Home Novelet Seram/Misteri PENA
PENA
Ebriza Aminnudin
22/7/2015 21:58:50
18,016
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 1 : Mengerikan

Akar-akar kayu sebesar gergasi menjalar dengan perlahan dan melingkari atas katil di mana Farra Fauzana sedang enak diulit lena. Setelah mengenalpasti tubuh yang diingini, lalu akar-akar kayu itu membelit Farra Fauzana tanpa belas kasihan.

Terkejut wanita itu dari lena yang panjang. Mata Farra Fauzana terbeliak saat melihat akar-akar kayu gergasi bagaikan hidup dan sedang memamah dirinya.

“Argghh!!!” Hanya itu yang mampu keluar dari dua ulas bibir Farra Fauzana. Wanita itu meronta-ronta ingin melepaskan diri dari cengkaman akar-akar kayu pelik itu, namun dia tidak berjaya apabila akar-akar kayu itu mengeratkan lagi belitannya.

ALLAH, apa dah jadi pada aku ni? Kenapa aku tak boleh menjerit mahupun bergerak? Apa benda ni? Farra Fauzana mengerling ke arah Aizir yang sedang lena. Hairannya, Aizir tidak sedikit pun diusik oleh akar-akar kayu aneh ini tetapi kenapa dirinya yang terpilih untuk menanggung bala ini?

Tekak Farra Fauzana menjadi perit apabila akar-akar kayu itu mencengkam lehernya. Hendak membuangnya juga tidak mampu kerana tangan, kaki dan tubuhnya diikat dengan belitan yang maha dahsyat itu. Farra Fauzana amat sukar untuk bernafas sekali.

“Aa angg ... Aaa anngg...” Amat payah sekali Farra Fauzana ingin memanggil sebaris nama suaminya.

Ya ALLAH, inikah pengakhiran nyawa aku? Farra Fauzana tercungap-cungap. Walaupun nafasnya bagaikan hendak putus, namun dia masih berusaha untuk melepaskan dirinya dari cengkaman akar-akar kayu puaka itu.

Farra Fauzana cuba bergelut dan meronta, namun semakin dia mengganas melepaskan dirinya, semakin kuat cengkaman akar-akar kayu itu. Dan akhirnya dia hanya mampu berserah pada Yang Maha Kuasa kerana dirinya semakin lama semakin lemah untuk terus berjuang.

Ya ALLAH, jika begini pengakhiran nyawa aku, aku reda. Nyawa Farra Fauzana bagaikan dihujung tanduk sahaja. Mata putih wanita itu mula naik ke atas. Dia sempat mengucap dua kalimah syahadah di dalam hati.

Tiba-tiba sahaja, Farra Fauzana terasa belitan akar-akar kayu puaka itu makin mengendur dan akhirnya terlerai dari terus mencengkam tubuhnya. Barulah Farra Fauzana mampu bernafas semula sehingga terbatuk-batuk dibuatnya.

“Kenapa ni sayang?” Tanya Aizir setelah membangunkan isterinya itu. Dia dapat merasakan kegelisahan isterinya sebentar tadi dan seolah-olah isterinya itu sedang bertarung dengan maut.

Farra Fauzana mengambil nafas seketika dan mula memandang di sekelilingnya. Wanita itu masih lagi tercungap-cungap seolah-olah baru terlepas dari sesuatu yang maha dasyatnya.

“Sayang?” Aizir masih sabar menanti butir bicara dari isterinya.

“Abang .... Abang ....” Air mata Farra Fauzana berderai di kala itu dan matanya meliar ke sana sini mencari akar-akar kayu yang membelit dirinya itu.

“Sayang cari apa ni? Apa dah jadi? Cuba cerita dengan abang.” Aizir memegang kejap bahu isterinya itu.

“Akar-akar kayu puaka tu, mana bang?” tanya Farra Fauzana sambil meliarkan lagi bebola matanya. Dia seolah-olah dalam ketakutan yang amat sangat.

“Akar-akar kayu apa ni? Bilik kita mana ada akar-akar kayu puaka?” Aizir masih cuba menenangkan isterinya.

Farra Fauzana menggelengkan kepalanya. Dia tidak percaya akar-akar kayu gergasi itu boleh lesap dalam sekelip mata. “Akar-akar kayu gergasi tu ada di sini bang, di bilik kita. Farra tak tipu. Dia belit Farra tadi. Cengkamannya terlalu kuat bang, macam nak putus nyawa Farra tadi.” Terang Farra Fauzana sambil air matanya bercucuran membasahi dataran pipi yang mulus.

“Eh sayang ... sayang. Jangan nangis. Dengar cakap abang, tak ada sebarang akar kayu gergasi mahupun akar kayu puaka. Sayang hanya mimpi tadi. Abang sendiri tengok sayang seakan bergelut. Tak ada apa yang sayang bayangkan tu.” Bersungguh-sungguh Aizir menerangkan pada isterinya.

“Farra bermimpi?” Farra Fauzana tidak mahu percaya apa yang Aizir katakan itu kerana dia tahu dia tidak bermimpi sebentar tadi.

“Ya sayang. Sayang bermimpi. Percayalah cakap abang. Jom tidur. Jangan fikir yang bukan-buakn lagi.” Aizir masih memujuk.

Akhirnya Farra Fauzana terpaksa akur dengan penjelasan suaminya itu. Namun, jauh dari sudut hatinya dia yakin dia tidak bermimpi. Ia seakan-akan nyata dan akar-akar kayu itu seolah-olah memang mencari dirinya untuk dijadikan makanan. ALLAHUAKHBAR! Itulah pertama kali dia berasa amat gerun dan seram sekali. Sepanjang menjadi novelis seram, tidak pernah sekalipun perasaan ngeri datang bertandang kepada dirinya. Dan apa yang dialaminya pada malam itu sehingga mampu meragut nyawanya, benar-benar ngeri dan terlalu seram.

Farra Fauzana berkedip-kedip matanya memandang siling untuk mentafsir bahawa apa yang dialami bukannya mimpi tetapi kenyataan. Entah kenapa perasaannya kuat menyatakan kebenarannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.