PENULIS : EMY RAZIELA
TERBITAN : ALAF21 (MEI 2015)
Apabila manusia tidak kenal erti sebenar kasih sayang, maka mudah saja hati dan perasaan di serahkan pada manusia lain? Kenapa ini semua terjadi? Apabila hati semakin jauh dengan Allah, tiada lagi rasa bersyukur di hati sebaliknya diganti dengan rasa angkuh dan sombong!
Bertaubatlah sebelum terlambat. Sesungguhnya DEMI MASA, manusia dalam kerugian.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
MOTOSIKAL Kriss diparkir
elok di tepi pagar rumah besar ini. Cepat-cepat dia berjalan ke arah garaj
kereta yang menempatkan beberapa buah kereta mewah.
Setiap pagi Iskandar
akan tiba awal di Villa Suzana. Selesai menunaikan solat subuh di masjid
berdekatan rumahnya, dia terus memecut ke sini. Dia tidak suka jika lewat ke
tempat kerja. Jika dulu sebelum bekerja sebagai pemandu, Iskandar mengambil
upah sebagai pemandu teksi. Pekerjaannya itu juga tidak menentu, bila-bila masa
sahaja dia boleh mulakan kerja.
Namun kini, dia harus jujur dan amanah terhadap waktu.
Tan Sri Shahril sudah memberitahunya awal-awal bahawa sebagai pemandu untuk
keluarga kaya ini, khidmat Iskandar diperlukan bila-bila masa dan Iskandar
sendiri sedia maklum akan perkara itu.
Iskandar
memasuki stor kecil yang terletak di tepi garaj. Keperluan untuk mencuci kereta
diambil. Jika ada masa terluang, dia lebih suka mencuci sendiri kereta-kereta
besar milik keluarga ini. Dia rasa lebih bersih bila dapat lakukan sendiri.
Baru sahaja tangannya hendak mengelap kereta, ada satu suara menyapanya.
“Awal
datang hari ni. Rajin sungguh Is.”
Suara
Mak Cik Minah di belakang mengejutkan Iskandar.
Iskandar
terus pusing belakang dan menghadiahkan senyuman kepada wanita ini.
“Eh,
Mok Cik Minoh..” (“Eh, Mak Cik Minah...”)
Iskandar
melihat jam di tangannya. Jam sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi. Rasanya ini
bukan awal lagi.
“Biasonyo
saya mari awal lagi, mok cik. Hari ni kiro lewat doh ni sebab pagi tadi ado
kuliah di masjid. Tu lambat sikit nih,” (“Biasanya saya datang awal lagi,
mak cik. Hari ni dah kira lewat sebab ada kuliah di masjid. Tu yang lambat
sikit,”) jawab Iskandar sejujurnya.
Mak
Cik Minah senang hati dengan jawapan anak muda ini yang baginya cukup sempurna.
Bertuahnya emak Iskandar melahirkan anak sepertinya, detik hati Mak Cik Minah.
“Kalau
pemandu yang dulu, kalau tak pukul 9.00 pagi takkan datang awal macam kamu ni,
Is. Tan Sri pun selalu puji kamu. Buat kerja pun bagus dan boleh diharap.”
“Tak
adalah, Mak Cik Minah. Sama aje. Lagipun inikan kerja saya. Kalau saya tak
buat, siapa lagi nak buat. Tan Sri dah amanahkan saya. Jadi saya tak boleh nak
ambil sambil lewa amanah ini, mak cik. Jenuh saya nak menjawab di akhirat
nanti.” Panjang lebar Iskandar menjawab dan ketawa di hujung ayatnya.
Mak
Cik Minah mengangguk, setuju.
“Betul
kata kamu tu, Is. Susah nak cari orang muda seperti kamu. Yalah, buat kerja
rajin. Mencari ilmu akhirat pun kamu rajin. Bertuah siapa dapat kamu sebagai
suami.”
Iskandar
ketawa dengan kata-kata Mak Cik Minah. Jauh pembantu Villa Suzana ini berfikir.
“Jangan
cakap macam tu, Mak Cik Minah. Kita tak tahu lagi hidup kita yang akan datang
macam mana. Saya ni tak pandai bab-bab agama ni, mak cik. Ilmu akhirat lagilah
cetek. Sebab tulah saya nak belajar,” ulas Iskandar lembut.
“Betul
tu, Is. Mak cik ni ikutkan dah nak jadi warga emas tak lama lagi. Tapi belum
dapat lagi pergi ke masjid mendengar ceramah agama. Yalah, Is pun tahukan yang
mak cik ni kerja kat sini bukan senang nak keluar ke mana-mana.
Kalau
ikutkan hati mak cik, nak aje berhenti kerja dan habiskan umur mak cik dengan
amal ibadat. Tapi kalau mak cik tak kerja macam mana mak cik nak suap mulut mak
cik ni. Anak pun tak ada. Mak cik ni sebatang kara, Is.”
Suara
Mak Cik Minah berubah kendur. Dia tunduk. Iskandar perasan akan riak di wajah
wanita tua ini.
“Mak
cik, dunia ini milik ALLAH dan luas. Rezeki ALLAH tu ada di mana-mana. Kalau
mak cik tak dapat nak ke masjid untuk menuntut ilmu, mak cik boleh beli
kitab-kitab berkaitan. Saya ada banyak buku-buku kitab. Kalau mak cik nak baca,
saya boleh pinjamkan.
Mak
cik boleh baca bila dah siap semua kerja. Itu pun dikira menuntut ilmu jugak.
Tapi lebih afdal jika kita menuntut ilmu dengan adanya guru,” balas Iskandar
sebaik mungkin dan memandang tepat wajah Mak Cik Minah.
Selepas
mendengar kata-kata anak muda ini barulah wajah Mak Cik Minah berubah ceria.
Iskandar
faham perasaan wanita ini. Di usia sebegini, sepatutnya Mak Cik Minah tidak
perlu lagi melakukan kerja. Sebaliknya menghabiskan masa dengan beramal ibadat.
“Betul
kata kamu tu, Is. Nanti bawakan mak cik kitab-kitab agama ya. Mak cik nak baca
bila ada masa terluang,” ujar Mak Cik Minah lagi.
“Insya-ALLAH,
mak cik. Nanti saya bawa,” balas Iskandar pula.
“Oh
ya, kejap lagi mak cik nak ke pasar. Nak beli barang dapur. Banyak bahan mentah
dalam peti tu dah habis. Is bawa mak cik ke pasar ya?” Bersungguh-sungguh Mak
Cik Minah memberitahu.
“Boleh
mak cik. Lagipun jadual saya tak padat hari ni. Cuma petang ni saya kena bawa
Puan Sri ke gym.”
“Ha,
baguslah macam tu. Mak cik masuk dulu nak tukar pakaian.”
“Yalah.
Saya pun nak lap kereta ni sekejap.”
Mak
Cik Minah tersenyum menampakkan giginya dan terus berlalu pergi. Senang
berbicara dengan anak muda ini. Iskandar menyambung kembali kerjanya. Kain
basahan dicapai, dia mula mengelap kereta milik Puan Sri Suzana.
“BOLEH kita pergi
sekarang? Mak cik dah siap ni,” tanya Mak Cik Minah perlahan.
Iskandar
yang masih mengelap kereta terus henti melakukan kerjanya dan memandang Mak Cik
Minah yang sudah berdiri di depannya. Iskandar tersenyum.
“Mari
mak cik. Saya pun dah siap kerja ni,” balas Iskandar lembut dan terus menyimpan
perkakas mencuci kereta.
Kedua-duanya
sudah memasuki BMW yang dikhaskan untuk urusan-urusan tertentu. Iskandar
menghidupkan enjin kereta dan terus menekan pedal minyak.
Sebaik sahaja BMW sudah berada di pintu pagar besar,
sebuah Toyota Hilux turut sama memasuki pekarangan Villa Suzana ini. Iskandar
tidak jadi meneruskan pemanduannya apabila dia melihat seorang lelaki muda
meluru masuk ke rumah itu. Mak Cik Minah yang berada di sebelahnya turut sama
menoleh ke belakang. Dia juga melihat lelaki itumemasuki rumah
Tan Sri Shahril.
Wajah
Mak Cik Minah berubah serta-merta. Bimbang dan takut.
“Siapa
tu mak cik? Saya tak pernah nampak pun lelaki tu. Saya turun tengok dulu ya,
mak cik. Bimbang jika ada benda tak elok berlaku. Lagipun Tan Sri dah arahkan
saya untuk jaga Villa Suzana ni sekali.” Iskandar mula membuka pintu kereta
untuk turun, tetapi ditahan oleh Mak Cik Minah.
“Tak
usahlah Is.” Terketar-ketar Mak Cik Minah memberi arahan.
Iskandar
memandang Mak Cik Minah dengan pandangan yang pelik. “Kenapa mak cik? Puan Sri
seorang aje dalam rumah tu. Nanti kalau apa-apa jadi pada Puan Sri, saya yang
akan dipersalahkan. Atau lelaki itu ada hubungan kekeluargaan dengan Tan Sri
Shahril?”
Mak
Cik Minah buntu tidak tahu bagaimana hendak menerangkan pada lelaki muda ini.
Lelaki yang baru tiba itu sudah lama tidak ke mari. Apabila Tan Sri Shahril
bekerja di luar barulah lelaki ini akan datang ke Villa Suzana. Tidak
habis-habis Puan Sri Suzana buat hal! Bisik Mak Cik Minah.
Mak
Cik Minah membalas pandangan Iskandar. Dia juga serba salah.
“Err...
mak cik pun tak kenal siapa lelaki tu. Err... mungkin anak saudara Puan Sri
Suzana. Biarlah. Lagipun kita pergi tak lama. Insya-ALLAH tak ada apa-apa yang
berlaku,” bohong Mak Cik Minah dengan suara terketar-ketar.
Iskandar
hanya menggangguk percaya dengan kata-kata Mak Cik Minah dan segera menekan
pedal minyak. Dia mahu cepat-cepat pulang ke Villa Suzana. Bimbang jika ada
perkara yang tidak baik berlaku pada keluarga Tan Sri Shahril.
Mak
Cik Minah merenung ke luar tingkap. Ya ALLAH, berikanlah petunjuk kepada Puan
Sri Suzana. Bilalah Puan Sri Suzana hendak berubah. Kesian Tan Sri Shahril.
Sampai bila Puan Sri Suzana hendak bergelumang dengan dosa. Mak Cik Minah
memejamkan matanya. Pening memikirkan isteri majikannya itu.
Selesai
sahaja membawa Mak Cik Minah ke pasar raya, Iskandar terus memandu pulang ke
Villa Suzana. Dia tidak sedap hati memikirkan lelaki yang memasuki rumah Tan
Sri Shahril sebentar tadi.
Sampai
sahaja di Villa Suzana, Toyota Hilux masih lagi berada di dalam kawasan Villa
Suzana. Cepat-cepat Iskandar memarkirkan kereta di dalam garaj. Mak Cik Minah
pula hanya membisu tanpa kata. Bimbang jika Iskandar ternampak Puan Sri Suzana
bersama lelaki itu.
“Mak
cik masuklah dulu. Biar saya yang bawa semua barang ni ke dapur,” beritahu
Iskandar sebaik mungkin dan segera mencapai barang-barang mentah di dalam bonet
kereta.
Mak
Cik Minah memandang Iskandar.
“Banyak
tu. Biar mak cik tolong angkatkan.”
“Tak
usah mak cik. Saya boleh angkat semua ni. Mak cik masuklah dulu. Kejap lagi
saya hantar barang ni ke dapur.”
“Hmm…
yalah. Mak cik masuk dulu,” balas Mak Cik Minah dengan hati yang
berdebar-debar.
Sempat
matanya melirik ke arah Toyota Hilux itu. Bilalah lelaki tu nak berambus. Kalau
si Is ni nampak, tak ke jadi lain nanti. Hati Mak Cik Minah berkata-kata dan
terus masuk ke Villa Suzana.
Saat
Iskandar menutup bonet kereta, dia ternampak lelaki muda itu tadi sedang
menyarungkan kasut dan Puan Sri Suzana berada di belakangnya dengan senyuman
manis. Lama Iskandar memerhati.
“I
ingat you tak nak datang rumah I lagi. Lama sangat kita tak jumpa. Bila I ajak
jumpa kat luar, you pulak tak nak!” Suara Puan Sri Suzana kedengaran manja.
Lelaki
itu sudah siap memakai kasut dan berdiri di depan Puan Sri Suzana. Kedudukan
mereka begitu dekat.
“Bukan
I tak nak datang, sayang. Husband you tu dah lama tak outstation.
Takkan I nak datang masa dia ada kat rumah. Mampus nanti dia tikam I.”
Lelaki
itu ketawa lucu dan disambut Puan Sri Suzana. Puan Sri Suzana sempat mengelap
habuk di bahu lelaki itu.
“Ala,
kita boleh jumpa kat tempat biasakan? You tu yang dah tak rindu pada I.
Macam-macam alasan you bagi. Itulah, inilah. Entah-entah you dah ada perempuan
lain. Maklumlah I ni kan dah tua kerepot!” bidas Puan Sri Suzana.
“You
ni suka fikir yang bukan-bukanlah. I kan banyak bisnes, sama macam husband
youlah. Cuma I ni taklah sekaya Tan Sri Shahril tu.”
“Hmm...
yalah.” Hambar Puan Sri Suzana menjawab.
“Okeylah.
I kena pergi sekarang. Nanti tak pasal-pasal ada orang report fasal kita
pada Tan Sri.”
“Yalah.
Petang ni I nak ke gym. Ingat nak jumpa you lagi malam ni. Boleh tak?”
soal Puan Sri Suzana manja.
“Malam
ni tak bolehlah sayang. I ada urusan lain pulak. Kan tadi I dah layan you. I
janji lepas ni kita akan jumpa lagi. I nak selesaikan urusan bisnes I,” jawab
lelaki itu lagi.
Puan
Sri Suzana memasamkan mukanya. Lelaki itu mengusap manja pipi Puan Sri Suzana
dan mencuit perlahan dagu Puan Sri Suzana.
“Suzana,
trust me. I tak ada orang lain selain you. Kita dah lama bersama. Takkan
you tak percayakan I. You dah sediakan yang I mintak tu?”
Puan
Sri Suzana menghulurkan sampul surat yang berisi wang bernilai 50 ribu ringgit.
Lelaki itu tersenyum panjang dan terus menyambut sampul surat itu.
“Thank
you, sayang. Ni yang buat I makin sayang pada you.”
Puan
Sri Suzana tersenyum manis dan melambai ke arah lelaki itu yang mula memasuki
perut Toyota Hilux.
Iskandar
tergamam. Dia memandang lama ke arah Puan Sri Suzana.
Astaghfirullahalazim!
Betul ke apa yang aku nampak ni? Ya ALLAH, tunjukkan kepada aku kebenaran. Aku
tidak mahu berburuk sangka ya ALLAH.
Iskandar
memejam matanya membuang segala fikiran yang buruk. Jika lelaki itu mempunyai
pertalian darah dengan keluarga kaya ini, mustahil aksi Puan Sri Suzana dan
lelaki itu begitu mesra seperti pasangan kekasih.
Apakah
ada rahsia yang tersembunyi di Villa Suzana ini? Fikiran Iskandar terus diasak
pelbagai soalan yang dia sendiri tidak dapat rungkaikan.
Selepas
itu Iskandar terus ke belakang menghantar barang-barang dapur. Namun,
fikirannya tidak terlepas dari memikirkan aksi Puan Sri Suzana bersama lelaki
muda itu sebentar tadi.
Apakah
patut dia bertanya kepada Mak Cik Minah? Ah! Mak Cik Minah juga tidak tahu
apa-apa tentang lelaki itu. Fikiran Iskandar buntu.