PENULIS :EMY RAZIELA
TERBITAN :ALAF 21 (MEI 2015)
Terima kasih kepada mereka yang sudi membaca karya saya, AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
Saya akan terus berkongsi hasil Ilham saya sehingga ke kemuncaknya.
Mohon kalian terhibur dan terus mengikuti kisah Nina/Iskandar yang sarat dengan suka duka, pahit manis, bahagia derita.
"KENANGILAH ERTI CINTA YANG BERMULA,
KEMBALILAH AGAR BISA IA MERUBAH.
TERANGILAH HATI AGAR CINTA TERUS
BERSINAR..."
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
KAWASAN rumah mewah itu
ditinjau. Dari belakang rumah sehinggalah ke depan rumah dia berjalan dan
memerhati kawasan sekitar bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan yang
baik. Inilah rutinnya setiap hari.
Sebaik sahaja sampai di Villa Suzana, dia terus melakukan tugasnya. Dia
mahu menjadi pekerja yang rajin, jujur dan amanah.
Masuk hari ini sudah dua bulan dia bekerja dengan Tan Sri
Shahril sebagai pemandu, merangkap penjaga rumah mewah milik majikannya itu.
Segala urusan berjalan dengan lancar. Walaupun majikannya tersenarai antara
yang terkaya di Malaysia, namun sikap rendah diri lelaki itu begitu memikat
hatinya.
Pada awalnya dia bimbang juga untuk bekerja dengan orang
kaya, khuatir jika golongan ini akan memandang rendah padanya. Namun, Tan Sri
Shahril lelaki berusia awal50-an mudah didampingi dan senang
untuk berbicara. Malah tidak lokek dengan senyuman. Sebab itulah perniagaannya
semakin laris di dalam dan luar negara.
Dia
berdiri tegak di kawasan tanah lapang yang terletak di depan rumah mewah yang
diperbuat seratus peratus daripada kayu. Inilah cita rasa Puan Sri Suzana,
isteri kepada Tan Sri Shahril. Rumah setingkat yang luas dan besar ini
kelihatan sangat kemas. Jika hendak dibandingkan dengan rumahnya, jauh panggang
daripada api.
Rumah
yang didudukinya bersama Puan Leha hanya mempunyai satu bilik. Itu pun ruang
bilik yang sempit. Namun, Puan Leha tidak pernah mengeluh apabila anaknya ini
tidak mampu menyediakan rumah yang lebih selesa.
“Jauh
mengelamun. Kamu tengok apa tu, Is?”
Sapaan
Pak Cik Mahmud yang sememangnya peramah mengejutkan Iskandar lantas dia
berpaling. Pak Cik Mahmud merupakan tukang kebun yang sudah lama berkhidmat di
Villa Suzana ini. Usianya sudah menjangkau 60 tahun dan dia merupakan pesara
tentera. Sama seperti Iskandar, Pak Cik Mahmud selesa bekerja di Villa Suzana.
Iskandar
membalas senyuman lelaki tua ini sebagai tanda hormat.
“Oh,
tak ada apa-apa pak cik. Saya ralit tengok rumah Tan Sri ni. Besar betul ya.
Kalau saya kerja 20 tahun pun belum tentu dapat buat rumah sebesar ini.
Jarang-jarang ada rumah macam ni di bandar kan pak cik?”
Iskandar
tersenyum meleret.
“Eh, tak tentu jugak tu Is. Kalau rezeki ALLAH nak bagi,
sekejap aje kita akan dapat. Mana tahu suatu hari nanti Is pulak dapat gelaran
Tan Sri. Mungkin masa tu pak cik dah tak ada,” seloroh Pak Cik Mahmud dengan
senyuman tidak putus di bibirnya.
“ALLAH
pak cik, nak jadi tauke apa saya ni untuk dapat gelaran Tan Sri? Saya sekolah
pun bukannya tinggi mana,” balas Iskandar lembut.
“Jangan
fikir macam tu. Ingat yang dapat pangkat Tan Sri, Datuk, semua tu ada kelulusan
tinggi ke? Kalau berjaya dalam bisnes pun boleh dapat pangkat tu. Jadi tauke
perabot pun okey. ISKANDAR PERABOT!”
Pak
Cik Mahmud terus berjenaka dan disambut dengan ketawa Iskandar. Pak Cik Mahmud
memang pandai bergurau.
“Ada-ada
aje pak cik ni,” balas Iskandar pula.
“Iskandar!”
jeritan Mak Cik Minah mengejutkan Iskandar dan Pak Cik Mahmud. Iskandar terus
pusing ke belakang.
“Ya,
mak cik. Ada apa?” Lembut Iskandar bertanya bagi menghormati wanita yang
mungkin sebaya emaknya itu.
Mak
Cik Minah turut senyum. Senang hati melihat anak muda ini.
“Tan
Sri panggil! Katanya dah boleh angkat beg-beg untuk dibawa masuk ke dalam
kereta. Semua barang Tan Sri ada di ruang tamu kedua.”
Iskandar
menepuk dahi.
“Ya
ALLAH! Saya lupa mak cik. Ralit sangat tengok kawasan rumah ni. Sekarang jugak
saya ambil beg Tan Sri. Pak cik, saya masuk dulu nak selesaikan kerja saya.”
“Yalah.
Pak cik pun nak sambung bersihkan kebun kat belakang rumah. Nanti kalau tak
kemas, marah pulak Puan Sri Suzana,” balas Pak Cik Mahmud dan terus berlalu
pergi.
Apabila
Pak Cik Mahmud dan Mak Cik Minah sudah tiada di situ, Iskandar terus berjalan
masuk ke Villa Suzana.
Ruang
tamu kedua menjadi sasaran. Matanya sempat melihat setiap ruang di dalam rumah
besar ini. Padahal ini bukan kali pertama dia memasuki Villa Suzana. Setiap
kali melangkah masuk ke Villa Suzana, dia tidak berasa puas melihat keunikan
isi di dalam Villa itu.
Beg pakaian milik Tan Sri Shahril terletak elok di tepi
sofa. Hari ini, Tan Sri Shahril akan ke Denmark bagi urusan perniagaannya yang
semakin berkembang. Tangannya mencapai beg pakaian milik majikannya, manakala
matanya meliar ke sekeliling melihat perabot-perabot mewah yang diimport dari
luar negara.
Saat ini juga matanya tertancap pada sebuah gambar besar
yang tergantung elok di dinding rumah. Gambar Tan Sri Hashim diapit oleh Puan
Sri Suzana dan seorang gadis muda yang kelihatan cantik dan manis dengan
senyuman. Ditambah pula dengan lesung pipit di kiri kanan pipi gadis itu.
Kemudian, matanya jatuh pula pada rambut ikal si gadis.
Wah, rambutnya diwarnakan merah! Lama jugalah Iskandar melihat wajah cantik
manis itu. Siapa gadis itu? Cantik! Detik hatinya. Mungkinkah anak majikannya?
Hati Iskandar berteka-teki.
Selama
berkhidmat dengan Tan Sri Shahril, majikannya tidak pernah bercerita perihal
keluarga kepadanya. Jurang antara dirinya dan Tan Sri Shahril begitu jauh.
“Itu
anak saya!”
Iskandar
terkejut dan terus pusing belakang. Tan Sri Shahril yang sudah berpakaian kemas
tersenyum melihatnya. Iskandar pula berasa malu dan takut. Bimbang jika Tan Sri
Shahril akan memarahinya kerana ralit melihat gambar keluarga lelaki itu.
“Saya
ada seorang anak aje. Dialah satu-satunya harapan saya. Sekarang ni dia masih
belajar di Australia dalam bidang perniagaan. Saya harapkan dia untuk
menggantikan tempat saya nanti bila saya dah tak ada. Insya-ALLAH, dua bulan
lagi anak saya tu akan tamat pengajian dan pulang ke Malaysia. Dah lapan tahun
dia berada di sana.” Satu per satu Tan Sri Shahril menerangkan pada Iskandar.
Iskandar
mengangguk tanda faham. Dia sudah dapat mengagak gadis itu sudah tentu anak
kepada majikannya tatkala melihat bingkai gambar tersebut.
“Jauh
ya Tan Sri hantar anak Tan Sri belajar. Tentu dia pelajar yang cemerlang,”
bicara Iskandar, lembut.
Kata-kata
Iskandar membuatkan Tan Sri Shahril tersenyum.
“Alhamdulillah,
anak saya ni tak pernah kecewakan saya dan Puan Sri. Memang saya sengaja hantar
anak saya belajar di negara orang supaya dia tahu bagaimana untuk hidup
berdikari. Selama ni dia terlalu manja terutama dengan Puan Sri. Harap-harap
bila dia balik sini nanti dah jadi matang. Kalau dulu apa yangdimintaksemua dapat. Kat negara
orang tu pandai-pandailah dia bawa diri.”
Iskandar
membalas dengan senyuman. Sedikit sebanyak dia mengetahui tentang anak gadis
Tan Sri Shahril.
“Untungnya
anak Tan Sri dapat ayah yang baik seperti Tan Sri.” Bicara Iskandar lagi memuji
kebaikan lelaki ini.
“Semuanya
sama aje Is. Tak ada apa-apa beza pun,” balas Tan Sri Shahril ramah.
Tan
Sri Shahril melihat jam di tangannya. Saat ini juga Puan Sri Suzana memunculkan
diri.
“Zana,
I dah nak pergi. Takut nanti terlepas flight pulak. You nak ikut sekali
ke?” soal Tan Sri Shahril pada isterinya yang setiap masa kelihatan cantik.
Puan
Sri Suzana sudah berdiri di sebelahnya.
“I nak jumpa Datin Roziah sekejap lagi nak bincang
tentang persatuan. Lepas tu I nak ke spa
nak tengok pekerja I. Kalau I hantar you sekali, nanti I penat. You tahukan
yang I tak boleh penat nanti muka I nampak tua,” jawab Puan Sri Suzana tanpa segan
silu.
“Betul
ni you tak nak ikut?” Tan Sri Shahril meminta kepastian.
“Yalah.
Confirm I tak nak ikut. I pun busy jugak sama macam you. Is, bila
awak dah hantar Tan Sri ke airport, cepat-cepat datang ambil saya. Saya
tak boleh lambat.”
Puan
Sri Suzana memandang Iskandar yang sudah menjinjit dua buah beg Tan Sri
Shahril.
“Baiklah
Puan Sri. Saya akan datang ambil Puan Sri secepat mungkin,” jawab Iskandar
penuh yakin.
“Kalau
macam tu, I pergi dulu.”
Tan
Sri Shahril terus menghulurkan tangannya kepada Puan Sri Suzana. Isterinya itu
terus menyambut tangan si suami dan dicium lembut. Kemudian, Tan Sri Shahril
mengucup pula kedua-dua belah pipi isterinya.
Iskandar
yang masih tercegat di situ cepat-cepat berlalu pergi. Malu pula dia melihat
adegan suami isteri yang begitu romantik itu.
Baginya Tan Sri Shahril seorang suami yang lemah-lembut
dan penyayang. Cuma isterinya yang serius sepanjang masa dan kurang memberi
senyuman. Mungkin perwatakannya begitu. Fikir Iskandar.
JAM tangan dilihat.
Sudah pukul 11.30 malam. Badannya mula terasa penat. Selepas menghantar Tan Sri
Shahril ke airport, dia bergegas pulang mengambil Puan Sri Suzana pula.
Satu hari ini dia
menunggu dan melayan kerenah Puan Sri Suzana yang menyuruhnya membawa ke rumah
persatuan. Namun, dia tidak boleh mengeluh. Sememangnya inilah tugas Iskandar
sebagai pemandu kepada keluarga Tan Sri Shahril.
Rumah papan setingkat itu direnung lama. Bilalah dia
boleh membaiki rumah emaknya ini. Dia nekad apabila gajinya cukup kelak, dia
akan mengubah suai rumah ini. Inilah janji Iskandar pada Puan Leha. Kesian
emaknya yang tidak pernah merasa kemewahan.
Iskandar
terkejut apabila pintu rumah kayu ini dibuka dari dalam. Puan Leha berdiri di
muka pintu sambil tersenyum. Iskandar membalas senyuman itu.
“Assalamualaikum,
mak. Mak ni macam tahu-tahu Is dah balik. Mak pakai ilmu apa ek?” Iskandar cuba
berjenaka sambil membuka kasutnya.
Puan
Leha tersenyum panjang.
“Alah, mak tahulah. Mak yang mengandung dan lahirkan Is.
Mak tahu bila anak mak akan balik. Apa yang berlaku pada Is pun mak boleh rasa.
Perasaan ibu ni begitu kuat pada seorang anak. Bukan mak aje rasa macam ni,
mak-mak yang lain pun sama.”
Iskandar
sudah berdiri di muka pintu untuk masuk.
“Ooo...
macam tu ya mak? Kalau ada benda tak baik berlaku pada Is pun mak boleh tahu
jugaklah, ya?”
Puan
Leha mengangguk sambil tersenyum manis. Senang dengan jawapan anak tunggalnya
itu.
“Dahlah
tu. Cepat masuk rumah. Mak tengok Is ni macam penat sangat. Sibuk ke hari ni?”
Puan Leha memberi
laluan kepada Iskandar untuk memasuki rumah. Iskandar sudah duduk di atas
lantai yang beralaskan tikar mengkuang. Dia mahu berehat sekejap.
“Sibuk
tu tak adalah sangat, mak. Cuma satu hari ni Is ke hulu hilir bawa Puan Sri ke
rumah-rumah persatuan,” jawab Iskandar sambil memerhati emaknya yang
terhencut-hencut berjalan ke arahnya.
Kasihan
Iskandar melihat emaknya. Puan Leha hanya mempunyai sebelah kaki sahaja.
Sebelah kakinya lagi telah dipotong dan diganti dengan kaki palsu untuk
memudahkan dia berjalan.
Kaki Puan Leha terpaksa dipotong ketika usia Iskandar 8
tahun. Ketika itu Iskandar sedang melintas jalan dan tidak semena-mena sebuah
van meluru ke arah Iskandar, tetapi demi kasih sayang terhadap satu-satunya
zuriat yang dimiliki, Puan Leha sepantas kilat menolak Iskandar ke tepi dan van
tersebut terus melanggar Puan Leha sehingga kaki kanannya terpaksa dipotong
separas paha. Tetapi emaknya itu tidak pernah mengeluh dengan kecacatan
dirinya. Kasih ibu membawa ke syurga!
Namun
begitu, Puan Leha tidak pernah sesal bahkan dia gembira melihat Iskandar
selamat. Kebahagiaan anaknya adalah kegembiraan bagi Puan Leha. Setelah
kematian suaminya, Iskandar adalah kekuatan bagi Puan Leha.
“Kenapa
mak tak tidur lagi? Mulai malam esok, mak tak payah tunggu Is lagi. Kerja Is
tak tentu masa, mak. Kadang-kadang kalau Tan Sri perlukan Is malam-malam, Is
kena kerja mak. Lagipun Is kan ada bawa kunci. Nanti kalau mak tak cukup tidur,
darah tinggi mak naik lagi.” Lembut Iskandar berbicara dengan senyuman tidak
lekang di bibir.
“Tak
apolah. Mok meme nok tunggu anok mok balik. Lamo sangat anok teruno mok gi
kijo. Raso rusing jugok. Mok ni takdok sapo dale dunio ni selain Is,” (“Tak
apalah. Mak memang nak tunggu anak mak balik. Lama sangat anak mak pergi kerja.
Risau jugak mak. Lagi pulak, mak dah tak ada sesiapa lagi di dunia ini selain
Iskandar,”) ujar Puan Leha dengan suara yang mula berubah kendur.
“Mok,
bakpo kecek gitunyo? Gapo hok jadi sekalipun, Is takkan tinggal mok. Is pun ado
mok jah dale dunio ni. Mok toksoh rusinglah.”(Mak, kenapa cakap macam tu?
Apapun yang terjadi,Is takkan tinggalkan mak. Mak janganlah risau.”)
Puan Leha tersenyum mendengar kata-kata anak lelakinya
itu. Dia tidak sepatutnya berkata begitu, tetapi sejak akhir-akhir ini dia
cepat merindui Iskandar jika anaknya itu lambat pulang. Sejuk hati setiap kali
mendengar ucapan kasih dan sayang daripada seorang anak.
“Hisy...
mak ni melalut pulak. Oh ya, mak dah siapkan makanan Is dari tadi lagi. Takut
lauk dah sejuk. Mak pergi panaskan dulu ya.”
Puan
Leha sudah mahu berlalu tetapi ditahan oleh anaknya.
“Mak...
mak. Tak payah susah-susah. Biar Is yang buat sendiri. Mak tak payahlah
susahkan diri mak. Is ni sihat boleh buat semua kerja rumah ni. Mak cuma duduk
dan jangan buat apa-apa. Mak pun bukannya sihat sangat.”
“Sikit
aje Is. Mak pun bosan jugak kalau tak buat apa-apa,” balas Puan Leha sebaik
mungkin.
Iskandar
hanya tersenyum dan memeluk bahu Puan Leha.
“Mak
dah makan?”
Puan
Leha menggeleng. Wajah Iskandar berubah.
“Kenapa
mak tak makan lagi? Dah lewat ni. Nanti mak sakit perut pulak.”
“Mak
tunggu Is nak makan sekali,” jawab Puan Leha perlahan.
Iskandar
mengelus bahu emaknya.
“Lain kali mak tak payahlah tunggu Is ya. Sekarang ni, Is
nak mandi dulu. Lepas tu Is nak mengaji sekejap mak. Lama sangat dah tak baca
al-Quran. Rasa tak sedap pulak. Lepas tu Is siapkan makanan. Siap semua Is
panggil mak ya. Mak rehat dulu.”
Puan Leha membalas dengan anggukan. Terharu dengan sikap
anak lelakinya yang begitu mengambil berat tentang dirinya. Kalau boleh satu
kerja dalam rumah ini Iskandar tidak mahu dia lakukan. Betapa sayangnya seorang
anak terhadap ibunya.
Puan
Leha memandang tubuh anak lelakinya yang sudah memasuki bilik air. Kasih
sayangnya tidak berbelah bahagi kepada Iskandar.
Ya
ALLAH, berikanlah seluruh kebaikan kepada anakku ini. Sesungguhnya dia tidak
pernah ada dosa denganku ya ALLAH. Sempat Puan Leha berdoa di dalam hati sambil
mengusap pipinya yang mula basah.