Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
234,061
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

Azlie terjenguk-jenguk di muka pintu, kalau tidak diikutkan dia masih terikat dengan waktu bekerja, sudah sedari tadi dia akan meninggalkan kaunter dan keluar dari kedai serbaneka tersebut. Hatinya meronta-ronta ingin tahu akan kemeriahan yang ada di luar. Bunyi yang datangnya mungkin dari lot bangunan bersebelahan di Mewah Boulevard itu benar-benar membuatkan sifat ingin tahunya semakin terdesak mahukan jawapan. Apakah ada sebarang pesta hiburan sedang berlangsung sekarang ini sehingga cuping telinganya menangkap gema muzik yang sedang rancak dipasang.

Sudahlah hari ini dia seorang saja syif pagi, hendak meninggalkan kedai serbaneka itu walau sekejap, tidak boleh pula. Pelanggan asyik keluar masuk membeli barang, lepas seorang, berderet pula yang datang sejurusnya. Sepatutnya, setiap syif minima dua orang tetapi disebabkan salah seorang pekerja junior berbangsa India yang baru seminggu lalu masuk bekerja, tidak dapat datang dengan alasan demam. Maka jadinya, terpaksalah dia seorang saja yang menguruskan kedai sehinggalah staf syif petang masuk pukul 3:00 petang nanti. Mujurlah petang ini pengurus stor yang bertugas adalah Wawa. Paling tidak, dia punya teman untuk bergosip!

Belum lagi pukul tiga, kelibat Wawa sudah pun sampai. Wawa memang tidak pernah berkira dalam waktu bekerja. Dia tidak kisah datang awal mahupun balik lewat kerana dia selesa dan gembira dengan apa yang dilakukannya sekarang ini. Biarpun orang kata, berapa sangatlah gaji yang dapat bekerja sebagai pengurus stor di kedai serbaneka tetapi dia terima seadanya. Sudah itu rezeki yang ditetapkan untuk dirinya sejak dua tahun yang lalu. Salah satu sebab Wawa masih bertahan bekerja di kedai serbaneka ini biarpun dia mempunyai kelulusan diploma eksekutif pengurusan peruncitan adalah kerana pihak pengurusan kedai serbaneka itu yang cukup mengambil berat terhadap pekerja-pekerja beragama Islam sepertinya.

Awalnya dia agak ragu-ragu tetapi bila mana pihak pengurusan awal-awal lagi sudah menetapkan yang pekerja-pekerja beragama Islam tidak ditugaskan bagi sebarang penerimaan, penyusunan, penyemakan stok minuman beralkohol, dia berasa lega. Selain dari itu, seorang staf bukan Islam akan diletakkan pada setiap syif sekiranya ada pelanggan yang membeli minuman beralkohol, bagi urusan pembayaran di kaunter. Sebab itulah sekarang ini, ramai pekerja sambilan yang diambil, rata-ratanya terdiri daripada staf berbangsa Cina dan India. Dalam hati Wawa berharap, kedai-kedai dua puluh empat jam yang lain akan mengikut cara pengurusan yang dipraktikkan oleh kedai serbaneka, tempatnya bekerja itu.

“Wa, apa bising-bising dekat luar tu? Ada artis buat konsert ke?” terjah Azlie sebaik saja Wawa melangkah masuk.

“Oh, ada kedai baru buka dekat bangunan sebelah. Dorang tengah buat launching agaknya, siap dengan jambangan bunga berderet tersusun di luar aku tengok,” jawab Wawa sambil memperkemaskan lipatan tudungnya. Wawa semakin selesa dengan perubahan imejnya itu. “Christopher dah masuk?” Christopher, seorang lagi pekerja separuh masa yang baru saja diterima masuk bekerja di situ dua hari yang lepas. Pelajar lepasan tingkatan lima, berbangsa Cina.

“Belum. Akak sampai terlebih awal, manalah budak tu nak muncul lagi.” Wawa tergelak kecil. Ya tak ya juga. Wawa melihat jam yang melingkar di pergelangan tangan, lagi suku jam hendak pukul tiga. “Kedai baru? Kedai apa yang dorang buka?” tidak habis-habis lagi Azlie bertanyakan akan hal tadi.

“Entah. Aku tak jenguk sangat pun. Intai-intai macam tu je. Dari jauh, nampak macam kedai jual kasut. Tapi bukan kedai kasut biasa, sebab kedai tu nampak grand. Patutlah bulan lepas ada renovation dekat premis bawah tu. Rupa-rupanya ada kedai baru nak dibuka.” terang Wawa akan apa yang dilihatnya sekilas tadi. Bertambah teruja Azlie mendengarnya. Maklumlah, dia memang suka apa saja yang ada sangkut paut dengan dunia fesyen.

“Wah! Butik kasut Dato’Jimmy Choo kut, kak?” serkap Azlie sesedap rasa.

“Takde maknanya Dato Jimmy Choo tu nak buka butik dia dekat Mewah Boulevard ni! Tak semenggah mana pun tempat ni.” bidas Wawa, mencari mana logiknya.

“Eh, manalah tahu! Akak ingat tempat ni tak glamor apa? Baru dua hari lepas Amber Chia, model popular tu beli air kotak kat sini tau!” Wawa tergelak mendengar ucap balas yang keluar dari mulut Azlie. Entah kenapa, dia rasa luculah pula. Memang benar, kawasan berhampiran Mewah Boulevard ini rata-ratanya dari kalangan orang berada dan golongan selebriti yang duduki. Terkadang kalau ada artis yang masuk ke kedai serbaneka itu, Azlielah yang akan memberitahunya. Itu siapa, ini siapa. Hendak harapkan dia, berapa kerat sangatlah muka artis Malaysia yang dia kenal. Wawa masih tidak kendur senyumannya.

“Engkau kalau sebut tentang artis, semua kau kenal kan Azlie! Kalau kau teringin sangat nak pergi tengok, habis syif kau nanti, pergilah.” cadang Wawa dan memulakan tugasnya sebagai pengurus stor. Tidak lama kemudian, Christopher pun sampai. Hari berlalu seperti lazimnya. Mereka sudah imun dengan kesibukan waktu puncak. Sebaik waktu melepasi pukul 3:00 petang, Azlie yang sudah habis syifnya, menghalakan langkahnya ke kedai kasut yang baru dibuka di bangunan bersebelahan.

Macam tidak percaya pula apabila dia melihat Rabunah yang berpakaian biasa, turut berada di situ. Apa yang perempuan itu buat di sini?

“Weh, Una!” sergah Azlie dari belakang. Rabunah terangkat bahunya, terkejut. Mengurut dada perempuan itu sudahnya.

“Gugur jantung aku, tau! Eh, kau dah habis kerja ye? Baru ingat nak jenguk korang kat kedai.” Rabunah tersenyum lebar. Manis wajahnya. Tetapi sayang, Rabunah menenggelamkan kecantikan semulajadinya dengan penampilan ala-ala lelakinya yang membuatkan pesona perempuan itu tidak terzahir di pandangan mata kasar. “Kau nak ke mana ni?” sambung Rabunah bertanya, hairan pula melihat keberadaan Azlie di situ.

“Aku mahu ke sana...” muncung mulut Azlie menjuih ke arah premis yang baru dibuka, tidak jauh dari mereka.

“Oh. Aku pun mahu ke situ juga.” jawab Rabunah, tetapi bunyinya seperti hendak tidak hendak saja. Langkahnya pula seperti dipaksa-paksa.

Sampai kedua-duanya di hadapan premis berkenaan, Azlie terpegun berdiri di situ. Matanya tertancap pada papan perniagaan yang tersergam megah di hadapan premis berkenaan. Berlatar ungu pekat dan berwarna emas tulisannya. Suasana di dalamnya pula bermain dengan dwi rona yang sama, dari pilihan kertas dinding sehinggalah ke perabot dan hiasan-hiasan kecil di dalamnya, memperlihatkan butik kasut itu begitu segar auranya.

Koleksi kasut yang dipamerkan pula rata-ratanya adalah kasut tumit tinggi yang menonjolkan kekreatifan yang cukup elegan rekaannya. Kebanyakan rekaan sepatu di Debbie Couture banyak menggunakan batu-batuan permata pelbagai warna seperti topaz, turkois, delima, firus, mutiara dan banyak lagi sebagai hiasan tatahannya. Barangkali sudah trademark butik itu yang membezakannya dengan rekaan-rekaan di butik kasut yang lain.

“Debbie Couture. Wow! Ini butik kasut eksklusif ni, Una!” siku Azlie apabila melihat Rabunah memasang muka toya.

“Eh, Una! Masuklah! Kenapa berdiri di luar je tu?” satu suara dari dalam butik menyapa. Azlie pula yang terkejut kerana sangkanya Rabunah seperti dia, sekadar hendak melihat-lihat butik baru itu, tup-tup tuan punya kedai mengenali kawannya itu. Rabunah melangkah masuk, Azlie juga turut menempel sama.

“Butik kasut milik keluarga kau ke ni, Una?” bisik Azlie bertanya. Yalah, Rabunah ini nampak saja penampilan luarannya seperti orang kebanyakan tetapi Azlie tahu Rabunah ini bukan sembarangan. Ayah punya klinik gigi dan abangnya pula ada syarikat kereta sendiri. Kalau tidak kaya-raya sekalipun, Rabunah hidupnya senang.

“Tidaklah. Ini butik kasut aunty Deborah, bestfriend mak ayah aku yang pernah aku cerita dengan korang dulu tu. Dia memang ada perniagaan di Aussie, ini cubaan pertama dia hendak masuk market Malaysia. Debbie Couture ni dah terkenal pun dekat sana,” terang Rabunah lalu mengajak Azlie masuk. Kelihatan Mak Cik Deborah bersama-sama emak dan ayahnya, Puan Fatimah dan Doktor Ashraff menyambut kedatangannya. Berbual-bual mereka sekejap, bertukar ucap tahniah dan bercakap tentang kejayaan Debbie Couture melebarkan sayapnya di bumi Malaysia. Sambil itu, Rabunah mencari kelibat Pak Cik Khairul, suami Mak Cik Deborah. Peliknya, tiada pula kelihatan lelaki itu di mana-mana.

“Ini kawan tempat sekerja Una, nama dia Azlie.” Rabunah memperkenalkan kawan lelakinya itu. Azlie menghulur salam dan menunduk kepalanya, tanda hormat. “Pak Cik Khairul mana, aunty?” Rabunah bertanya. Sekarang ini, mereka berada di dalam sebuah bilik berdinding kaca, kedap bunyi dan tidak diganggu dek bingit muzik di luar. Barangkali bilik yang luas itu akan dijadikan bilik pejabat butik kasut berkenaan, Rabunah menganggar.

“Ally jemput dia di airport. Sekejap lagi, sampailah tu. Suami aunty tu nama saja duduk Malaysia, tapi bukan setempat duduknya. Sekejap di semenanjung, sekejap di Sabah Sarawak.” jawab Mak Cik Deborah mengukir senyum tetapi matanya tidak bercahaya. Naluri perempuan Rabunah seperti dapat merasa sesuatu yang berbeza.

“Oh. Lepas ni, aunty menetap terus di Malaysialah ya? Debbie Couture di Aussie, siapa yang uruskan?”

“Boleh dikatakan macam tulah, Una. Tapi sekali-sekala, aunty perlu juga fly ke Aussie untuk tengok-tengok butik di sana. Lagipun pasaran di sana alhamdulilah sudah kukuh, tidaklah aunty risau sangat nak tinggalkan sementara. InsyaALLAH, kawan aunty yang uruskan butik tu dapat jalankan tanggungjawab yang aunty amanahkan dengan baik. Buat masa ini, Debbie Couture KL pula aunty kena beri perhatian lebih.” lembut wanita Inggeris yang sudah fasih bahasa Melayunya itu, menerangkan. Rabunah mengangguk faham.

Melihatkan ayah dan emaknya leka bersembang dengan Mak Cik Deborah dan para tamu yang lain, Rabunah menyusup keluar dari bilik yang memang dikhaskan untuk tetamu VVIP itu lalu mengambil tempat duduk di satu sudut. Sepatutnya sedari jam dua tadi, dia seharusnya datang ke majlis perasmian butik itu yang bermula tepat pukul 2:00 petang. Tetapi mengenangkan Natasha yang akan turut berada di situ, membuatkan dia malas. Malas hendak menghadap muka perempuan gila itu.

Sengaja dia hadir lewat sejam, lagi pun dia bukan jenis yang suka bertemu dengan orang ramai lebih-lebih lagi dalam suasana keramaian sebegini. Kekok saja dia rasa, tidak biasa. Datangnya dia hari ini pun semata-mata hendak memenuhi jemputan Mak Cik Deborah. Tidak manis pula mahu menolak undangan itu lagi-lagi wanita itu merupakan sahabat baik emak dan ayahnya.

“Eh, perempuan tak siap pun ada kat sini? Welcome... welcome...” baru saja terlintas nama perempuan gila itu dalam kepalanya, tup-tup suaranya sudah ke udara. Natasha yang memasang badan penuh bergaya, seolah-olah sedang menghadiri karpet merah sebuah festival filem lagaknya. Dengan gaun merah cili terbelah di belakang menampakkan bahagian badannya, mencuri perhatian semua yang memandang. Meluat Rabunah melihat!

“Haah. Perempuan terlebih siap, buat apa pulak kat sini?” Rabunah memulangkan paku buah keras. Sengaja dia tekankan istilah ‘terlebih siap’ itu demi menyakitkan hati Natasha. Perempuan serupa ini bukannya boleh didiamkan! Perlu dilawan!

“Dah aku yang akan tolong menguruskan butik ni, haruslah aku ada kat sini. Kau tu, datang buat apa? Maaflah, ini bukan kedai kasut Jukebox. Kami tak jual capal yang harganya sepuluh dua puluh ringgit. Ha ha ha.” sindir Natasha lebih keras sambil ekor matanya memandang sandal yang dipakai Rabunah lalu berdekah ketawa. Rabunah mulai panas hatinya. Memang hendak cari gaduh betul perempuan berangan ini!

“Murah sekalipun capal yang aku pakai, ada aku kisah? Lagipun, aku memang dah dilahirkan tinggi. Tak katik macam orang tu, terpaksa pakai high heel supaya nampak tinggi, kononnya modellah. Sedih...! Ha ha ha.”

ZASS!

Perang mulut sudah bermula! Masing-masing saling mencantas. Azlie yang sudah dapat menghidu bau-bau pertengkaran, bersedia untuk membantu sekiranya perlu. Dia pun memang tidak berpuas hati dengan perempuan berambut karat itu sejak insiden dia dipanggil bapuk tidak lama dulu. Sakit hatinya masih dirasakan sehingga ke hari ini. Kalau orang lain, mudah saja dia maafkan tetapi tidak dengan perempuan itu.

“Engkau jangan hendak kurang ajar, perempuan tak siap!” menyinga Natasha terasa dirinya diperendah-rendah. Rabunah buat tidak endah. Tetapi dalam hatinya, dia berasa puas! Puas kerana Natasha seperti sudah kalah. Tiada modal hendak melawan kata-katanya semula. Baru dia tahu, mulut aku pun lahar! Sedar tidak sedar, Rabunah tersengih sendiri melihat Natasha menghentak-hentak kaki beredar meninggalkannya.

“Jomlah kita keluar, kuasalah aku nak lama-lama dalam ni. Muzik yang dorang pasang ni macam bukan nak launch butik kasut tapi serupa mahu rasmikan lounge bar dah aku dengar. Ini mesti idea perempuan berangan tu. Ikut kepala dia je pasang muzik tekno. Gila ke apa...!” Rabunah menarik tangan Azlie, menyelinap mereka keluar tanpa disedari sesiapa.

Nota kaki: Satu babak penting dalam bab ini sudah diambil keluar. Dapatkan novel Pudina Cinta yang akan berada di pasaran Mac 2013 ini bagi perjalanan cerita yang penuh.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.