Home Novelet Seram/Misteri PENA
PENA
Ebriza Aminnudin
22/7/2015 21:58:50
18,010
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
BAB 3: Terperanjat

Aizir masuk ke dalam Vila Amira Syakila dengan penuh rasa hairan apabila vila itu begitu sunyi sekali. Kelibat Farra Fauzana tidak kelihatan sama sekali. Aizir terus menuju ke dapur kerana selalunya pada masa begini isterinya sedang sibuk menyediakan hidangan tengah hari di dapur. Langkah Aizir diikuti oleh kedua-dua anak kembar mereka iaitu Adzam dan Adzim.

Bertambah kehairanan Aizir apabila tiada isterinya di sana. Kerutan beribu garis mula muncul di dahi Aizir. Dia memandang ke arah anak-anaknya dengan satu pertanyaan yang sukar untuk dijawab.

“Mama mana?” Entah kenapa soalan itu terpacul keluar dari dua ulas bibir Aizir.

“Bah, kitakan sama-sama baru sampai. Manalah Zam tahu mama di mana? Takkan mama tiba-tiba hilang? Selalunya tak macam ni.” Adzam menjawab pertanyaan Aizir sambil memandang tepat ke wajah abahnya.

Ya tak ya juga. Kami semua baru sampai, ada ke pula soalan tu yang aku tanya pada mereka. Aizir ... Aizir ... apa dah jadi pada kau ni? Aizir menggelengkan kepalanya sambil tergaris senyuman nipis.

“Zim rasa peliklah bah.” Adzim pula melontar suaranya selepas Adzam.

“Apa yang pelik?” tanya Aizir ingin tahu.

“Yalah, selalunya bila kita balik, mama akan sambut kita semua. Dia akan cium tangan abah dan akan peluk kami berdua tapi hari ni kenapa mama tak sambut kita macam selalu? Tak pelik ke tu, bah?” Adzim melontarkan apa yang dia rasa. Benar juga ungkapan kata dari Adzim. Apa dah jadi pada Farra Fauzana sebenarnya sehingga dia mengabaikan kepulangan mereka bertiga.

“Bah .. tengok ni.” Suara Adzam yang maha kuat mengejutkan Aizir dan Adzim. Terus mereka berlari mendapatkan Adzam.

“Ada apa Zam?” tanya Aizir dan Adzim serentak.

“Mama tak masak apa-apa. Sayur tak siang. Ikan dibiarkan dalam sinki. Bawang semua atas meja. Zam tak sedap hatilah, bah. Mama mana ya?” Adzam mengutarakan apa yang membendung di dalam hatinya terhadap perlakuan Farra Fauzana yang agak pelik dari kebiasaan.

Aizir mengurut-urut dagunya yang tidak berjanggut. Kenapa keadaan sebegini boleh berlaku? Apa dah jadi di dalam rumah ini sebenarnya? Bagaimana dia hendak menggali jawapan sedangkan isterinya tiada di situ.

“Bah, Zim rasa ada yang tak kena ni. Jom kita cari mama.” Adzim mengheret tangan abahnya dan abangnya untuk mencari Farra Fauzana. Dia benar-benar risau akan mamanya setelah melihat semua kerja Farra Fauzana tidak menjadi satu pun pada hari itu.

Aizir dan Adzam tidak membantah lalu membuntuti langkah Adzim untuk mencari Farra Fauzana. Sesungguhnya kerisauan yang bertandang di dalam hati tiga beranak itu tidak dapat dihalau dengan begitu mudah.

Setiap sudut rumah mereka mencari Farra Fauzana namun tidak bertemu dengan dirinya. Mereka mula risau akan keadaan diri wanita itu. Tiba-tiba sahaja mereka mendengar satu suara tangisan yang amat syahdu sekali. Ketiga-tiganya saling berpandangan sesama sendiri.

“Bah, itukan suara mama? Mana mama sembunyi?” Adzam memandang tepat ke anak mata Aizir.

“Buat apa mama sembunyi? Mama takkan main sembunyi-sembunyi dengan kitalah.” Marah Adzim kerana dia tahu Farra Fauzana tidak akan bergurau sebegini dengan mereka. Untuk apa wanita itu ingin bergurau yang bukan-bukan.

“Mesti ada yang tak kena dengan mama ni sampai dia terpaksa sembunyi. Jom kita cari.” Aizir mula menjejaki suara tangisan itu sehingga bertemu dengan Farra Fauzana yang sedang bersembunyi di bawah meja solek dengan menutup telinganya.

“Sayang, kenapa sembunyi di sini?” tanya Aizir lembut sambil menyentuh tangan Farra Fauzana.

Sebaik sahaja terasa sentuhan Aizir dan mendengar suara lelaki itu, Farra Fauzana terus menjerit sakan sambil menangis teresak-esak.

“Jangan panggil nama aku! Jangan ganggu aku! Pergi! Pergi! Vila ni milik aku. Vila ini hanya milik aku! Kau dengar tak! Milik aku!” Berulang kali Farra Fauzana menyatakan ayat itu sehingga menimbulkan kehairan yang terlampau kepada Aizir, Adzam dan Adzim. Sekali lagi mereka bertiga saling berpandangan sesama sendiri.

“Mama, vila ni memang milik kita. Tak ada siapa yang boleh ambik.” Adzam mula meyakinkan mamanya.

“Jangan cakap dengan aku! Jangan rampas vila aku. Arghhh!!! Sakittttt!!!” Farra Fauzana terus menjerit sambil meronta-ronta apabila dibawa keluar Aizir dari terus menetap di bawah meja solek.

“Mama ... kenapa jadi macam ni? Telinga mama berdarah.” Adzim yang berhati lembut mula menangis melihat mamanya bagaikan orang kurang siuman.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku! Siapa kau! Siapa kau!!!” Farra Fauzana terus meronta di dalam pelukan Aizir.

“Sayang ... sayang ... ni abang. Suami sayang. Takkan sayang tak kenal abang dan anak-anak? Kenapa dengan telinga sayang.” Aizir begitu sedih melihat keadaan Farra Fauzana yang jarang sekali berada di dalam keadaan begini. Boleh dikatakan, isterinya itu tidak pernah mengalami keadaan yang rumit sebagaimana sekarang.

“Jangan sebut nama aku! Jangan sebut nama aku! Siapa kau!” Farra Fauzana terus menangis melolong bagaikan orang tiada pedoman.

“Adzam, Adzim, pergi ambil wuduk dan bacakan surah al-Kursi pada mama. Hati mama kosong dan tak tenang.” Arah Aizir secepat mungkin.

Adzam dan Adzim tidak membuang masa lalu terus ke bilik air dan mengambil wuduk. Kemudian mereka mencapai al-Quran di atas rak bilik mama dan abah mereka lalu mula membacanya dengan kuat. Aizir juga membaca beberapa potong kalamullah ALLAH untuk menenangkan isterinya itu.

Farra Fauzana terus menekup telinganya dan menjerit sekuat hati sehingga hilang suaranya. Berkali-kali dia menjerit dan meronta akhirnya terkulai di dalam pelukan Aizir apabila tidak dapat melawan dengan kalimah ALLAH yang maha berkuasa itu.

Aizir mengambil mangkuk putih dan mengisi air di dalamnya lalu mengajak Adzam dan Adzim untuk berjemaah solat Zuhur dengannya. Kemudian, dia membaca ayat-ayat Ruqyah di dalam air dan membasahi wajah Farra Fauzana.

Air mata Adzim seakan tidak mahu berhenti melihat keadaan Farra Fauzana begitu lemah sekali. Bibirnya pucat bagaikan tiada darah. Sekali pandang bagaikan mayat hidup.

“Mama, kenapa jadi macam ni?” Adzim memeluk mamanya sambil mengesat air mata.

“Adzim, ingat ALLAH. Jangan macam ni, nak. Nanti senang syaitan nak menghuni jiwa kita yang kosong. Terus bacakan al-Quran di telinga mama.” Arah Aizir kerana dia tidak mahu Adzim pula kerasukkan.

Adzim tidak ingkar dan terus melaksanakan suruhan abahnya. Begitu juga dengan Adzam yang tidak mahu ketinggalan menyumbangkan jasanya buat Farra Fauzana.

“Nanti kita pesan pizza saja ya. Mama tak sihat. Jangan ganggu mama. Zam dan Zim pergi mandi dulu.” Aizir menyuruh anak-anaknya membersihkan diri masing-masing apabila dia melihat Farra Fauzana sedang lena. Dia tidak mahu mengganggu lena isterinya itu. Mungkin ada sesuatu yang menimpa isterinya sehingga wanita itu hilang pertimbangan diri.

“Ya ALLAH, KAU perliharalah isteri aku. Sesungguhnya dia seorang yang lemah dan perlukan bantuan KAU untuk membimbingnya.” Aizir membelai ubun-ubun Farra Fauzana sebelum menciumnya.

Kemudian, Aizir turun ke dapur untuk menyimpan balik bahan-bahan mentah yang telah dikeluarkan oleh Farra Fauzana sebelum menelefon Pizza Hut untuk penghantaran. Beberapa kali juga Aizir mengucap untuk menenangkan dirinya sendiri. Dia pasti akan tanya pada Farra Fauzana sendiri apa sebenarnya telah berlaku pada wanita itu dan yang paling menghairankan dirinya adalah kenapa isterinya itu asyik menyatakan vila ini miliknya sedangkan sememangnya vila ini miliknya sejak azali lagi. Pelik Aizir memikirkan kerenah Farra Fauzana yang tidak pernah langsung ditonjolnya selama ini sejak perkahwinan mereka.

“Aku yakin ada sesuatu yang berlaku sehingga dia menjadi lemah begitu.” Minda Aizir terus berfikir dan berfikir.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.