Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
233,916
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

“Weh, berapa hari kau ponteng kerja ha?” sergah Azlie sebaik melihat Rabunah yang sudah bersiap siaga dengan uniform kerjanya, muncul di pintu kedai serbaneka di awal pagi. Hari ini dia syif pagi bersama-sama Azlie manakala Wawa dan Alin bekerja di sebelah malam.

“Ponteng apanya, aku ada strong excuses okey! Aku ada urusan penting dekat universiti semalam, lagi pun aku dah beritahu SM. Tak bestlah kak Wawa bukan store manager pagi ni. Kalau ada dia, boleh...”

“Boleh mengelat, ye tidak? He he he. Memang best pun kerja dengan dia, tak banyak songeh. Gosip, gosip jugak tapi janji kerja siap.”

Sembang dua sahabat itu diselangi gelak tawa yang tidak pernah tinggal saban kali berjumpa. Rabunah yang baru hendak meletakkan beg ke dalam bilik stor ditahan Azlie apabila menyedari sesuatu yang berlainan pada perempuan itu. Ditariknya pergelangan tangan Rabunah untuk berdiri setentang dengannya.

“Wow! Lain macam berseri-seri muka kau hari ni! Ha, jeng jeng jeng!” terjah Azlie siap dengan lenggok-lenggok kepalanya, membelek-belek muka Rabunah dengan renung matanya. Sampai tidak selesa pula Rabunah diperhati sebegitu.

“Kau ni kenapa, gedik? Aku tak pakai susuk macam Wawa tau! Tak ada dagu runcing pun aku ni ha!” jawab Rabunah selamba dan dalam masa yang sama, sempat lagi mengenakan Wawa yang asetnya terletak pada dagu yang runcing. Rabunah mengibas-ngibas tangan Azlie yang lagi galak mahu mengusik mukanya.

“Seriuslah kau nampak lain! Ha, aku tahu! Kau pakai lipgloss kan perempuan? Bukan main kau sekarang kan? Bibir mengerlip tak ingat. He he he!” sakat Azlie sambil menjuih-juihkan bibirnya pula. Naik hantu saja Rabunah melihatnya. Marah tidaklah, sebab Rabunah sudah masak dengan perangai sengal-sengal ubi kawan baiknya itu.

“Tolong sikit ye. Aku tak calit lipgloss pun okey. Aku pakai Vaseline dekat bibir aku sebab bibir aku kering mengelupas. Pandai je kau kan, Azlie gedik!” serang balas Rabunah mematahkan usikan Azlie yang memang kalau dilayan, berlarutan tidak sudah.

Memandangkan hari ini hari tidak bekerja, tidak ramai pelanggan yang datang membeli barang di kedai serbaneka itu. Lagipun kedai serbaneka yang terletak di Mewah Boulevard itu lebih sibuk dan tinggi margin jualannya pada hari-hari biasa berbanding hari Sabtu dan Ahad. Rata-rata pelanggan yang datang pun adalah para pekerja yang bekerja di syarikat-syarikat swasta yang terletak di lot-lot bangunan yang terdapat di situ. Ada tidak ada, beberapa premis yang buka pada hari minggu adalah restoran dan kedai-kedai makan, tidak terkecuali Klinik Pakar Pergigian K&A.

Sangkakan suasana akan tenang sehingga ke penghujung syif, dalam sekelip mata bertukar kecoh apabila kedai serbaneka itu didatangi seseorang. Azlie yang masih mengecam akan wajah perempuan seksi yang baru memasuki kedai itu, cepat-cepat ke belakang mendapatkan Rabunah yang sedang menyusun stok baru minuman air kotak di dalam peti dingin.

“Perempuan! Kau mesti tak sangka siapa yang baru masuk kedai kita!” ujar Azlie tergopoh-gapah menepuk bahu Rabunah yang leka membuat kerja. Sehingga terjatuh satu dua kotak minuman dalam pegangan Rabunah akibat dikejutkan Azlie yang muncul tiba-tiba di belakangnya.

“Kus semangat! Kau ni tak menyempatlah, Azlie! Siapa yang datang? Henry Golding?” balas Rabunah lalu mengutip kotak minuman yang jatuh tadi lalu menyusunnya cermat di dalam peti dingin. Rabunah sengaja mengusik Azlie, memikirkan yang lelaki itu sekadar bermain-main. Bukan tidak pernah ada artis atau selebriti yang datang membeli di kedai serbaneka itu lagi-lagi Mewah Boulevard letaknya berdekatan dengan kediaman golongan artis. Azlielah yang berlumba dulu hendak memberi layanan kalau ada artis yang datang ke situ.

“Bukan Henry Goldinglah. Dia dekat New Zealand sekarang, rakam travel show dia dengan Air Asia. Aku tahulah sebab aku kan like fanpage FB dia!”

“Amboi! Sempat lagi kau melencong topik lain kan! Ha ha ha! Habis tu, siapa?” tanya Rabunah yang tergeleng-geleng kepala melihat Azlie di hadapannya yang dalam kalut tetap tidak tinggal seloroh leluconnya.

“Perempuan yang namanya nak up macam model antarabangsa tu! Alah... Giselle apa ke jadah tu? Ha, Natasha Giselle!” terang Azlie membuatkan mata bundar Rabunah makin bulat. Sudah tentu Azlie masih ingat lagi akan perempuan itu. Bukankah dia yang menyerkupkan bekas popcorn ke atas kepala perempuan tersebut sehingga peristiwa itu menjadi stok bahan lawak mereka berdua berminggu-minggu lamanya.

“Ha, perempuan bajet diva tu datang? Buat apa dia ke sini? Aduh!” keluh Rabunah yang turut berasa tidak senang dengan malapetaka yang akan menghempapnya pada bila-bila masa saja. Natasha kalau tahu dia bekerja di situ, nescaya akan mencari jalan untuk menyakitkan hatinya seperti yang pernah berlaku di rumahnya dulu. Bukan dia takut hendak bertentang empat mata dengan perempuan itu tetapi dia sebenarnya tidak mahu memanjangkan sengketa. Sudahlah dirinya telinga nipis dan cepat meradang. Pantang keluar ayat lahar dari mulut perempuan itu, boleh bertarik rambut mereka berdua di situ juga. Sudahnya, dia juga yang mendapat susah kerana bergaduh di tempat kerja. Rabunah sudah memikirkan segala kemungkinan.

“Agak-agak dia nampak aku tak?” soal Rabunah lagi.

“Tak rasanya. Dia baru masuk je pun. Dia dekat depan bahagian majalah, tengah selak-selak magazine! Belinya tidak!” umpat Azlie yang berkongsi rasa tidak senang dengan Rabunah. Ah, walaupun dia tidak kenal perempuan itu tetapi dari luarannya saja sudah cukup membuatkan Azlie tahu kenapa Rabunah tidak menyukai pemilik nama Natasha Giselle itu. Masuk ke kedai serbaneka pun hendak menghentak kaki. Tahulah pakai kasut tumit tinggi sampai lima inci! Azlie pula melebih-lebih marahnya dalam hati.

Kedua-duanya menghendap-hendap di balik rak-rak makanan, mengintai senyap-senyap kelibat perempuan berdarah campuran inggeris itu. Menurut Azlie sebentar tadi, perempuan itu berada di bahagian majalah dan suratkhabar. Tetapi puas mereka meneropong, tiada pula kelibat Natasha di depan sana. Atau mungkin perempuan itu sudah beredar pergi? Baik Azlie mahupun Rabunah, tertanya-tanya di dalam hati.

“Korang ni nak bekerja ke nak main-main?”

ZASS!

Mahu tercabut jantung dibuatnya apabila satu suara mengherdik dari belakang seperti bunyi halilintar membelah bumi. Terkulat-kulat Rabunah dan Azlie memusingkan badan dan seperti terkena renjatan elektrik bila mana di hadapan mereka adalah susuk Natasha yang turut terkejut melihat Rabunah di situ. Barangkali kedua-duanya tidak menyangka akan bertemu untuk sekalian kalinya.

“Lah! Perempuan tak siap ni lagi! Kau kerja sini? Sesuai sangatlah tu! Nah, lekas buat kerja kau!” selar Natasha penuh bongkak. Sekeping majalah hiburan yang hendak dibelinya itu dilempar ke meja kaunter bayaran beserta not lima puluh, hendak tidak hendak terpaksalah Rabunah melayani kerenah pelanggannya yang seorang itu. Dia malas hendak bertegang urat apatah lagi bertekak. Azlie yang melihat Rabunah seperti merelakan saja tindakan kurang ajar perempuan bernama Natasha itu ke atas sahabatnya itu, mula melenting.

“Saudari yang cantik budi bahasa, tolong beradab sikit boleh tak?” sindir Azlie dalam lembut tetapi menikam sampai ke tulang hitam. Terbeliak besar mata Natasha apabila ditegur sebegitu, tercabar egonya yang melangit tinggi! Rabunah sudah mengebam bibir dan mengeluh kecil. Nampaknya perang dunia akan meletus!

“Eh eh eh... jantan lembut ni banyak bunyi kenapa? Kau ada skandal ke dengan perempuan tak siap ni?” tembak Natasha melepaskan geram. Pantang sungguh dia kalau ada orang lain yang membidasnya terang-terangan seperti tadi. Mahu saja dia mencakar muka lelaki biadap yang cuba mempertahankan perempuan yang entah kenapa, tidak disenanginya biarpun baru sekali dua berjumpa. Gerak hatinya mengatakan yang perempuan tomboy itu seperti akan menyusahkan hidupnya di kemudian hari.

“Hello...! Lembut-lembut aku pun, aku tak buat dosa free of charge macam kau! Dahlah pakai tak cukup kain, dedah sana sini bangga orang lain tengok! Aurat tak jaga, budi bahasa tak ada...totally zero!” tikam Azlie dengan kata-kata tajamnya. Jangan main-main dengan Azlie, lelaki ini sekali menyerang, boleh sampai menggelegak gegendang telinga dibuatnya. Rabunah menarik pergelangan tangan Azlie, meminta supaya jangan diteruskan lagi perbalahan itu. Dilihatnya, muka Natasha sudah merah padam. Singa betina itu nampaknya juga sudah mengamuk!

Damn you! Watch your mouth! Sedap mulut mak bapak kau je kan nak menilai aku! Mulut longkang macam kau ni memang spesis-spesis yang patut kena telan bumi! Loser...!” pangkah Natasha meledak api kemarahannya. Ucapannya yang terlalu kasar itu membuatkan Rabunah bersuara mempertahankan Azlie. Tidak suka dia melihat maruah kawan lelakinya itu diperkotak-katik sewenang-wenangnya begitu. Riak wajah Azlie ketika itu serta-merta berubah. Tersentak barangkali.

“Natasha, please stop it! Don’t too much! Nah, majalah dan baki duit you. Tolong keluar dari sini.” tegas nada suara Rabunah, memandang tepat ke anak mata Natasha di hadapannya. Majalah dan duit yang dihulur, dirampas penuh kasar oleh Natasha. Perempuan itu mendengus keras dan menjeling tajam kepada Rabunah dan Azlie sebelum menghempas pintu kedai serbaneka itu untuk keluar. Lega hati Rabunah apabila Natasha sudah beredar dari situ dan mengharap tidak lagi berjumpa dengan perempuan itu pada bila-bila waktu sekalipun. Rabunah mendaratkan telapak tangannya lembut ke bahu Azlie, memujuk supaya kawan baiknya itu tidak terkesan dengan kata-kata Natasha tadi.

“Kau okey, Azlie? Jangan ambil hati sangat dengan apa yang perempuan tu cakap. Kau pun tahu kan perempuan berangan tu mulut dia memang macam tu,” ucap Rabunah lembut, sejuk menyusup ke gegendang telinga Azlie. Lelaki itu tersenyum dan menggeleng kepalanya.

“Aku okey. Aku tak apa-apa. Tak terasa pun. Alah, aku dah biasa pun Una,” jawab Azlie selamba tetapi nadanya seperti berbunyi terkilankan sesuatu. Rabunah dapat merasainya. Barangkali dia juga pernah berada dalam situasi lelaki itu.

“Lain macam je cara kau bercakap ni, Azlie. Kau betul-betul okey ke tidak ni?” tanya Rabunah lagi. Hatinya tidak senang. Senyuman yang terlukis di wajah Azlie pun seperti dibuat-buat saja oleh lelaki itu. Rabunah dapat mengagak yang Azlie sebenarnya terkesan dengan cercaan Natasha, walau lelaki itu tidak mengakui. Biasalah, hati manusia bukan besi kursani!

“Aku okey. Serius, aku okey. Cuma macam aku cakap tadi, aku dah biasa dengan pandangan orang luar tentang aku. Begitu mudah mereka menghukum,” luah Azlie jujur. Rabunah menepuk-nepuk lembut bahu kawan baiknya itu. Benarlah, nun jauh di lubuk hati Azlie, lelaki itu tercuit perasaannya. Rabunah tidak tahu bagaimana caranya hendak memujuk lelaki itu, hanya berupaya menjadi seorang teman pendengar yang baik.

“Kau nak tahu cerita tentang aku, Una?” soal Azlie ringkas selepas usai kedua-duanya melayan beberapa orang pelanggan di kaunter bayaran. Suasana di dalam kedai kembali lengang. Hanya terdengar sekali-sekala suara penyelia mereka berbangsa Cina yang bernama Hooi Fong sedang bercakap dalam telefon.

“Aku dari kecil lagi ibu aku yang besarkan aku. Aku ada sorang adik perempuan. Ummi namanya. Sekarang dia tingkatan 5, tengah struggle untuk SPM hujung tahun ni. Keluarga aku kecil je macam keluarga kau jugak,” cerita Azlie kepada Rabunah.

“Ayah kau, Azlie?”

“Aku sendiri tak tahu bapak aku kat mana sekarang ni, Una. Seingat aku, dia tinggalkan ibu aku waktu aku masih umur lima enam tahun. Adik aku, Ummi masih bayi lagi. Terkadang kalau aku fikir-fikir tentang bapak aku, aku jadi geram. Banyak persoalan dalam kepala aku ni perlukan jawapan. Kenapa dia tinggalkan kami, abaikan isteri dan anak-anak dia macam tu saja tanpa khabar berita. Hidup aku dikelilingi perempuan-perempuan tabah dan mungkin sebab tu lah kut perangai aku macam mereka. Mana taknya, Una... akulah memasak, membasuh kain baju, mencuci pinggan mangkuk. Pendek kata, apa saja kerja perempuan, aku dah biasa buat. Lagi-lagi waktu ibu aku berpantang lahirkan Ummi, boleh kata semua benda aku buat tau. Ummi yang waktu tu masih merah lagi pun, aku yang mandikan. Pakaikan kain lampin untuk dia,” lancar Azlie menceritakan kisah hidupnya. Rabunah begitu tertarik mendengarnya. Dia tidak menyangka Azlie yang sikapnya periang dan penuh gelak tawa itu mempunyai sisi yang lain dalam kehidupannya. Sisi emosional yang menyentuh hati perempuan Rabunah.

“Untung ibu dan adik kau, Azlie. Ada abang bertanggungjawab macam kau. Azlie, boleh aku tanya sikit?” ujar Rabunah yang sebenarnya sedikit berkira-kira hendak bertanya. Azlie tersenyum, dia seperti dapat mengagak akan apa yang diungkapkan.

“Kau nak tanya tentang bapak aku kan?” duga Azlie lalu Rabunah mengiyakannya. “Entahlah Una, hendak menyimpan rasa dendam, darah yang mengalir dalam tubuh aku ni, darah bapak aku jugak. Jadi, aku sendiri tak tahu apa yang perlu aku rasa dengan perbuatan bapak aku ni. Bukan kami tak pernah cari dia tapi berpuluh-puluh tahun mencari, jumpanya tidak pernah sekalipun. Seolah-olah dia cuba mengelakkan diri dari kami. Ada yang kata bapak aku dah tiada, tapi gerak hati aku kata dia masih hidup. Sihat walafiat di luar sana. Terkadang tu, aku dapat rasa dia seperti memerhatikan kami dari jauh. Tapi ironinya, tidak pula dia datang mendekati kami. Aku pun confuse Una,” luah Azlie tenang. Rabunah berasa simpati. Kalaulah dia dapat membantu.

“Kau jangan putus asa, okey? InsyaALLAH, aku percaya satu hari nanti, ayah kau mesti pulang ke pangkuan keluarga kau semula. Mana mungkin ayah tak sayang benih zuriatnya, kan? Kita tak tahu apa masalah dia. Barangkali ayah kau menghilangkan diri atas sebab-sebab tertentu. Aku puji dengan sikap kau, Azlie. Kau tak menyimpan rasa dendam. Bahkan kau galas tanggungjawab ayah kau sebagai ketua keluarga dengan baik sekali. Kita berdoa sama-sama ya.” pujuk Rabunah sungguh-sungguh. Sudah tentu dia akan turut mendoakan kepulangan ayah Azlie kembali ke pangkuan keluarga lelaki itu dalam setiap sujudnya.

Dalam tidak sedar, Rabunah bergenang air matanya. Dia membayangkan dirinya berada di tempat Azlie, barangkali dia tidak mampu untuk meneruskan hidup seperti sekarang ini. Nyata, Azlie seorang manusia yang cukup kuat. Nampak saja luaran lelaki itu tidak setega mana tetapi dia lelaki yang kental jiwanya. Bagi Rabunah, ibu dan ayah merupakan sayap hidupnya dan jika patah salah satu, mana mungkin untuk dia terbang tinggi mengharung pancaroba duniawi. Terdetik di hati Rabunah, akan takdir yang tertulis dalam suratan hidup kawannya itu. Tidak mendapat kasih sayang seorang ayah. Kasihan Azlie. Bisik halus perasaannya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.