DAHLIA keluar dari biliknya dengan memakai baju kurung kain cotton bertanah putih dan bercorak bunga kecil-kecil. Baju raya miliknya beberapa tahun lepas. Tudung berwarna biru pastel disarung ke kepala. Kalau ikutkan dia segan nak pakai kerana baju kurung itu sudah kelihatan lusuh. Coraknya juga agak pudar warna. Tetapi, dia tiada pilihan lain selain memakai apa yang ada.
Namun, semua itu tidak penting. Apa yang bermain di fikirannya sekarang adalah Furqan. Dia sangat bimbang nak keluar dengan lelaki itu. Takut-takut ada sahaja yang tak kena di mata Furqan.
Setelah bersiap, dengan rasa berat hati Dahlia pergi ke ruang tamu kerana Furqan sudah menantinya di situ. Berdebar-debar jantung Dahlia dibuatnya.
Furqan menoleh pada Dahlia apabila melihat wanita itu sudah berdiri kaku tidak jauh daripadanya. “Baju apa kau pakai ni? Dengan lusuhnya. Buruklah. Pergi tukar baju lain. Kau jangan nak malukan aku!” herdik Furqan dengan hati mendongkol geram.
Terkebil-kebil Dahlia. “Saya… saya dah tak-takda ba-baju lain, encik," terbata-bata dia memberitahu akan hal itu. Ya, dia datang ke Kuala Lumpur dengan baju-baju basahan yang sedia ada. Dan baju yang dia pakai itu antara baju paling elok yang dia bawa bersama.
Furqan merengus kasar. Lalu, dia bangun dari situ dan menatap tepat pada wajah Dahlia. “Takda taste betul. Dahlah. Ikut aku. Dah lambat ni!” katanya dengan kasar.
Terkedek-kedek Dahlia membuntuti Furqan. Dua tiga kali dia melihat dirinya sendiri. Buruk sangat ke baju aku ni? Bisik hati kecilnya.
Ni semua mommy punya pasal suruh aku bawa budak tak habis sekolah ni. Memalukan betul! Bebel Furqan di dalam hati. Dia tidak rela, tetapi dia terpaksa kerana malas nak bergaduh dengan Puan Sri Fatihah.
DARI jauh kelihatan adik lelaki Dahlia, Muizz sedang berjalan pulang ke rumah. Cepat-cepat Hairul memecut motornya untuk mendekati Muizz. “Izz!” panggilnya. Terus terhenti langkah Muizz lalu dia menoleh ke arah suara itu.
Hairul menghentikan motornya di depan Muizz. “Nak balik dah ke?” soalnya.
“Eh, Abang Hairul. Bila balik sini?” soal Muizz tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu.
“Nak dekat seminggu dah. Lusa abang balik KL semula,” jawab Hairul sambil tersenyum senang.
“Oh…” Muizz mengangguk tanda faham.
“Abang nak tanya sikit boleh?”
“Pasal apa tu, bang?”
“Kak Dahlia dah takda dekat sini ya?” tidak mahu berkias, terus Hairul menyoal tentang hal itu.
Muizz serba salah nak bercerita. Dia teringat akan pesan ibunya agar tidak beritahu sesiapa tentang perkahwinan Dahlia. Bimbang menjadi buah mulut orang kampung. Maklumlah, nama Dahlia memang hangat dibicarakan ketika kakaknya itu ada di kampung. Ada sahaja yang tidak kena dengan pandangan orang kampung terhadap Dahlia.
“Mak abang cakap, Kak Dahlia kerja di Kuala Lumpur sebagai pembantu rumah. Izz tahu dekat mana Kak Dahlia kerja?” Hairul menyoal lagi saat melihat Muizz diam.
Muizz tersentak daripada lamunan. Terkebil-kebil dia menatap muka penuh pengharapan Hairul. “Izz tak tahulah, bang. Yang Izz tahu dekat Kuala Lumpur je. Tapi, di mana tempat tu Izz tak pasti. Maaf bang,” jawabnya.
Hairul terdiam sejenak. Lalu dia ukir senyum nipis. “Takpalah kalau Izz tak tahu.” Bahu Muizz ditepuk perlahan.
Muizz serba salah. Kalau dulu, segala soalan lelaki itu akan dia jawab dengan jujur. Kali ini sahaja dia terpaksa merahsiakan hal itu. “Maaf ya, bang,” sekali lagi ucapan maaf diungkap.
Hairul ketawa melihat muka bersalah Muizz. “Takpalah, Izz. Abang tanya je. Abang lega dengar sebab kakak Izz dah keluar dari rumah. Kalau tidak, mesti abah Izz asyik pukul dia."
“Ada je Kak Dahlia balik hari tu. Sama je abah, bang. Marahkan kakak. Pukul kakak,” tak sedar hal itu terluah daripada mulut Muizz. Terus dia diam serta merta. Allah… aku tercakap pula! Detik hati kecil Muizz separa menyesal kerana terlanjur kata.
“Masih lagi abah buat macam tu? Sebab apa abah pukul dan marahkan kakak Izz tu?” soal Hairul dengan hati yang sedikit membara, geram. Pada Hairul, Daud memang tak tahu nak menghargai Dahlia. Sedangkan dia sebagai orang luar pun nampak gadis itu rajin dan baik. Hanya kerana buah mulut orang kampung, Daud menghukum anak sendiri.
“Biasalah bang. Abah memang macam tu," itu sahaja yang keluar daripada mulut Muizz tika ini. Tak berani dia nak bercerita lebih. Takut terlepas cakap lagi.
Hairul menggeleng geram.
“Jomlah, Izz. Abang hantar Izz balik. Lagipun satu jalan je,” ajaknya.
“Terima kasih, bang.” Terus Muizz memanjat motor Hairul dan duduk di belakang lelaki itu.
SAMPAI sahaja di sebuah hotel yang agak terkemuka di tengah bandar raya Kuala Lumpur, Furqan berjalan masuk ke bangunan itu dan naik ke tingkat satu. Dia mencari ballroom yang telah diberitahu oleh Dato’ Amran kepadanya tempoh hari. Dahlia yang ada di belakang, dibiarkan sahaja berjalan seorang diri.
Ketika ini, Dahlia sudah terpinga-pinga. Dalam masa yang sama, dia segan apabila melihat pakaian yang dipakai oleh orang-orang di situ semuanya cantik-cantik belaka. Dan dia….. memakai baju kurung yang lusuh.
Langkah dibesarkan membuntuti Furqan. Sehinggalah lelaki itu berhenti secara tiba-tiba membuatkan Dahlia terlanggar dengan Furqan. “Aduh!!” erang Dahlia.
"Jalan jauh sikit daripada aku boleh tak?" kata Furqan dengan nada perlahan. Terketap-ketap bibirnya mengumam kata. Geram apabila gadis itu melanggarnya.
Cepat-cepat Dahlia berundur beberapa tapak daripada Furqan. Sekilas dia memandang pada lelaki itu. "Saya minta maaf," ucapnya.
"Aku nak ingatkan kau. Makanan dalam ni hanya untuk tetamu yang dijemput. Kau tak dijemput. Mommy yang paksa aku bawa kau. Jadi, jangan buat muka tak malu makan makanan dalam ni. Faham?" tegas Furqan.
Dahlia mengangguk perlahan. Wajahnya tertunduk menekur lantai. Sudahlah dia tidak makan malam lagi. Tetapi, mahu atau tidak, dia terpaksa akur. Dia ingatkan Furqan mahu membawanya makan malam di restoran. Rupa-rupanya lelaki itu dijemput ke situ menghadiri makan malam.
"Kalau orang tanya kau siapa? Cakap yang kau orang gaji aku. Datang sini untuk teman aku je. Faham?" sambung Furqan. Sekali lagi Dahlia angguk.
Bukan salah dia. Puan Sri Fatihah yang paksa dia bawa aku bersama. Bisik hati kecil Dahlia cuba memujuk diri sendiri.
Setelah itu, Furqan kembali atur langkah berjumpa dengan tuan majlis yang menjemputnya. Manakala, Dahlia pula berdiri di satu sudut seorang diri sambil memerhatikan sekeliling. Pertama kali dia menjejak kakinya ke tempat seperti ini.
Rasa kagum mula terbit dalam hatinya. "Macam dalam drama," gumam Dahlia. Senyuman nipis terukir di bibir tanpa sedar. Kemudian, matanya bergerak lagi mencari kelibat Furqan. Dari tempat dia berdiri, dia melihat lelaki itu sedang bercakap dengan beberapa orang tetamu. Gayanya macam orang penting.
Dalam hati, Dahlia tertanya-tanya. Dia kerja apa? Ramai betul yang datang jumpa dia. Patutlah dia malu kalau orang tahu aku isteri dia.
Gerak geri Furqan diperhatikan. Daripada cara dia berpakaian sehingga cara bercakap Dahlia amati. Senyuman yang terbit daripada bibir Furqan buat Dahlia turut tersenyum nipis.
“Dia tak pernah senyum pada aku. Kalau tengok muka aku je muka dia mesti masam,” gumam Dahlia sendiri. Dia tak sedih. Tapi, dia pelik kenapa lelaki itu bersikap begitu padanya. “Macam abah… benci aku…” saat nama Daud disebut, kesedihan di hati Dahlia mula menjelma. Terbit rasa rindu pada ibu dan adik-adik di kampung… juga pada Daud. Walaupun ayahnya itu tidak melayaninya dengan baik. Namun, tetap Dahlia rasa rindu.
Sementara itu, beberapa kali Furqan melirik pada Dahlia yang tercegat di satu sudut yang agak tersembunyi. Melihat air muka gadis itu buat Furqan rasa kesian. Tetapi, egonya menghalang dia daripada berbuat baik pada Dahlia.
Lantak dialah. Bukan masalah aku! Desis hati kecilnya.
“Furqan, kenalkan anak buah I yang akan bekerjasama dengan you nanti,” sapa Dato’ Amran.
Terus Furqan menoleh pada Dato’ Amran dengan senyuman lebar. Tapi, senyumannya mati apabila melihat wanita yang lelaki itu maksudkan. Alis mata Furqan berkerut nipis. Beberapa detik matanya bertentang hebat dengan wanita itu.
“You berdua kenal-kenal dulu. Nanti mudah nak handle projek sama-sama,” sambung Dato’ Amran lagi. Lalu, dia meninggalkan Furqan dan anak buahnya di situ.
“Hai, Furqan.”
Furqan tarik nafas dalam. Sapaan itu tidak disahut. Sebaliknya, dia merasa kurang senang melihat wanita itu.
“I harap you boleh lupakan masalah kita berdua dan bersikap profesional dalam hal kerja," sambung wanita itu lagi.
“I profesional. Dan I harap, masa kita bekerjasama nanti, you jangan ungkit masa lalu kita. Itu sahaja,” tegas Furqan dengan nada keras.
Alicia ukir senyum pahit. Dia nekad akan menggoda semula Furqan. Bukan dia tak tahu apa kelemahan lelaki itu. “Okey. I takkan ungkit masa lalu kita.” Tangan dihulur untuk bersalam. Namun, huluran itu tidak bersambut. Sebaliknya Furqan hanya memandang sinis pada Alicia sambil dia berlalu pergi dari situ. Alicia merengus geram. Padanya Furqan memang ego. Sikit pun lelaki itu tidak mahu mendengar penjelasannya.
“It’s okay, Furqan. I akan goda dan dapatkan hati you semula,” kata Alicia dengan penuh yakin.
“JOM balik!” kata Furqan saat dia melintasi Dahlia. Terkebil-kebil wanita itu dibuatnya. Namun, cepat sahaja Dahlia bergerak pantas membuntuti Furqan.
Dahlia hanya melihat susuk tubuh itu dari belakang. Tangan kekar Furqan yang berurat buat Dahlia teringat akan punching bag yang tergantung di beranda bilik lelaki itu. Selepas itu, dia teringat pula cerita Hafiqa.
“Along tu tangan dia bisa. Lebam tangan Fiqa dia pegang. Masa tu dia tak sengaja.”
Kemudian, tangan Dahlia naik memegang lengan yang pernah dicengkam oleh lelaki itu. Dia termenung kosong beberapa detik sambil kakinya bergerak mengikuti lelaki itu. Tanpa sedar, mereka sudah pun sampai di parkir kereta.
“Masuklah! Kau tunggu apa lagi?” jerit Furqan dari dalam perut kereta.
Dahlia tersentak. Cepat-cepat dia membuka pintu tempat duduk penumpang dan menghenyak punggungnya di situ.
Furqan merenung tajam pada Dahlia. “Kau ingat kau tuan puteri nak aku bukakan pintu? Sedar diri sikit. Kau bukan siapa-siapa dalam hidup aku!” kata Furqan seakan melepas geram. Padahal dia sakit hati dengan Alicia. Tetapi kemarahan itu dilepaskan pada Dahlia.
“Saya… saya min…” belum sempat Dahlia menghabiskan ayatnya, Furqan memintas, “Diamlah!” jerkah Furqan.
Terangkat bahu Dahlia kerana terkejut dengan tengkingan itu. Dia tak tahu apa salahnya. Furqan akan marah dia tanpa sebab. Macam abah…. nama itu terbit lagi di dalam hati Dahlia.
Mata Dahlia mula berkaca. Setiap kali Furqan memarahinya, dia akan teringat pada Daud. Furqan takda beza dengan Daud. Membencinya. Tetapi, lelaki di sebelah itu lebih pelik. Membencinya tanpa sebab.
Furqan menghidupkan enjin kereta dan memecut laju pulang ke rumah. Hilang mood nya saat berjumpa dengan Alicia tadi. Dan selepas ini, dia akan bertambah kerap berjumpa dengan wanita itu.
Fikirannya menderas memikirkan rancangan untuk buat Alicia berputus asa dengannya. Sekilas dia menoleh pada Dahlia. Aku akan gunakan perempuan ni. Bisik hati kecilnya.