Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,807
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 18

"ATHAR, awak pergi mana semalam?" soal Haura ketika dia meletakkan secawan teh panas di hadapan Athar. Jelas, wajah Athar nampak tak bermaya dan pucat. Haura risau. Sejak kebelakangan ini juga Athar sudah kelihatan berubah. Kadang-kadang Athar boleh lupa bahawa dia bekerja. Kadang-kadang juga Athar lupa untuk mengambil Amin di asrama. Pokoknya sikap pelupa Athar semakin menjadi-jadi. Bahkan, Athar juga sering sakit kepala sehingga dia berlama-lama di dalam tandas. Penglihatan Athar juga semakin hari semakin terganggu. Bila Haura bertanya, Athar hanya mengatakan bahawa dia penat.

"Aku ada banyak kerja."

"Alasan tu dah lapuk bagi saya! Tak ada alasan lain ke yang awak boleh berikan pada saya? Saya ni isteri awak, Athar! Saya risaukan awak. Awak faham tak? Saya takut ada yang bermusuh dengan awak dan cederakan awak. Kita ni dah jarang berkomunikasi sejak kebelakangan ni. Saya ada salah ke?" marah Haura. Dahinya sesekali berkerut melihat wajah kosong Athar.

"Aku nak kerja dulu. Kau jaga diri baik-baik," kata Athar seraya mengusap kepala Haura. Tanpa menunggu kata-kata Haura, Athar melangkah keluar dari rumah. Athar terpaksa melakukan perkara sebegini. Ya, dia terpaksa setelah dia mengetahui bahawa masanya hanya tinggal lima bulan sahaja lagi. Mengingatkan hal itu, Athar menekup mulutnya. Air matanya terus mengalir deras ke pipi. Sakitnya bukan kepalang!

Haura buntu dengan sikap Athar. Dia hanya mampu duduk di ruang makan sambil memandang mee goreng di pinggan Athar yang hanya disentuh separuh. Keluhan berat dilepaskan sebelum dia menghabiskan mee goreng tersebut. Namun, tiba-tiba sahaja Haura merasakan tekaknya berasa loya. Kepalanya juga begitu pusing. Sudah seminggu dia begitu tapi Haura itu degil orangnya. Sudah dipesan oleh ibunya untuk membuat pemeriksaan tapi Haura masih rasa tidak penting.

Bagi Haura, keadaan Athar yang berubah jauh lebih penting berbanding dirinya yang sering sakit-sakitan sejak akhir-akhir ini. Kadangkala emosinya juga tidak stabil. Haura juga mulai mempunyai tabiat baharu seperti dia suka dengan bau kopi padahal dia itu bukan seorang yang suka minum kopi. Saat ini pula Haura mengidam untuk makan buah pelam. Teringat akan perkara-perkara pelik itu Haura tersenyum sendiri. Apakah dia sudah mempunyai isi? Kalau ya, pasti dia akan gembira. Ini hadiah buat Athar!

Haura segera berkumur-kumur setelah dia memuntahkan isi perutnya. Tisu dicapai seraya mengelap lembut mulutnya. Segera Haura mengemas meja makan sebelum mencapai telefonnya dan menghubungi Fina. Kalau apa yang dia fikirkan ini benar, jadi dia mahu membuat pemeriksaan seperti yang dinasihatkan oleh ibunya.

"Fina! Aku nak minta tolong kau temankan aku hari ni boleh?"

Dalam talian, Fina sedang bersarapan bersama Hazrul. Dengan pandangan mata Hazrul bertanya siapakah yang menghubungi isterinya awal pagi. Fina menyebut nama Haura dan dibalas dengan anggukan Hazrul. Lelaki itu kembali menjamah hidangan nasi goreng yang dihidangkan oleh si isteri.

"Klinik? Eh kau sakit ke? Athar tahu tak kau tak sihat? Eh kalau dia diam-diam je tak jaga kawan aku yang seorang ni aku boleh berdepan dengan dia!" tegas Fina tiba-tiba. Sungguh, dia kaget mendengar jawapan Haura. Awal pagi mengajaknya menemani ke klinik.

"Aku cuma tak sedap badan saja! Aku rasa aku dah ada tanda-tanda ibu...

"Seriuslah? Eh aku kahwin dulu tahu dari kau. Kau dah ada tanda-tanda sejak bila? Kau..." Fina kematian kata tatkala Hazrul sudah memandangnya dengan pandangan yang tajam. Seolah-olah riak wajah terkejut terpamer di sebalik wajah suaminya. Maka, Fina melangkah keluar rumah dan menyambung perbualannya bersama Haura. Kalau Haura tidak mahu melibatkan Athar, maka dia harus merahsiakan semuanya daripada Hazrul.

HAZRUL hanya memerhatikan tingkah Athar yang sedang membaiki enjin kereta. Perbualan Fina dan Haura bermain di benak fikirannya saat itu. Mengapa wajah Athar tak menunjukkan bahawa sahabatnya sedang menerima sebuah berita gembira? Malahan, wajah Athar seolah-olah seperti orang yang sedang memendam sesuatu sehingga menunjukkan wajahnya yang sugul. Melihat keadaan Athar yang semakin cengkung juga membuatkan Hazrul sebak. Bagaimana kalua Haura berbadan dua? Siapa yang akan menjaga isteri dan anaknya Athar jika waktu sahabatnya berakhir?

"Athar!"

Athar mendongak memandang wajah Hazrul yang sedang duduk di kaunter. Segera dia menghampiri sahabatnya dan memusingkan topi ke belakang. "Apa dia?"

"Kau dah bagi tahu Haura?"

"Pasal apa?" soal Athar sambil mengerutkan dahinya.

"Pasal suami dia merupakan seorang pejuang barah otak tahap empat," jawab Hazrul. Dia mengeluh berat melihat reaksi Athar.

"Tak ada soalan lain ke? Dahlah! Aku tak nak jawab soalan kau ni. Aku nak minta izin nak balik awak hari ni sebab aku ada kemoterapi petang nanti. Kereta klien kau tu aku dah betulkan. Dua buah lagi..."

"Sampai bila kau nak rahsiakan daripada dia? Kau orang dah lima bulan jadi suami isteri. Dia berhak tahu yang kau sakit, Athar! Keadaan kau semakin hari pun dah makin jelas yang kau tu sakit. Kau nak buat dia susah hati ke? Jangan buat dia macam ni. Sebagai seorang suami, kau patut berkongsi dengan dia walaupun perkara tu menyakitkan. Sekurang-kurangnya dia boleh bersedia dengan segala kemungkinan. Dia takkan terkejut dan dia takkan menyesal kalau suatu hari nanti kau tinggalkan dia buat selamanya," tegas Hazrul. Dia mengeluh berat seraya meninggalkan Athar yang kelihatan tergamam. Athar itu sering sahaja menutup segala apa yang dia hadapi.

"Dah! Kau pergi. Tapi ingatlah kata-kata akuni. Apa yang kau buat pada Haura tak adil untuk dia," tambah Hazrul dan menyambung semula pekerjaan Athar.

Athar jadi sebak dengan kata-kata Hazrul. Tidak adil. Perkataan itu terngiang-ngiang di halwa telinganya. Tapi dia tidak sanggup membuat Haura mengalirkan air matanya. Dia tidak mahu melihat kesedihan isterinya itu. Haura nyawanya. Haura segala-galanya untuk Athar. Tapi kata-kata Hazrul ada betulnya lebih-lebih lagi Haura semakin mengeysaki sesuatu mengenai dirinya.

"TAHNIAH! Puan dah mengandung tiga minggu. Lepas ni, puan kena jaga pemakanan puan dan elakkan dari buat kerja-kerja berat. Lagi satu, jaga emosi puan. Jangan biarkan stress memberikan kemudaratan ke atas bayi dalam kandungan puan."

"Alhamdulillah! Haura... seriuslah kau dah nak jadi mak budak dah? Macam mimpi saja kan. Macam baru semalam saja kita habis SPM lepas tu sambung kos yang sama. Sekarang kawan aku dari kecil sampai dah tua ni dah nak jadi mak budak! Yeay! Tak sabar nak tengok muka anak kau ni. Mesti dia comel since mak ayah dia segak dan sejuk saja mata memandang," ujar Fina sebaik sahaja mereka keluar dari klinik kesihatan itu. Berkali-kali dia mengenggam tangan Haura yang tersenyum. Sungguh, Haura bahagia dengan berita itu. Pasti Athar akan gembira dengan berita baik ini.

"Kau simpanlah makanan tu semua. Aku dah makan."

Serta merta lamunan Haura terhenti apabila suara Athar menusuk telinganya. Dia menyembunyikan foto ultrasound di bawah pinggan. Segera Haura bangun dari duduknya seraya menghampiri Athar yang sedang meneguk air suam. Lantas, dia memeluk erat tubuh suaminya dari belakang. Namun, tangkas Athar mengelak dan mencebik geram. Wajah Haura dipandang dengan dahi yang berkerut.

"Kau ni kenapa? Tak nampak ke aku baru balik kerja? Aku penat tahu tak nak layan kau!"

"Saya minta maaf. Tapi saya dah masak makanan kegemaran awak. Sambal petai dengan..."

"Kau pekak ke? Aku kata aku dah makan maknanya aku dah kenyang! Aku tak nak makan lagi. Kau simpanlah makanan tu semua," tegas Athar seraya melangkah masuk ke dalam kamar.

Haura bungkam. Sungguh, dia tergamam dengan kekasaran Athar. Terasa dinding hatinya ditusuk dengan berjuta belati. Bibirnya diketap menahan marah lantas dia membuntuti Athar masuk ke dalam kamar. Dia menolak kuat tubuh Athar melepaskan beban di bahunya. Athar yang baru mahu menanggalkan pakaiannya kaget dengan serangan Haura. Lantas dia berpaling memandang si isteri yang sedang memandangnya dengan pandangan yang tajam.

"Apa masalah awak?! Dah dekat dua minggu awak layan saya macam saya ni perempuan murahan untuk awak. Kenapa awak berubah? Awak dah buat saya cintakan awak, awak dah buat saya sayangkan awak dan saya serahkan seluruh raga dan jiwa saya pada awak dan ini balasan awak? Kenapa?!" jerkah Haura seraya mengetap giginya. Turun naik nafasnya melepaskan marah. Wajahnya serta merta membahang kemerahan dengan tingkah Athar yang mencabar kesabarannya.

Athar diam. Dia hanya menatap anak mata Haura dengan tatapan yang kosong. Membiarkan Haura memukul dadanya sekuat hati. Sakit! Tapi dia hanya membiarkan kerana dia mahu Haura melepaskan apa yang dipendam.

"Kenapa awak diam?! Sejak awak tahu keadaan Aria, awak dah berubah! Kenapa? Awak masih cintakan dia ke? Awak masih sayangkan perempuan yang dah tinggalkan awak?!" jerkah Haura lagi. Nada suaranya mula bergetar menahan sebak.

"Saya cintakan awak. Athar! Tolonglah jangan seksa saya macam ni. Awak tahu tak awak layan saya berdingin macam ni buat saya sesak! Saya sakit. Terlalu sakit, Athar! Saya cintakan..."

"Berhenti," bidas Athar. Sungguh, perkataan cinta dari bibir Haura membuatkan jiwanya kembali sebu. Dia mengenggam kedua belah tangan Haura yang ligat memukulnya sebelum menarik tangan Haura mendekati tubuhnya. Saat itu, dia dapat melihat kekecewaan yang jelas kelihatan di anak mata Haura.

"Berhenti cintakan aku. Kan aku dah cakap, jangan biarkan kau hanyut dalam hubungan kita. Dari awal pernikahan kita pun, kau terima aku sebab arwah abah. Aku nikahi kau supaya ada orang bantu aku jaga Amin. Sebab Amin sayangkan kau. Tapi semuanya dah berubah. Jadi, berhenti cintakan aku, Haura Ilyana. Aku tak perlukan cinta daripada kau. Aku tak..."

PANG!

Tak semena-mena, tangan Haura melekap ke pipi Athar. Air matanya terus mengalir deras ke pipi. Sungguh, Haura rasa tubuhnya lemah dengan kata-kata Athar. Tambahan lagi dengan tatapan kosong Athar yang seolah-olah tidak mengendahkan perasaanya. Dia merasakan bahawa dia tidak mengenali suaminya lagi.

"Awak ingat saya ni apa? Hah! Tunggul ke? Semudah itu awak suruh saya berhenti mencintai awak lepas hampir setahun kita menikah! Awak ingat saya ni apa? Patung?!" jerkah Haura seraya menolak kuat tubuh Athar.

Athar diam. Dia melangkah keluar dari kamar meninggalkan Haura yang hanyut dalam tangisannya. Serta merta, air mata lelakinya turun juga melihat kekecewaan di sebalik wajah tenang Haura. Tangisan Haura mendayu-dayu di halwa telinganya. Sakitnya bukan kepalang melihat orang yang dicintai disakiti seperti itu. Segera Athar keluar dari rumah. Dia tidak betah berada di dalam rumah waktu ini. Jiwanya rapuh!

Di dalam kamar, Haura terduduk di belakang dinding sambil teresak-esak. Air matanya seolah-olah air sungai yang mengalir tanpa henti. Tangannya digenggam erat sebelum perutnya diusap lembut. Teringat akan janin yang sedang memebesar dalam kandungannya menambahkan tangisan Haura. Sungguh, hatinya terlalu perih kala itu. Kenapa dengan Athar? Apa kesalahan yang telah dia lakukan sehingga suaminya berubah? Kenapa selepas dia mula mencintai Athar dia diuji seperti ini? Adakah Athar kembali kepada Aria? Semuanya menjadi teka teki untuk Haura.


P:s// terima kasih kerana sudi membaca karya ini ^_^ boleh baca di dalam wattpad juga ya https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu

Previous: Bab 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa