Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
2,899
Kategori: Novel
Genre: Cinta
MSHD 6

KALAU dulu, Dahlia hanya bercerita tentang Daud di dalam buku itu. Kini, ceritanya beralih pula pada Furqan. Dia mengeluh beberapa kali saat nama Furqan tertulis di dalam buku itu. Selesai menulis, buku tersebut disimpan kembali ke dalam almari. 


Dahlia hela nafas berat. Duit gaji yang dia dapat dikira. Betul-betul Furqan potong gaji dia sebab kes air kopi tumpah tempoh hari. Tapi, memang salahnya. Dia harus akur. Kemudian, duit itu diasingkan. Sehelai not lima puluh ringgit disimpan dalam beg duit yang sudah lusuh miliknya. Selebihnya duit itu, mahu dihantar ke kampung untuk keluarganya. 


Setelah itu, dia keluar dari bilik. Dia mahu meminta pertolongan Puan Sri Fatihah untuk mengirimkan duit itu ke kampung. 


Sedang Dahlia mencari majikannya itu, dia terserempak dengan Hafiqa yang baru sahaja mahu pergi ke kolej. “Kak… petang nanti Fiqa tak nak makan. Jangan masak apa-apa. Habis diet Fiqa tau kalau akak masak,” pesan gadis itu dengan nada manja.


Sejak kehadiran Dahlia, Hafiqa sering kali duduk di rumah. Dia seronok berbual dengan Dahlia. Ada kalanya mereka menonton drama bersama-sama. Jarak umur yang tidak terlalu jauh membuatkan mereka menjadi rapat.


“Okeylah. Kejap lagi akak nak masuk bilik Fiqa ambil baju kotor ya. Nak basuh,” kata Dahlia.


“Masuk je lah kak. Kalau Fiqa tak bagi masuk, alamat tak berbasuhlah baju tu. Fiqa bukan rajin macam akak," seloroh Hafiqa sambil ketawa kecil. Sejujurnya dia memang tak rajin. Mujur ibunya mengambil pembantu rumah yang tidak terlalu berusia. Jika dulu sewaktu mereka mempunyai pembantu rumah warga asing yang sudah agak berusia, Hafiqa terpaksa juga membantu serba sedikit kerja rumah kerana pembantu mereka itu sering tidak sihat. 


“Cadar dengan sarung bantal nak ganti tak?” soal Dahlia lagi. 


“Eemmm… akak tukar seminggu sekali je lah. Cuma langsir bilik Fiqa tu lamaaa sangat Fiqa tak tukar tau. Boleh tak akak tolong gantikan?” Hafiqa buat muka comel sambil mengerdip matanya beberapa kali. 


Dahlia ketawa melihat telatah gadis itu. Perlahan dia mengangguk sambil mata dipejam kejap. “Boleh. Tapi, langsir baru dekat mana?” soalnya.


“Langsir dekat bilik laundry. Dalam kabinet atas. Akak kena ambil tangga tau kalau nak ambil langsir tu," kata Hafiqa.


Dahlia mengangguk tanda faham. “Dah nak pergi kolej ya? Hati-hati.”


“Akak pun sama. Hati-hati panjat tangga. Jangan sampai jatuh,” pesan Hafiqa sambil menapak keluar dari rumah.


Dahlia hanya tersenyum sambil melihat susuk tubuh gadis itu menghilang di sebalik pintu.


“Dahlia, nanti you tolong gosokkan baju Furqan yang I dah sangkut dekat bilik laundry tu ya. Malam ni dia ada dinner," pesan Puan Sri Fatihah yang baru sahaja muncul dari bilik atas.


“Baik, puan sri,” balas Dahlia.


Baru sahaja Puan Sri Fatihah nak melangkah keluar, Dahlia menahan wanita itu. “Puan sri!” terkedek-kedek Dahlia membuntuti Puan Sri Fatihah.


“Ada apa Dahlia?” 


“Saya nak minta tolong puan sri kirimkan duit ni pada mak saya dekat kampung boleh?” duit yang disimpan di dalam poket dikeluarkan. 


Terangkat kening Puan Sri Fatihah tika ini. “Kirim duit?” soalnya.


Dahlia angguk dengan riak polos.


“Ada nombor akaun?” 


Dahlia garu kepala yang tidak gatal. Ya tak ya juga. Nak kirim duit, kena ada nombor akaun. Gerutu hati kecil Dahlia.


“Aaa… takda, puan sri. Macam mana ya?” sudahnya Dahlia kebuntuan. Macam mana dia nak menghubungi mak nya di kampung? Mereka tiada telefon rumah mahu pun telefon pintar.


Beberapa minit Puan Sri Fatihah berdiam diri seolah berfikir. “Takpalah. Nanti I cuba minta tolong pada Mak Lela,” ujarnya.


Dahlia mengangguk lega. Mujur Mak Lela kawan sekampung ibunya ada. Wanita itulah yang membantu Puan Sri Fatihah sewaktu dia mencari pembantu rumah.


“Okeylah. I dah lambat nak ke pejabat ni," sambung Puan Sri Fatihah. Duit yang ada di tangan Dahlia diambil. Setelah itu, dia keluar dari rumah dengan tergesa-gesa.






SEDANG Dahlia memanjat tangga untuk mengambil langsir, datang Furqan menjengah ke bilik laundry. Dia mencari baju kerjanya di situ.


Baru sahaja pintu laundry dibuka, Dahlia yang masih berada di atas tangga tak semena-mena terjatuh ke arah Furqan. Mujur lelaki itu menyambut tubuh Dahlia dengan pantas.


Mereka berpelukan seketika. Dada Dahlia berombak kencang. Terkejut kerana terjatuh bercampur dengan terkejut disambut oleh lelaki garang itu. Wajahnya serta merta pucat lesi.


Dahi Furqan berkerut seribu. Riak mukanya membengis. Tubuh Dahlia ditolak kasar sehingga gadis itu terduduk ke lantai. “Kau apa hal? Saja nak ambil kesempatan?” marahnya.


Dengan tergesa-gesa, Dahlia bangun dari situ. “Maaf, encik. Saya tak sengaja,” ucapnya, takut-takut.


“Kau saja nak goda aku ke?” tuduh Furqan. 


Cepat-cepat Dahlia menggeleng menafikan tuduhan itu. Tak mungkin dia nak goda lelaki seperti Furqan. Lagi pula, dia datang ke situ memang mahu bekerja. Bukan nak mencari suami.


“Kau ingat dengan cara macam ni, kau boleh pikat aku? Perempuan tak sedar diri lah kau ni!” jerkah Furqan. Dia betul-betul marah dengan apa yang berlaku.


“Tak, encik. Saya takda niat apa-apa pun. Tadi, saya betul-betul terjatuh. Bukan saya sengaja nak buat macam tu,” berkali-kali Dahlia menafikan tuduhan Furqan terhadapnya.


Dada Furqan berombak kencang. Jawapan Dahlia buat dia bertambah berang. Rahangnya kelihatan bergerak-gerak menahan marah. Kalau tak fikirkan yang Dahlia itu seorang wanita, pasti sahaja muka gadis itu sudah menjadi sasaran penumbuknya. “Sekali lagi kau cuba buat macam ni, tahulah nasib kau!” ugutnya.


Dahlia tertunduk sambil mengangguk laju. Air matanya sudah bertakung di kolam mata. Tengkingan dan jerkahan itu mengingatkan Dahlia pada Daud. Hal itu buat dia takut.


Tak menunggu lama, Furqan terus mencari baju kerja yang tersidai di situ lalu diambil dan dicampak pada Dahlia. “Gosok baju ni cepat. Aku dah lambat ni!” gesanya. 


Baju yang sudah jatuh ke lantai Dahlia ambil. Lalu, dia cepat-cepat ke papan penggosok. Dengan perasaan yang masih takut, dia menggosok baju Furqan sambil diperhatikan oleh lelaki itu.


“Ini amaran terakhir aku. Lepas ni, kalau jadi lagi hal yang macam tadi. Aku takkan teragak-agak untuk ajar kau. Kau jangan berangan aku akan layan kau baik-baik sebab aku tahu budak tak sekolah macam kau ni perangai tak boleh percaya,” keras nada suara Furqan tika ini. Entah kenapa dia masih belum puas membebel. Mungkin kerana sakit hatinya masih belum reda.


Dahlia yang masih menggosok baju itu hanya berdiam diri. Dia tidak berani lagi nak menjawab. Segala kata-kata hinaan itu dia telan sahaja. Dia sudah biasa dihina sebegitu oleh ayah sendiri.


“Cepat sikit gosok baju aku tu. Terhegeh-hegeh!” jerkah Furqan apabila melihat Dahlia masih belum menyiapkan lagi gosokan.


Mendengar sahaja arahan itu, cepat-cepat Dahlia menggosok baju Furqan sehingga jarinya terkena sedikit pada seterika panas itu. “Aarrghhh!!!” Dahlia menjerit kecil. Spontan jarinya dimasuk ke mulut. Beberapa saat dia menghisap jarinya sehingga merasa sedikit lega. Perbuatan itu diperhatikan oleh Furqan sehinggalah Dahlia memegang kembali baju milik Furqan. 


“Hei, pengotorlah kau ni!” terus Furqan menolak tubuh Dahlia ke tepi sambil dia membelek kemeja kerjanya. ada sedikit kesan basah di bahu belah kiri baju itu. Terketap bibir Furqan menahan geram. Lalu, dia menoleh kembali pada Dahlia dengan renungan tajam.


Dahlia kemam bibir. Takut dengan pandangan membunuh Furqan. Dia berundur setapak demi setapak. 


“Kau ni kan pengotor nak mampus. Dah masuk jari dalam mulut, lepas tu pegang baju aku. Jijiklah! Kau ambil baju ni basuh! Tangan kau tu sebelum pegang barang-barang dalam rumah ni, bersihkan dulu!” baju kemeja tadi Furqan campak ke muka Dahlia. Marahnya menggila.


Dengan tangannya yang mengigil hebat, Dahlia kutip semula baju Furqan dan dia masih tercegat di situ. Tak tahu nak buat apa. Dia takut nak bergerak apatah lagi nak buat seperti yang diarahkan. 


“Apa lagi kau tercegat dekat sini? Pergi basuh baju aku tu!” Furqan tolak kasar tubuh Dahlia ke arah mesin basuh yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri.


Setelah itu, Furqan pergi meninggalkan bilik laundry itu dengan hati yang membara. “Tak boleh harap betul. Menyusahkan aku!” bebelnya sendiri.


Dahlia yang masih ada di ruangan itu, terus terjelepok terduduk di depan mesin basuh. Gigilnya masih belum hilang. Dia betul-betul takut. Kalau di rumah, Daud memarahinya, Melur akan memujuk. Tetapi, di sini… tiada siapa di sisinya tika ini. 







FURQAN termenung. Setiap kali dia kasari Dahlia, pasti sahaja hatinya tidak senang. Tetapi, gadis itu yang mencari masalah. “Tak boleh ke kau kerja elok-elok? Ni saja buat aku naik angin!” monolognya.


Skrin komputer direnung seakan nak tertembus. Muka sedih Dahlia terbayang di ruang mata membuatkan rasa bersalahnya semakin menggunung. Wajah diraup perlahan. Keluhan berat dilepaskan.


Baru sahaja nak memulakan kerja-kerjanya, pintu bilik pejabat dibuka seseorang tanpa ketukan. Terus mata Furqan mencerlung pada muka pintu. Pantang sungguh dia jika pekerjanya masuk ke biliknya tanpa mengetuk pintu.


Namun, jantungnya berdegup kencang tatkala melihat susuk tubuh wanita yang pernah bertakhta di hatinya sebelum ini. 


Ya. Alicia. Wanita itu sudah kembali ke Malaysia.


Mata mereka bertentang beberapa ketika. Senyuman pahit terukir di bibir wanita itu. Matanya turut berkaca. “Furqan…” nada yang selalu dia alunkan ketika mahu memujuk lelaki itu.


Tetapi, hati Furqan sudah tidak terpujuk seperti dulu. Walaupun sisa cinta masih ada di dalam hatinya, namun, tak mungkin dia akan terpedaya buat kali kedua.


“You nak apa datang sini?” keras nada Furqan menyoal kehadiran wanita itu di situ.


“I… I miss you so much, Furqan. I really miss you…” luah Alicia sambil kakinya menapak mendekati Furqan.


“Stay there. Jangan dekat dengan I. I benci you,” tutur Furqan dengan nada yang ditekan dalam. Riak marah terpancar di wajahnya.


“Why?” soal Alicia dengan riak terpinga-pinga.


“Why? You asking me why, Alicia? Sepatutnya I yang tanya you kenapa you buat I macam ni???” suara Furqan dah naik satu oktaf. Marahnya sudah tidak dapat ditahan lagi.


Alicia terdiam dan menanti kata-kata seterusnya oleh lelaki itu.


“You dah kahwin dengan lelaki pilihan keluarga you? So, you datang sini jumpa I untuk apa?” sambung Furqan lagi.


Melopong mulut Alicia apabila mendengar kata-kata Furqan. Dia fikir Furqan tidak tahu apa yang berlaku. Rupa-rupanya hal itu telah sampai ke pengetahuan lelaki itu. “You kena dengar penjelasan I, Furqan…” pujuknya separa merayu. 


“Apa yang you nak jelaskan Alicia? Apa lagi alasan yang you nak bagi pada I untuk tutup semua penipuan you???” melengking suara Furqan tika ini. Hatinya sakit apabila mengingat kembali apa yang berlaku. 


“Please Furqan… you kena dengar penjelasan I. I tak nak… tapi…” kata-kata Alicia dipintas oleh Furqan. “Tapi apa? You takda pilihan? You jangan bagi alasan bodoh tu pada I. Dalam gambar kahwin you tu, I tak nampak muka terpaksa you pun and I tahu yang you dah kenal lelaki tu lebih dari tempoh perkenalan kita kan? Sekarang ni apa lagi yang you nak bodohkan I?” serang Furqan tanpa memberi peluang kepada Alicia untuk menjelaskan apa yang berlaku.


Alicia terpempan. Entah siapa yang memberitahu Furqan tentang semua itu. Mungkin lelaki itu telah mengupah orang untuk memyiasatnya ketika dia di sana. Dia hilang kata-kata. Wajah berang Furqan hanya mampu ditenung dengan riak sayu. Masih sahaja dia cuba meminta simpati lelaki itu.


“Now… get out from my building. Jangan jejak lagi kaki you dalam bangunan I ni. I tak nak tengok muka penipu macam you lagi dalam hidup I," halau Furqan. 


“Furqan… please… you kena dengar apa yang I nak cakap. I cintakan you. Bukan lelaki tu.” masih sahaja Alicia cuba untuk menjelaskan hal itu.


“Kalau you tak berambus dari sini… I panggil sekuriti untuk heret you keluar,” ugut Furqan. Dia nekad tidak mahu mendengar apa pun penjelasan daripada wanita itu. Tiada lagi peluang yang akan diberikan pada Alicia. Tiada.


Dengan rasa kecewa, Alicia terpaksa akur. Dia tidak mahu menanggung malu jika sekuriti syarikat itu mengheretnya keluar. Sebelum dia melangkah pergi, sempat dia menoleh pada Furqan dan berharap agar lelaki itu memberinya peluang untuk bercakap. 


Tetapi, segalanya mustahil. Furqan langsung tidak lagi memandang pada wajahnya.


Previous: MSHD 5
Next: MSHD 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.