12
KASIH SAYANG SEORANG
AYAH TERSERLAH
Sarlina
mengerling suami di sisi, seolah-olah memberikan isyarat tertentu. Bakri
mengerti apa mahu isterinya itu.
Bakri berdehem. Namun langsung tidak
diendahkan oleh Natasha. Anak tunggalnya itu masih leka menguis nasi di dalam
pinggan dan kepalanya juga masih tertunduk. Sekali lagi kehairanan menerpa di
dalam diri pasangan suami isteri itu. Tingkah laku anak kesayangan mereka itu
berbeda sekali pada malam ini.
“Natasha…” panggil Bakri perlahan.
Diam. Masih tiada respons apa
daripada insan yang duduk bertentangan dengannya itu.
“Natasha!” Kali ini nada meninggi
digunakan oleh Bakri.
Natasha bagaikan tersentak. Kepala
yang tertunduk didongakkan. Matanya tepat memandang papanya itu.
“Ada apa pa?” soal Natasha
kemudiannya.
“Ada apa Natasha kata… sepatutnya
papa dengan mama yang tanyakan Natasha soalan tu. Natasha kenapa malam ni?”
“Tak… tak ada apa-apa. Natasha okey
je…” Sedikit gugup Natasha menjawab.
“Kalau tak ada apa-apa takkanlah
perangai Natasha lain macam benar malam ni. Tu, nasi tu langsung tak dimakan.
Asyik dikuis-kuis je nasi tu. Dari tadi Natasha asyik diam je. Selalunya
perangai Natasha tak adalah macam ni.” Kali ini bebelan pula yang menerjah
cuping telinga Natasha. Bebelan yang datangnya daripada mamanya.
“Betul mama, papa. Natasha tak ada
apa-apa. Mungkin Natasha penat sangat petang tadi. Tu yang tak ada selera makan
tu,” tipu Natasha agar mama dan papanya tidak lagi menaruh syak wasangka ke
atas dirinya.
Bakri dan Sarlina berpandangan sesama
sendiri. Cuba mencapai kata setuju untuk mempercayai atau tidak kata-kata anak
tunggal mereka itu.
Buat seketika suasana di meja makan
itu menyepi. Natasha segera menyuap nasi yang sudah sejuk di dalam pinggannya.
Bakri dan Sarlina pula sekadar memerhatikan sahaja tingkah insan di hadapan
mereka itu.
“Tadi… Natasha balik dengan siapa?”
Teringatkan perihal itu, Bakri bertanya.
“Ha’ah. Mama lupa nak tanya. Tadi,
Natasha balik dengan siapa?” Belum pun sempat Natasha menjawab, Sarlina
mengulangi persoalan suaminya itu.
Kunyahan makanan terhenti. Degupan
jantung terasa di dada Natasha. Otaknya segera berputar untuk mencari jawapan
yang sesuai terhadap persoalan papa dan mamanya itu.
“Tadi… Natasha balik dengan kawan.”
Perlahan Natasha menjawab. Matanya masih memandang tepat ke pinggan. Tidak
berani untuk bertentang mata dengan kedua insan di hadapannya itu.
“Kawan? Kawan yang mana satu? Lelaki
ke perempuan?” soal Sarlina lagi. Masih belum berpuas hati dengan jawapan
anaknya itu.
“Kawan satu sekolah,” gugup Natasha.
“Lelaki ke perempuan?” Kali ini
Bakri pula yang menyoal. Hatinya menjadi tidak keruan dengan kegugupan Natasha.
Naluri kebapaannya mengesyaki ada sesuatu yang cuba diselindungi oleh anak
kesayangannya itu.
“Perempuan. Kawan satu kelas. Papa
dengan mama janganlah risau. Natasha pandai jaga diri.” Kali ini Natasha
mengangkat kepalanya dan senyuman dilemparkan kepada kedua orang tuanya itu
agar perasaan syak wasangka yang sedari tadi menimbusi hati mereka hilang
sepenuhnya.
Biarpun sisa ketidakpercayaan masih
wujud di hati Bakri dan Sarlina buat anak kesayangan mereka itu, namun di dalam
ketidakrelaan terpaksa jua mereka menelan jawapan yang telah menjamahi telinga
mereka sebentar tadi.
Usai menikmati makan malam dengan
kedua orang tuanya, Natasha terus menunaikan solat isyak agar tubuh yang
kepenatan dan otak yang kelelahan dapat direhatkan. Namun sudah hampir satu jam
dia berbaring di atas katil empuk miliknya, tetapi kantuk masih enggan menjemput
lena.
“Kenapa dengan aku ni? Aduhai…
tidurlah wahai mata. Tidurlah!” Natasha pantas bangkit dari pembaringan dan
menyandarkan tubuh yang kelesuan di kepala katil.
“Takkanlah aku masih fikirkan
kata-kata mamat tu lagi! Cukuplah! Aku takkan terima tawaran gila si Danish
tu!” Natasha bermonolog sendirian untuk menegaskan keputusannya.
Tuk… Tuk… Tuk…
Ketukan di muka pintu memeranjatkan
Natasaha. Dia mengurut dadanya perlahan sebelum bangkit menghampiri daun pintu
bilik tidurnya.
“Papa… ingatkan mama tadi.
Masuklah,” pelawa Natasha.
“Mama kamu dah tidur. Penat sangat
katanya. Natasha kenapa tak tidur lagi?” soal Bakri sambil punggungnya
dilabuhkan di penjuru katil. Natasha duduk di sisinya.
“Tak boleh nak tidur.”
“Aik… tak boleh nak tidur? Pelik…
tadi papa tengok Natasha bukan main letih lagi.”
“Entah… lepas solat langsung tak
boleh nak tidur.” Tanpa sedar Natasha mengeluh.
“Anak papa ni okey ke?” Bakri
merenung lembut wajah Natasha. Dia mengusap perlahan rambut anak kesayangannya
itu.
“Natasha okey. Kenapa pa?”
Bakri tidak terus menjawab. Senyuman
penuh makna terukir di bibir tuanya.
“Kenapa papa senyum macam tu? Papa
tak percayakan jawapan Natasha ya?” Memuncung bibir Natasha.
“Siapa kata papa tak percaya. Papa
percaya… cuma…”
“Cuma apa?” Laju Natasha menyoal.
“Natasha… Natasha satu-satunya anak
papa. Sikit pun perubahan yang berlaku di dalam diri Natasha, papa dapat kesan.
Entahlah… bila papa lihat reaksi Natasha di meja makan tadi… papa dapat rasakan
yang Natasha ada sembunyikan sesuatu daripada papa. Papa tahu yang Natasha dah
besar dan mungkin ada perkara yang Natasha tidak mahu kongsikan dengan papa.
Tapi sebagai seorang ayah, papa harapkan yang anak papa ni takkan sembunyikan
apa-apa daripada papa. Papa sedia mendengar walau apa pun yang Natasha hendak
luahkan.” Bakri menggenggam jari jemari anaknya itu.
Tersentuh hati Natasha dengan
kata-kata papanya itu. Semerta genangan air mata menjelma di kelopak matanya.
“Natasha… kenapa ni? Kenapa Natasha
menangis? Sekarang, papa nak Natasha berterus terang dengan papa apa yang
berlaku.” Risau benar hati Bakri dengan perubahan emosi anaknya itu.
“Papa… sebenarnya… sebenarnya
Natasha tengah bingung. Natasha tak tahu nak buat apa lagi.” Natasha menyeka
air matanya.
“Kenapa ni sayang? Terus terang
dengan papa, apa yang telah berlaku sebenarnya?”
“Dekat sekolah… ada seorang kawan
Natasha ni, dia selalu buli Natasha. Suruh Natasha buat tu, buat ni… bila
Natasha dah buat apa yang dia suruh, langsung dia tak ucapkan terima kasih.
Boleh dikatakan hari-hari Natasha menangis disebabkan perangai dia tu.”
Kata-kata Natasha terhenti. Dia mengeluh.
“Kiranya Natasha kena bulilah ni.
Kenapa Natasha tak pernah beritahu papa dengan mama sebelum ni? Tak apa, esok
juga papa pergi ke sekolah. Papa sendiri akan ajar budak tu!” marah Bakri.
“Tak pa… jangan buat macam tu. Bukan
itu sebabnya Natasha jadi runsing.” Halang Natasha.
“Habis tu?” soal Bakri laju.
“Baru-baru ni Natasha ada mengenali
seseorang dan hubungan kami agak rapat. Dia… tahu tentang si pembuli tu dan dia
ada menghulurkan bantuan agar Natasha dapat melepaskan diri daripada budak tak
guna tu.”
“Jadi apa masalahnya?” soal Bakri
masih tidak mengerti akan isi hati anaknya itu.
“Papa… papakan kenal Natasha.
Natasha tak suka bergantung pada orang lain. Lagipun Natasha baru je kenal
budak tu.”
“Natasha… dengar sini apa yang papa
nak cakapkan. Tempoh perkenalan tu memang penting. Tapi apa yang lebih penting
adalah ni.” Bakri menekan dadanya.
“Nawaitu dia tu. Niat budak yang nak
bantu Natasha tu yang harus Natasha kaji. Kalau betul budak tu nak tolong
Natasha, kenapa harus dihalang? Lagipun, sampai bila Natasha nak kena buli!
Siapa nama budak tak guna tu?!” Kemarahan menjelma semula di hati Bakri.
“Marlina…”
“Lah perempuan rupanya! Kurang ajar,
tak sedar diri tu perempuan ada hati nak buli orang lain! Kalau papa jadi
Natasha papa akan fikirkan kemungkinan untuk menerima pertolongan budak tu. Insya-ALLAH…
kalau niat ‘penyelamat’ Natasha tu betul, Allah akan permudahkan
segala-galanya.” Sekali lagi Bakri menggenggam jari jemari anaknya itu, kali
ini genggamannya lebih erat.
Natasha memandang wajah papanya itu.
Dia tahu mengapa papanya melahirkan pendapat sebegitu. Semuanya kerana papanya
itu tidak mahu dirinya terus-terusan dibuli oleh Marlina. Tetapi seandainya
papanya itu mengetahui perihal rasa cintanya terhadap Malik dan kebenaran
bahawa ‘si penyelamatnya’ itu adalah seorang lelaki yang terlalu berkedudukan,
mungkinkah perbezaan dalam melahirkan pendapat akan meniti di bibir insan yang
sedang membalas pandangannya itu?