Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
2,889
Kategori: Novel
Genre: Cinta
MHSD 9

PAP!

Terangkat bahu Dahlia apabila Furqan menepuk meja makan dengan kuat. Wajah bengis lelaki itu dipandang dengan rasa takut. Dadanya berombak laju. “Kenapa encik?” soalnya dengan nada yang bergetar.

Furqan tenung muka Dahlia dengan pandangan ego. “Mulai hari ni… aku tak izinkan kau sentuh apa jua makanan yang aku beli. Jangan buat muka tak malu makan makanan dalam rumah ni sesuka hati kau. Kalau aku nampak, nahas!” sengaja dia memberi amaran sebegitu. Dia mahu Dahlia merasa terseksa selepas menjadi isterinya.

Dahlia diam. Hatinya terguris lagi. Setiap hari ada sahaja perkara baru yang Furqan akan bangkitkan. Kadang kala lelaki itu seakan sengaja mencari kesalahannya. 

“Kau dengar tak ni?” nada Furqan naik satu oktaf.

Sekali lagi bahu Dahlia terangkat kerana terkejut mendengar suara yang tiba-tiba kuat itu. Dengan pantas dia mengangguk tanda faham akan amaran Furqan. Dan dia juga tidak mahu timbul apa jua masalah. Jadi, apa sahaja yang Furqan tetapkan sebagai syarat, dia akan akur.

“Aku akan buat kau terseksa kahwin dengan aku, Dahlia. Jangan kau ingat kau akan bahagia. Aku akan buat kau derita," tutur Furqan dengan nada yang ditekan dalam. Dia masih berdendam dengan Dahlia atas apa yang berlaku. Dia yakin, memang wanita itu sengaja perangkap dia. 

Dahlia diam tidak menjawab. Nak memandang wajah Furqan juga dia tak berani. Lebih baik dia begini daripada dia buka mulut. Takut-takut Furqan naik angin dan mengasarinya.

“Ini baru permulaan hidup kau dalam perkahwinan neraka ni. Lepas ni banyak lagi perkara yang akan buat kau terseksa. Kau nak sangat jadi menantu orang kaya kan? Nak sangat suami macam aku kan? Kau akan dapat apa yang kau nak. Tapi, ada bayaran yang harus kau bayar untuk semua kemahuan kau,” tutur Furqan lagi.

Dahlia kemam bibir menahan sebak di hati. Pandangannya mula berbalam-balam. Namun, ditahan sehabis baik. Dia tidak mahu Furqan berang melihat dia menangis di situ. Kerana dia tahu, Furqan akan bertambah marah. Lelaki itu tak akan memujuknya. 

Furqan tertunduk kejap. Wajah merah Dahlia buat dia merasa bersalah. Tetapi kerana ego lebih menguasai perasaannya sekarang, dibiarkan sahaja wanita itu menangis. “Kau jangan guna air mata kau untuk buat aku kesian dekat kau. Sebab air mata kau tu, takda maknanya pada aku. Pada aku perempuan murah macam kau, memang patut dilayan secara murahan,” masih sahaja dia mahu menyakiti hati Dahlia. Seakan tidak puas dirasakan selagi rasa sakit hatinya masih bersisa. 

Serta merta air mata Dahlia meleleh jatuh ke pipi gebunya. Cepat-cepat Dahlia mengesat air mata itu dengan belakang tangan. Dia tidak mahu Furqan menuduhnya yang bukan-bukan. Tiada langsung niat di hati mahu meraih simpati pada lelaki itu. Dia hanya sedih mengenangkan nasib dirinya. Kalau dahulu, dibenci oleh ayah sendiri. Kini… lelaki yang bergelar suami turut membenci sama. Tanpa sebab. Tanpa henti.

Melihat sahaja air mata Dahlia meleleh, Furqan raup wajahnya dengan kasar. “Kau jangan menangis depan aku kalau tak nak aku tampar muka kau!” jerkahnya.

“Furqan!!!” jerit Puan Sri Fatihah. Mujur dia perasan apa yang berlaku. Jika tidak entah apa lagi yang anak lelakinya itu akan cakap pada Dahlia.

Mendengar sahaja suara Puan Sri Fatihah, terus Furqan menoleh pada wanita itu. Namun, riak selamba ditayang pada si ibu. Sengaja dia tunjuk yang dia tidak peduli dengan kemarahan ibunya itu.

“Kenapa you layan Dahlia macam ni? Kalau you tak suka dia, tak perlu berkasar dengan dia. Tak perlu you bercakap dengan dia. You sengaja cari pasal dengan dia atau sengaja cari pasal dengan mommy?” suara Puan Sri Fatihah sudah mula kuat. Sungguh dia sakit hati melihat kelakuan Furqan. Makin hari makin mencabar kesabarannya.

“Mommy yang nak sangat along kahwin dengan perempuan murahan ni kan? Jadi, mommy akan tengok along seksa dia sampai along puas hati!” dengan kasar Furqan melawan kata-kata Puan Sri Fatihah.

Buat pertama kalinya Puan Sri Fatihah tersentap dengan kata-kata kasar daripada si anak. Sebelum ini tidak pernah Furqan melawannya begini. Paling tidak, anak lelakinya itu hanya diam jika dia tak bersetuju. 

Tak menunggu lama, Furqan terus berlalu pergi dari situ. Puan Sri Fatihah menggeleng perlahan. Kesal dengan sikap si anak. Lalu, dia menghampiri Dahlia. Bahu wanita itu dipegang dan digosok lembut.

“You jangan pedulikan Furqan tu. Kalau Furqan berkasar dengan you, bagi tahu mommy. Nanti mommy ajar dia,” kata Puan Sri Fatihah dengan bibir yang terketap geram.

“Saya minta maaf…” hanya itu sahaja yang keluar daripada mulut Dahlia tika ini.

“Kenapa nak minta maaf? Bukan salah you. Furqan tu yang suka buat perangai. You jangan risau, mommy akan jaga you. Kalau Furqan buat apa-apa, bagi tahu mommy," bersungguh Puan Sri Fatihah meyakinkan Dahlia yang dia tidak akan biarkan wanita itu dibuli oleh Furqan.

Dahlia mengangguk perlahan. Tetapi, tak mungkin dia akan adu kan hal Furqan kepada Puan Sri Fatihah. Kerana dia tahu, siapa dirinya di dalam rumah itu.






“KAK, malam ni akak tidur dengan Fiqa nak? Boleh kita tengok movie sampai pagi. Esok Fiqa takda kelas,” ajak Hafiqa sewaktu Dahlia sibuk mengemas ruang dapur.

Sejak Dahlia sah menjadi isteri abangnya, Hafiqa sudah menganggap Dahlia sebahagian dari keluarga sendiri. 

“Takpa ke?” soal Dahlia. Sekilas dia menoleh pada Hafiqa yang duduk di kitchen island.

Hafiqa kerut dahi. Pelik dengan soalan yang diajukan Dahlia padanya. “Kenapa?” soalnya kembali.

“Akak takut abang Fiqa marah,” perlahan sahaja kata-kata itu keluar daripada mulut Dahlia. 

Hafiqa cebik bibir pamer muka menyampah. Lagi-lagi abangnya jadi sebutan. Malas betul nak fikir pasal lelaki macam Furqan tu. Desis hati kecil Hafiqa. Tetapi dia faham, mestilah Dahlia takut sebab abangnya sentiasa cari masalah dengan kakak iparnya itu. 

“Takpalah. Bukannya akak tidur bilik dia,” balas Hafiqa, selamba. Air coklat panas yang Dahlia buat untuknya tadi disisip perlahan. 

“Akak takut,” balas Dahlia lagi.

“Mommy ada. Kalau dia marah akak, Fiqa sendiri bagi tahu mommy.” 

Dahlia diam seketika seakan berfikir. Bibir bawah digigit perlahan. Berat rasa hati nak setuju dengan permintaan gadis itu. Tetapi, dia juga teringin nak menonton drama. Dia peminat drama. Tak kisah drama melayu atau luar negara. Semua dia suka. Tetapi, sejak dia bekerja di sini, sudah lama dia tidak menonton drama-drama di TV. Maklumlah rumah orang. 

“Bolehlah kakkk…” meleret manja suara Hafiqa cuba memujuk Dahlia. muka cemberut turut ditayang sama agar Dahlia setuju.

“Okeylah,” lambat-lambat Dahlia menjawab. Tak sampai hati dia nak kecewakan Hafiqa. 

“Yeay! Nanti lepas akak siap kemas dapur, akak bawa bantal akak masuk bilik Fiqa ek,” wajah Hafiqa kelihatan teruja. Gembira kerana Dahlia bersetuju untuk tidur bersamanya malam ini. Mereka berdua dah macam BFF. Baik dan rapat bersama.

Dahlia mengangguk sambil tersenyum nipis. Namun, dalam hatinya berdoa agar Furqan tidak perasan yang dia tidur di bilik Hafiqa malam ini. Jika tidak, entah apa yang lelaki itu akan lakukan padanya nanti.





TAK berkelip mata kedua-dua gadis itu menonton drama Korea bersiri. Masing-masing kusyuk. Sehinggalah pintu bilik Hafiqa diketuk dengan kuat.

Tok! Tok! Tok! 

Bertalu-talu ketukan itu tanpa henti. Dahlia dan Hafiqa berpandangan sesama sendiri. Serta merta jantung Dahlia berdegup kencang. Dia dapat agak siapa yang ada di luar pintu bilik. 

“Akak rasa abang Fiqa,” pucat lesi muka Dahlia tika ini. Sungguh, dia takut. 

“Rileks. Ni bilik Fiqa bukan bilik dia,” Hafiqa cuba bertenang walaupun dalam hatinya juga ketakutan. Apa tidaknya, Furqan tu garang nak mampus! Janganlah datang gila dia tiba-tiba marah Kak Dahlia pula. Doanya di dalam hati.

Hafiqa membesarkan langkah menuju ke pintu. Sebelum tombol dipulas, dia berdoa agar hati Furqan lembut. Berdebar juga dibuatnya.

Terbuka sahaja pintu bilik, terpacul muka tegang Furqan. “Mana perempuan tu?” soalnya dengan serius.

“Along nak apa?” tidak menjawab soalan Furqan, Hafiqa menyoal kembali dengan muka bosan.

“Kau jangan kurang ajar dengan aku,” nada Furqan sudah berubah kasar.

“Kurang ajar apa? Adik tanya along nak apa cari Kak Dahlia? Kan dah malam ni. Dia dah siapkan semua kerja dia," suara Hafiqa mula bergetar. Takut juga dia apabila Furqan mula menyoal kasar sebegitu.

Tanpa menjawab soalan Hafiqa, Furqan merempuh masuk bilik adiknya itu. Memang dia menanti Dahlia membuat kesalahan. Inilah masanya untuk dia memarahi wanita itu.

“Along!” Hafiqa membuntuti Furqan dan cuba menghalang lelaki itu daripada masuk ke biliknya. Namun, gagal. Furqan sudah pun menarik Dahlia dan mengheret wanita itu keluar dari bilik Hafiqa.

“Sakit…  Saya minta maaf…” jerit Dahlia ketakutan. 

“Along ni kenapa buat Kak Dahlia macam ni?” Hafiqa mula menjerit geram. Tangan Furqan dipukul beberapa kali agar lelaki itu melepaskan cengkamannya daripada tangan Dahlia.

Akhirnya Hafiqa ditolak ke tepi. “Jangan masuk campur urusan aku!” 

Hafiqa tersentak. Dia mengigil. Perasaan bercampur baur saat ini. Marah, geram dan sedih melihat Dahlia diperlakukan sebegitu. Tak menunggu lama, dia bergegas ke bilik Puan Sri Fatihah untuk memberitahu apa yang terjadi.

Sementara itu, Dahlia sudah pun diheret ke dapur. Dengan kasar Furqan menolak tubuh kecil itu sehingga Dahlia jatuh ke lantai. 

“Kau ingat kau duduk dalam rumah ni untuk bersenang lenang? Kau lupa siapa kau dalam rumah ni???” jerkah Furqan, menyinga.

Dahlia hanya diam dan menangis teresak-esak di situ. Tubuhnya mengigil hebat. Dia takut, sangat takut Furqan mengasarinya seperti mana Daud lakukan padanya. 

Mak… kakak takut… rintih hati kecil Dahlia. 

Melihat Dahlia menangis, Furqan bertambah berang. Lalu, tudung yang tersarung di kepala Dahlia dicengkam kuat sehingga pin tudungnya tercabut. “Kau memang perempuan tak sedar diri!” jerit Furqan di depan muka Dahlia.

“Saya minta maaf…” lirih suara Dahlia memohon kemaafan daripada lelaki itu. Matanya dipejam kuat. Dia takut nak melihat muka bengis Furqan.

“Lebih baik kau jangan menangis depan aku. Kalau tak aku…” tangan Furqan sudah naik ke udara. Tetapi, perbuatannya terhenti apabila Puan Sri Fatihah muncul di situ dan menjerit ke arah Furqan.

“Furqan!!!” bergema suara Puan Sri Fatihah seluruh rumah. Sungguh, Furqan mencabar kesabarannya tika ini. Terus dia menerpa ke arah Dahlia. Tubuh Furqan ditolak kasar sehingga anak lelakinya itu terdorong ke belakang.

Mata Puan Sri Fatihah mencerlung menatap wajah si anak. “Apa yang dah merasuk you ni, Furqan???”

Furqan seakan baru tersedar. Wajahnya diraup kasar. Terkebil-kebil matanya tika ini. Muka Dahlia yang basah dengan air mata buat dia tersentap. Baru dia teringat apa yang berlaku. Sesaat akal warasnya seolah-olah hilang setiap kali dia teringat akan perkahwinannya dengan Dahlia.

Hafiqa terus mengambil Dahlia daripada tangan Puan Sri Fatihah. “Jom naik bilik Fiqa,” ajaknya.

Cepat sahaja Dahlia menggeleng. Dia tidak mahu menambahkan kemarahan Furqan terhadapnya. “Akak tidur... dekat bilik akak je... "

Mata Hafiqa berkaca. Sedih dia melihat ketakutan yang terpancar di wajah kakak iparnya itu. “Nanti Fiqa bawa turun bantal akak,” ujarnya. Dahlia mengangguk. Lalu, dia terus masuk ke biliknya.

Sementara itu, Furqan dan Puan Sri Fatihah yang ada di situ masih memandang antara satu sama lain. “Macam ni lah. Kalau you benci sangat dengan Dahlia tu, you lepaskan dia. Then, you keluar dari rumah ni. Cari rumah lain.” 

Furqan terpempan. Tak sangka yang Puan Sri Fatihah sanggup menghalaunya dari rumah kerana wanita itu. Hatinya bertambah sakit. Malas dia nak berbalah, akhirnya Furqan berlalu pergi dari situ.

Puan Sri Fatihah memegang pelipis kepala. Terasa sakit kepalanya saat memikirkan perangai Furqan. Sungguh, dia menyesal kerana memaksa anak lelakinya itu berkahwin dengan Dahlia. 

Tetapi, semuanya tidak boleh diundur lagi. Sama ada Furqan melepaskan Dahlia dan keluar dari rumah itu. Atau mereka terus menjadi suami isteri dan dia akan melihat anak lelakinya itu mengasari Dahlia setiap hari.

Dada mula terasa sakit. Selepas ini entah apa yang akan berlaku dia sendiri tidak pasti.

Previous: MSHD 8
Next: MSHD 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.