Home Novel Alternatif Sfera
Epilog

Epilog 

"Baguslah kalau begitu Julia. Sam pun sudah jelaskan perkara yang sebenar. Aku sudah agak dari awal-awal lagi. Ini semua salah faham sahaja," kataku kepada Julia berkenaan dengan apa yang terjadi antara dia dan Sam melalui Skype. Aku lega apabila diberitahu bahawa Sam telah menyelesaikan masalah perniagaannya dengan pihak yang berwajib.

"Baiklah Marina. Aku akan cuba buat apa yang kau cakap tadi. Aku akan cuba tenangkan diri," kata Julia.

"Ha! Macam itulah. Kau jangan risau, okey? Kau jangan fikir yang bukan-bukan."

"Terima kasih Marina. Aku tidak tahulah apa yang akan terjadi kalau kau tiada. Okeylah. Maaf selalu sangat ganggu kau. Nanti bila ada masa kita borak lagi. Tetapi aku janji, aku tidak akan cakap lagi tentang ini"

"Okey. No problem!"

"Bye Marina!" Julia melambai manja.

"Fuh! Lega!" Kataku sendirian selepas perbualan kami diputuskan.

"Marina. Jom kita sarapan," lembut Michelle memanggilku. Dia keluar dari dapur sambil membawa dua mangkuk bubur kacang hijau ke meja makan.

"Wow! Sedapnya!" Kataku sebaik sahaja menyuap bubur kacang hijau itu ke mulutku. Rasa durian daripada bubur itu benar-benar mengancam!

"Tengoklah siapa yang masak."

"Mana pula kau dapat durian, Michelle?"

"Nanti kalau ada masa nanti aku bawa kau ke sana," jawab Michelle. Dia memberi gambaran seolah-olah tempat itu merupakan satu tempat yang penuh misteri.

"Ada-ada sahajalah kau ini, Michelle."

Selepas sahaja bersarapan, aku kembali duduk di meja kerja dan memeriksa update-update terkini di Facebook. Aku juga membalas mesej-mesej yang dihantar kepadaku beberapa jam sebelum aku mula berbual dengan Julia. Jika tidak kerana berbual panjang dengannya, aku pasti sudah siap membalas mesej-mesej itu. Kebanyakkan mesej-mesej itu datangnya daripada kakitangan Hey yang memberikan ucapan selamat kepadaku. Dengan penuh rasa gembira, aku membalasnya kembali dan mengucapkan terima kasih atas hadiah buku memoir Barbara Walters yang diberikan mereka kepadaku sebelum aku berlepas ke California.

Ya. Aku menerima tawaran Diana Sinclair dan meneruskan perancanganku ke California. Pada hari ini, genaplah seminggu aku berada di sini. Aku telah memaklumkan kepada Diana dan pengurusan Lataya tentang ketibaanku dan pada minggu hadapan aku diminta untuk melapor diri dan memulakan tugas di Lataya. Segala-galanya telah diputuskan dan ini ialah jalan yang aku pilih demi karierku. Akan tetapi, ada satu lagi perkara yang belum aku selesaikan.

"Persoalan tentang cinta," Tiba-tiba Michelle bersuara.

"Huh?" Aku menoleh ke arahnya. Hairan bagaimana Michelle seolah-olah boleh menduga apa yang aku fikirkan.

"Apa?" Tanya Michelle dengan wajah yang penuh kehairanan.

"Kau ada tanya aku apa-apakah sebentar tadi?"

"Tiada pula. Kenapa?"

"Aku rasa kau ada cakap sesuatu tadi," kataku sambil mengerutkan keningku.

"Oh! Aku bukan cakap dengan kau. Aku cuma baca tajuk artikel dalam majalah Hey yang baru ini."

"Eh! Edisi Hey yang baru sudah keluar? Mari sini bagi aku baca."

Michelle menghulurkan majalah Hey yang dipegangnya.

"Edisi kali ini adalah tentang cinta?" Perasaan pelik mula timbul sebaik sahaja majalah itu berada di tanganku. Aku mempersoal relevan mereka memilih topik itu. Dengan serta merta, wajah Daniel muncul di ingatan.

Pantas, aku membuka akaun Facebook dan menghantar mesej kepada Daniel.

-Hai! Saya sedang baca edisi Hey yang terbaru-

Aku menulis ringkas. Untuk beberapa ketika, aku menunggu di hadapan komputer namun tiada apa-apa balasan daripada Daniel. Lalu,aku mengalihkan perhatianku kepada Michelle.

'Ping!' notifikasi Facebookku berbunyi.

"Siapa?" Tanya Michelle.

"Daniel," jawabku tenang. Cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan keterujaanku. Aku segera membaca mesej Daniel.

-Hai...!!!- mesej Daniel ringkas tetapi tiga tanda seru itu benar-benar mengelirukan aku.

-Hai Daniel!- aku membalas dengan hanya menggunakan satu tanda seru supaya tidak nampak terlalu teruja.

-Maafkan saya Marina. Saya ada kerja sedikit tadi. Awak sudah baca Hey yang baru?-

-Sudah...-

-Wow! Saya tidak sangka pula awak masih lagi minat dengan Hey Marina...-

-Tidak minat. Cuma membaca Hey buat saya terkenangkan sesuatu-

-Sesuatu atau seseorang?- walaupun tidak nampak riak wajahnya atau mendengar suaranya, aku tahu itu satu soalan penuh helah yang berbaur nakal.

-????!!!- ringkas aku menjawab. Atau dalam kata lain, 'apa yang awak cuba tanyakan sebenarnya? Jangan cuba bermain-main dengan hati ini! Jangan Mulakan faham!'

-Jadi bagaimana dengan Edisi Cinta kami Marina? Menarik?-

-Sangat menarik! Tetapi kenapa pilih topik cinta untuk edisi ini? Hmm...-

-Saya rasa tidak salah bukan? Apa yang tidak kena?-

-Bukankah sekarang ini bulan November?-

-Lah.... Kenapa tidak boleh buat pada bulan November?-

-Sebab ini topik cinta Daniel-

-Marina... Topik cinta bukan seperti topik Merdeka, Aidilfitri dan Krismas. Kalau topik-topik itu ada logiknya pilih mengikut musimnya-

-Orang sambut Valentines bulan Februari bukan?-

-Oh... Valentines. Hmmm. Kita cuba buat kelainan sedikit. Kita cuba raikan cinta setiap hari! Lagi pun di Malaysia ramai orang berkahwin pada hujung tahun bukan?- terang Daniel.

-Ya. Betul! Genius sekali! Jadi apa yang awak hendak buat untuk bulan Februari nanti?-

-Hmmm.. Oleh kerana banyak majalah yang akan buat topik Valentines dan cinta. Hey akan buat yang lain. Tetapi kami belum putuskan topik apa-

-Okey. Strategi yang bagus.-

-Jadi bagaimana dengan Chicago Marina?-

-It's a nice place. Tetapi tempat ini sangat asing bagi saya Daniel. Saya tidak dapat bayangkan jika saya datang bersendirian ke sini-

-Nasib Michelle ada untuk temankan awak-

-Ya. Semasa Gina beritahu yang dia tidak dapat temankan saya tempoh hari. Saya betul-betul gubra. Saya bernasib baik sebab Michelle lapang dan boleh temankan saya-

-Bagaimana dengan tempat tinggal? Awak sudah lapor diri di Lataya atau belum?-

-Setakat ini semuanya telah saya uruskan. Tempat tinggal pun nampaknya selesa dan kawasannya selamat. Saya akan mula kerja minggu hadapan. Saya takutlah Daniel. Gementar-

-Jangan bimbang. Sekejap sahaja pasti awak sudah boleh biasakan diri. Hey tidak lagi sama seperti dahulu awak tahu? Kami semua merindui awak di sini T_T-

-Oh betulkah? Saya tidak percayalah -

-Ya. Betul.. Awak penulis ulasan terbaik yang pernah kami ada.-

-Yalah tu.-

-The Urban Fruits sedang membaca ulasan-ulasan awak sebagai rujukan-

-Mereka tidak beritahu saya pun tentang itu-

-Takkanlah mereka hendak beritahu pada awak-

-Kelakarlah. Saya hentam sahaja semua itu-

-Oh ya! Jadi bagaimana dengan Syam dan Norman? Awak sudah beri kata putus?-

Oh Daniel. Kenapa tiba-tiba cakap tentang hal ini? Kenapa?

-Masih berbelah-bahagi...-

-Awak masih berbelah bahagi? Marina. Awak seorang player yang handal!-

-Apa? Player? Daniel.... Jangan mulakan...-

-Maaf. Gurau sahaja...-

-Saya bukan player... :(-

-Saya tahu. Jangan nangis ya.. Baiklah Marina. Ada baiknya kalau awak beri kata putus. Jangan buat mereka ternanti-nanti. Biar orang buat kita, jangan kita buat orang-

-Ada mana-mana perempuan yang mengandung anak awakkah?-

-Ha???!!!-

-Awak cakap macam seorang bapalah Daniel. ROTFL-

-Kelakar, Marina! Kelakar sangat!-

-Okeylah Daniel. Saya tidak mahu kacau awak lagi.-

-Okey! Jaga diri. Makan elok-elok.. :D-

-Terima kasih, Daniel! Work hard, play hard!-

-Sama-sama! Awak pun sama!- 

Apa yang Daniel katakan memang betul. Aku perlu lakukan sesuatu untuk kebaikan semua pihak. Aku perlu memberi jawapan dan cuba meredakan kepanasan yang aku tinggalkan sebelum bertolak ke sini.

Aku membaca draf e-mel yang aku tulis untuk Norman:

Hai Norman! Apa khabar? Diharap baik-baik sahaja di sana. Maaf kerana mengambil masa yang lama untuk menghubungi awak semula. Terlalu banyak urusan yang perlu diselesaikan sejak kebelakangan ini dan kini barulah ada kesempatan untuk saya menulis kepada awak. Untuk pengetahuan awak, saya sudah pun selamat sampai di Chicago dan pada minggu hadapan, saya akan memulakan tugas saya di Lataya.

Keterujaan untuk memulakan hari pertama di sana memang sukar digambarkan. Namun, kadang-kala saya terfikir sama ada ini semua realiti atau pun khayalan semata. Jujur saya katakan, saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Dalam sekelip mata sahaja segala-galanya berubah. Rasanya kita baru sahaja melangkah ke tahun baru dan sekarang ini kita sudah berada di penghujung tahun. Pantasnya masa sehingga saya kadangkala takut untuk melelapkan mata di malam hari. Namun, itulah kehidupan. Satu realiti yang perlu dihadapi. 

Kita sentiasa berusaha ke arah realiti yang lebih indah dan seperti kebanyakkan orang yang memburu impian ini, kita antara yang terkesan dengan pantasnya masa. Norman, dalam diam tidak diam, sudah hampir sedekad kita berkenalan dan dalam tempoh itu, kita telah banyak mengenali antara satu sama lain. Banyak pengalaman yang kita kutip bersama dan semua itu merapatkan hubungan kita sehingga terjalinnya satu jalinan yang istimewa antara kita. Begitu istimewa sehingga ramai yang mencemburui kita.

Namun, langit tidak selalunya cerah, ikatan yang telah kita jalinkan telah terputus di tengah jalan dan sejak dari saat itu, kita cuba untuk melupakan tahun-tahun yang berlalu. Mencari arah yang berbeza. Melalui jalan-jalan asing yang tidak pernah kita temui sebelumnya dalam mencari dan mengenal diri yang selama ini terbuai dalam mimpi.

Jujur saya katakan, apa yang berlaku memberi kesan yang mendalam kepada diri saya dan sehingga saat ini, saya masih lagi terkesan dengannya . Namun, itu semua telah banyak mengajar saya erti kehidupan dan daripada situ, saya diberi kekuatan untuk membina semula hidup yang baru. Semua yang berlaku membuatkan saya sedar yang saya tidak boleh mengharapkan orang lain untuk menentukan hala tuju hidup saya. Jika dahulu, apa yang saya fikirkan adalah untuk gembira bersama orang yang tersayang. Tetapi selepas apa yang terjadi, saya sedar yang saya perlu menyayangi diri saya terlebih dahulu sebelum saya menyayangi orang lain agar saya lebih menghargai kehidupan dan orang-orang yang ada dalam hidup saya.

Norman, saya pasti awak sudah dapat mengagak sebab utama saya menghantar mesej ini. Lain tidak bukan adalah untuk memberi jawapan kepada pertanyaan awak berkenaan dengan 'kita'.

Dahulu, tidak pernah tergambar di fikiran saya yang awak akan hilang daripada hidup saya. Keberadaan awak cukup lama dalam hidup saya. Perkenalan kita bermula sejak umur kita belasan tahun, jadi manakan bisa saya melupakan begitu sahaja tahun-tahun berlalu yang dihiasi dengan kehadiran insan bernama Norman.

Perasaan ini cukup kuat mengatakan bahawa Norman merupakan insan yang paling mengenali diri ini. Jiwanya saya rasakan begitu padan sampaikan sehingga kini kehadirannya masih dapat dirasai walaupun dia berada jauh beribu batu. Keberadaannya yang cukup lama dalam hidup saya juga membuatkan dirinya begitu berpengaruh dalam jiwa saya. Begitu kuat pengaruhnya sehingga apa yang saya buat dan putuskan berputar dalam persoalan sama ada insan bernama Norman ini akan berasa bangga atau pun tidak.

Ternyata bukan mudah untuk membuang sesuatu yang telah tersemat dalam jiwa untuk sekian lama.

Kita punyai akal untuk berfikir. Kita diberi emosi untuk merasa. Jika kedua-duanya diimbangi dengan baik, kita pasti dapat melalui kehidupan penuh mencabar ini dengan tenang. Lalu, dengan kewarasan yang diberi dan anugerah emosi yang stabil, saya telah pun bersedia untuk memberitahu awak bahawa pengaruh yang ada pada insan bernama Norman ini tidak cukup kuat untuk membuatkan saya mengatakan 'ya' dan menyambung semula ikatan yang pernah terjalin suatu ketika dahulu seperti mana yang diharapkan.

Berat untuk saya membuat keputusan ini. Jauh di lubuk hati, saya cukup sedih kerana buat kali kedua, hubungan istimewa ini terpaksa dibiarkan berlalu tanpa sebarang hasil. Dalam hal ini, janganlah pernah ada rasa kesal kerana apa yang berlaku menjadikan kita lebih baik dari semalam. Ini semua telah ditakdirkan dan kita perlu menerima kenyataan bahawa cinta pernah wujud antara kita. Tetapi kita tidak ditakdirkan untuk bersama.

Saya berharap agar satu hari nanti, awak memperolehi apa yang awak inginkan selama ini. Semoga awak akan bertemu dengan seseorang yang dapat mencintai awak sepenuh jiwa dan menumpukan sepenuh hidupnya kepada awak.

Namun, janganlah hubungan kita terputus di sini. Harapan saya agar persahabatan kita akan terus berkekalan dan semoga kita beroleh bahagia yang diimpikan.

Yang Ikhlas,

Marina


Setelah berpuas hati, aku menekan butang 'send'

"Fuhhh! Lega! Sekarang, ada baiknya jika aku hubungi Syam" kataku sendirian.

"Apa?" tiba-tiba Michelle bersuara.

"Aku tidak kata apa-apa pun" jawabku.

"Rasanya sebentar tadi aku dengar kau ada sebut nama Syam"

"Haish! Kau pasang telinga ya Michelle?" kataku diikuti dengan gelak tawa daripada Michelle. "Hmmm... Bukan main suka lagi kau ya Michelle? Memang aku ada sebut nama dia sebentar tadi"

"Jadi apa yang kau fikirkan sebenarnya?"

"Entahlah. Aku rasa aku patut hubungi dialah Michelle"

"Baguslah kalau begitu. Elakkan situasi panas dalam apa jua cara" kata Michelle. "bercakap tentang situasi panas, kau ada padam apa yang aku suruh kau padam semalam?"

"Oh ya!" kataku sambil menyemak semula beberapa perenggan yang telah aku potong daripada emel asal yang ingin aku hantar kepada Norman.

Norman, saya tidak membenci awak. Tetapi, secara jujurnya cinta yang awak janjikan bakal meragut jati diri saya.

Saya sanggup berkorban tetapi kehidupan ini terlalu pendek untuk disia-siakan.

"Sudah! Aku sudah buang perenggan perenggan yang tidak sedap dibaca itu"

"Bagus. Jadi apa yang kau tunggu lagi? Telefonlah dia" gesa Michelle.

"Sekarang?" tanyaku ragu-ragu.

"Ya! Kenapa macam teragak-agak sahaja ini? Kau malu ya?"

"Malu? Eh tidaklah!"

"Kalau begitu apa lagi? Telefon sahajalah si Syam itu"

"Kau pasti aku patut guna telefon?"

"Ya! Guna telefon"

"Skype? Emel?"

"Oh tidak. Tidak sesuai sama sekali. Gunakan telefon sebab dramanya lebih umphhh!"

"Ada 'umphhh' ? Ada-ada sahajalah kau ini Michelle. Hmmm. Entahlah. Aku pun tidak tahu apa yang kau cuba maksudkan. Tetapi aku pun rasa aku patut telefon dia. Lebih dramatik. Lebih umphhh!"

"Jadi apa kau tunggu lagi? Jangan buang masa. Telefon syam sekarang juga!"

"Okey. Tiada masalah. Tetapi..."

"Tetapi apa lagi Marina?"

"Tolong jauhkan diri daripada aku. Aku perlukan privasi"

"Bila bab-bab macam ini kau buang kawan ya. Tidak mengapalah. Biar aku bawa diri ke dapur. Sob... Sob... Sob" kata Michelle. Dia berlari ke dapur. Aku pula hanya tertawa melihat gelagatnya.

Aku mencapai telefon bimbitku dan mencari nombor telefon milik Syam yang masih aku simpan dalam memori telefonku. Namun, tiba-tiba satu nombor asing menghubungiku. Daripada nombor yang tertera, aku tahu itu ialah panggilan dari Malaysia.

"Hello?" aku menjawab. Nadaku perlahan dan penuh hati-hati.

"Hello Marina..." sapa pemanggil dengan lembut. Aku kenal benar dengan suara itu. Lebih-lebih lagi cara dia menyebut namaku. 

"Syam?" soalku terkejut dan tidak percaya akan kebetulan yang berlaku.

"Ya Marina. Ini saya... Syam" 

"Syam. Saya baru sahaja teringat untuk menelefon awak" kataku teruja seolah-olah baru sahaja menyaksikan satu keajaiban berlaku di hadapan mataku.

"Saya tidak percayalah. Entah-entah awak langsung tidak ingat pada saya"

"Betul Syam. Saya sedang cari nombor awak tadi"

Syam hanya ketawa kecil. Aku tahu dia sukar untuk mempercayai kata-kataku. Bukan senang untuk membuatkan seseorang itu percaya kepada kebetulan.

"Jadi apa yang sedang awak buat di sana Marina?"

"Bukankah saya cakap dengan awak tadi yang saya sedang cari nombor awak..." aku mengulang. Cuba meyakinkan Syam.

"Oh ya! Maaf saya terlupa pula. Baguslah kalau begitu. Tidak sangka ada orang masih ingat pada saya lagi"

Aku hanya ketawa apabila mendengar kata-kata Syam. Sebenarnya aku keliru dengan emosi yang cuba ditonjolkan. Aku tidak tahu sama ada itu ialah rajuk, tawa atau duka? Sukar bagiku untuk mentafsir kata-katanya.

"Awak ada di mana sebenarnya Syam?" aku sengaja mengubah topik perbualan.

"Saya sekarang di Pulau Pinang. Baru sahaja habis seminar. Bosan duduk dalam hotel ini. Sebab itulah saya telefon awak."

"Awak seorang sahaja di sana?"

"Tidak, saya ditemani netbook kesayangan. Sepanjang hari saya menghadap netbook."

"Tengok YouTube ya?"

"Ya. Sambil-sambil"

"Sambil-sambil? Hmm... Jadi apa yang awak hadapkan sepanjang hari?"

"Tengok benda-benda 'menarik'... " jawabnya ringkas diakhiri dengan tawa nakal.

"Ha? Ish takut saya dengar. Apa yang awak buat sebenarnya Syam?"

"Cubalah teka..."

"Awak baca blog Obefiend?"

"Tidak"

"Blog Jumie Samsudin?"

"Tidak"

"Zalora.com?"

"Lagi salah!"

"Awak baca manga?"

"Salah..."

"Awak baca berita?"

"Baca berita?" Syam ketawa terbahak-bahak. Tekaanku yang akhir benar-benar melucukannya.

"Alah. Malaslah hendak teka lagi. Semuanya salah!" aku mengaku kalah. Syam pula masih lagi mentertawakan aku.

"Sebenarnya saya sedang tengok-tengok website MIT dan Oregon State Uni.."

"Wow! Awak rancang untuk sambung belajar?"

"Ya. Itulah hasrat di hati. Tetapi tidak tahu lagi bila. Saya sedang cari topik tesis yang sesuai"

"Lepas sambung master, awak sambunglah PHD. Boleh saya panggil awak Doktor Syam"

"Dr. Syam? Jauh betul awak fikir Marina"

"Yalah. Kita mesti berfikiran jauh. Siapa tahu nanti awak boleh bekerja di MIT"

"Saya tidak pernah pula terfikir sejauh itu Marina. Tetapi jika itu yang awak doakan. Amin"

"Harap-harap begitulah Syam"

"Kalau betul saya dapat kerja di MIT. Awak hendak ikut saya Marina?" tanya Syam. Kali ini nadanya serius, seperti benar-benar dia mahu bekerja di sana.

"Mestilah! Boleh jumpa Prof Chomsky!" aku bercanda. Cuba mengelak daripada soalan penuh helah yang aku sendiri sukar menjawabnya.

"Pening kepala kita kalau jumpa dia nanti...." jawab Syam.

"Tidak mengapa Syam, kalau pening, awak minum sahajalah jus gembira awak itu"

"Kalaulah semudah itu." kata Syam. Dia ketawa kecil dan kemudian dia mengeluh sendirian.

"Mungkin juga awak patut cipta resipi jus yang baru" cadangku kepadanya. Namun, Syam tidak memberi apa-apa respon. Malah, topiknya diubah.

"Oh ya Marina. Bagaimana semuanya di sana? Awak sudah bersedia untuk bekerja di tempat baru?"

"Bersedia? Saya tidak tahu apa yang perlu disediakan. Kadang-kadang saya teruja sangat. Kadang-kadang saya rasa gementar. Harap-harap saya okey minggu hadapan"

"Alah. Bertenang. Tidak perlu risau sangat. Segala-galanya akan okey. Percayalah cakap saya. Dalam masa empat minggu sahaja awak sudah boleh biasakan diri."

"Harap-harap begitulah. Terima kasih Syam sebab sudi hubungi saya dan beri kata-kata semangat"

"Saya anggap itu sebagai satu tanggungjawab walaupun... Hmmm..." Syam terhenti seketika. Teragak-agak untuk berkata.

"Oh. Awak tiada apa-apa rancangan malam ini Syam?"

"Tidak ada apa-apa pun. Saya rancang hendak duduk bersendirian di bilik hotel. Mengenang nasib diri" kata Syam. Gayanya seperti bintang filem komedi enam puluhan.

"Lain betul bunyinya? Mengenang nasib diri apa pula ini ha?" 

"Mengenangkan impian cinta yang tidak kesampaian" jawab Syam.

"Hahahahaha" kami hanya mampu ketawa.

Syam pernah berkata kepadaku, "When things get too painful, you either avoid them or we laugh"

"Prince of Tides?" aku meneka.

"Ya" jawab Syam. Teruja kerana aku dan dia berkongsi minat filem yang sama.

"Jadi awak jadikannya sebagai prinsip hidup awak?"

"Kadang-kadang. Terutama sekali bila kenyataan itu betul-betul menyakitkan" jawab Syam.

Beberapa hari sebelum aku berlepas ke Chicago, aku bertemu dengan Syam. Aku memberitahunya tentang pemergianku dan jawapan untuk soalan yang pernah diajukannya kepadaku. Jawapan yang aku beri sememangnya mengecewakan Syam. Alasanku untuk tidak mahu terburu-buru dalam soal cinta dan rumah tangga diterima Syam dengan tenang. Daripada saat itu, kami tidak lagi berhubung. Saat aku cuba untuk menghubungi Syam, aku sebenarnya teragak-agak untuk bercakap dengannya. Risau kalau-kalau Syam bersikap dingin terhadapku.

"Jangan begitu Syam. Saya rasa masa yang tidak sesuai. Mungkin kalau tercapai pun, tidak bagus untuk awak dan tidak bagus untuk orang yang satu lagi"

"Mungkin juga saya yang bertepuk sebelah tangan"

"Itu susah saya hendak kata"

"Mungkin juga saya yang terburu-buru. Yalah. Sudah lama tidak jumpa. Selepas itu dua tiga kali berjumpa terus ajak kahwin. Mungkin si dia itu takut agaknya"

"Itulah awak. Gelojoh sangat"

"Mungkin saya kena tunggu. Saya perlu beri dia masa. Mana tahu, nasib menyebelahi saya untuk kali yang kedua"

Aku hanya mampu mengiakan apa yang dikatakan oleh Syam. Kami berbual untuk seketika dan aku mengakhiri perbualan kami dengan ucapan selamat.

Tidak lama selepas itu, aku menerima satu mesej.

"Norman.." perlahan aku menyebut nama pengirim dan segera membaca isi kandungan mesej itu.


Saya faham maksud awak. Maaf jika selama ini saya membuat awak terumbang-ambing mencari diri di sebalik bayang saya.

Yang Ikhlas,

Norman

**************

"Fuh! Bukan mudah untuk puaskan hati semua orang" keluhku sendirian. "Namun, inilah jalan yang terbaik dan aku amat-amat berterima kasih atas segalanya"

Aku membuka tingkap dan menjengah keluar. Di situ, aku lihat sekumpulan kanak-kanak sedang bermain riang di sebuah taman permainan. Aku mendongak melihat langit yang cerah. Pantas, satu persatu wajah yang pernah hadir dalam hidupku tergambar di fikiran. Di saat itu aku terfikir, walau apa pun peranan mereka. Mereka telah mengajar aku untuk mengenali, memahami dan yang penting sekali menyayangi diriku dengan lebih mendalam.


Aku mengambil buku jurnalku dan menyelak helaian demi helaian. Banyak kata-kata indah yang aku catitkan di situ. Sepanjang catatan, kata-kata Diana Sinclair yang aku catitkan di situ betul-betul lekat dalam jiwaku.


What would you do if you suddenly lost everything? How do you keep going? How do you keep yourself motivated?

What would you do if you just realized that you are not sure what you want in life? What would you do if you just realized that for a long period of time you just focused on the happiness of others but not yours?

But it is never too late to mend. Everyone needs an icon. A clearer picture of which peak they want to reach. It's important to know what you want in life. It's important to imagine success and to have focus. You imagine yourself having some well-known significance or qualities. It could be literal or figurative meaning. Personal icon.You work towards that. To achieve and materialize what you imagine in your head. Put your energy on it and seek the meaning of life out of it.


Setelah membacanya berulang kali. Aku tersenyum sendirian dan hatiku mula berbisik, 'Zara, James, Susila, Rani, Rohani, Norman, Daniel, Syam, Saerah, Gina, Julia, Diana Sinclair semuanya . Terima kasih atas ilham yang diberi. Terima kasih atas segalanya.'

Aku menutup jurnal yang penuh dengan kebetulan, drama dan tragedi ini. Jika aku kurang jelas dengan konsep takdir sebelum ini. Menyelak kembali jurnal ini membuatkan aku mula memahami bagaimana segalanya berputar dalam kehidupan kita. Takdir ditentukan, keinginan dan harapan diluahkan, petanda diberi dan tindakan perlu diambil. Takdir punyai banyak sisi yang memungkinkan kita untuk memilih. Kita sentiasa diberi pilihan dan setiap seorang daripada kita bertanggungjawab ke atas kehidupan kita dalam realiti yang penuh misteri ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.