Home Novel Cinta Cik Skuter Asap Putih
Cik Skuter Asap Putih
Mastura Abdullah
4/12/2014 16:39:17
39,778
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 18

"MARI sarapan dulu, Qa'id! Lepas ni kita berbincang."

Pelawa Yun, menolak pintu bilik Qa'id selepas adik bongusnya memberi kebenaran untuk masuk. Jam di dinding bilik itu menunjukkan angka hampir tujuh pagi. Kebetulan, dia cuti pada hari Ahad setelah dua minggu bertugas pada hujung minggu. Qa'id tidak banyak bicara. Sekali panggil sahaja, dia bingkas bangun.

Bimbang juga jika Kak Yun meluku kepalanya seperti semalam. Dan lebih bimbang jika Kak Yun mengadu kisahnya pada emak. Haru! Silap hari bulan emak suruh dia duduk sahaja di kampung dan jaga arnab sereban. Perlahan-lahan, Qa'id menarik kerusi. Terhidu dek hidungnya aroma nasi lemak.

"Nasi lemak?"

Tanya Qa'id, memandang wajah Kak Yun yang segar. Bukan Kak Yun tidur sama dengannya pukul lima pagi tadi?

"Emm, makanlah. Ini aje yang akak sempat buat untuk sarapan."

Ujar Yun menghulur pinggan yang berisi nasi lemak kepada adik bongsunya. Qa'id menyambut pantas. Tangannya juga ligat mengisi pasangan lauk nasi lemak yang menjadi tarikan. Ada ayam goreng, telur goreng, kacang goreng, sambal bilis, serta timun sebagai ulam-ulaman.

"Baca doa!" Arah Yun ringkas, siap menadah tangan.

"Bismillahirrahamanirrahiim...Allah humma bariklana fiima razaktana wakina azabannar. Aminn." Usai mengaminkan doa, mereka mula menjamu selera sehingga masing-masing menambah untuk kali kedua.

"Esok ada kelas?"

"Ada. Petang."

"Pagi?"

"Tak ada." Sepatah-sepatah Qa'id menjawab. Dia terus makan namun akalnya kuat mengarahkan sesuatu.

"Kak Yun, terima kasih!"

Ucap Qa'id perlahan. Sayu pula hatinya, Yun mengangkat muka, mencari diri adiknya yang hilang di sebalik kejadian semalam. Perlahan-lahan dia mengangguk.

"Makan dulu, nanti kita bersembang." Pesan Yun lagi.

Jika diikutkan hati, banyak sangat yang hendak diluahkan, tetapi, dia menahan semuanya kerana mereka di hadapan rezeki. Masing-masing menikmatinya dengan tanpa perbualan. Sarapan pagi mereka tidak lama. Qa’id terlebih dahulu bangun. Dia meminta izin untuk berehat di ruang tamu. Yun lihat saja gelagat adiknya. Siap basuh pinggan nanti, jaga dia! Yun bangun dan membawa semua pinggan kotor ke singki.

“Kak Yun...terima kasih.” Ucap Qa’id sebaik Yun melabuhkan punggung di atas sofa. Inilah masa yang dinanti-nanti oleh Yun.

"Akak senang aje Qa'id, kalau nak sangat berlumba, silakan! Patah riuk, jangan harap akak nak tolong! Kau masuk penjara lagi akak tak sudi nak tolong."

Sembur Yun. Dia malas nak bertaki depan rezeki sebentar tadi, itu yang dia menunggu masa sesuai semenjak tadi.

"Yang semalam tu, kau jangan nak perasan pulak! Itu peluang pertama dan terakhir. Akak taklah baik hati macam orang lain. Kasi sampai tiga chances? Idokla teman."

"Iya...itu last!" Kata Qa’id memberi jaminan. Yun mencebik pula.

"Entah akak boleh pakai ke tidak cakap Qa'id lepas apa yang akak nampak semalam. Terkilan betul. Hancur luluh hati akak."

"Akak janganlah cakap macam tu." Lembut saja bicaranya.

Yun rasa seperti hendak meluku lagi. Teringat sikap Qa'id di kampung, begitulah, seperti tadi, lembut gigi dari lidah. Bicaranya bersih dan menyejukkan hati tetapi sikap sebenar? Tiada siapa yang tahu jika tak terkantoi malam semalam.

"Kalau tak cakap macam tu, macam mana akak nak cakap lagi? Kami bertiga sayangkan kau tahu? Apa lagi yang kita ada selain keluarga? Memang kau buat akak kecewa. Kalau mak tahu, mesti mak tak percayakan kau dah lepas ni."

"Akak janganlah sampaikan pada mak." Qa'id bagai memberi cadangan. Ada sengih-sengih malu di hujungnya.

"So, akak bersubahat dengan kau lah? Menipu mak?"

"Ok lah! Kalau macam tu akak tak payah beritahu mak." Putusnya, sambil melihat reaksi Qa'id. Matanya yang lesu nampak kembali bersinar.

"Tapi sayangnya, artikel semalam akak dah hantar ke pejabat. Kalau mereka cetak, nasiblah kau, Qa'id.”

Yun memerangkap di akhirnya.

Terus Qa'id menghempas badannya ke sofa. Pasti emak akan membaca tulisan Kak Yun. Emak tidak pernah berhenti membaca tulisan Kak Yun semenjak Kak Yun berkerja di pejabat Edisi Malaysia sebagai wartawan jenayah. Emak pernah mengaku bahawa Kak Yun kebanggaan emak. Oh, kalau mak baca tulisan Kak Yun, nama dan gambarnya pula terpampang di dada akhbar, pasti haru!

"Kak Yun tak boleh cancel ke artikel dulu?"

"Banyak kau punya cekadak! Kau ingat akak ni bos ke boleh senang nak bagai arahan 'jalan' dan 'berhenti'?"

"Hanya bos yang boleh bagi arahan begitu." Tambah Yun bersama senyum dihujungnya. Dalam hati dia berjaya mengenakan Qa'id hingga adik bongsu itu bersandar tak terbangun lagi. Yun angkat punggung dan membawa diri ke dalam bilik. Tiba masa untuk dirinya berehat pula setelah melalui hari yang menyakitkan pagi tadi.


AMMAR melambai ketika melihat Yun tercari-cari dari jauh. Ada senyuman terukir di bibir wanita itu. Dia berjanji juga dengan Muhammad Wilson dan Zill Qayyim untuk bertemu di situ, di Tasik Titiwangsa lewat petang itu.

"Assalammualaikum. Lama dah kau sampai, Ammar?"

"Waalaikumussalam warahmatullah. Baru jugak."

"Roti?" Pelawa Ammar, terus menguyah roti. Yun ketawa lantas menggeleng. Dia bawa juga bekalan sebelum sampai ke sini. Sempat juga menyambar sekilo buah laici yang dijual di bawah pokok tepi jalan tadi.

"Ah, roti dalam mulut kau, baru nak pelawa aku!"

"Ha ha ha. Apa yang kau bawak tu, Yun? Merah aje!" Tanya Ammar, sambil mengintai plastik hijau di depan Yun. Yun tidak menjawab tapi mengeluarkan sebiji buah laici yang berwarna merah-kemerah jambuan lalu mengopek kulitnya. Isinya yang berwarna putih susu terus lenyap dalam mulut Yun.

"Assalammualaikum. Hah, kat sini kamu berdua! Puas Daddy Wilson keliling tasik cari kamu berdua."

"Wa-" Yun baru hendak menjawab, biji laici bersembur keluar dari mulutnya. Tiga lelaki itu ketawa bersama sedang dia malu sendiri. Itu gelojoh! Teringat cop emak padanya satu ketika dahulu.

"Waalaikumussalam. Jemput duduk Daddy Wilson, Qayyim." Pelawa Ammar.

"Yun...Apalah anak dara ni. Gelojoh bukan main." Tegur Muhammad Wilson lalu duduk di sebelahnya.

Yun tidak sempat membalas. Dia mengesot sedikit, tetapi tidak lama kerana dia dihimpit Zill Qayyim pula di sebelah kanan. Akhirnya, dia berdiri lalu membuka kasut. Kasut itu kemudiannya penyet di bawah punggung Yun.

"Sebenarnya, ada apa kita berkumpul di sini? Daddy Wilson, Ammar mari makan laici. Saya baru beli di gerai depan tu tadi."

"Ehemm...nama kita tak sebut pun. Kita tak alergik laici." Suara Zill Qayyim kedengaran seperti berjauh hati ketika orang lain sibuk menikmati laici. Yun berasa simpati pula, lalu dia menghulur juga setangkai laici buat lelaki itu. Bukan dia tidak mahu menjemput tapi dia bimbang jika ada minda yang berfikir bahawa dia ingin mengambil kesempatan ke atas Zill Qayyim sementelah lelaki itu nampak agak prihatin terhadap dirinya.

"Sambil-sambil makan kita bincang sedikit tentang apa yang berlaku di akhir-akhir ini."

Suara Muhammad Wilson kedengaran perlahan, membuatkan masing-masing memberi perhatian terhadap ceritanya.

"Qayyim!" Seru Muhammad Wilson. Qayyim menoleh ke arah daddy lalu mengangguk, seperti tahu tugasan berikutnya.

"Sebenarnya, dua hari lepas aku ada kembali ke Genting Highland, aku cari balik staf yang bagi aku surat sebab aku nak pastikan surat yang diberi pada aku tu datang dari siapa."

"Kemudian?" Ammar cepat memotong, tak sabar menanti, seperti dirinya juga.

"Tak ada. Dia dah berhenti kerja."

"Eh, terbaikk punya masa berhenti kerja! Habis, kau tak dapat apa-apa info lah pasal surat tu? Siapa yang tulis? Kenapa dia tulis begitu?" Ammar terus bertanya. Fokusnya tak berkalih semenjak tadi. Makin hangat pula isu disebalik insiden rompakan ini.

"Tapi tujuan aku cerita ni, bukan sebab nak ia disebarkan melalui media. Off record, please! Sebab barangkali korang boleh membantu aku, seperti dapatkan maklumat tentang alamat kampung staf tu. Aku rasa tak sedap hatilah! Macam ia sengaja dirancang."

Tambah Zill Qayyim lagi. Dia menjatuhkan pandangan ke arah Yun, lama dan hanya mengalih pandangan ke arah tasik bila terdengar deheman Muhammad Wilson di hujung sana.

"Sempat lagi!" Usik Muhammad Wilson pada anaknya.

Zill Qayyim ketawa kecil sedang Yun pura-pura polos. Aduhai, kalau melihat Yun, dia asyik terbabas sahaja. Hal yang penting jadi tertangguh gara-gara Yun.

"Tak cuba dapatkan maklumat staf tu dari kawan-kawan atau majikannya?"

Yun menyampuk juga akhirnya. Dia ingat dia nak mendengar sahaja tadi tapi begitulah wartawan. Mereka tidak sekadar mendengar, malah lebih dari itu. Mereka telah dilatih untuk mencungkil seberapa banyak maklumat yang boleh.

"Saya cuba jugak, tapi kawan-kawan dia kata, tak tahu dia tinggal di mana.”

"Dia kerja sekejap sahaja, lebih kurang sebulan." Tambah Zill Qayyim lagi. Ammar mula berkerut kening.

"Mintak nama penuh dan nombor kad pengenalannya. Aku cuba korek maklumat dia dari JPN."

Putus Ammar. Tidak puas hati dengan maklumat separuh jalan dari Zill Qayyim. Dia yakin boleh dapatkan maklumat itu dalam masa kurang dua hari.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.