Pulang dari pejabat petang itu,
Ziyad lihat Ainin masih berada di dapur.
Sedang sibuk memasak. Tangannya lincah menumbuk cili padi di dalam lesung batu.
Entah lauk apa yang hendak dimasaknya.
“Awak tak balik lagi?”
tegur Ziyad sambil melonggarkan ikatan tali lehernya.
“Belum lagi. Puan hajah
minta saya balik lepas maghrib,” jawab Ainin. Memandang sekilas ke arah Ziyad,
kemudian kembali fokus pada tugasnya.
“Kenapa?” tanya Ziyad
hairan. Tidak pernah-pernah umi menyuruh Ainin balik lewat. Apa halnya? Ada
apa-apa yang tidak kenakah? Hatinya mula cuak.
“Puan hajah beli ikan
patin. Dia suruh saya masak asam tempoyak,” jawab Ainin tanpa memandang Ziyad.
“Umi suruh awak masak? Apa
siang tadi awak tak masak ke?” soal Ziyad. Pelik dengan arahan umi yang
tiba-tiba.
“Saya dah masak. Saya masak
ikan bakar aje. Tapi puan hajah dah beli ikan patin tu. Nak simpan dalam peti
ais, takut bila masak nanti dah tak sedap. Jadi saya masak terus. Tak apalah,
bukannya lama pun masak ni.”
Ainin sudah berhenti
menumbuk cili padi. Semua ramuan untuk memasak ikan patin gulai asam tempoyak
dimasukkan ke dalam periuk bertangkai sederhana besar. Tidak lama kemudian
periuk cantik itu sudah tertenggek di atas dapur.
Sambil
menanggalkan butang di bahagian kolar baju kemejanya, Ziyad memerhati
gerak-geri Ainin yang cukup lincah. Tidak kekok langsung mengurus tugas-tugas
di dapur.
“Ainin, hari minggu ni
boleh tak awak kerja lebih masa?” pinta Ziyad lembut. Untuk memohon jasa baik
Ainin bertugas di hari minggu, dia kena bercakap dengan sopan dan lemah lembut.
Tidak boleh main sergah saja. Dia sudah faham dengan perangai Ainin yang agak
sensitif. Mudah benar hati wanita itu tercuit apabiladia bercakap kasar
dengannya.
“Ada apa, Encik Ziyad?”
tanya Ainin, mendongak memandang Ziyad yang sedang berdiri hampir dengannya.
Lebih baik dia menyelidik dulu sebelum menjawab setuju.
“Ada tetamu istimewa nak
datang. Saya nak minta awak masakspecial sikit,”
terang Ziyad dengan mengulum senyuman, cuba mengambil hati wanita itu.
Tetamu istimewa? Siapa
gerangannya? Kawan-kawan Ziyad atau teman wanitanya yang bernama Shafinaz tu?
Minda Ainin tidak henti-henti meneka. Namun, melihat dari riak pada wajah Ziyad
yang asyik tersengih-sengih dari tadi, tidak dijelaskan pun, dia sudah dapat
mengagak siapa orangnya. Siapa lagi kalau bukan buah hati intan payungnya!
“Nak masak apa?” soal Ainin
acuh tak acuh.
“Awak tahu masak nasi
beriani?”
“Bolehlah sikit-sikit.”
“Awak masak nasi beriani
kambing. Eh, ayam sekali ya? Sebab saya suka kambing tapi tetamu yang nak
datang tu pulak suka ayam. Jadi awak masaklah dua-dua sekali,” pinta Ziyad
dengan wajah selambanya.
Amboi, banyak pula
pesanannya! Macamlah aku ni tukang masak restoran mamak, rungut Ainin jauh di
sudut hatinya. Namun, dia tetap mengangguk tanda akur dengan arahan Ziyad dan
kemudian menyepikan diri.
Ziyad yang memandang
tingkah laku Ainin berasa hairan. Ainin langsung tidak bertanya siapa tetamu
yang akan datang. Dia benar-benar tidak ambil kisahkah?
“Awak tak nak tahu siapa
yang akan datang?” soalnya tenang.
“Tak
payah tanya. Saya dah tahu,” jawab Ainin
bersahaja.
“Awak dah tahu? Siapa?”
Ziyad inginkan kepastian.
Ainin diam. Tidak kuasa
melayan Ziyad.
“Jadi awak dah dapat agak.
Awak tak kisah ke?” Sengaja Ziyad menguji hati Ainin.
“Kenapa mesti saya ambil
kisah? Bukan ke dah termaktub dalam perjanjian, saya tak boleh ambil peduli
segala urusan Encik Ziyad? Encik Ziyad berhak lakukan apa saja... keluar dengan
perempuan mana pun yang Encik Ziyad suka... saya tak berhak untuk masuk campur.
Betul tak?” ulang Ainin sambil tersenyum
sinis memandang Ziyad.
“Ya, betullah tu,” kata
Ziyad perlahan dan terus keluar dari dapur. Melangkah ke tingkat atas mahu
mengejar waktu solat asar yang hampir tiba ke penghujungnya.