Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
2,894
Kategori: Novel
Genre: Cinta
MSHD 8

“MOMMY rasa you all berdua perlu berkahwin,” Puan Sri Fatihah buka mulut. Wajah Furqan dan Dahlia yang ada di depannya dipandang silih berganti.

Furqan angkat muka menatap pada wajah si ibu. “Kahwin? Dengan budak tak sekolah ni? Pelase lah mommy. Dia tak setaraf dengan along lah. And… she’s not my taste," bentaknya dengan rasa tak puas hati. Dia sudah tidak peduli dengan Dahlia yang turut berada di situ.

Dahlia yang mendengar kata-kata daripada Furqan terus tertunduk menekur karpet ruang tamu. Mata yang bengkak kerana menangis tadi, kembali menakungkan air jernih. Pedih sungguh kata-kata yang lelaki itu ucapkan padanya. Tetapi, hinaan itu harus dia telan kerana itulah hakikat hidupnya. Ya... dia budak tak habis sekolah.

Puan Sri Fatihah tarik nafas dalam-dalam. Sungguh dia geram dengan mulut Furqan yang tak reti nak kawal percakapan. Lagi-lagi di depan Dahlia. “Along, mind your words. You jangan suka-suka hati hina orang lain. You pun bukan manusia sempurna,” nadanya sudah mula tinggi. Mencerlung mata Puan Sri Fatihah merenung pada Furqan.

Furqan merengus kasar. Sudah dia agak, Puan Sri Fatihah akan menangkan Dahlia seperti selalu.

“Entah-entah kau sengaja panggil orang-orang tu datang rumah untuk buat aku kahwin dengan kau,” kali ini Furqan menyerang Dahlia. Jari telunjuk dihalakan pada gadis itu.

Mendengar sahaja tuduhan Furqan, Dahlia terus angkat muka. Dia menggeleng laju menafikan hal itu. “Tak. Saya tak buat macam tu. Percayalah encik. Puan sri, saya bersumpah bukan saya yang panggil orang-orang tu," bersungguh-sungguh Dahlia membela diri. Sehingga dia mengangkat telapak tangannya tanda bersumpah.

Puan Sri Fatihah ukir senyum tenang. “Ya, Dahlia. I percaya you.” 

Dahlia hela nafas lega kerana majikannya itu mempercayai kata-katanya. Namun, saat matanya beralih ke arah Furqan, dia nampak riak wajah lelaki itu masih marah padanya. Terus Dahlia kalih pandangan ke arah lain. Renungan membunuh Furqan buat dia takut.

“Hujung minggu ni, kita ke kampung Dahlia. Uruskan pernikahan you all berdua,” sambung Puan Sri Fatihah.

Furqan terpempan. Terus dia menatap pada muka ibunya yang tenang itu. “Mommy…”

“Along… mommy tak pernah minta apa-apa pun daripada along selama ni. Cuma ni je permintaan mommy. Tolong jaga air muka mommy. Sebelum orang sekeliling tahu yang you dan Dahlia kena tangkap basah, lebih baik you halalkan hubungan you dengan Dahlia. Lagipun, mommy takkan berhentikan Dahlia. Sebab Dahlia antara pembantu rumah yang terbaik mommy pernah ada. Mommy tak nak kehilangan Dahlia," panjang lebar Puan Sri Fatihah menutur kata. Dia mahu Furqan faham. Jika Dahlia terus tinggal di situ, bimbang hal itu akan terjadi lagi. 

Furqan tertunduk kesal dengan keputusan Puan Sri Fatihah. Tanpa memberikan jawapan, dia angkat kaki dan berlalu pergi dari situ.




PANG!!! 

Satu tamparan melayang ke muka Dahlia membuatkan Puan Sri Fatihah terpempan. Terus dia memeluk tubuh gadis kecil itu. Sungguh dia tak sangka yang ayah Dahlia akan bertindak sebegitu.

“Anak tak tahu malu. Kau tak sudah-sudah nak menconteng arang ke muka aku!” jerkah Daud. Langsung dia tak peduli dengan kehadiran Puan Sri Fatihah di situ.

Melur meluru ke arah Daud yang masih mahu menyerang anak mereka. “Sudahlah bang. Benda nak jadi," pujuknya dengan esak tangisan yang menggila. Begitulah nasib Dahlia setiap kali dia bertemu muka dengan Daud.

“Daud, bukan salah Dahlia," Puan Sri Fatihah juga mencelah cuba mempertahankan gadis itu.

“Aku ingat kau dah keluar dari rumah ni, kau takkan malukan aku lagi. Tapi, makin teruk perangai kau!” tengkingan Daud bersambung. Apa yang Puan Sri Fatihah katakan tadi langsung tak diendahkan.

Dahlia sudah teresak-esak menghambur tangis. Sedih dipukul dan diperlakukan sebegitu oleh ayah kandung sendiri. Pelukan Puan Sri Fatihah sedikit pun tidak menenangkan hatinya. 

Ya Allah… kenapa abah tuduh aku macam ni? Rintih hati kecil Dahlia yang sudah lelah diperlakukan sebegitu.

“Kakak…” Melur terus pergi ke arah Dahlia yang masih ada dalam pelukan Puan Sri Fatihah. Anaknya itu ditarik pula masuk ke dalam pelukannya. Dia tahu, Dahlia perlukan dirinya sekarang. Digosok perlahan belakang badan Dahlia dengan lembut. 

“Makkk…” lirih suara Dahlia memanggil Melur. Tangisannnya masih bersisa.

Puan Sri Fatihah yang melihat adegan itu turut menitiskan air mata. Sungguh, dia tak menduga hal begini akan berlaku.

“Aku akan nikahkan kau dengan budak lelaki tu. Tapi, lepas kau kahwin, kau jangan jejak kaki kau dalam rumah ni lagi. Kau jangan malukan aku. Aku takda anak macam kau!” jerkah Daud lagi. Setelah itu, dia terus keluar dari rumah dengan hati yang masih membara.

Melihat akan sikap Daud terhadap Dahlia, Puan Sri Fatihah nekad akan menjaga Dahlia. Dia akan bertanggungjawab ke atas Dahlia. Pandangan sayu dihalakan pada dua beranak yang sedang berpelukan itu.

“Kakak…” Muizz yang ada di situ terus dekati kakaknya selepas Daud pergi. Tangan Dahlia digenggam. Sungguh, dia tak mengerti kenapa Daud melayani Dahlia sebegitu. Kalau hanya kerana kakaknya itu tidak mahu ke sekolah, takkanlah sehingga sekarang amarah Daud tidak reda.

“I minta maaf, Melur. I tak sangka yang Daud akan marah sampai macam tu sekali. Tapi, percayalah yang Dahlia dan anak I memang tak buat apa-apa. Dahlia gadis yang baik. Sepanjang dia bekerja di rumah I, dia memang kerja betul-betul. Ikut arahan dan rajin.” 

Melur menoleh pada Puan Sri Fatihah dengan pandangan sayu. “Suami saya tu memang layan Dahlia macam ni, puan sri. Kadang-kadang saya pun tak faham kenapa suami saya bersikap macam tu pada Dahlia. Saya percaya anak saya tak pernah buat perangai yang teruk. Saya yang lahirkan dia, besarkan dia. Saya tahu anak saya macam mana,” balasnya dengan nada yang terbata-bata.

Puan Sri Fatihah merenung sayu pada Dahlia yang ada dalam dakapan Melur. Sungguh, dia sedih melihat gadis itu. Dia berharap agar Furqan akan menjaga Dahlia dengan baik selepas ini.




SELESAI akad nikah. Furqan terus bangun dan keluar dari masjid. Begitu juga Daud. Kelibat kedua-dua lelaki itu sudah tidak kelihatan di situ. Puan Sri Fatihah menggeleng geram saat melihat sikap Furqan. 

Melur pula hanya memandang sayu pada Dahlia. Belakang badan anak gadisnya itu digosok lembut. “Mak doakan kakak bahagia sampai syurga,” ucapnya. Air mata Melur mengalir daripada tubir mata. Begitu juga Dahlia. “Mak doa kakak kuat ya, mak. Kakak tak tahu apa nasib kakak lepas ni,” lirih suara Dahlia memohon doa daripada Melur.

Alis mata Melur berkerut nipis. Dia dapat rasakan yang Dahlia cuba sampaikan sesuatu padanya. Lantas, dia mencari kelibat suami Dahlia. Tiada. Kemudian, wajah Dahlia kembali ditatap. “Kenapa kakak?”

Dahlia menggeleng perlahan. Dia tidak mahu buat Melur susah hati. Jadi, dia ambil keputusan untuk sembunyikan sahaja hal Furqan daripada pengetahuan Melur. “Nanti macam mana kakak nak jumpa mak dengan adik-adik? Abah tak bagi kakak balik sini lagi,” cepat-cepat Dahlia menukar topik perbualan.

Melur terdiam sejenak seolah berfikir. “Tunggu marah abah reda. Kakak baliklah.” 

Dahlia mengangguk perlahan. Dalam hati dia berdoa marah Daud cepat reda agar dia dapat pulang ke kampung bertemu ibu dan adik-adiknya.

Sementara itu, Furqan yang berada di dalam kereta menyandar ke dada kerusi. Stereng digenggam kuat. Sungguh, dia tak rela berkahwin dengan Dahlia. Tetapi, Puan Sri Fatihah terus terusan mendesak membuatkan Furqan tiada pilihan. Hendak pula Alicia sering menganggunya. Jadi. Mungkin ini peluang Furqan untuk membalas dendam pada wanita itu.

“Kau ingat aku akan layan kau macam tuan puteri, Dahlia? Dalam mimpi kau. Dasar perempuan tak sedar diri. Aku yakin kau yang rancang semua ni. Kau sengaja buat semua ni supaya dapat kahwin dengan aku,” monolog Furqan sendiri. Terketap-ketap bibirnya saat ini.

“Kau fikir kahwin dengan aku akan buat kau bahagia? Tak. Aku akan buat kau derita, Dahlia,” sambungnya lagi. Marahnya masih belum hilang. 

Hati Furqan semakin sakit apabila melihat susuk tubuh Dahlia keluar dari masjid dipimpin oleh ibunya, Puan Sri Fatihah. Dia yakin, selepas ini, pasti Puan Sri Fatihah akan melayan Dahlia dengan lebih baik lagi.  





“ALONG dah ikut kehendak mommy. Kali ni, mommy kena ikut kehendak along," Furqan bersuara sebaik sahaja mereka sampai di rumah.

Alis mata Puan Sri Fatihah berkerut seribu. “Apa maksud you?” soalnya mahukan penjelasan.

“Along dah kahwin dengan perempuan ni macam yang mommy nak. Tapi, along tak nak dia tidur dalam bilik along. Along takkan anggap dia isteri walau sesaat pun. Pada along, dia tetap orang gaji dalam rumah ni. Jangan paksa along untuk layan dia baik-baik sebab along takkan layan dia macam mommy nak,” tegas Furqan sambil jari dihala ke arah Dahlia. Mencerlung matanya menatap pada wajah Dahlia.

Mendengar sahaja kata-kata Furqan, Dahlia tertunduk menekur lantai. Sudah dia agak ini akan terjadi padanya. Ibarat keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Dia tidak berharap banyak. Cuma doanya agar dia kuat untuk berhadapan dengan Furqan selepas ini. Itu sahaja.

Puan Sri Fatihah hilang kata-kata. Dia fikir dia sudah menyelamatkan Dahlia daripada Daud. Rupa-rupanya anak sendiri juga bersikap sama seperti ayah Dahlia. 

Hafiqa yang berada di situ memandang sayu pada Dahlia. Lantas tangan wanita itu dia pegang dan digosok perlahan. Bencinya pada Furqan menggunung tinggi. Dalam hatinya berdoa agar suatu hari nanti, abangnya itu akan melutut  dan merayu menagih cinta Dahlia. 

“Kau pun jangan harap aku akan layan kau macam isteri. Simpan dalam kepala otak kau yang kau adalah orang gaji dalam rumah ni sampai bila-bila!” kali ini Furqan menyerang Dahlia dengan kata-kata kasarnya.

Perlahan Dahlia mengangguk tanda faham. Air mata ditahan sehabis baik. Sepatah kata pun dia tak berani nak ucapkan. Dia tidak mahu keruhkan keadaan. Andai begini takdir hidupnya, dia reda. Selagi mana dia masih boleh bekerja dan mendapatkan duit dalam rumah itu, dia akan lakukan. Status sebagai isteri yang tak dianggap. Akan dia simpan sampai bila-bila. 

Setelah itu, Furqan berlalu pergi dari situ dengan marah yang masih bersisa. Dia yakin semuanya adalah rancangan Dahlia. Sengaja gadis itu tunjuk muka polos dan tak bersalah. Padahal… perempuan murahan! Bentak hati kecil Furqan.

Sementara itu, di ruang tamu, Hafiqa memeluk erat Dahlia seakan memujuk wanita itu. “Takpa, kak. Tak lama lagi along tu akan telan semua kata-kata dia,” sumpah Hafiqa dengan rasa geram. 

Puan Sri Fatihah mendekati Dahlia dan Hafiqa. “Jangan sedih. Mommy akan protect you. Pasal Furqan tu, Dahlia jangan risau. Tak lama lagi mesti dia sedar perangai sendiri,” pujuknya.

“Saya tak kisah kalau itu yang Encik Furqan nak. Saya akan tetap jadi orang gaji dalam rumah ni. Saya takkan ganggu dia," tutur Dahlia dengan suara yang tersekat-sekat.

Hafiqa memandang wajah Dahlia. Dia tahu Dahlia wanita yang baik. Dan pasti sahaja kata-kata Furqan tadi mengguris hati wanita itu. Sedangkan dia sendiri turut terasa apa yang dikatakan oleh abangnya itu.

Perlahan tubuh Dahlia dipeluk dari sisi. “Fiqa ada dengan akak," ujarnya.

Previous: MSHD 7
Next: MHSD 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.