Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
13,964
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 11

Jaim memandang Elika yang sedang terbaring di atas katil. Sudah dua bulan berlalu namun Elika masih belum sedar dari koma. Jaim menyentuh jemari gadis itu. Dia menyalahkan dirinya kerana membenarkan Elika mengikuti rombongan itu. Kalau masa boleh diputar semula tidak mungkin dia membenarkan Elika pergi.


"Apa khabar Jaim?" tanya Zainal sambil menyentuh bahu Jaim. Jaim tersenyum hambar. Zainal merupakan ayah Gloria. Dia dan Zainal semakin rapat sejak kedua-dua anak mereka terlibat dalam kemalangan yang sama.

"Baik, kamu dah sarapan?" tanya Jaim sambil bangun dari kerusi. Dia membetulkan selimut Elika.

"Belum lagi. Jom lah, kita sarapan tempat biasa," ajak Zainal. Jaim mengangguk setuju.

                                         *****

"Saya bukan ayah yang baik," kata Jaim perlahan. Zainal tersenyum hambar

"Saya tak sepatutnya izinkan dia pergi hari tu," sambung Jaim dengan perasaan sebak. Sejak arwah isterinya pergi, Elika belajar sendiri mengurus diri. Dia sangat sibuk sehingga terlepas banyak masa dengan gadis itu. Elika tidak berkata apa-apa apabila dia berkahwin semula. Dia sedar bagaimana layanan Karina dan Lanaa pada Elika namun dia memilih untuk berdiam diri. Elika pula langsung tidak pernah mengadu dengannya.

"Bukan salah awak. Kita sendiri tak tahu kemalangan tu akan berlaku," balas Zainal. Pada mulanya dia pun seperti Jaim. Dia menyesal melepaskan Gloria pada hari itu. Namun bila difikirkan semula kemalangan itu luar dari kawalan mereka. Ia boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa.

"Saya tahu awak risaukan Elika. Saya juga risaukan Gloria. Kita tak boleh putus asa Jaim. Mereka pasti akan sedar," sambung Zainal lagi. Jaim mengangguk perlahan. Setiap hari dia berdoa agar adanya keajaiban yang berlaku. Doktor juga tidak dapat menentukan berapa lama masa yang diambil oleh Elika dan Gloria untuk sedar semula. Namun mereka perlu bersedia walauapapun kemungkinan yang akan berlaku. Jaim melepaskan keluhan berat.

                                       *****

"Sampai bila abang nak berkampung kat hospital?" soal Karina dengan riak wajah yang tidak puas hati.

"Elika tu tak tahu lagi bila nak sedar. Kerja kat pejabat tu siapa nak buat? Macam mana kalau Elika ambil masa sepuluh tahun untuk bangkit semula? Nak biarkan syarikat musnah?" soal Karina bertalu. Jaim tidak jadi mencapai tuala. Dia berpaling memandang isterinya itu.

"Dari dulu awak memang tak pernah anggap Elika tu anak awak. Sebab tu awak langsung tak kisah bila Elika masuk hospital. Dengar sini Karina, kalau awak susah hati sangat pasal syarikat, apa kata awak turun sendiri buat kerja?" cadang Jaim separuh memerli. Karina mendengus geram.

"Saya pula yang salah. Saya cuma ingatkan abang. Jangan sampai syarikat dah musnah baru nak sedar. Lagi satu, memang Elika tu bukan anak saya. Tapi saya tak lah sampai berdoa dia tak sedar semula. Saya cuma ingatkan abang jangan buang masa kat sana. Doktor tu bukannya tak buat kerja," balasnya keras sebelum menuju ke arah pintu. Dia menarik kasar pintu bilik lantas berlalu keluar. Jaim meraup wajahnya.

                                       *****

"Esok malam nenek tu nak ajak aku tengok perigi tu," beritahu Elika dengan senyuman lebar. Gloria ikut tersenyum.

"Aku boleh ikut?" tanyanya.

"Boleh. Nenek tu dah tahu pasal kita. Nenek juga ada cerita pasal perigi tu dan suaminya Yusuf. Yusuf pun macam kita. Dia terjatuh dalam perigi tu lalu sampai ke sini," cerita Elika.

"Jadi Yusuf tu macam mana? Dah balik?" soal Gloria dengan riak wajah yang jelas terkejut. Elika mengangguk.

"Dia dah kembali. Dia tinggalkan nenek dan seorang anak. Anak tu ayah Daus," jawabnya.

"Oh my god. Aku macam tak percaya. Kenapa Yusuf tinggalkan tempat ni? Aku rasa kasihan pula dengan nenek tu," kata Gloria dengan kening berkerut.

"Umur Yusuf tak panjang kalau tinggal kat sini. Sebab tu nenek sanggup berpisah dengannya. Lagipun menurut nenek,Yusuf tu sebenarnya dah ada keluarga sendiri kat sana," balas Elika dengan senyuman hambar.Gloria meraup wajahnya.

"Umur tak panjang? Macam mana nenek tu tahu?" soalnya.

"Tak tahu lah. Mungkin dukun kot yang beritahu," balas Elika sambil tersengih.

"Tak lucu," tegur Gloria dengan kening berkerut. Elika tergelak kecil.

"Kau rasa Yusuf ada tak dalam dunia ni?" soal Gloria pula tiba-tiba.

"Tak tahu lah. Aku pun tertanya-tanya juga," jawab Elika.

"Gloria, kau rasa apa yang akan berlaku kalau kita dah balik kat sana nanti?" soalnya sambil memandang tepat wajah gadis itu. Sudah dua minggu mereka di tempat itu. Susah senang dilalui bersama.

"Macam biasa lah. Kembali ke kelas seperti biasa. Mungkin juga bila dah balik kat sana kita langsung tak ingat apa yang berlaku. Aku pun tak tahu lah. Walauapapun yang menunggu kita kat sana, aku harap kau tak lupakan aku," jawab Gloria dengan riak wajah serius. Elika tergelak.

"Kau pun sama. Kalau kau lupa kat aku, aku akan buat sampai kau ingat aku semula. Kalau perlu terjun perigi semula pun aku sanggup," usiknya.

"Kau jangan gila," balas Gloria sebelum ikut tergelak.

                                       *****

Idham memandang sekeliling. Bilik itu terasa kosong apabila Elika tidak ada.

"Rindu Elika?" tegur Hana yang sedang berjalan menghampiri. Idham tersenyum.

"Mesti lah rindu. Sejak kecil dia tidak pernah berpisah dengan kita. Abang rasa rumah ini kosong tanpa Elika," balasnya. Hana memeluk lengan suaminya itu.

"Cita-cita Elika sejak kecil memang mahu kahwin dengan putera. Sekarang impiannya hampir tercapai. Hana gembira," katanya dengan senyuman lebar.

"Hana jangan gembira sangat. Nanti Hana kecewa kalau tiba-tiba Elika tidak dipilih," balas Idham separuh menasihati.

"Baik abang. Bukan Hana yang kecewa tapi Elika. Kalau itu berlaku mesti Elika akan sangat kecewa. Hana tidak dapat bayangkan bagaimana Elika hendak pulih nanti," kata Hana mula risau. Idham tersenyum.

"Jangan fikir banyak. Pasti Elika akan terpilih," pujuknya. Hana mengangguk dengan senyuman. Rindunya dia pada gadis itu.

                                    *****

Elika hanya memandang Firdaus yang sedang menikmati minumannya.

"Susah sangat mahu jumpa awak. Awak asyik berkepit dengan nenek," komen Firdaus. Elika tergelak kecil.

"Semalam dah jumpa awak. Tak bosan ke asyik pandang muka saya?" soal Elika separuh mengusik. Firdaus tersenyum. Elika terpaku melihat senyuman lelaki itu. Memang Firdaus jarang dilihatnya tersenyum. Apabila tersenyum boleh cair hati yang melihatnya.

"Tidak mungkin kalau orang itu adalah awak. Elika, esok adalah hari terakhir ujian," katanya.

"Betul. Saya dah tak sabar nak balik rumah. Saya takut tak sempat nak jumpa mama. Ni peluang terakhir saya. Mungkin lepas ni saya tak ada peluang ni lagi," balas Elika dengan senyuman hambar.

"Lepas ini awak mahu pergi mana?" soal Firdaus perlahan. Elika menggigit bibir.

"Daus saya nak beritahu awak sesuatu. Tapi awak janji tak marah saya. Boleh?" pintanya. Firdaus menarik nafas dalam.

"Saya janji," balasnya.

"Dunia awak ni bukan dunia saya. Kita berdua bukan datang dari tempat yang sama. Awak kat sini saya pula tempat lain," beritahu Elika. Wajah tenang Firdaus agak mendebarkannya. Sukar untuk dia meneka apa yang ada dalam fikiran lelaki itu.

"Jadi awak akan pergi?" soal Firdaus. Elika mengangguk.

"Awak macam tak terkejut aje dengar pengakuan saya. Atau awak fikir saya sedang buat lawak?" soalnya agak risau. Firdaus tersenyum hambar. Jika dulu cuma tekaannya. Kini tekaannnya itu sudah jadi kenyataan. Kenyataan yang sukar untuk dia terima.

Kenapa mesti Elika?

"Daus, maafkan saya," ucap Elika dengan perasaan bersalah. Firdaus tunduk memandang jemarinya.

"Bila awak mahu pergi?" soalnya pula tanpa menjawab.

"Dalam tempoh tiga hari lagi. Awak tak ada soalan lain?" jawab Elika separuh menyoal. Dia sebenarnya semakin rasa bersalah apabila lelaki itu tidak bertanya dengan lebih lanjut lagi.

"Saya tidak perlu tanya awak lagi. Nampaknya sejarah lama akan berulang semula. Awak ini datang dari dunia yang sama dengan atuk saya kan?" soal Firdaus. Elika terkedu.

"Awak tahu?" soalnya. Dia menepuk dahi.

Mesti lah Firdaus tahu. Ni sejarah keluarga mereka.

Elika tergelak kecil. Dia rasa lega. Nampaknya tidak payah dia terangkan lebih lanjut lagi pada lelaki itu.

"Awak memang suka bila dapat tinggalkan saya kan?" soal Firdaus lagi tanpa senyuman. Elika terdiam. Lidahnya tiba-tiba kelu untuk membalas. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.