Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
118,388
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 4

SAAT seorang gadis bertudung selendang hijau zamrud duduk bertentangan dengannya, saat itu juga Athar tersedak air yang sedang diteguknya. Amin yang duduk bersebelahan abangnya lantas memukul bahu abangnya yang sedang tersedak. Sesak dada Athar tatkala melihat wajah Haura berada di depan matanya. Kejutan apa yang sedang berlaku di hadapannya saat ini? Adakah ini mimpi atau realiti?

"Saya minta maaf sebab..."

"Kau siapa?" bidas Athar. Nada suaranya yang penuh dengan ketegasan membuatkan Haura tergamam.

"Saya Haura Ilyana binti..."

"Kakak ni cantiklah. Kakak nak jadi kakak kita tak? Kita..."

"Kau diam! Aku cakap dengan perempuan ni. Bukan kau!" Tak semena-mena, Athar menjerkah si adik yang bernada ceria. Semuanya di luar dugaannya apabila dia masih dihurung dengan kejutan mengenai kemunculan Haura. Sukar untuk dia percaya bahawa gadis yang ingin dikenalkan kepadanya merupakan Haura.

Kemarahan Athar membuatkan Amin serta merta merengek. Haura jadi serba salah untuk meneruskan pertemuan mereka. Dia sendiri kaget setelah dia mengetahui bahawa Atharlah lelaki yang cuba dikenalkan kepadanya. Nampaknya, lelaki ini memang baran. Dia ingat lagi sewaktu lelaki ini hampir dimasukkan ke dalam lokap. Barannya sungguh menakutkan seorang Haura Ilyana.

"Saya minta maaf kalau kedatangan saya ni menganggu encik. Saya Haura kawan kepada Fina. Dia dan tunang dia, Hazrul yang aturkan pertemuan saya dengan Encik Athar. Tapi kalau encik tak berminat dengan pertemuan ni... saya tak kesah. Saya minta diri dulu," ujar Haura seraya bangun dari duduknya. Melihat Athar seolah-olah tidak menerima kedatangannya membuatkan Haura sedikit nanar. Malu! Sudah semestinya dia malu berhadapan dengan Athar andai reaksi itu yang diterimanya daripada pemuda itu. Tidak mahu dia dianggap terdesak untuk mencari seorang suami.

Athar hanya sepi. Membiarkan si gadis berlalu pergi dan membatalkan saja pertemuan dan perkenalan mereka hari itu. Wajah sugul si adik di pandang tanpa berkelip. Kenapa dengan dia? Apakah peristiwa lama membuatkan dia takut untuk menghulurkan salam perkenalan kepada gadis manis itu? Sebahagian hatinya ingin sekali menegah Haura dan memberikan peluang kepada dirinya untuk mengenali gadis itu. Namun, sebahagian besar hatinya hanya mahu membiarkan. Lalu, semuanya hancur. Pertemuan mereka berakhir dengan sebuah kehancuran.

SEBULAN KEMUDIAN...

"TAPI Amin tak ada duit. Abang tiba-tiba hilang. Bolehlah... Amin nak kek coklat ni sikit je. Amin lapar."

"Mana abang kau? Selagi abang kau tak datang selagi tu kau tak boleh makan kek ni. Ingat kek ni percuma ke? Entah-entah abang kau sengaja jadikan kau sebagai sindiket!" tegas pekerja di kafe itu. Dia buat tidak endah sahaja dengan permintaan remaja autisme yang sedang memeluk mainan kereta itu.

Tak semena-mena, Amin memberontak. Kesabarannya sudah hilang. Dia terus menjerit dan memukul-mukul dirinya sebelum terduduk di atas lantai. Amukannya sudah muncul dek kerana permintaannya ditolak. Sesekali, dia menghentak kepalanya di kaki kerusi. Beberapa orang pelanggan yang berada di dalam kafe itu sudah tergamam melihat tingkah Amin. Ada yang tidak jadi masuk ke dalam kafe. Ada juga yang cuba mengawal namun Amin semakin memberontak.

"Hoi! Kau dah gila..."

"Kau tu yang gila! Apa kau buat pada adik aku?!"

Tiba-tiba, si pekerja hilang kata tatkala Athar meluru masuk seraya mencengkam kolar bajunya. Anak mata yang kelihatan tegang itu membuatkan pekerja itu kecut perut. Lebih-lebih lagi cengkaman pada kolar bajunya seakan-akan mencekiknya sehingga sukar untuk dia bernafas.

"Adik kau tu nak makan! Ingat kedai ni kedai minta sedekah..."

BUK!

Tak semena-mena, si pekerja ditolak ke belakang dinding. Athar tersenyum sinis dengan kata-kata kasar daripada pekerja itu. Kesabarannya benar-benar dicabar. Tanpa berlengah, dia meluru ke arah si pekerja dan menarik tangan pekerja yang sudah terduduk itu untuk berdiri. Baju si pekerja dirapikan sebelum bahunya ditepuk-tepuk kuat. Athar menarik nafas panjang lalu dihembuskan perlahan. Dia cuba mengawal kesabarannya saat itu.

"Bagi aku dua potong kek coklat," arah Athar dengan nada yang penuh dengan ketegasan. Kemudian, dia menghampiri adiknya lalu membantu Amin berdiri. Sesekali, tubuhnya ditampar-tampar oleh remaja belasan tahun itu. Athar hanya membiarkan seraya memimpin tangan adiknya menghampiri ruangan kek yang dipapar berhampiran tempat pembayaran.

"Amin nak semua kek coklat ni!" tegas Amin.

"Kau dengar tak? Bungkus semua kek coklat ni," arah Athar pada pekerja yang sudah buat muka meluat pada dua beradik itu. Tak pasal-pasal pelanggan mereka lari dengan kedatangan dua manusia aneh di hadapannya saat ini.

"Semuanya RM 60," ujar si pekerja sambil memandang wajah Amin yang kembali ceria. Plastik berisi kek coklat lantas dihulurkan kepada remaja lelaki itu.

"Amin, kita ambil dua potong macam abang cakap sajalah. Ya? Nanti kita beli banyak-banyak esok," ujar Athar. Keluhan berat terlepas di bibir tatkala wang di dompetnya hanya tinggal RM 10 sahaja. Nampaknya, dia terlupa untuk mengambil duit yang banyak untuk masuk ke dalam kafe yang kelihatan mewah dengan dekorasi barat itu.

"Tak! Nak semua..."

"Eh budak! Kau dah tahu abang kau tak ada duit yang kau gatal nak semua kek ni kenapa? Kau orang..."

BUK!

Sekali lagi, Athar menunjukkan barannya. Kali ini, tendangannya singgah di hadapan kaunter pembayaran. Pekerja yang sombong itu benar-benar mencabarnya. Tak semena-mena, pekerja dan pelanggan yang berada di kafe itu semakin gerun melihat ketegangan Athar. "Jaga sikit mulut kau sebelum aku pecahkan mulut jahanam kau itu. Kau tu cuma kuli dalam kedai ni saja. Mana majikan kau?"

Diam.

"Mana majikan kau?! Kau faham tak apa aku cakap? Majikan..."

"Ye saya majikan budak ni. Ada apa ya encik kecoh-kecoh kat kafe saya ni?" bidas suara yang datang dari belakang Athar. Dia lantas berpaling memandang si empunya diri. Tak semena-mena, dua jasad tergamam melihat wajah yang berdiri bertentangan dengan mereka. Athar tersenyum sinis melihat wajah Haura di hadapan matanya. Bagaimana lagi kebetulan bisa terjadi di antara mereka? Tanpa pamit Athar mencengkam pergelangan tangan Amin lantas melangkah keluar dari kafe itu. Tiada kata yang mampu dikeluarkan tatkala kejutan berada di depan mata.

Tanpa berlengah, Haura lantas meluru ke arah pekerjanya. Dia menggelengkan kepalanya dengan kekecohan itu. Plastik berisi kek coklat dicapai. "Awak... boleh kemas barang-barang awak dan keluar dari kafe saya sekarang. Sebab awak saya hilang pelanggan! Saya dah banyak terima aduan tentang awak tapi awak tetap buat benda sama! Saya pecat awak, Adrian!" tegas Haura seraya meluru keluar dari kafe miliknya. Adrian mengeluh berat dengan keputusan Haura memecatnya. Lebih memilih budak istimewa dan abangnya yang baran itu.

"Amin nak kek! Abang..."

"Diam!"

Haura tersentak tatkala mendengar jeritan dua beradik itu berhampiran lobi pusat membeli belah. Kakinya terus melangkah menghampiri dua beradik yang dihalang dengan pengunjung yang lalu lalang di kawasan itu. Haura segera menyelit dari pengunjung ke pengunjung apabila suasana dua beradik itu semakin tegang.

Athar hilang punca tika itu. Dia cuba memujuk adiknya yang kembali diserang amuk. Namun, dalam masa yang sama sakit pada kepalanya tiba-tiba menyucuk sehingga membuatkan tekaknya kembali loya. Pandangannya juga semakin kabur. Tak semena-mena, Athar terpaksa menghentikan langkahnya berhampiran sebuah lif. Rontaan Amin membuatkan kepalanya semakin pusing. Bahkan, semakin dia cuba bertenang sakit pada kepalanya semakin parah sehingga dia merasakan kepalanya dicucuk dengan berjuta jarum. Sakitnya bukan kepalang!

"Encik Athar... saya minta maaf tentang pekerja saya..."

Perkataan itu merupakan perkataan terakhir yang singgah menyapa halwa telinga Athar sebelum dia rebah di hadapan Haura. Tatkala itu, Athar merasakan sakitnya hilang buat seketika. Sakitnya seolah-olah pergi apabila dia rebah di sisi gadis itu. Athar hanya perlukan rehat. Itu sahaja.

P:S//: hi pembaca ^_^ memandangkan tak ada feedback saya post sajalah kat sini walaupun lambat hehhee... terima kasih kerana sudi menjadikan karya ini sebagai bahan bacaan kalian. Kalau ada sesiapa yang tertunggu-tunggu bab seterusnya, boleh baca kat dalam wattpad saya ye... Kat dalam wattpad laju sikit saya post bab memandangkan saya ada masalah teknikal kalau nak post banyak bab dalam portal ni... Ini linknya https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa