“Ira,
tolong akak Ira. Tolong Kak Emmelyn Ira. Jangan abaikan Kak Emmelyn.”
Mata Farra Fauzana terbuka luas setelah
mendengar nada rayuan yang selalu berlagu di cuping telinganya sejak
kebelakangan ini. Dia tidak faham kenapa dirinya yang terpilih.
“Kak Emmelyn? Macam pernah dengar nama
tu?” Farra Fauzana mula berfikir siapakah yang empunya sebaris nama.
“Farra Amalina. Emmelyn? Ya, dia kakak
aku. Tapi ... diakan dah meninggal? Kenapa boleh wujud balik di muka bumi ni?
Tak mungkin rohnya tak aman sedangkan ....” minda Farra Fauzana terus berfikir.
“Argh! Semuanya dah berakhir, kan? Apa
lagi yang tak kena ni?” Dada Farra Fauzana berasa sesak secara tiba-tiba. Dia
ingin memegang dadanya tetapi tidak mampu berbuat demikian apabila ada sesuatu
yang menghalang. Dia melihat akar-akar kayu semalam muncul kembali dan mula
hendak membelit tubuhnya.
Kali ini Farra Fauzana tidak memberi
peluang pada akar-akar kayu puaka itu lalu dia segera bangun dari terus
terbaring lalu turun dari katil tempat peraduannya.
Tajam mata Farra Fauzana melihat
akar-akar kayu gergasi dan berpuaka itu seolah-olah marah kerana tidak dapat
dirinya untuk dijadikan bahan makanan mungkin. Akar-akar kayu itu menegak
seolah-olah sedang mencari di manakah arah duduk dirinya. Tiba-tiba sahaja bagaikan
ular akar-akar kayu itu menyerbu dirinya membuatkan Farra Fauzana menjerit
lantang lalu terus turun ke bawah. Tidak sanggup lagi untuk dia terus berada di
dalam biliknya. Ngeri rasanya melihat akar-akar kayu yang entah datang daripada
mana.
Sebaik sahaja Farra Fauzana turun ke
bawah, sekali dia terkesima memandang di sekeliling vilanya itu. Air liur yang
menuruni rengkungnya bagaikan berbatu. Amat perit sekali dirasakannya. Matanya
meliar di sekeliling rumahnya dengan rasa tidak percaya.
“Ya ALLAH, apa dah jadi dengan vila aku
ni?” Farra Fauzana menekup mulutnya. Air matanya berderai lagi. Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya. Perkara seumpama ini tidak pernah terjadi
sebelum ini tetapi kenapa setelah berpuluh tahun ia kembali menghantui dirinya.
Farra Fauzana melihat daun-daun gergasi
seolah-olah hidup mula melingkari dinding-dinding vilanya. Daun-daun itu
seakan-akan membesar dan terus membesar membuatkan hati wanita itu sedikit
kecut.
“Tidak! Tidak! Ini semua mimpi. Ia bukan
kenyataan.” Dalam tidak disedari Farra Fauzana telah berundur ke belakang
sehingga tubuhnya bertemu dengan dinding di ruang tamu.
Sebaik sahaja tubuh Farra Fauzana
terkena daun-daun gergasi yang tumbuh meliar di merata-rata dinding, ia
seakan-akan mengejutkan pertumbuhan daun-daun itu dan terus membelit tubuhnya.
Farra Fauzana terkejut dan terus menjerit dan menjerit.
“Abanggggg!!!” Kali ini lebih kuat Farra
Fauzana menjerit apabila daun-daun gergasi itu mengangkat tubuhnya yang
dicengkam kuat.
Aizir yang sedang enak diulit mimpi terjaga
apabila cuping telinganya seolah-olah mendengar satu jeritan yang maha hebat.
Terkebil-kebil mata Aizir memandang siling bilik tidurnya.
“Abangggg!!!”
Sekali lagi Aizir mendengar jeritan yang
datangnya dari bawah. Kali ini pantas Aizir memandang di tepinya dan alangkah
terkejutnya dia apabila Farra Fauzana sudah tiada ada lagi di sisinya.
“Sayang!” Aizir jadi tidak tentu arah
apabila dia mendapati Farra Fauzana tidak ada di dalam bilik mereka.
Tertanya-tanya sendiri ke manakah isterinya itu menghilang.
“Abangggg!!!” kali ini jeritan Farra
Fauzana lebih kuat dari tadi membuatkan Aizir terus tersedar sepenuhnya dan
melompat turun dari katil terus berlari ke bawah.
“Farra!!!” Terbeliak mata Aizir melihat
isterinya sedang dibelit oleh daun-daun gergasi yang seakan hidup itu. Apa yang
mengejutkan Aizir lagi, vila mereka seolah-olah telah dikepung oleh daun-daun
gergasi yang masih lagi melingkari dinding-dinding dan membesar.
“Abang, apa dah jadi dengan vila kita?”
Mata Farra Fauzana berair memandang Aizir.
Aizir terkedu tanpa sebarang bicara. Dia
masih lagi tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku di dalam vila mereka.
“Abang, Farra tak tipu abang. Akar-akar
kayu tu memang wujud semalam dan membelit tubuh Farra. Malam ni abang sendiri
tengok, muncul pula daun-daun gergasi ni. Takkan abang tak percaya lagi?” Air
mata Farra Fauzana sudah berhamburan keluar. Sesekali kelihatan wanita itu
menghisap air hidungnya.
“Abang .... tak tahu nak cakap apa.
Abang tak boleh terima apa yang berlaku pada vila kita.” Aizir masih terkaku
dan kakinya terpasak di dada lantai.
“Abang, vila kita seolah-olah disumpah.
Tapi siapa yang punya angkara? Kita tak pernah usik orang, bang.” Farra Fauzana
mengajak Aizir berbual walaupun dirinya masih lagi tergantung di dinding.
Sesekali dia mengerang apabila daun-daun gergasi itu mengeratkan lagi cengkaman
ke atas tubuhnya.
“Abang tak tahu. Abang sendiri pelik,
bukankah vila dan kampung ini telah aman? Kenapa mesti dilanda musibah semula.”
Aizir masih lagi tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku kepada diri
mereka.
“Abang, tolong Farra bang. Tolong
turunkan Farra. Daun-daun ni mampu membunuh Farra.” Farra Fauzana merayu pada
Aizir untuk membantu dirinya melepaskan cengkaman dari terus menjadi tahanan
daun-daun gergasi itu.
“Astagfirulahalazim. Maafkan abang.
Abang terleka.” Aizir mula hendak menghampiri isterinya tetapi tidak jadi
berbuat demikian apabila kedua-dua mereka terdengar jeritan Adzam dan Adzim
secara serentak. Terkejut bukan kepalang kedua-dua suami isteri itu.
“Abang, anak kita bang. Tolong mereka
bang. Farra takut akar-akar kayu tu membelit mereka. Pergi bang, pergi.” Farra
Fauzana menggesa suaminya untuk ke bilik anak-anak mereka. Dia yakin anak-anak
kembarnya sedang mengalami musibah sebagaimana dirinya juga di kala ini.
Aizir tidak membuang masa lagi lalu berlari ke atas dan
terus membuka pintu bilik anak-anak kembarnya. Sekali lagi dia terkejut apabila
melihat akar-akar kayu gergasi sedang enak membelit tubuh anak-anak kembarnya.
“Astagfirulahalazim. Apa dah jadi ni?
Adzam. Adzim.” Laung Aizir kepada anak-anak kembarnya itu.
“Abah! Tolong kami bah. Dari mana
akar-akar kayu ni datang?” Adzam memandang Aizir dengan penuh pengharapan
kerana dia tidak mampu langsung untuk bergerak di saat itu.
“Abah!!! Sakit bah ... Zim tak boleh
bernafas bah ...” Adzim kelihatan tercungap-cungap untuk bernafas dek kerana
lilitan akar-akar kayu itu yang cukup kuat mencengkam diri mereka berdua.
“Aku takkan biarkan kau setan,
apa-apakan anak aku.” Lalu Aizir mendapat semangatnya semula dan mula
melaungkan azan dengan bersungguh-sungguh.
Sebaik sahaja mendengar laungan azan
daripada Aizir, akar-akar kayu itu mula mengendur dan mula menghilang dari
terus membelit tubuh Adzam dan Adzim. Adzam dan Adzim berlari turun dari katil
apabila diri mereka bebas dari cengkaman akar-akar kayu itu.
“Zim takut bah. Apa dah jadi dengan vila
kita bah?” Adzim terus memeluk Aizir. Begitu juga dengan Adzam. Sesungguhnya
kedua-dua kembar itu berasa amat takut sekali dengan apa yang berlaku.
“Jangan takut, ALLAH kan sentiasa ada
bersama-sama kita. Tiada yang lebih berkuasa dari ALLAH. Ingat tu.” Aizir
meniupkan semangat pada kedua-dua anak kembarnya agar lebih takut kepada ALLAH
SWT daripada syaitan durjana.
Setibanya mereka di ruang tamu, Farra
Fauzana masih lagi tergantung di dinding membuatkan Adzam dan Adzim kembali
menjerit apabila melihat mama mereka dalam keadaan lemah sekali.
“Bang, Farra dah tak tahan lagi.
Daun-daun ni seolah-olah menghisap tenaga Farra.” Suara Farra Fauzana semakin
lemah.
Aizir tidak membuang masa lalu
melaungkan azan sekali lagi. Azan yang keluar dari bibir Aizir begitu lunak dan
merdu membuatkan daun-daun gergasi itu berasa gerun dan melepaskan Farra
Fauzana dari terus berada di dalam cengkamannya.
Farra Fauzana tercampak jatuh ke lantai.
Adzam dan Adzim terus mendapatkan mama mereka dan memapah wanita itu untuk ke
sisi Aizir.
“Abah, jom kita keluar dari sini.” Adzam
memberi cadangan.
“Vila kita dah tak selamat abah. Zim
takut.” Adzim memandang wajah Aizir dengan penuh pengharapan. Dia berharap agar
Aizir akan membawa mereka keluar dari situ seberapa segera. Dia tidak sanggup
lagi untuk berada lebih lama di dalam vila mereka yang bagaikan vila berhantu
itu.
“Abang, kita pergi ke rumah ibu. Farra
dah tak berdaya lagi bang. Vila kita dah tak aman untuk didiami. Tolong bang
sebelum keadaan lebih buruk berlaku.” Farra Fauzana memadang sayu pada
suaminya.
Aizir menarik nafas sebelum mengangguk
kepalanya. Ya, mereka harus keluar dari vila ini. Mereka akan kembali semula setelah
dapat mencari puncanya kenapa vila ini kembali berpuaka semula sesudah berkurun
lama didiami dengan aman. Sudah pasti ada yang tidak kena. Dia akan mencari
jawapannya kelak. Apa yang pasti kini, dia harus menyelamatkan isteri dan
anak-anaknya.
Aizir dan keluarga terus keluar dari
Vila Amira Syakila sehelai sepinggang menuju ke rumah Siti Hairani dan Imran
Haneef. Tidak sanggup lagi melihat mereka menderita di dalam vila sendiri.
Entah siapa yang punya angkara sehingga vila mereka kembali berpuaka.
“Bang, Farra yakin ada sesuatu yang
masih tertinggal menyebabkan vila kita kembali berpuaka. Mungkin ibu terlupa
hendak memberitahu kita sesuatu. Farra yakin ada yang tidak kena dengan vila
kita.” Farra Fauzana memandang suaminya dengan penuh kasih.
“Tak apa. Jangan bimbang, kita akan
dapatkan jawapannya daripada ibu nanti. Abang sendiri tak tahu apa lagi yang
masih tertinggal sedangkan kami dah berusaha untuk memenuhi setiap permintaan
arwah Amira Syakila. Buntu abang memikirkannya.” Aizir sendiri tidak pasti apa
lagi intipati cerita Amira Syakila yang masih tertinggal.
Sesekali Farra Fauzana memandang ke
belakang melihat anak-anak kembarnya kembali lena setelah melalui fasa malam
yang begitu teruk buat mereka. Sudah pasti semangat mereka lemah dengan apa yang
berlaku.
“Bang ...” Farra Fauzana kembali
memandang Aizir yang sedang memandu.
“Ya sayang. Ada apa?”
“Apa yang terjadi pada anak-anak kembar
kita tadi?” Farra Fauzana ingin tahu apakah fasa yang telah mereka berdua
alami.
“Mereka dibelit oleh akar-akar kayu
gergasi. Apa yang sayang alami semalam rupanya bukan mimpi cuma abang saja yang
tak percaya. Maafkan abang.” Aizir segera memohon maaf diatas kesilapannya
kerana tidak mempercayai isterinya itu.
“Iyalah, siapa akan percaya jika tak
alami sendiri. Pertama kali penulis novel seram berasa amat takut sekali dengan
situasi yang tidak terjangka dek akalnya.” Farra Fauzana masih boleh bergurau
untuk menghilangkan tekanan yang memenuhi ruangan hatinya.
Aizir hanya tersenyum memandang gelagat
isterinya itu. Benar sebagaimana yang dikatakan oleh Farra Fauzana, selama dia
mengarang novel seram tidak pernah sekali pun dia berasa seram kecuali pada dua
malam ini.