Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
235,823
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Doktor Ashraff mengatur langkah ke ruang tamu seusai makan malam, berselera sungguh lelaki berusia 50 tahun itu menjamu air tangan isteri tercinta. Hendak mengharapkan Rabunah, satu-satunya anak perempuan yang dia ada, jauh panggang dari api. Rabunah bukan tidak pandai memasak, Puan Fatimah sudah menurunkan segala ilmu memasak kepada anak daranya itu. Tetapi sikapnya ibarat pahat dengan penukul, bila dipaksa ke dapur barulah tapak kakinya mencemar duli di situ.

How was your day? Hari pertama bekerja siang tadi. Okey?” tanya Ashraff apabila melihat anak daranya baru hendak melabuhkan punggung di sofa. Menggeleng-geleng kepala orang tua itu apabila melihat cara pemakaian anaknya yang seorang itu, gemar sungguh berseluar pendek paras lutut dengan baju lengan panjangnya ketika berada di rumah. Jarang sekali melihat Rabunah berkain sarung mahupun batik.

“Bolehlah. Quite fun actually. Tak sempat nak lunch dengan ayah tadi, Una makan dengan member-member. Ramai patient datang klinik hari ni, yah?” tanya Rabunah lalu mengambil tempat di sisi ayahnya. Kepalanya disandarkan ke bahu lelaki itu. Rambut pendek Rabunah dielus lembut penuh kasih sayang oleh Ashraff.

“Ramai jugalah. Ada yang mahu pasang braces, buat scaling, root canal treatment... nasib baiklah ada Doktor Ally yang membantu ayah.”

“Doktor Ally? Doktor baru ke? Pak Cik Khairul mana?”

Rabunah kembali tegak kepalanya dan memalingkan wajahnya hendak memandang tampang si ayah. Setahu Rabunah, ayahnya dengan Doktor Khairul saja yang menguruskan Klinik Pakar Pergigian K&A di Mewah Boulevard itu. Siapa pula Doktor Ally?

“Pak Cik Khairul beritahu ayah yang dia mahu berehat. Itu yang si Ally tolong ayah di klinik. Doktor Ally, anak Pak Cik Khairul kamu yang belajar di luar negara tu. Dulu pernah berkhidmat di klinik kerajaan, selepas beberapa tahun barulah dia berubah angin. Tidak silap ayah, hampir 2 bulan jugalah Ally bekerja di klinik kita. Nampak sangat kamu ni tak ambil peduli tentang hal klinik. Haih!” keluh Ashraff. Klinik gigi yang ditubuhkan bersama dengan sahabat baiknya, Khairul itu sudah melebihi tujuh tahun beroperasi. Tetapi sayang, selepas ini tidak tahulah siapa yang akan mentadbirnya. Harapkan Fauzi, anak tunggal lelakinya itu kini ‘doktor kereta’. Tinggal sekarang, Rabunah sajalah tonggak harapannya.

Rabunah merupakan pelajar kursus pergigian di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tempoh pengajian selama 5 tahun itu cukup mencabar dan terkadang Rabunah merasakan mahu mengalah. Bukan senang hendak bergelar seorang pakar gigi rupanya. Lagi-lagi seperti ayahnya, Doktor Ashraff yang merupakan specialist di dalam bidang endodontics iaitu rawatan akar gigi.

“Una bukan tak ambil peduli tapi Una busy sangatlah, yah. Tension macam-macam benda nak kena ingat. Sebab tu cuti sem ni Una saja cari kerja yang tak payah pening-peningkan kepala. You know how hard it can be, ayah?” Rabunah cuba mengambil hati ayahnya semula. Memang benar dia sibuk dengan perihal pengajian, mana hendak fikir tentang tugasan, ujian dan masa depannya lagi. Menggalas tanggungjawab sebagai doktor muda di Klinik Pakar Pergigian K&A suatu hari nanti pasti satu cabaran yang cukup besar bagi dirinya.

“Ayah faham. Dan ayah yakin anak ayah ni mampu berjaya. Doa ayah tak pernah putus untuk Una tau. Oh ye, kamu masih ingat pada Ally bukan?” Ashraff sengaja mahu menduga lautan perasaan Rabunah dengan kail pertanyaannya.

Sebagai seorang ayah, tentulah dirinya mahu yang terbaik untuk puterinya itu dan melihat pada kesederhanaan anak muda bernama Ally membuatkan hatinya tertambat. Tidaklah sampai hendak mengatur jodoh Rabunah dengan anak teruna sahabat baik itu tetapi paling tidak, biarlah kedua-duanya saling mengenali antara satu sama lain.

“Ally yang hingusnya asyik meleleh tu, yah? Geli-geleman Una kalau ingatkan budak sememeh tu,” luah Rabunah bersahaja. Memang benar, sebut nama Ally, gambaran pertama yang terlintas di kepalanya adalah seorang budak lelaki berambut kerinting tebal dengan bekas tompokan hingus yang mengering di kulit mukanya sampai berkerak tidak dibersihkan.

“Ha ha ha! Una... Una... Ally yang kamu describe tu waktu dia zaman kanak-kanak. Sekarang, dia dah jauh berubah. Makin ganteng tau!”

Rabunah mencebikkan bibir. Dia tidak pernah mengambil peduli pun tentang Ally, anak Pak Cik Khairul itu. Kali terakhir Rabunah berjumpa dengan budak comot itu ketika dia masih di bangku pra-sekolah. Dan Ally pula di dalam darjah enam. Jarak usia mereka berdua dalam 7 tahun. Kemudian, Doktor Khairul berhijrah ke Australia bersama anak dan isteri selama beberapa tahun sebelum pulang ke tanahair dan bekerjasama dengan ayahnya untuk menguruskan Klinik Pakar Pergigian K&A.

Dengar dari mulut ayahnya sebelum ini, Ally menetap di Australia bersama-sama ibunya, Deborah yang sudah memeluk Islam ketika mengahwini Doktor Khairul. Lelaki itu mengambil kursus pergigian juga di School of Dental Medicine di sana. Barangkali, bertahun-tahun lebih awal Ally sudah berjaya menamatkan pengajian berbanding dirinya yang masih tercungap-cungap hendak menghabiskan tempoh setahun lagi di universiti tempatan.

Sembang dua beranak itu bubar sebaik Syazni berkejar mendapatkan datuknya lalu terus duduk di pangkuan Ashraff. Syazni menjelirkan lidah pada ibu saudaranya di sebelah, angin saja Rabunah melihat anak kecil itu yang sengaja mengundang geram dalam hatinya. Dia baru hendak bermanja-manja dengan si ayah, anak buahnya itu pula datang mengacau daun.

“Atok! Atok! Pagi tadi kan, kat sekolah kita ada penceramah datang. Dia cerita tentang cara-cara menjaga gigi dengan betul,”

Syazni bersemangat bercerita tentang aktiviti yang berlangsung di sekolahnya pagi tadi. Ashraff tersenyum melayan kepetahan cucunya bertutur.

“Apa penceramah tu cakap? Boleh Syazni kongsikan dengan atok?”

“Penceramah tu cakap kita kena gosok gigi tiga kali sehari supaya nanti tak adalah gigi rosak dan ada kaviti macam gigi mak usu. He he he!”

Bila masa pulak gigi aku ada kaviti? Budak Syazni ni memang hendak kena! Ringan saja tangan aku hendak menyekeh budak kecil seekor ni! Rabunah melepaskan geram di dalam hati. Ashraff ketawa besar. Syazni memang tidak pernah kering idea hendak mengenakan ibu saudaranya. Pantas Syazni melompat dari pangkuan Ashraff dan berlari mendapatkan ayahnya yang turut tergelak kecil mendengar istilah yang keluar dari mulut anaknya. Tidak sempat Rabunah hendak menarik rambut Syazni apabila anak kecil itu sudah berjaya menyelamatkan diri dengan menyorok di belakang Fauzi.

“Sudah-sudahlah Una... kamu ni dengan budak-budak pun boleh jadi,” ujar Ashraff apabila dilihatnya Rabunah tidak putus asa mengejar Syazni yang lebih licik melepaskan diri dari ditarik rambut. Puan Fatimah yang baru menyertai suaminya di ruang tamu, hanya mampu menggelengkan kepala. Entah sampai bilalah ‘permusuhan’ di antara Rabunah dan Syazni akan reda? Tetapi ‘permusuhan’ itulah yang mencetuskan suasana bahagia di dalam keluarga mereka.

“Kamu ni kena kahwin, Una. Baru boleh pupuk rasa sayang pada budak-budak,” usul Puan Fatimah membuatkan Rabunah tertelan air liur. Apa kena-mengena pula kahwin dengan rasa sayang pada budak-budak? Dia bukan tidak sukakan anak-anak kecil tetapi kalau sudah nakal macam Syazni, mahu tidak naik hantu dibuatnya. Rabunah menahan sabar.

“Mak ni timbul cerita kahwin pulak. Una habis belajar pun belum tau! Patutnya, abang Fauzi lah perlu kahwin. Biar Ani ‘monster’ ni dapat ibu baru,” sanggah Rabunah. Fauzi mengerutkan hidung ke arah Rabunah yang mencebikkan bibir padanya sebagai balasan.

“Tengok mak, ayah. Kita cakap dia, dia cakap Fauzi pulak. Alasan hendak menukar topiklah tu. Ha ha ha! Silap-silap Una dah ada boyfriend senyap-senyap, tak beritahu kita pun mak.” Fauzi menjelirkan lidah. Baik Fauzi mahupun Syazni, anak-beranak sama saja. Mereka kalau sudah bersatu, alamatnya tewaslah Rabunah dalam ‘pertempuran’ itu.

Excuse me, Una tak mainlah boyfriend-boyfriend ni okey!”

“Habis? Nak cari suami teruslah ni ya? Gatal biang sangatlah tu! Ha ha ha!”

“Eee...geramnya abang ni! Abang dengan Ani, dua kali lima tau! Tak kuasalah nak layan! Talk to the hand!”

Rabunah menghentak kaki, tidak ubah seperti anak kecil yang sedang merajuk dan meminta untuk dipujuk. Doktor Ashraff dan Puan Fatimah naik pening melayan ragam anak-anak dan cucunya. Hujungnya, Rabunah masuk memerap di dalam biliknya di tingkat atas. Lagi lama dia di bawah, lagi banyaklah dia disakat Fauzi. Syazni, bila sudah tiada ibu saudaranya, anak kecil itu tidak seaktif mana. Mulalah kepalanya terlentok-lentok di ribaan Fauzi dan akhirnya tertidur.

Fauzi mencempung tubuh kecil anaknya untuk dibawa ke dalam bilik. Perlahan-lahan Fauzi membaringkan Syazni di atas tilam lalu menyelimutkan anak itu supaya lebih nyenyak tidurnya. Puan Fatimah memerhati saja dari jauh lalu berbisik di cuping telinga suaminya yang menumpu perhatian di kaca televisyen.

“Abang... Mah rasa abang patut kahwinlah,”

Tersembul biji mata Ashraff mendengarnya, terus berpaling lelaki itu merenung wajah si isteri yang bersahaja riaknya.

“Apa? Mah izinkan abang kahwin lagi satu?” menyeringai lebar senyuman nakal Ashraff. Fatimah yang menyedari akan dirinya yang tersasul, terus saja mencubit bahu suami. Mengaduh lelaki itu dibuatnya.

“Macam ketam batu mencubit! He he he! Betul ke sayang, abang boleh buka cawangan baru?”

“Mah tersalah cakaplah tadi. Amboi, bukan main menggatal juga awak ni ya? Ada hati hendak pasang lagi satu! Saya bukan kata abang yang patut kahwin tapi anak kita tu. Fauzi dah lama menduda. Sudah enam tahun menantu kita tiada, tapi abang lihatlah Fauzi... masih lagi tak mahu cari pengganti. Kadang-kadang saya kasihan melihat dia. Dialah ayah, dialah ibu.” luah Fatimah simpati dengan pengorbanan dan kesetiaan anak tunggal lelakinya itu.

“Muneera, cinta dia dunia akhirat Mah. Awak pun tahu bukan?”

“Saya faham, bang. Saya pun terlalu sayangkan Muneera. Tapi ketentuan takdir kita tidak boleh tolak, yang pergi tetap pergi. Abang nasihatkanlah dia, cari pasangan untuk dia berkongsi hidup. Kalau tidak untuk dirinya, untuk Syazni. Kita pun bukannya akan hidup lama, tiada kita nanti... siapa yang mahu menjaga cucu kesayangan kita tu?”

Ashraff mengangguk. Dia cukup memahami akan galau di hati Fatimah. Sudah tiba masanya untuk Fauzi membuka pintu hatinya menerima orang baru. Ashraff cukup masak dengan keperibadian anak tunggal lelakinya itu. Begitu setia pada yang satu. Pemergian Muneera suatu ketika dahulu ibarat pengakhiran hidup buat Fauzi. Lelaki itu murung, depresi dan membataskan dirinya dari berhubung dengan dunia luar. Hampir setahun Fauzi bergelut dengan pedih luka perasaannya sehinggalah kembali ke dunia nyata dan dapat menerima hakikat sebenar. Hakikat yang Muneera sudah tiada.

“Kalau boleh kan bang... sebelum Mah pejam mata, Mah teringin mahu lihat dua anak kita tu bertemu dengan jodoh masing-masing,” luah Fatimah penuh pengharapan. Lirih suaranya mendayu. Ashraff mencapai tangan isterinya dan menggenggam erat jari-jemarinya. Dikucupnya penuh limpahan rasa cinta. Butiran mutiara yang gugur di tubir mata isterinya dikesat lembut.

“InsyaALLAH, Mah. Kita berdoa pada ALLAH agar kedua-dua anak kita dapat jodoh yang baik-baik. Abang percaya, harinya akan tiba. Sudahlah, mari kita tidur. Hampir jam 11:00 malam ni. Pukul 3:00 pagi nanti, abang kejutkan Mah ya? Kita dirikan solat tahajud, taubat dan hajat sama-sama.”

Ashraff memimpin tangan isterinya ke kamar beradu. Di ruang yang lain, Fauzi kaku berdiri di tangga. Dia yang sejak tadi mendengar sayup-sayup perbualan ibu dan ayahnya di ruang tamu, mengalirkan airmata. Sungguh hati lelakinya tersentuh. Dia menangis.

Perlahan-lahan langkah diatur menuju ke bilik air di tingkat atas biliknya. Fauzi menyempurnakan wuduknya dan menyelak lembaran kitab ALLAH untuk dibaca. Mohon petunjuk, mohon ketenangan, mohon doanya didengari ALLAH Subhanawa Taala.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.