Home Novelet Seram/Misteri PENA
PENA
Ebriza Aminnudin
22/7/2015 21:58:50
18,014
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 2: Farra Fauzana Nazira menjadi murung

Farra Fauzana termenung panjang di atas kerusi dapurnya memikirkan hal semalam. Hatinya begitu yakin dan kuat menyatakan bahawa dia tidak bermimpi. Apa yang dia alami adalah benar dan nyata.

“Aku yakin, apa yang aku alami malam tadi bukanlah mimpi tapi kenyataan. Aku dapat rasa akar kayu tu belit diri aku. Kuat sangat. Akar-akar kayu tu seolah-olah hidup.” Farra Fauzana menggigil seketika. Dia memeluk tubuhnya sendiri.

Di saat itu hanya dia keseorangan sahaja tanpa Aizir dan anak-anak kerana kesemua mereka telah keluar. Aizir ke tempat kerja, manakala anak-anak pula sudah ke sekolah. Sepatutnya dia sudah mula memasak untuk makan tengah hari mereka tetapi kejadian semalam yang masih menghantui dirinya membuatkan Farra Fauzana mengalami ketegangan yang amat sangat sehingga bahan masakan diletakkan di tepi. Dia masih mahu melayani fikirannya tentang kejadian semalam.

“Nyawa aku hampir putus dan aku tidak bermimpi.” Itulah yang ditekankan oleh Farra Fauzana berulang kali. Dia tidak bermimpi tetapi siapa yang mahu mempercayai dirinya sedangkan Aizir sendiri menyatakan dia hanya bermimpi sahaja.

Tiba-tiba sahaja Farra Fauzana berasa tidak sedap hati. Dia memegang dadanya sambil menarik nafas panjang. Air matanya gugur lagi. Debaran yang maha kuat memukul-pukul pantai hatinya. Percaturan nafasnya tidak menentu. Semakin kuat dia memegang dadanya.

“ALLAH, kenapa aku rasa tak sedap hati sangat. Kenapa aku berdebar semacam ni?” Sensitif secara tiba-tiba cukup jarang sekali dialami oleh Farra Fauzana, namun pada hari itu perasaannya cukup berkeceramuk.

“Mudah-mudahan semuanya baik-baik saja. Bantu aku Ya ALLAH.” Farra Fauzana masih tidak lekang mengharap bahawa itu semuanya mainan perasaannya sekarang. Jika boleh dia sememangnya ingin menganggap semua yang dialaminya semalam adalah mimpi tetapi dia tidak mampu kerana sebelah hatinya menyatakan tidak pada mimpi.

“Ira .... tolong akak.”

Tiba-tiba sahaja Farra Fauzana mendengar satu rintihan suara yang memanggil namanya cukup mendayu sekali. Dia jadi terkejut lalu terundur ke belakang sehingga jatuh dari kerusi yang sedang dia duduki.

“Siapa?” Farra Fauzana memandang sekelilingnya tetapi tiada siapa di sana melainkan dia seorang. Matanya meliar lagi namun dia tidak nampak sebarang kelibat manusia di situ.

“Suara siapa tu?” Farra Fauzana mula bertanya kepada dirinya sendiri. Dia tidak pernah dengar akan ton nada suara itu selama ini dan dia tidak mengenali langsung yang memiliki suara itu. Dia masih tertanya-tanya suara siapakah yang dia dengar sebentar tadi.

“Aku tak pernah lagi dengar suara tu. Milik siapakah suara tu?” Fikiran Farra Fauzana terus berputar memikirkan lagi suara siapakah yang tiba-tiba muncul dan memanggil namanya.

Farra Fauzana memejam matanya buat seketika sambil menarik nafas panjang. “Ya ALLAH, dugaan apa yang ingin KAU hadapkan pada aku?” Menitik air mata Farra Fauzana lagi.

“Ira, jangan abaikan akak. Tolong akak, Ira. Tolong akak.”

Suara itu kedengaran lagi tetapi kali ini diiringi dengan tangisan. Cukup sayu di corong telinga Farra Fauzana.

“Siapa? Siapa tu? Tolong jangan main-mainkan aku! Siapa kau!” Berpusing Farra Fauzana mencari kelibat dari empunya suara yang merintih itu. Namun, dia masih gagal menemui sebarang kelibat manusia.

“Tolong jangan buat aku jadi gila. Tolong jangan terus permainkan aku. Aku takkan tergoda dengan mainan syaitan.” Farra Fauzana teresak di satu sudut dapur.

“Ira ... ni akak. Tolong akak. Akak rayu pada Ira. Tolong akak.” Sekali lagi suara itu merayu meminta dirinya dibantu.

“Siapa kau sebenarnya? Bagaimana aku nak tolong kalau aku tak tahu siapa kau. Jangan biar perasaan aku kacau dengan kehadiran kau yang tak diundang. Arghhh!!!” Farra Fauzana sudah tidak tahan lagi lalu terus menjerit sambil menangis. Dia masih cuba mencari suara siapakah yang didengarnya berulang kali tetapi masih gagal menjejaki sebarang kelibat.

“Haa .. Fauzana, kau harus tenangkan diri kau. Jangan terlalu ikut perasaan ni, ya.” Farra Fauzana cuba mententeramkan perasaannya sendiri. Walaupun pada hakikatnya dia tidak mampu langsung menyurutkan debaran dada yang makin melambung tinggi. ALLAHUAKHBAR!

“Ha Ha Ha ... vila ini milik aku. Hanya milik aku! Kau boleh berambus dari vila ini.” Tiba-tiba suara garau menerpa gegendang telinga Farra Fauzana.

Tersentak Farra Fauzana mendengarnya untuk kesekian kali. Bermacam-macam suara pula yang menerjah dirinya setelah dia mengalami kejadian pelik pada malam semalam. Selama ini, vila inilah syurga baginya tetapi sejak semalam vila ini sudah menjadi neraka baginya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia harus takut pada vilanya sendiri sesudah berpuluh tahun menetap di dalamnya. Tidak adil sungguh baginya untuk mengalami perkara seumpama ini.

“Siapa kau? Vila ini hak aku. Milik aku. Takkan menjadi milik orang lain selagi aku masih bernyawa!” Tiba-tiba amarah Farra Fauzana terbangkit untuk melawan suara yang kasar itu.

Sekali lagi Farra Fauzana mendengar hilaian ketawa yang cukup menyakitkan telinganya. Makin lama makin kuat bagaikan hendak pecah sahaja gegendang telinganya di saat itu.

“Diam! Diam! Kau tak boleh halau aku dari vila aku sendiri.” Farra Fauzana menjerit lantang sekali lagi.

“Ha ha ha .. Vila ini akan menjadi milik aku sebentar lagi. Dari dulu ia milik aku. Aku akan merampasnya walau dengan apa cara sekali pun. Faham kau!” Suara yang terlalu kuat membuatkan Farra Fauzan tidak tahan lagi lalu menutup lubang telinganya seerat yang mungkin kerana suara itu cukup berbisa sehingga mampu mengalir cecair merah dari dalam telinganya.

“Arghhh!!” Farra Fauzana menangis dan terus menangis sambil berlari ke dalam biliknya sambil menutup telinga. Darah yang mengalir terus membuak-buak membuatkan wanita itu hilang pertimbangan diri.

“Jangan ganggu aku! Jangan ganggu aku! Ya ALLAH!” Farra Fauzana mengambil kapas lalu mengelap darah yang keluar dari celahan telinganya.

Pertama kali di dalam hidupnya membuatkan dia terlalu takut dengan vila sendiri sedangkan sebelum ini, Vila Amira Syakila merupakan vila yang terbaik baginya dan juga keluarga. Dia tidak tahu apa lagi yang akan terjadi terhadap dirinya. Kini dia sangat takut. Ya sangat-sangat takut. Dia terus menangis dan menangis. Di dalam hati dia berharap agar Aizir dan anak-anaknya akan pulang segera.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.