Home Novel Cinta Cik Skuter Asap Putih
Cik Skuter Asap Putih
Mastura Abdullah
4/12/2014 16:39:17
39,775
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2
2


"BLA bla bla...bla bla bla."

Mulutnya ikut sama berbunyi tatkala suara Aishah riuh bercerita tentang rambutnya yang hitam dan lebat. Hampir setiap kali menemani Aishah ke salun rambut, pasti cerita itu diungkit. Yun sudah hafal cerita itu.

"Ambil daun bunga raya yang bersih dan ramas sehingga keluar lendir. Ambil lendirnya dan campurkan dengan sebiji telur ayam kampung serta sesudu madu lebah. Lepas itu, gaul dan sapu pada rambut. Lepas itu, perap dengan tuala lebih kurang sepuluh minit sebelum bilas dan cuci. Aku amalkan dua kali seminggu."

Hmm.Yun telah hafal skrip itu setahun lalu.

"Yun! Kau ajuk aku, ya?" Teka Aishah dari cermin besar di hadapannya. Yun ketawa kecil. Dia tidak menjawab tetapi deras bangun lalu menggeliat dengan kedua tangannya ditolak ke atas.

"Ni yang aku paling malas teman Aishah yang perasan lawa ni. Berdandan mengalahkan artis. Siapa selebriti ni?" Tanya Yun, meluahkan isi hati. Amoi yang sedang mendandan rambut Aishah menumpang senyum.

"Eh, takkan artis saja yang nak jaga penampilan. Aku pun!"

"Aku pun? Kalau jaga penampilan tu tak melibatkan masa orang lain, tak apa jugak! Ini tidak...sikit-sikit Yun...sikit Yun! Yun teman aku sana. Yun teman aku sini. Macamlah Yun ni kerja goyang kaki."Ajuk Yun. Dia sempat juga membebel di hujungnya. Jika bukan kerana Aishah, pasti dia sudah ada tempat yang menjadi sasaran untuk dijadikan bahan berita.

"Yunnnn, kau kan kawan aku. Kalau bukan kau, siapa lagi nak teman aku?"

"Wan ada! Puan Jannah pun boleh." Selamba dia membalas. Aishah hanya mencebik bila dia memetik dua nama itu. Yun terus mundar-mandir. Tak sanggup rasanya hendak berlama-lama di salun rambut itu. Sesungguhnya masa yang berlalu ibarat air yang menitik. Ia akan terus menitik, tiada henti selagi belum habis.

"Tu jalan utara selatan tu...tengah boringlah tu."

"He he he. Aku nak mintak dirilah, Shah. Nak cari pasal sikit."

"Alah Yun....Sikit aje lagi." Rayu Aishah. Yun melepas nafas, sepanjangnya. Dia perlu kuat hati mendepani rayuan Aishah.

"Malam ni aku kena teman kau lagi, kan? Habis tu, apa yang aku ada untuk diri aku sendiri, untuk kerja aku? Untuk rezeki aku yang halal?"

"Okay, okay, okay! Aku jumpa kau pukul enam. Kat tempat biasa, ya?" Balas Aishah pula. Yun tidak menjawab tapi dia mula menggalas beg biru tuanya. Dia berjalan pantas, dengan minda sudah merencana tempat yang ingin dituju.


DENGAN sedikit calitan nipis di bibir, dia sudah bersedia. Dari cermin meja solek, bebola matanya sempat menjeling jarum jam yang hampir menginjak ke angka enam petang. Tak pasal-pasal dia terpaksa bersiap seperti hendak menyambut raya. Dengan baju kurung moden ala-ala fishtail stripe, dia bakal melangkah ke Majlis Koktail Anugerah Glamor Selebriti. Itu sahaja baju yang agak baru dalam koleksi pakaiannya. Selebihnya hanya jeans dan t shirt, tak lupa kemeja sesekali. Telefon bimbit di atas tilam berbunyi lantas dia segera mencapainya. Barangkali ia mesej daripada Aishah yang bersungguh-sungguh mahu ditemani.

"Mana kau ni, Yun?Menggigil dah aku tunggu dalam kereta ni."

Yun membaca mesej itu hampir berbisik. Kemudian, senyumannya berbunga halus. Menggigil tunggu di dalam kereta atau menggigil kerana tak sabar hendak berada dalam kalangan manusia glamor? Namun persoalan itu tidak diajukan kepada Aishah. Dia tidak mahu membalas kerana memang sengaja membiarkan Aishah menanti dengan penuh teruja. Yun mengunci pintu rumah lalu menyarung sandal.


"DENGAN ini majlis menjemput Dif-dif kehormat, Dato' dan Datin, Tuan dan Puan, Encik dan Cik untuk menikmati hidangan yang telah disediakan bagi meraikan mereka yang bertanding dalam Anugerah Glamor Selebriti. Dipersilakan."

Suara pegacara majlis menjemput tetamu menikmati hidangan kedengaran lunak di telinganya.

"Jom!" Ajak Aishah lalu menarik sedikit tangannya, tetapi tidak lama kerana Yun buat kejung. Ratusan manusia memenuhi majlis cocktail reception itu. Mereka mula bertebaran ke segenap pelusuk dewan untuk menikmati hidangan yang disediakan secara buffet.

"Cik Aishah. Ada nota untuk Cik Aishah."

Aishah dan Yun sama-sama berpaling ketika nama Aishah disapa seorang pelayan lelaki. Aishah senyum sambil mengambil nota kecil dalam dulang itu. Sambil itu, matanya liar juga mengimbas wajah insan-insan yang mungkin dikenali di dalam majlis itu.

"Pandang ke belakang. I tunggu you di sini. Zuhayr."

Selesai membaca nota tersebut, Aishah pantas menoleh ke belakang. Matanya sempat melilau sebelum terlihat akan seorang lelaki yang sedang mengangkat tangan. Itu Zuhayr! Aishah hampir menjerit namun sedar yang dirinya berpakaian anggun. Lantas, dia mengetap bibir sebelum melangkah menuju ke arah lelaki itu.

"Eh, kau nak jumpa siapa pulak tu?"

"Mamat tu...kenal? Anak Muhammad Wilson, bekas wartawan Dunia Kita." Aishah menghentikan langkah yang baru diatur dua tapak. Herot-berot kening Yun, berikhtiar mengingati sebaris nama itu. Aishah melangkah lagi sehingga begitu dekat dengan lelaki itu.

Muhammad Wilson! Muhammad Wilson! Ya, dia mulai ingat. Dia pernah berkenalan dengan Muhammad Wilson tahun lepas, ketika Majlis Salam buat Palestin. Muhammad Wilson menyumbang sajak nukilan sendiri. Itu yang Yun kagum dengan Muhammad Wilson. Dia membesar di Malaysia sehingga begitu fasih dengan Bahasa Melayu. Isterinya orang Melayu dan mereka dikurniakan sepasang anak kembar lelaki serta seorang anak perempuan. Barangkali lelaki yang kini sedang berbual dengan Aishah merupakan anak kembar yang dimaksudkan itu. Oh, tiba-tiba Yun terkenang kisah anak-anak Muhammad Wilson! Namun, ia hilang apabila terasa satu rempuhan kecil di bahagian tangan kanan.

"Opssss...sorry!" Ucap Yun, spontan. Dia mengangkat muka dan senyum, namun lelaki itu tidak memandangnya, malah sibuk pula mengesat tuxedonya yang basah dek terkena tumpahan air. Beberapa orang tetamu berhampiran mengalih pandangan terhadap lelaki itu. Yun jadi serba salah. Dia ingin segera beredar lalu menutup muka dengan tangan kanannya. Baru berjingkit setengah tapak, suara lelaki itu kedengaran menegurnya.

"Eh, cepatnya lari!"

"Err..."

"Saya...nak ke sana. Nak ganti air encik." Akal Yun pantas mencari jalan keluar.

"Ganti air saja? Baju saya ni?" Yun menjatuhkan tangan yang melindungi mukanya. Wajah lelaki bertuxedo hitam itu ditenungnya, namun tompokan hitam disebalik tuxedo itu bagai memaku pandangannya.

Wah, ini sudah lebih! Entah-entah salah sendiri, aku pulak yang dipersalahkan!

"Ganti air sudahlah! Takkan nak ganti baju pulak." Suara Yun tak kurang kuat juga, bagai memanggil tetamu lain menjenguk perselisihan yang baru tercetus antara mereka.

"Oh, awak ni memang jenis tak bertanggungjawab, kan? Awak hanya pandai membuat huru-hara tapi tak pandai membaiki keadaan." Bidas Zill Qayyim, marah juga akan wanita yang melanggarnya sebentar tadi. Sudahlah wanita berkain belang bak kuda belang itu telah melanggarnya. Bila meminta ganti rugi, dia menjawab pula.

"Saya buat huru-hara? Encik pulak apa kurangnya? Yang encik bawak air ke hulu ke hilir tu kenapa?"

"Oh, kuda belang masuk bandar rupanya! Buat-buat alim pulak...tak tahu majlis apa yang dia tengah attend. Tengok baju dia sudahlah...tak ubah macam kuda belang!"

"Kuda belang? Encik tu burung gagak..serba hitam macam orang mati hidup semula."

Balas Yun, meledak amarah yang merobek perasaan bila digelar kuda belang oleh lelaki itu. Ada suara-suara sumbang yang mentertawakannya. Semuanya gara-gara gelaran kuda belang.

"Emm...buat bazir masa aje cakap dengan kuda belang. I surrender!" Keluh Zill Qayyim lalu mengangkat tanda menyerah kalah. Tak pasal-pasal, dia menjadi tumpuan sebahagian tetamu pula di majlis itu. Dia berlalu menuju ke tandas dengan perasaan sebal.


"ITU pun jadi isu pada kau. Hulur saja duit dobi pada dia. Apa susah?" Kata Aishah sewaktu memandu pulang. Yun tidak mengalih bebola mata yang dihantar ke luar.

"Masalah di sini, salah aku ke? Kami jalan bertentangan, kan? Kalau pun aku tak nampak dia, takkan dia tak boleh mengelak bila nampak aku atau saja-saja buat dirinya dilanggar."

Balas Yun, sambil mengetap gigi. Memori itu masih berputaran jelas di mindanya. Dan semakin diingat, semakin sakit rasa hatinya.

"Ada pulak saja-saja buat dilanggar? Takkan nak memalukan diri sendiri di majlis orang kut."

"Alah, kalau dah gatal! Macam-macam, kan?" Yun menjawab lagi. Aishah mengeluh perlahan. Qatrun Nada, atau lebih dikenali sebagai Yun. Begitulah sikapnya sejak dikenali dua tahun lepas.

"Yun, kita ni perempuan. Janganlah kasar sangat dengan orang. Kalau orang tak berdendam tak apa, takut ada yang simpan dendam. Aku sayang kau, Yun!" Aishah menegur sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan. Apartment Yun tidak jauh dari situ. Yun tidak menjawab tetapi nasihat Aishah berbekas juga di hatinya.

"Thanks, Shah!" Balas Yun, perlahan sebelum menolak pintu kereta. Dia keluar dari perut kereta, membawa hati yang sangat kecil.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.