Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
2,777
Kategori: Novel
Genre: Cinta
MSHD 11

FURQAN melangkah masuk ke rumah agam dengan riak dingin. Beg plastik yang berisi pakaian tidak berbasuh selama tiga hari dibimbit dan dibawa ke bilik laundry. 

Masuk sahaja ke situ, dia melihat Dahlia sedang memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh. Lalu, Furqan campak plastik baju kotor ke arah Dahlia. “Basuh baju aku ni!” garau suaranya menerpa gegendang telinga Dahlia.

Terangkat bahu Dahlia terkejut dengan kehadiran Furqan secara tiba-tiba di situ. Namun, dia terus mengambil plastik yang dicampak tadi. Baju-baju di dalam plastik dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam mesin basuh. Susuk Furqan tidak berani dia pandang.

Furqan masih berdiri di situ memerhatikan Dahlia. “Kau penyebab aku dengan mommy bergaduh,” sebaris ayat itu keluar dengan nada dingin.

Dahlia mula kecut perut. Dia dapat mengagak apa yang bakal terjadi padanya. Pasti Furqan akan naik angin lagi. Dahlia berdiri kaku di mesin basuh itu tanpa berganjak. Dia hanya menanti tindakan yang bakal Furqan lakukan padanya selepas ini.

“Mommy suruh aku pilih sama ada ceraikan kau atau aku keluar dari rumah ni. Sekarang ni, aku nak kau yang pilih,” sambung Furqan lagi. Dahlia teguk air liur dengan kasar. Dia takut dan tak tahu nak jawab apa pada lelaki itu. 

Furqan menanti balasan Dahlia dengan penuh sabar. Atas bawah susuk tubuh itu diperhatikan. Dahlia cantik. Tapi, kenapa hati dia tidak tertarik langsung dengan gadis itu. Malah, dia benci pada Dahlia. Atau… dia sebenarnya ego?

“Jawab!” suara Furqan sudah naik satu oktaf.

Sekali lagi bahu Dahlia terangkat kerana terkejut dengan suara Furqan yang tiba-tiba tinggi itu. “Saya… saya minta maaf. Kalau encik nak ceraikan saya, saya terima. Saya akan keluar dari rumah ni. Saya takkan ganggu keluarga encik lagi,” tergagap-gagap Dahlia menjawab pertanyaan itu dengan riak takut. Dia cuba memberanikan diri menatap pada muka Furqan.

Mata mereka bertentang beberapa ketika. Dan ya… Furqan terpana dengan renungan sayu Dahlia. Setiap kali gadis itu memandangnya dengan pandangan sebegitu, hati Furqan resah gelisah. Tetapi, memandangkan egonya menggunung tinggi, perasaan itu dia tepis daripada terus hanyut dengan renungan gadis itu.

“Kau ingat semudah itu kau nak lepaskan diri lepas apa yang kau buat pada aku? Aku belum puas seksa kau, Dahlia. Aku nak kau ingat yang aku adalah lelaki paling kejam dalam hidup kau,” satu per satu Furqan mengungkap katanya. Renungan tajam dihalakan pada Dahlia.

Terus Dahlia tertunduk menekur lantai apabila mendengar kata-kata Furqan. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan agar lelaki itu bisa melepaskan dia daripada diseksa.

“Kalau kau mengadu pada mommy, kau akan tahu apa nasib kau,” sambung Furqan lagi. Dia masih belum puas nak menyeksa wanita itu.

Dahlia membisu. Hatinya dipalu rasa sedih. Pandangan mula berbalam-balam. Mungkin memang jalan takdirnya begini. Dibenci oleh suami sendiri. 

“Aku takkan terpedaya dengan muka kesian kau. Jangan menangis depan aku. Sebab aku benci tengok air mata kau,” keras suara Furqan alunkan saat ini. Dia benci melihat muka Dahlia yang dirasakan cuba meraih simpatinya.

“Kau jangan berangan aku akan sentuh kau. Sebab aku jijik dan geli dengan perempuan murah macam kau. Kau tak layak lahirkan keturunan aku, Dahlia. Aku tak nak keturunan aku bodoh dan tak habis sekolah macam kau!” bertalu-talu ayat itu keluar daripada mulut Furqan. 

Sungguh, kata-kata itu menghiris tangkai hati Dahlia tika ini. Terpejam kejap mata Dahlia apabila hinaan demi hinaan Furqan lemparkan padanya. Dan… segala kata-kata itu dia simpan sebagai satu peringatan untuk dirinya agar sedar siapa dia di sisi lelaki itu.

“Disebabkan kau dah jadi sebahagian keluarga ni, aku rasa tak perlu lagi aku bayar gaji kau,” ujar Furqan bersahaja.

Dahlia terpempan. Macam mana dia nak hantar duit ke kampung kalau Furqan tidak membayar gajinya? Bisik hati kecil Dahlia.

“Tolonglah, encik. Jangan buat saya macam ni. Saya perlu duit untuk hantar ke kampung. Encik bagi separuh daripada itu pun takpa. Saya merayu,” lirih suara Dahlia memohon agar Furqan tetap membayar gajinya. Air mata ditahan sehabis baik. Dia tidak mahu lelaki itu naik angin jika melihat dia menangis.

Furqan ukir senyum mengejek. “Separuh?” soalnya, sengaja.

Dahlia mengangguk laju. Dalam hatinya berdoa agar Furqan setuju.

Beberapa detik Furqan merenung tajam pada wajah sayu Dahlia. Dan akhirnya dia mengangguk perlahan tanda setuju. “Baik. Aku akan bayar separuh sebagai nafkah aku pada kau. Dan hal ni, aku tak nak mommy tahu. Kalau tak, satu sen pun aku takkan bagi,” amaran diberi dengan nada kasar. 

Laju Dahlia mengangguk tanda setuju. Dia takkan melawan apa jua kehendak Furqan. Kalau dengan cara itu boleh memuaskan hati lelaki itu, dia akan turuti.

Melihat sahaja Dahlia mengangguk setuju, Furqan terus berlalu dari situ. Puas hatinya saat ini. Dia berharap agar Dahlia serik dengan perkahwinan itu.






“DAHLIA… duduk makan sekali,” arah Puan Sri Fatihah apabila melihat Dahlia mahu masuk semula ke dapur.

Langkah kaki Dahlia terhenti. Matanya dilirikkan pada Furqan. Walaupun Furqan tidak memandang padanya, wajah serius lelaki itu buat Dahlia takut. “Takpa, puan sri… saya makan kejap lagi.”

“Dahlia… berapa kali mommy nak ingatkan? Jangan panggil mommy, puan sri. Mommy dah jadi mak mertua you,” tegas Puan Sri Fatihah. Geram sungguh dia rasa apabila Dahlia tidak sudah-sudah memanggilnya dengan panggilan ‘puan sri’.

“Saya minta maaf,” perlahan ucapan maaf itu keluar daripada mulut Dahlia.

“Duduk sini makan sekali dengan kami,” paksa Puan Sri Fatihah. 

Dahlia menggeleng perlahan tanda tidak mahu. Sekali sekala matanya melirik lagi pada Furqan. Lelaki itu sedang kusyuk menjamu selera. Puan Sri Fatihah yang melihat gelengan Dahlia, jadi geram. Lantas, tangan menantunya itu ditarik agar duduk bersama di situ.

Melihat Dahlia duduk, Hafiqa terus mengambil pinggan kosong dan mengisi nasi putih di dalam pinggan itu. Lalu, dia letakkan di depan Dahlia. “Akak makanlah. Kurus sangat. Cengkung muka tu,” Hafiqa bersuara. 

Suapan Furqan terhenti. Hilang selera dibuatnya. Terus dia bangun dari situ meninggalkan meja makan. Dahlia tertunduk menekur meja. Nasi yang ada di dalam pinggan, langsung tidak diusik.

Puan Sri Fatihah dan Hafiqa berpandangan antara satu sama lain. “Jangan pedulikan dia,” kata Puan Sri Fatihah. Malas dia nak melayan kepala angin anak lelakinya itu. 

“Takpalah, mommy. Saya tak lapar lagi.” Dahlia bangun semula dari situ. Riak wajahnya serba salah. Dia tidak mahu menjadi punca perselisihan faham antara Furqan dan keluarganya.

Hafiqa hela nafas berat. Susah benar nak memujuk kakak iparnya itu agar makan bersama mereka. Kadang kala, Hafiqa rasa Dahlia tidak makan kerana makin hari tubuh wanita itu nampak kurus dan wajahnya kelihatan cengkung.

Puan Sri Fatihah merengus perlahan. “Dahlia, cuba bagi tahu mommy, kenapa you susah sangat nak makan dengan kami? You takut Furqan marah?” tekanya.

Dahlia menggeleng perlahan. “Tak. Saya tak lapar lagi. Tu je.”

“Takpalah, mommy. Janganlah paksa Kak Dahlia," Hafiqa mencelah. Sebak melihat muka kesian wanita itu. Dia tahu kenapa Dahlia jadi begitu. Tetapi, dia sendiri tidak berani nak mengadukan hal itu pada Puan Sri Fatihah. 

“Nanti akak makan ya,” pesan Hafiqa lagi. Dahlia ukir senyum lega. Dia bersyukur kerana adik iparnya itu faham. Kemudian, dia terus masuk ke dapur semula untuk mengemas apa yang patut.

“Along ada marah Dahlia lagi ke?” Puan Sri Fatihah mula mengorek rahsia daripada anak perempuannya itu. Hafiqa menggeleng. Dia tidak mahu memberitahu apa-apa pada Puan Sri Fatihah atas sebab janjinya pada Dahlia. 

“Cakap betul-betul dengan mommy,” suara Puan Sri Fatihah mula naik satu oktaf.

“Takdalah mommy ni. Marah along je dah lah. Jangan nak libatkan adik pula,” rengek Hafiqa dengan bibir yang sudah memuncung masam. Puan Sri Fatihah mencebik geram. Dia yakin ada perkara yang Hafiqa sorokkan daripadanya.

Akhirnya di meja makan itu hanya tinggal Hafiqa dan Puan Sri Fatihah sahaja yang menjamu selera.





“BUDAK Dahlia tu dah ke Kuala Lumpur. Kerja jadi pembantu rumah dekat rumah puan sri mana entah,” kata ibu Hairul, Zainab.

Termenung Hairul dibuatnya. “Jadi pembantu rumah?” soalnya.

“Iya," jawab Zainab bersahaja. 

Beberapa saat Hairul terdiam seakan memikirkan sesuatu. Muka ibunya direnung lagi.

“Kau carilah perempuan lain. Bukan takda anak dara lain dalam kampung ni. Budak tak habis sekolah tu juga yang kau nak,” bebel Zainab. Bibirnya mencebik geram.

“Mak, tak baik cakap macam tu. Anak mak si Haifa tu. Habis sekolah. Tapi, dia buat apa sekarang? Kerja? Tak juga. Terperuk dalam rumah ni menghabiskan beras. Ni mana dia? Merayau?” balas Hairul. Perihal adiknya menjadi sebutan apabila Zainab menghina Dahlia.

Zainab tayang muka geram pada Hairul. “Sekurang-kurangnya dia habis sekolah. Bukan macam budak Dahlia tu. Dengan tak habis sekolah menebeng sana sini dengan jantan,” terketap-ketap bibirnya mengutuk Dahlia.

Hairul menggeleng kesal. “Dahlia tu menebeng sana sini, dia buat kerja mak. Ambil upah basuh kereta. Buat penyapu lidi. Cuci kain. Bersih halaman rumah orang. Halaman rumah kita pun mak pernah upah dia kan?” sengaja hal itu dibangkitkan agar Zainab tidak lupa.

“Aku tetap tak suka dia jadi menantu aku," tegas Zainab. 

“Rul tetap dengan pilihan Rul. Mak suka atau tak, terpulang pada mak,” Hairul juga bertegas dengan pendiriannya. Dia tetap mahu Dahlia menjadi isterinya kerana dia tahu Dahlia gadis yang baik. Hanya mulut orang kampung sahaja yang banyak memfitnah dan menuduh gadis itu yang bukan-bukan. Lebih-lebih lagi Haifa serta kawan-kawan adiknya itu.

“Berdosa kau tak dengar cakap mak, Rul. Kau nak jadi anak derhaka?” Zainab tak mahu kalah. Terjeling-jeling matanya menatap muka Hairul.

Malas Hairul nak melawan. Sudahnya dia angkat kaki beredar dari situ. 





HAIRUL termenung di pangkin sambil memerhatikan rumah Dahlia yang tidak jauh dari rumahnya. Selalunya petang-petang begini, dia akan nampak Dahlia duduk di luar sambil menyapu halaman rumahnya. Kini kelibat itu sudah tiada. 

“Kuala Lumpur? Rumah puan sri? Rumah siapa?” berkerut dahinya memikirkan tentang hal itu. Nak bertanya pada ibu Dahlia, dia segan. 

“Nanti aku tanya pada Izz. Mungkin dia tahu Dahlia kerja di mana,” monolognya lagi.

Hairul ukir senyum nipis. Wajah manis dan ayu Dahlia terbayang di mata. Sukar nak melihat senyuman Dahlia jika mereka terserempak di mana-mana. Gadis itu pendiam dan susah nak senyum. 

Ketika Dahlia mengambil upah membersihkan halaman rumahnya, pernah Hairul cuba berbual dengan gadis itu. Tetapi sepatah ditanya, sepatah dijawab. Akhirnya Hairul diam dan sekadar memerhatikan gadis itu menyelesaikan kerjanya.

Hairul tersenyum setiap kali dia teringatkan Dahlia. Dia berharap dia dapat bertemu Dahlia di Kuala Lumpur nanti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.