Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
234,021
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

You masih simpan orang tua tu lagi?” celopar saja mulut Natasha bertanya. Natasha dan Dzulkarnain dalam satu kereta, meredah kesesakan lalu lintas di hadapan mereka. Perempuan itu meminta Dzulkarnain menghantarnya pulang ke rumah sejurus habis waktu pejabat tadi. Sekarang ini, Natasha bekerja sebagai penolong pengurus butik Debbie Couture. Dia yang mempunyai kelulusan di dalam bidang perniagaan dan fesyen di Australian Institute of Creative Design di kampus Brisbane, dipertanggungjawabkan untuk menggalas jawatan itu oleh ibu saudaranya, Deborah.

“Boleh tak dalam sekali, I mahu dengar ayat-ayat yang baik keluar dari mulut you? Dzulkarnain menyelar. Jarang sekali atau tidak pernah dia mendengar Natasha mengeluarkan ucap-ucapan yang senang di pendengarannya. Selalu sangat berburuk sangka dengan orang lain. Spontan lelaki itu menggeleng kepalanya.

“Mulut I, biarlah I nak cakap apa pun! Huh! You tu ha! Lurus sangat! Mudah percaya pada orang yang baru kenal! Dah berapa lama orang tua tu tinggal di rumah you? Bila dia mahu berambus? Senang-senang je you bagi dia menumpang free macam tu!” Dzulkarnain menarik nafas dalam-dalam. Saban kali bersama perempuan itu, dia perlu bersabar banyak melayan segala tingkahnya.

“Natasha... Natasha... you tahu bukan membantu orang yang dalam kesusahan itu satu perbuatan yang disuruh agama and i’m doing my part here as a Muslim,” keluh Dzulkarnain cuba memahamkan perempuan di sebelahnya itu yang berhati sekeras kerikil. “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran,” (surah Al-Maidah: ayat 2)

Lembut Dzulkarnain menitip pesan. Dikuatkan lagi dengan petikan terjemahan sepotong surah suci, mudah-mudahan hati Natasha terpujuk dengan nasihat. Natasha berasa dirinya terpukul. Dia cukup benci kalau lelaki itu menggunakan pendekatan agama untuk menegurnya. Sungguh, dia tidak boleh terima!

Whatever! I cuma ambil berat tentang you. I tak mahu esok-esok nanti, disebabkan orang tua tu, hidup you pulak yang terbeban,” muncung mulut Natasha membatu di tempat duduknya. Suasana senyap sekejap. Natasha tidak berpuas hati kerana seringkali kebimbangan dan sikap mengambil beratnya terhadap Dzulkarnain disalahtafsirkan lelaki itu. Hakikatnya dia tidak tahu, tingkahnya cukup melelahkan! Bahkan, membosankan!

“Nine...” tiba-tiba saja Natasha berubah karakter. Nama Dzulkarnain dipanggil singkatan cuma, penuh manja lagi sensual nadanya. Perempuan itu sudah berpusing badannya menghadap lelaki dambaannya di sebelah yang sedang tekun memandu. Melihat akan tiada respon yang diberi, bahu lelaki itu digoncang-goncangkannya. Mendengus Dzulkarnain marah. Sedikit berpusing rodanya memakan bahu jalan akibat tindakan mengada-ngada Natasha yang seperti keanak-anakan.

You ni nak apa, ha...!” Sungguh Dzulkarnain hilang kesabarannya. Mujurlah dia dapat mengawal pemanduannya tadi, jika tidak, bercumbu muncung keretanya dengan kenderaan dari arah bertentangan.

You tu ha! I panggil you sikit punya lembut, menoleh pun tidak? You dah pekak ke apa? Huh!” Natasha membingit seperti nyamuk di cuping telinga. Dzulkarnain merah mukanya. Tingkat tasamuh dalam dada lelaki itu sudah kian menipis.

Pleaselah Natasha Giselle...! I dah naik fed-up melayan perangai you. You keluar dari kereta I sekarang! Keluar!” Dzulkarnain membrek keretanya tiba-tiba. Mendadak Natasha terdorong ke hadapan, tali pinggang keselamatan yang menyelimpang badannya menghalang kepala perempuan itu dari terhantuk ke cermin depan. Perempuan itu tertelan air liurnya. Pucat wajahnya serta-merta. Lidahnya hendak lancang menjawab tetapi melihat cerlungan mata Dzulkarnain yang menakutkan, membuatkan dia kecut perut. Tergagap-gagap perempuan itu meluncurkan ayat-ayat simpati.

“Nine... takkan you nak tinggalkan I kat sini? Sedikitpun you tak kasihankan I? I minta maaf...” bijak Natasha menyusun baris ayat memujuk. Lemah saja nadanya, mukanya dilukiskan riak menyesal lantaran keterlanjurannya berkata-kata tadi. Walhal, dia tidak sanggup menjadi tunggul di tepi jalan raya itu menahan teksi atau mana-mana kenderaan. Apatah lagi mahu balik menggunakan bas awam, jatuhlah standard dia!

Dzulkarnain mendesah. Terkadang dia mahu memarahi diri sendiri, apalah perlunya dia bersikap seperti seorang lelaki budiman dengan perempuan ini? Tetapi bukankah tugas seorang lelaki melindungi kaum perempuan yang lemah sifatnya? Hati amarahnya memang mahu saja dia meninggalkan Natasha terkontang-kanting di tepi jalan itu seorang diri tetapi akal warasnya berfikir kalau-kalau berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, apalah nasib perempuan itu nanti? Sekali lagi Dzulkarnain mengeluh.

Dalam masa yang sama, Natasha tersenyum lega. Dia sudah dapat membaca akan isihati lelaki itu yang tidak mungkin akan berbuat demikian. Lelaki itu terlalu baik. Dan itu antara salah satu sebab dia akan terus memburu untuk mendapatkannya. Awaslah mana-mana perempuan lain yang cuba mendekati lelaki itu! Begitu sekali Natasha memasang azam. Dia tidak ambil pusing kalau ada mulut-mulut yang mencemuh dirinya seolah-olah perigi mencari timba. Peduli apa dia!

Kereta terus dipandu menghala ke destinasi yang sepatutnya. Kelihatan Dzulkarnain sudah tenang, Natasha sekejap-sekejap mencuri pandang wajah bersih lelaki itu di sebelah. Kalaulah dia dapat memiliki lelaki itu sepenuhnya, pastinya dia akan menjadi perempuan paling bahagia dalam dunia! Dzulkarnain ketika marah, bertambah-tambah tampan pula dilihatnya. Terkadang, lelaki yang berwajah keanak-anakan ini kalau sedang berang, terserlah kejantanannya. Natasha larut dalam fantasi nakalnya.

SRETTTT...!

Tersentak Natasha apabila untuk kali kedua Dzulkarnain membrek keretanya tiba-tiba. Bercempera segala khayalan indah yang sedang dinikmatinya. Natasha menoleh memandang Dzulkarnain. Lelaki itu turut membalas pandang. Kedua-duanya terpana seketika. Dan serentak menumpu pandangan ke depan. Sebuah basikal yang bengkok tayarnya, terpelanting di tengah-tengah jalan. Masing-masing cuak dibuatnya.

Bergegas Dzulkarnain membuka pintu dan meluru keluar. Natasha masih kaku di dalam kereta. Rasa terkejutnya belum hilang lagi. Dzulkarnain melihat sesusuk kelibat yang tertunduk kepalanya sedang menahan sakit dan pergelangan tangan itu sedikit tercalar, barangkali terjatuh di permukaan jalan bertar tadi. Bersyukur lelaki itu kerana tidak ada apa-apa yang serius menimpa. Tetapi rasa bersalahnya tetap menggunung tinggi.

“Maafkan saya,” hanya itu yang dapat terluah dari mulut Dzulkarnain ketika itu. Dia sudah bertinggung di sisi susuk tubuh itu yang sedang mengibas-ngibas seluarnya yang melekat debu-debu jalan raya.

“Takde hal lah, beb. Perkara kecil,” jawab suara itu bersahaja.

“Tapi basikal awak?” celah Dzulkarnain rasa bertanggungjawab.

“Boleh seret sampai ke rumah. Bukan masalah besar pun,” pantas suara itu memintas selajur menutup hidungnya. Ada bau kurang enak menerawang ke deria hidunya. Dia yakin bau itu datangnya dari nafas lelaki yang bertinggung di sebelahnya. Melirik sekilas dia memandang lelaki yang berpenampilan kemas, berseluar slack hitam, berkemeja putih memperlihatkan susuk badan yang tegap dan tergantung tali leher berjalur biru. Namun wajah lelaki itu tidak ditatapnya.

Dalam hati dia mengomel. Penampilan saja terjaga tetapi kebersihan mulut, serupa orang tidak bergosok gigi sepuluh hari. Dia hendak bangun dan mendapatkan basikalnya yang tidak jauh dari situ tetapi langkahnya terhenti bila mana suara lelaki itu memanggilnya.

Rabunah menoleh. Mata bertentang mata. Terpempan mereka seketika. Rabunah yang sebenarnya baru balik dari beriadah dengan berbasikal mengelilingi kawasan perumahannya sebentar tadi, bersiar-siar menghirup udara lewat petang, terlepas pegangan basikalnya apabila sebuah kereta meluncur entah dari mana ketika dia sedang membelok. Dia sempat mengelak tetapi tayar belakang basikalnya tidak lepas, dilanggar sedikit muncung depan kereta berkenaan. Dia terjatuh, manakala basikalnya tercampak di atas jalan raya.

“Err... ya, saya...” sahut Rabunah teragak-agak. Dzulkarnain datang mendekati. Rabunah berundur setapak dua, tidak mahu terlalu dekat. Bau nafas lelaki itu tatkala membuka mulut membuatkan dia tidak tahan. Sampai berkerut-kerut hidung jadinya. Masakan dia hendak menegur akan perkara itu. Jatuh pula air muka lelaki berkenaan. Demi melihatkan ketidakselesaan yang ditunjukkan Rabunah, Dzulkarnain tersenyum. Dia memahami tetapi tidak pula mengambil hati.

“Maafkan saya. Sungguh, saya tak perasankan kamu tadi. Bagaimana saya boleh tebus kesalahan saya ini?” tutur Dzulkarnain jujur.

“Err... tak perlulah tebus-tebus segala ni. Saya okey je pun ni. Basikal tu saya boleh tolak, lagipun rumah saya dekat-dekat sini.” Rabunah menolak pertolongan yang ditawarkan. Entah kenapa serasa dia mahu tergelak kecil berdepan lelaki yang pertuturannya terdengar begitu skema di gegendang telinga. Cakap biasa-biasa sudah! Tersengih Rabunah dibuatnya.

“Kalau macam tu, tak apalah. Tapi saya betul-betul minta maaf ya. Jumpa lagi. Assalammualaikum.” Rabunah menundukkan kepalanya dan menjawab salam yang diberikan. Lalu berjalan membelakangkan lelaki itu, menyusup hilang dari pandangan memasuki sebatang jalan kecil bersama-sama basikalnya. Tidak berkelip Dzulkarnain memandang sehinggalah bunyi hon kereta menyentak lamunannya.

“Awak bercakap apa tadi dengan budak laki tu? Punyalah lama! Cedera ke tidak budak tu?” serbu Natasha dengan pertanyaan sebaik lelaki itu sudah masuk ke dalam kereta. Dia tidak keluar tadi, hanya melihat dari jauh Dzulkarnain yang barangkali sedang meminta maaf dengan penunggang basikal itu. Ah, kalau diikutkan hati, mahu saja dia menahan lelaki itu dari keluar membantu pemuda berkenaan. Lagipun orang sekarang, bukan boleh dipercayai sangat. Cederanya tidak, tetapi suka mengambil kesempatan dengan menuntut ganti rugi. Natasha tidak habis-habis berprasangka.

“Alhamdulilah, nasib dia tak apa-apa,” terang Dzulkarnain menghela nafas lega dan terukir senyuman lebar di wajahnya tidak semena-mena. Mata lelaki itu bercahaya-cahaya seperti kebahagiaan seisi dunia menjadi miliknya.

You senyum tiba-tiba ni kenapa?” soal Natasha pelik dengan tingkah Dzulkarnain. Macamlah yang dibantu tadi seorang perempuan. Kalau perempuan, sudah sedari tadi dia menempel di sebelah lelaki itu, biar semua orang tahu yang dirinya adalah kekasih Dzulkarnain. Tidak mahu dia melihat lelaki pujaan hatinya itu digoda perempuan lain. Bertarik rambut pun dia sanggup!

“Aik, I senyum pun tak boleh?” usik lelaki itu yang tidak mengendur senyumannya di pipi.

“Boleh tu memang boleh. Tapi cara you senyum tu lain macam. Apa, you dah berubah selera ke sampai budak laki tu pun you terpikat?” tuduh Natasha melepaskan geram. Tetapi bentakan itu disambut dengan tawa Dzulkarnain yang menambahkan lagi sakit hati Natasha. Dia melihat dengan jelas, yang dilanggar tadi adalah seorang remaja lelaki. Tidak mungkin seorang perempuan? Sudahnya, hati Natasha sendiri berbolak-balik. Berkemeja kotak-kotak, berseluar pendek melepasi paras lutut dan memakai topi. Mestilah seorang lelaki, bukan? Natasha bermonolog di dalam hati.

“Kalau betul, apa salahnya? Ha ha ha! You cemburu?” sengaja Dzulkarnain menyemarakkan lagi amarah Natasha. Lelaki itu mengetuk-ngetuk stereng kereta dengan jari-jemarinya, membentuk seragam bunyi berlagu riang.

You jangan merepek macam ni, boleh tak!” Natasha membungkam. Dzulkarnain lagi suka perempuan itu membisu sedemikian rupa. Tidaklah gegendang telinganya tersumbat dengan ayat-ayat membakar jiwa. Mereka sudah menghampiri kawasan kediaman Natasha yang tinggal menyewa di sebuah kondo bersama-sama teman rapatnya, Farihna. Dzulkarnain memberhentikan keretanya di luar pondok pengawal.

Thanks sayang... Mmmuahhh...!” ucap Natasha sambil melayangkan flying kiss pada Dzulkarnain. Bibir bersalut sapuan gincu berwarna merah garang yang dijuihkan itu ibarat igauan ngeri buat Dzulkarnain. Janganlah dia bermimpi malam ini, berpeluh cemas agaknya nanti dikejar hantu mulut terjuih. Dzulkarnain tergelak kecil dengan mainan imaginasi ciptaan sendiri.

Demi melihatkan lelaki itu tertawa senang, Natasha mulai perasan. Syok sendiri lebih tepat lagi. Sangkanya Dzulkarnain suka dengan apa yang dilakukannya sebentar tadi, terus tersipu-sipu dia malu. Sebelum kaki melangkah keluar, Natasha bertindak lebih berani. Rambut Dzulkarnain diraupnya mesra, tanpa sempat lelaki itu menepis. Pintu kereta terus dibuka dan kaki dijulurkan keluar. Natasha melangkah puas seraya melambai penuh gemalai ke arah Dzulkarnain yang beberapa saat kemudian, kereta lelaki itu sudah berdesur hilang dari pandangan mata.

Natasha melonjak girang! Ada sebab sebenarnya dia sanggup mengambil risiko menyentuh rambut lelaki berkenaan. Bukankah salah satu syarat Tok Biang bagi melunasi impiannya membomohkan lelaki itu adalah dengan mendapatkan helaian rambut lelaki berkenaan paling kurang tiga helai. Natasha membuka telapak tangan, ternyata bilangan urat rambut dalam genggamannya sekarang mencukupi syarat. Berlari-lari anak Natasha menyerbu pintu lif, menaiki ke tingkat kediamannya. Tidak sabar dia hendak mengkhabarkan berita baik ini kepada Farihna.

Mission accomplished, Rihna! Yahooo...! Malam ni juga kita gerak Kelantan!” jerit Natasha sebaik masuk ke dalam kediaman kondonya. Kebetulan Farihna yang ketika itu sedang menyumbat biskut ke dalam mulut, bersantai minum petang di ruang tamu, tersembur biskutnya akibat tersentak!

“Kau ni waras ke tidak, Tasha? Terpekik-pekik, terloncat-loncat macam orang tak betul ni apasal?” Farihna meneguk milo suam yang dibancuh dalam koleh minumnya, meredakan tekaknya yang tersedak. Memandang tajam ke arah Natasha yang berseri-seri tampangnya seperti baru menjumpai duit jutaan ringgit.

“Hari tu kan aku dah berjaya dapatkan baju si Dzulkarnain, kali ni pulak aku dah sempurnakan syarat Tok Biang yang satu lagi tu!” bersemangat Natasha bercerita.

“Maksud kau... kau dapat rambut Dzulkarnain? Wow! Macam mana kau buat? Jangan kau kata kau sentap rambut dia? Ha ha ha! Atau kau ambil sikat dia tak? Mana satu?” Farihna juga teruja hendak tahu. Yalah, difikir-fikir semula, walaupun dua syarat itu seperti mudah saja didengar di cuping telinga tetapi untuk menjayakannya, agak mustahil. Farihna terbersit rasa kagum terhadap temannya itu, Natasha begitu bersungguh-sungguh kalau dia mahukan sesuatu.

“Dalam kereta tadi, aku sauk rambut dia. Nah, sekali empat helai aku dapat! Ha ha ha! Lebih dari cukup! Hebat tak aku?” terang Natasha lalu menunjukkan helaian rambut Dzulkarnain yang ada di telapak tangannya. Sebelum usahanya sia-sia, Natasha menyimpan helaian rambut itu di dalam tisu lalu memasukkannya ke dalam tas tangan. Nanti tidak pasal-pasal ditiup angin, langsung satu urat rambut pun tidak nampak.

“Kau memang berani matilah, Tasha. Ha! Tadi kau cakap, mahu gerak Kelantan malam ni juga... serius?” soal Farihna mahukan kepastian. Dan dalam masa yang sama, memasang topeng hipokrit di muka dengan senyuman menumpang bangga dan gembira. Hakikatnya, tahulah dia hendak mensabotaj kejayaan perempuan itu.

“Mestilah serius. Aku takkan main-main dalam perkara yang melibatkan masa depan aku, tau! Ha ha ha! Aku nak mandi, kemudian kau temankan aku ke rumah Tok Biang okey?” usul Natasha penuh mengharap. Farihna mengangguk kepala tanda bersetuju. Terus saja Natasha menderu masuk ke kamar dan mencapai tuala lalu menerjah ke dalam bilik mandi. Bersiul-siul perempuan itu senang hati.

Dan dalam masa yang sama, Farihna pantas menyelongkar tas tangan milik Natasha. Dia tersenyum sinis.

Nota kaki: Satu babak penting dalam bab ini sudah diambil keluar. Dapatkan novel Pudina Cinta yang akan berada di pasaran Mac 2013 ini bagi perjalanan cerita yang penuh.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.