BUKU nota kecil diambil dari dalam almari biliknya. Sebatang pen yang terselit di penjuru buku, dikeluarkan. Perlahan jari jemari Dahlia menari di atas permukaan helaian buku yang kosong itu. Ditulis semua yang berlaku pada hari ini. Itulah buku yang menyimpan seribu satu rahsia dan perasaannya. Dalam buku itu dia luahkan semua kesakitannya dan rasa sedih hatinya tentang Daud.
Saat dia membaca kembali apa yang pernah dia tulis, hatinya menjadi sayu. Air mata serta merta bergenang. Tangannya naik mencengkam dada. "Abah... Abah tak rindu kakak ke?" lirih suaranya mengungkap kata itu sendiri.
Bergerak-gerak bola mata Dahlia membaca satu per satu ayat yang dia tulis. Terus dia terkenang peristiwa itu.
Sedang Dahlia menjamah makanan tengah hari, tiba-tiba rambutnya dicengkam dari belakang. Terdongak kepala dibuatnya.
"Kau pergi mana tadi???" jerkah Daud. Tangan Daud yang mencengkam rambutnya dipegang. "Sakit, bah…" rintih Dahlia.
"Pak Samad bagi tahu aku, kau ber'dating' dengan budak Hairi tu lagi! Kau cakap betul-betul dengan aku. Kau buat apa dengan dia???" Kemarahan Daud sudah tidak dapat dibendung lagi. Malu dibuatnya apabila anak gadis buat hal sebegitu. Dan hal itu menjadi buah mulut orang kampung.
"Kakak tak buat apa-apa dengan Hairi. Kakak cuma ambil upah basuh kereta dia, bah," teresak-esak Dahlia menjelaskan hal itu.
"Kau jangan menipu aku, kakak!" tengking Daud. Lantas, muka Dahlia ditonyoh ke dalam pinggan yang berisi nasi itu. Menggeletek Dahlia apabila sambal dan nasi panas itu melekat pada wajahnya. "Abah... Sakit..." rintihannya kedengaran menyedihkan.
"Abang... Apa abang buat ni???" Tergesa-gesa Melur meluru ke arah Dahlia dan Daud. Tangan Daud ditolak dari mencengkam rambut Dahlia. Lantas anak gadisnya itu dipeluk erat. Dibersihkan wajah Dahlia yang dipenuhi sambal dan nasi panas itu.
"Kau manjakan sangat anak bodoh kau ni. Dengan tak sekolahnya. Buat benda tak senonoh dekat luar. Keluar dengan jantan sana sini. Memalukan aku!" marah Daud.
"Astaghfirullahhala'zim... Tak baik abang cakap macam tu pasal kakak. Melur tahu anak Melur. Kakak tak buat bukan-bukan dekat luar. Dia buat kerja, bang. Buat kerja!" selar Melur mempertahankan Dahlia.
"Kau percaya sangat cakap dia sebab tu anak kau ni jadi macam ni. Tak nak pergi sekolah. Nak jadi bodoh!" Daud membidas dengan nada yang makin tinggi. Malas nak menunggu lama, terus dia keluar dari rumah dengan rasa sakit hati yang masih bersisa.
Lamunan Dahlia terhenti. Tersedar air matanya meleleh deras ke pipi. Setiap kali dia membaca semula apa yang dia tulis di dalam buku itu, pasti sahaja air matanya akan tumpah.
"Abah, walaupun abah hina kakak macam-macam, pukul kakak, kakak tetap sayang abah. Kakak tunggu abah peluk kakak macam dulu..." tutur Dahlia dengan penuh pengharapan. Setiap kali selepas menunaikan solat fardu, pasti doa itu akan dia selitkan tanpa gagal.
"KAK DAHLIA takda boyfriend ke?" Tiba-tiba soalan itu Hafiqa ajukan pada Dahlia.
Terkebil-kebil Dahlia dibuatnya. Tak tahu nak jawab apa. Lalu, dia cuma menggeleng sebagai jawapan.
"Ya ke? Takkan lah orang secantik akak takda special boyfriend?" Hafiqa tayang muka curiga.
Dahlia ketawa kecil. "Takda. Abah akak garang. Dia tak bagi akak bercinta," jawabnya memberi alasan.
"Oh. Tapi adakan? Sorok-sorok ke?" Masih sahaja Hafiqa cuba memancing jawapan daripada Dahlia.
Semakin galak Dahlia ketawa. Pertama kali dia merasa terhibur dengan gadis itu. Ada sahaja akalnya untuk berbual dan bergurau.
"Takda. Betul, akak tak tipu. Lagipun akak sekolah tak tinggi. Sampai tingkatan dua je. Selebihnya akak tolong mak dekat rumah. Kadang-kadang je keluar buat kerja kampung. Ambil upah cuci kereta. Cari daun kelapa buat lidi penyapu. Kutip kelapa jual dekat pembeli. Macam-macam kerja akak buat. Tak sempat nak bercinta," jelas Dahlia. Dia berharap agar jawapannya boleh memuaskan hati Hafiqa.
Melopong mulut Hafiqa saat mendengar penjelasan itu. Terbit rasa kagum di hatinya. "Hebatlah akak. Macam-macam kerja akak buat dengan usia yang muda macam ni? Kagum betul Fiqa!" balasnya dengan reaksi teruja.
Dahlia tersipu malu. Bukan niat dia nak membangga diri. Dia cuma mahu Hafiqa percaya yang dia tiada masa untuk bercinta kerana sibuk membuat kerja-kerja kampung. Lagi pula, lelaki bujang dan muda di kampung itu ramai yang telah berhijrah ke Kuala Lumpur mencari rezeki sepertinya.
Belum sempat mereka berbual dengan lebih panjang, Furqan masuk ke ruangan dapur. Serta merta kedua-duanya senyap tak bercakap. Masing-masing diam membisu.
"Dah habis kerja ke dalam rumah ni? Santai sangat macam boss pula," seakan satu sindiran diberikan pada Dahlia.
Terasa dengan sindiran itu, lantas Dahlia bangun daripada duduknya. Hafiqa pula buat muka menyampah. Jelingan kecil diberikan pada Furqan tanpa lelaki itu sedar.
"Buatkan aku air kopi kurang manis. Hantar dekat bilik kerja aku," pesan Furqan sambil membuka pintu peti ais.
"Baik, encik," balas Dahlia.
Hafiqa yang ada di situ angkat punggung. "Nanti kita berbual lagi ya. Seronok dengar cerita akak," katanya sambil melangkah keluar dari dapur.
Dahlia sekadar tersenyum saat mendengar ucapan itu. Ya, dia juga selesa berbual dengan Hafiqa. Gadis yang peramah, tak sombong dan ceria.
Furqan melirik pada susuk tubuh Hafiqa yang sudah pun menghilang dari situ. Sebiji buah epal yang ada di dalam peti ais dikeluarkan. Lalu, diletak ke atas kitchen island.
"Potong buah ni sekali. Aku nak makan," pesan Furqan dengan nada yang mendatar.
Tanpa banyak bicara, terus Dahlia mengambil buah itu dah dibawa ke sinki. Manakala Furqan pula berdiri tegak di situ sambil memerhatikan Dahlia buat kerja. Tangan diseluk ke dalam poket seluar track yang dipakai. "Aku harap kau tahu kedudukan kau dalam rumah ni. Bila takda kerja, cari kerja. Bukan duduk berbual dengan keluarga aku. Simpan dalam kepala tu yang kau pembantu rumah. Kau datang sini bekerja, bukan bercuti," satu per satu kata-kata itu Furqan luahkan.
Tersentap hati Dahlia saat ini. Dia mula takut dengan Furqan. Tubuh dipusing menghadap pada lelaki itu. "Baik encik. Saya minta maaf pasal tadi. Lepas ni, saya tak buat lagi," bergetar nada suara Dahlia saat mengungkap maaf. Wajah Furqan hanya dipandang sekilas. Selebihnya dia menunduk menekur lantai.
"Memang puan sri dan Fiqa layan kau baik. Tapi, aku bagi amaran keras, jangan cuba-cuba ambil kesempatan pada keluarga aku," sambung Furqan lagi. Kali ini nadanya lebih keras.
Dahlia mengangguk dengan wajah yang masih menunduk.
"Aku tahu semua latar belakang kau. Kalau kau bermasalah masa dekat sekolah dulu, jangan bawa perangai tu ke sini. Kalau belajar tak habis sekalipun, perangai tu tolong jangan macam orang tak sekolah juga," semakin lancang mulut Furqan tika ini. Sikit pun dia tak pedulikan perasaan Dahlia. Apa yang dia tahu, dia mahu memberi amaran keras pada gadis itu, agar tidak mengambil kesempatan terhadap kebaikan keluarganya.
Hati Dahlia terguris dengan kata-kata Furqan. Tetapi, dia sedar yang dia hanya bekerja di dalam rumah itu. Dan ada benarnya kata-kata Furqan. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya duduk santai seperti tadi.
"Baik encik," tenggelam timbul suara Dahlia saat membalas kata-kata lelaki itu.
"Kalau aku tengok kau buat macam tu lagi, aku potong gaji kau," ugut Furqan dengan nada angkuh. Mentang-mentang dia yang membayar gaji, semudah itu dia mengugut Dahlia.
Mendengar sahaja kata-kata itu, Dahlia angkat muka menatap pada muka garang Furqan. "Saya janji saya takkan buat macam tu lagi," sayu kedengaran suara Dahlia tika ini. Sungguh, dia takut dengan Furqan.
Saat mata mereka bertentang, Furqan pasti sahaja akan terpaku melihat sepasang mata bundar berwarna coklat itu. Hendak pula dia direnung sebegitu. Serta merta dada Furqan berdegup kencang.
"Nanti buah dengan air kopi ni saya hantar ke bilik kerja encik," Dahlia bersuara lagi mematikan lamunan Furqan.
Tersentak Furqan dibuatnya. Tersedar yang dia asyik merenung muka Dahlia. Terus dialih pandangan ke arah lain. "Jangan lama sangat." Sempat Furqan berpesan sebelum dia beredar dari situ.
Melihat Furqan berlalu pergi, Dahlia melepaskan keluhan perlahan. Dia tertanya-tanya kenapa sikap Furqan agak keras terhadapnya. Hampir sebulan dia bekerja di situ, lelaki itu seolah-olah tidak suka dengan kehadirannya.
Tidak mahu lelaki itu menunggu lama, Dahlia cepat-cepat menyiapkan pesanan Furqan tadi. Dia takut jika dia lambat hantar kopi dan buah ke bilik Furqan, bimbang lelaki itu bertambah marah padanya.
DENGAN berhati-hati Dahlia mengetuk pintu bilik kerja Furqan. Tetapi, tiada jawapan. Sekali lagi dia mengetuk pintu sambil tangannya memegang dulang yang berisi air kopi dan buah. Masih tiada jawapan.
Tidak menunggu lama, Dahlia menolak pintu itu dan dia melangkah masuk. Matanya meliar melihat sekeliling bilik.
Semua perabot di dalam bilik itu kelihatan mewah. Susun atur perabot juga seperti berada di dalam pejabat. Macam yang pernah Dahlia tengok di kaca televisyen. Cuma cahaya di dalam bilik itu agak malap.
Sambil mengamati sekeliling, Dahlia ambil kopi dan buah dari dalam dulang. Belum sempat dia letak ke meja kerja Furqan, dia tersentak apabila suara garau Furqan bergema di ruang itu.
"Jangan letak dekat situ!"
Terangkat bahu Dahlia kerana terkejut. Dan, air kopi yang dia pegang terus tertumpah ke atas meja. "Ya Allah..."
Melihat akan kejadian itu, Furqan terus menerpa ke meja kerjanya. Hatinya membara apabila melihat dokumen-dokumen penting dibasahi dengan air kopi. "Apa kau buat ni? Habis kerja aku!!!" jerkah Furqan. Membuntang matanya melihat pada kertas dan fail yang sudah rosak itu.
Terangkat bahu Dahlia sekali lagi, terkejut dijerkah sebegitu. Mukanya pucat lesi. Jantung juga berdegup kencang apabila pandangan Furqan mencerlung padanya.
"Sa... Saya minta maaf. Saya tak sengaja, encik," ucap Dahlia, terketar-ketar. Dia cuba membersihkan meja itu, namun tindakannya membuatkan dokumen tersebut koyak rabak.
Ya Allah! Jerit hati kecil Dahlia. Terus dia menghentikan perbuatannya.
Melihat keadaan itu, buat Furqan bertambah geram. Dengan rasa marah, dia cengkam lengan Dahlia dengan kuat. Lalu didorong tubuh kecil itu ke pintu keluar. "Keluar! Menyusahkan aku!" Tubuh Dahlia ditolak kasar.
Dahlia terjelepok terduduk ke lantai. Air matanya sudah meleleh jatuh ke pipi. Perbuatan Furqan mengingatkan Dahlia pada Daud.
Saat ini mata putih Furqan memerah menahan marah. Susuk tubuh yang terduduk di atas lantai itu ditenung dengan hati yang masih membara. "Kau betul-betul menyusahkan aku. Bulan ni... gaji kau, aku potong!" Meluap-luap kemarahan itu dihambur keluar. Lalu, Furqan menghempas pintu dan membiarkan Dahlia di situ.
Perlahan Dahlia bangun. Air mata dikesat dengan belakang tangan. Lengan yang dicengkam tadi dipegang. Sakit.
Dengan langkah yang lemah, anak tangga dipijak satu per satu bersama linangan air mata yang membasahi wajah. Teresak-esak Dahlia menangisi nasib diri. Dia fikir bila dia ke sini, dia terlepas daripada dipukul oleh Daud. Tetapi, rupa-rupanya nasib dia tetap sama. Dikasari oleh majikan sendiri.
Saat kaki memijak anak tangga terakhir, Hafiqa yang baru sahaja nak naik ke bilik, terkejut melihat keadaan Dahlia. "Akak kenapa ni?" soalnya dengan muka cemas.
Dahlia menggeleng perlahan. "Takda apa." Air mata dikesat cepat-cepat. Wajah bertenang cuba ditayang walaupun dia tahu sudah terlambat. Pasti sahaja Hafiqa perasan yang dia menangis.
"Along buat apa dekat akak?" Hafiqa terus mendesak. Dia pasti ada sesuatu telah berlaku.
"Takda apa. Akak okey," nafi Dahlia. Dia tidak mahu panjangkan cerita. Lagi pula, apa yang berlaku adalah salah dirinya sendiri. Wajarlah lelaki itu marah padanya.
"Cakaplah kak. Jangan tipu Fiqa. Along marah akak ek?"
"Salah akak. Air kopi yang akak bawa tadi tertumpah atas meja kerja dia." Mahu atau tidak terpaksalah Dahlia beritahu apa yang berlaku.
Mulut Hafiqa melopong. Mesti teruk Kak Dahlia kena marah dengan along. Jerit hati kecilnya.
"Teruk ke along marah akak?" soal Hafiqa sambil menarik Dahlia ke ruang tamu.
Dahlia menggeleng. Tak tahu nak jawab apa pada Hafiqa. Pasti sahaja gadis itu tahu bagaimana sikap abang sendiri.
"Nanti Fiqa bagi tahu mommy along marah akak. Suka hati dia je marah anak orang," sambung Hafiqa lagi. Terketap-ketap bibirnya menahan geram.
"Jangan Fiqa. Dia marah tak teruk. Lagipun salah akak. Akak yang rosakkan kerja-kerja dia," halang Dahlia. Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk jika Puan Sri Fatihah tahu apa yang berlaku.
"Along tu melampau..." gumam Hafiqa tak puas hati.
Dahlia terus diam membisu. Dia berharap hari ini berlalu dengan cepat dan dia tidak bertemu muka dengan Furqan untuk beberapa jam lagi. Dia mula takut dengan Furqan. Furqan macam Daud. Garang dan panas baran.