Iskandar diam. Dia tidak boleh menipu lagi. Ustaz Syukri sudah dapat meneka hatinya. Apabila melihat Iskandar membisu, Ustaz Syukri menepuk lembut bahu sahabatnya ini.

“Betul tak kalau aku cakap kau jatuh cinta pada anak majikan kau tu?”

Ustaz Syukri terus memprovok Iskandar. Dia mahu Iskandar berterus terang.

Iskandar memandang Ustaz Syukri. “Salah ke kalau aku jatuh cinta?”

“Tak salah! Siapa cakap salah? Perasaan jatuh cinta ini juga datangnya dari ALLAH. ALLAH yang memberikan hamba-NYA perasaan itu. Tetapi mestilah digunakan dengan cara yang betul. Lagi pula kita orang lelaki. Fitrah orang lelaki memang suka melihat yang cantik-cantik. Tambah pulak tengok perempuan cantik, lagilah lelaki suka. Jadi betullah ni kau ada hati pada Nina tu?”

Perlahan-lahan Iskandar mengangguk mengakui perasaannya. Ustaz Syukri senyum panjang. Bertuahnya seorang wanita yang dicintai Iskandar.

“Alhamdulillah. Aku ingat kau tak ada perasaan. Bertuah Nina tu sebab dia dicintai lelaki yang baik seperti kau. Nina tahu ke kau ada hati pada dia?”

“Hisy! Nina tu tengok aku pun macam nak terkam aje. Belum lagi aku cakap yang aku jatuh cinta pada dia. Silap hari bulan dia terajang aku pulak.”

Ustaz Syukri ketawa kecil. Lucu dengan kata-kata sahabatnya itu.

“Anak Tan Sri Shahril tu cantiklah, Syuk. Tentulah dia tu dah berpunya. Aku ni sebelah mata pun dia tak pandang. Inikan pulak nak berdamping dengan aku,” tambah Iskandar bersungguh-sungguh.

“Kau ni cakap macam berputus asa aje. Belum cuba belum tahu lagilah, Iskandar. Takkan nak berputih mata aje. Kalau dia dah berpunya pun itu bukan suami dia. Selagi dia tak jadi milik sesiapa, kau cubalah pikat dia,” nasihat Ustaz Syukri pada sahabatnya ini.

“Biarlah. Lupakanlah anak Tan Sri Shahril tu. Lama-lama nanti perasaan aku ni akan hilanglah sendiri.”

Iskandar bersuara perlahan. Dia tahu, dia tidak mampu untuk berdamping dengan Nina. Taraf kehidupan mereka terlalu jauh.

“Eleh, aku kenal kaulah Is. Kalau kau dah jatuh cinta pada seseorang, kau mesti akan terus sayangkan seseorang tu seikhlas hati kau. Oh ya, macam mana dengan Puan Sri Suzana? Kau ada tegur dia tentang aktiviti dia bila Tan Sri tak ada di rumah?”

Iskandar menggeleng.

“Belum lagi. Aku serba salah sebenarnya. Tapi aku harap sangat Puan Sri tu berubah. Tak adalah aku nak kena menghadap dan tegur dia pasal hal ni. Aku pun dah lama tak nampak Puan Sri kat Villa tu. Lelaki tu pun dah lama tak datang ke Villa. Yalah, Tan Sri Shahril kan ada di sini. Takkan lelaki tu berani nak datang ke Villa pulak. Aku pun harap sangat agar Puan Sri Suzana tu sedar kesilapan yang dia buat selama ni.”

Ustaz Syukri mengangguk.

“Yalah. Sama-sama kita berdoa agar Puan Sri mendapat hidayah dan petunjuk dari ALLAH.”


---------------------------------------------------------------------------------------

“CEPATLAH keluar! You ni lembap sangat kenapa? Anak I ada kat rumahlah!” marah Puan Sri Suzana pada Hisyam, teman lelakinya yang selalu berkunjung ke Villa Suzana untuk melampiaskan nafsu serakahnya.

Hisyam membuka pintu bilik yang terletak di hujung rumah. Dia memandang kiri kanan. Suasana sunyi sepi. Kedua-duanya baru selesai menjalankan aktiviti tidak bermoral mereka. Hisyam memandang Puan Sri Suzana.

“Maksud you Nina Natasha?” soal Hisyam mahukan kepastian.

“Yalah! Anak I sorang tu ajelah. Mana I ada anak lagi!” jawab Puan Sri Suzana serius.

“Bila you nak kenalkan I pada anak you tu? Err... maksud I anak tiri I tulah. Opss... sorry bakal anak tiri.”

Hisyam ketawa di hujung ayatnya.

“Sabarlah, Syam. I tunggu masa aje nak mintak cerai dari Tan Sri tu. Bila I dah dapat semua harta-harta dia yang bertimbun tu, I akan mintak cerai dan kita akan kahwin. You masih nak kahwin dengan I?”

Kali ini suara Puan Sri Suzana kedengaran agak manja.

Of courselah sayang. I memang nak hidup dengan you. Sebab tu I sanggup lakukan apa saja untuk you. Tengok sekarang ni, I sanggup datang ke rumah you walaupun Tan Sri tak keluar negara sekarang ni. Ini bukti yang I betul-betul nak hidup bersama you.”

Spontan Hisyam mengelus lembut pipi kekasih tuanya ini membuatkan Puan Sri Suzana tersenyum bahagia.

“Janji you jangan tinggalkan I walau apa pun yang terjadi. Boleh?”

Puan Sri Suzana mahukan kepastian. Hisyam tersenyum dan mengangkat tangannya seolah-olah berikrar.

“Boleh sayang! I janji akan terus bersama you. Yang penting you kaut semua harta Tan Sri tu. Bila semua dah jadi milik kita berdua, you terus mintak cerai dan bila edah you dah habis, I akan terus kahwin dengan you. Lepas tu I akan bawa you pergi jauh dari sini dan semua orang takkan jumpa kita lagi. Hanya you dan I!”

Manisnya mulut lelaki ini memujuk. Ibarat lembut gigi dari lidah. Puan Sri Suzana tersipu-sipu malu. Dia nekad mahu mengaut segala harta Tan Sri Shahril. Dia tidakmahu lagi hidup bersama lelaki itu.

Baginya Tan Sri Shahril hanyalah tempat untuk dia berbelanja mewah. Selama perkahwinan mereka, Puan Sri Suzana tidak pernah ikhlas terhadap suaminya. Yang dia mahukan ialah harta benda dan duit yang banyak. Itu sudah cukup baginya dan cinta itu tidak penting dalam hidupnya.

Kini dia sudah menemui cinta sejatinya. Hisyam, lelaki muda yang berjaya menambat hatinya. Hisyam yang bijak melayannya. Hisyam yang romantik apabila berkata-kata.

“Okey! I percaya janji you. You bagi I masa sikit lagi untuk uruskan Tan Sri Shahril. Sekarang ni you kena pergi. Driver Villa ni ada kat sini tengah mengemas. Pergilah cepat!” arah Puan Sri Suzana kembali serius.

Belum pun sempat Hisyam melangkah pergi, Iskandar muncul dengan membawa beberapa kotak di tangannya. Mata kedua-dua lelaki itu bertembung. Puan Sri Suzana kaget di muka pintu. Sudahlah dia tertangkap di depan bilik. Sudah pasti Iskandar dapat mengesyaki aktivitinya. Jantung Puan Sri Suzana berdegup kencang. Terbayang wajah Tan Sri Shahril di matanya. Bimbang jika rahsianya ini terbongkar.

Hisyam tidak boleh menunggu lagi. Dia harus pergi dengan segera sebelum perkara seterusnya berlaku. Tanpa pedulikan Iskandar yang masih berdiri tegak di situ, Hisyam laju melangkah pergi dan merempuh tubuh Iskandar hingga kotak yang dipegang Iskandar jatuh ke lantai.

Kini hanya Iskandar dan Puan Sri Suzana di situ. Muka Puan Sri Suzana yang bengis bertukar menjadi pucat serta-merta. Bagaimana dia boleh tertangkap dengan lelaki ini?

“Kau buat apa kat sini?” soal Puan Sri Suzana dengan suara yang kasar. Matanya tajam merenung Iskandar yang sedang mengangkat kembali kotak-kotak tersebut.

Iskandar menelan liur. “Saya tengah kemas bilik hujung sana, Puan Sri.”

“Kau sengaja nak mengintip aku, kan?” soal Puan Sri Suzana lagi dengan muka yang bengis.

“Mengintip? Saya tak tahu apa yang Puan Sri lakukan tadi. Tapi ALLAH nampak apa yang kita buat. Sebesar zarah pun ALLAH nampak, Puan Sri. Dengan manusia kita boleh menipu tapi tidak dengan ALLAH. Saya mintak maaf kalau cara saya bercakap ini tidak menyenangkan hati Puan Sri. Bertaubatlah, Puan Sri. Kembalilah semula pada ALLAH.” Lembut Iskandar berbicara dengan wanita ini.

Jantung Puan Sri Suzana semakin kuat berdenyut. Ya, pemandu Villa Suzana ini sudah mengetahui rahsianya. Puan Sri Suzana berjalan menghampiri Iskandar. Jari telunjuknya ditundingkan tepat ke muka Iskandar. Mukanya merah menyala.

“Eh, kau tak payah nak nasihat akulah! Apa aku nak buat dalam rumah ni itu hak aku! Ini rumah aku dan apa yang aku buat tak ada kena-mengena dengan kau! Aku bayar kau gaji supaya kau buat kerja kau, bukan suruh menyibuk urusan tuan rumah!”

“Tapi Puan Sri, saya tak nak tanggung dosa. Saya tak tahu siapa lelaki itu tadi. Mungkin anak saudara Puan Sri. Saya tak nak berburuk sangka, tapi saya dah banyak kali terserempak dengan Puan Sri dan lelaki tu dalam keadaan yang mencurigakan. Bukan saya nak menyibuk urusan Puan Sri, tapi saya jugak yang akan disoal di dalam kubur jika saya terus membiarkan perkara maksiat berlaku di depan mata saya,” ulas Iskandar perlahan.

Puan Sri Suzana menggenggam tangannya. Mahu saja dia menumbuk-numbuk muka lelaki berlagak baik ini.

“Kau nak tahu sangatkan siapa lelaki tu? Kau nak tahukan? Lelaki tu ialah kekasih aku! Kekasih aku! Puas hati kau!” jerkah Puan Sri Suzana. Dia berdiri betul-betul di depan Iskandar.

Iskandar menggeleng berkali-kali. Dia mengucap di dalam hati. Moga-moga ALLAH memberikan hidayah kepada wanita ini.

“Kenapa kau diam? Kau tak percaya? Kau dengar sini ya! Aku tak nak rahsia ini sampai pada Tan Sri Shahril. Kalau jantan tua tu tahu, memang kaulah orang pertama yang aku cari! Lagi satu aku nak ingatkan kau! Kau buat kerja kau dan jangan masuk campur urusan keluarga aku! Kalau kau sayangkan pekerjaan kau ni, jaga diri sendiri dan jaga mak kau yang tempang tu!”

Mata Puan Sri Suzana merah menyala.

“Saya hanya tegur apa yang saya nampak dan saya nak ingatkan Puan Sri yang kita hidup di atas dunia ini tidak lama. Hidup di atas dunia ini adalah untuk memperhambakan diri kepada ALLAH dan bukannya melawan ALLAH.”

“Ah!!! Tak payah kau nak ajar akulah! Kau tu hanya drebar keluarga aku ajelah! Driver ni tak layak nak bagi nasihat pada orang-orang kaya macam aku ni! Beruk kat hutan tu bolehlah kau nak tegur! Itu baru sesuai dengan kau! Diri sendiri pun tak betul, ada hati nak nasihatkan aku!

Berapa banyak pahala yang kau dah kumpul sekarang ni sampai berani nak tegur orang macam aku hah? Kalau dosa kau tu pun ALLAH tak ampunkan lagi, tak payah nak tunjuk baiklah!”
Berapi-api Puan Sri Suzana menghamburkan kemarahannya.

“Kau ingat ya! Kalau rahsia aku ni bocor, aku akan cari kau sampai lubang cacing. Ingat apa yang aku pesan ni. Kalau kau sayangkan si tempang tu, jangan cari pasal dengan aku!”

Iskandar diam. Dia langsung tidak melawan. Hatinya terasa sedih apabila emaknya turut dihina. Dia tidak kisah jika Puan Sri Suzana menghinanya, tetapi janganlah menghina emaknya.

Iskandar tunduk, cuba menahan rasa marah yang mula merasuk ke hati. Sesungguhnya orang yang sabar itulah orang yang berjaya. Sempat Iskandar mengingatkan dirinya. Apalah maknanya jika selalu ke kuliah agama tetapi tidak mampu mempraktikkan ilmu itu sebaiknya. Moga-moga ALLAH merahmati Puan Sri Suzana.

“Mama! Apa yang kecoh-kecoh ni? Sampai bilik Nina pun boleh dengar suara mama!” Nina muncul dengan wajah tegangnya.

Iskandar memandang Nina. Dia tidak jadi memandang gadis itu apabila dilihatnya Nina hanya berseluar pendek separas lutut dan memakai baju tanpa lengan.

‘Ya ALLAH, lindungilah pandangan mataku daripada perkara terlarang Ya ALLAH.’ Doa Iskandar di dalam hati.

Puan Sri Suzana memandang Nina yang sudah berdiri tegak di sisinya sambil berpeluk tubuh.

“Ni hah! Driver kesayangan papa Nina nilah! Baru jadi drebar dah tunjuk belang nak nasihatkan mama pulak!” beritahu Puan Sri Suzana dengan muka yang masam mencuka.

“Dia buat apa kat mama?” soal Nina lagi ingin tahu sambil matanya menikam tajam pada lelaki di depan ini.

“Huh! Malas mama nak cerita panjang. Lagi dilayan, makin sakitkan hati. Lain kali jangan nak sibuk urusan keluarga aku! Jaga diri kau tu sendiri!” herdik Puan Sri Suzana dan terus berlalu pergi.

Kini hanya tinggal Nina dan Iskandar saja.

“Kau tahu tak keluarga ni keluarga kaya? Kau tahu tak?” Nina bertanya dengan suara yang kuat.

“Saya tahu Cik Nina,” jawab Iskandar perlahan masih tidak memandang Nina.

“Kau tahu tak yang kau tu menumpang di rumah keluarga aku?”

“Saya tahu Cik Nina.”

“Hah! Kalau tahu baguslah! Kalau dah menumpang tu buatlah cara menumpang! Jangan nak melebih-lebih pulak!” tengking Nina tanpa menghiraukan perasaan penjaga Villa Suzana ini.

“Saya bukan menumpang di sini tapi saya bekerja, Cik Nina. Tan Sri Shahril yang jemput saya tinggal di sini.” Iskandar tenang bersuara.

“Samalah tu! Maknanya kau menumpanglah jugak rumah aku yang lebih selesa ni. Entah-entah kat luar sana tu kau bergelandangan dengan mak kau merata tempat. Sebab tu papa aku mintak kau tinggal sini. Yalah, mungkin kesian dengan hidup kau tak ada tempat nak berteduh dari hujan dan panas.”

Astaghfirullahalazim! Mengucap Nina. Jangan menghina orang lain dan jangan takbur. Nikmat kesenangan ini bila-bila masa saja ALLAH boleh tarik kembali.

Iskandar membisu. Kepalanya tergeleng-geleng. Malas hendak bertikam lidah dengan gadis ini. Jika yang menghinanya adalah lelaki, tahulah dia mengajarnya.

Nina berang apabila Iskandar langsung tidak memandangnya, lantas dia berdiri tegak di depan lelaki berkulit cerah ini. Iskandar terkejut. Mata kedua-duanya saling bertentangan.

“Kenapa kau tak nak pandang aku? Kau takut terliur dengan aku ke? Kau ingat bila kau tak pandang perempuan seksi, kau dah dikira masuk syurga ke?” sinis Nina menyoal dan memandang tepat pada Iskandar. Kali ini Nina betul-betul mencabar kelelakian Iskandar.

“Maafkan saya Cik Nina. Saya ada kerja yang nak diselesaikan.”

Iskandar mahu berlalu. Terkilan dia dengan sikap gadis ini. Namun, hatinya kuat mengatakan yang dia jatuh hati pada Nina. Kenapa dia perlu jatuh cinta pada gadis yang membencinya? Kenapa?

“Aku tak habis cakap dengan kaulah!” jerit Nina.

Nina melangkah laju dan menghalang perjalanan Iskandar yang semakin menghampiri pintu.

“Pandanglah aku ni! Tak payah nak berlagak baiklah. Mana ada kucing yang tolak ikan! Aku cabar kau sentuh aku! Sentuhlah!” pekik Nina sekuat hatinya.

Iskandar terus merempuh Nina yang berdiri di depannya dan terus berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang. Tidak sangka, begini rupanya sikap anak Tan Sri Shahril. Sayang sekali wajahnya cantik, namun akhlaknya tidak seindah rupa parasnya.

Nina menghentak kuat kakinya. Sakit hatinya dengan pemandu Villa Suzana ini. Bibirnya terkumat-kamit menyumpah Iskandar.


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.