Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,799
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 8

"AKU ada masa berapa lama lagi doktor?"

                    Doktor Ilham memandang wajah Athar yang sedang bersandar di belakang kerusi. Wajah pemuda itu kelihatan kosong. Tiada lagi baran yang mencetuskan ketegangan. Berbeza dari awal pertemuan mereka ketika dia mengesahkan bahawa Athar menghidap barah otak tahap empat. Barangkali, pemuda di hadapannya ini sudah mula menerima ujian yang diberikan oleh yang Maha Esa.

                  "Tumor ni makin membesar dan kemungkinan untuk menjalar ke tisu yang lain tu sangat tinggi. Encik Athar baru jalani kemoterapi bulan ni. Ada apa-apa perubahan yang encik rasakan pada tubuh badan encik?" soal Doktor Ilham.

                  "Kau faham tak soalan aku? Aku ada masa berapa lama lagi? Itu saja yang aku nak tahu," tegas Athar. Kalau tidak memikirkan janjinya pada Haura, sudah lama tangannya singgah ke wajah doktor yang tidak menjawab soalannya.

                   "Lapan bulan lagi. Keadaan Encik Athar makin memburuk. Sebab tu encik kerap pengsan dan sakit kepala yang berpanjangan. Penglihatan encik juga bila-bila masa saja boleh kabur. Tapi saya percaya bila encik buat kemoterapi ni sedikit sebanyak akan membantu encik untuk melawan kanser yang menyerang," jelas Doktor Ilham.

                    "Aku akan buta?"

                    "Encik..."

                   "Sebab kadang-kadang aku rasa penglihatan aku kabur. Jadi maknanya aku akan buta. Macam tu? Okay lepas tu apa yang akan jadi sebelum aku mati?" pintas Athar. Sungguh, dia berasa sesak mendengar penjelasan daripada doktor. Namun, sebaik mungkin dia cuba mengawal emosinya seperti yang diajarkan oleh Haura. Dia harus belajar untuk redha.

                    "Encik jangan cakap macam ni. Kita bukan Tuhan yang menentukan tarikh kematian kita sendiri. Penyakit ni memang boleh membawa maut. Tapi keajaiban itu tetap ada. Bila ALLAH tentukan sesuatu dengan berkata Kun Faya Kun, maka jadilah ia. Kalau ALLAH berkehendak yang Encik Athar akan sembuh jadi itu merupakan sebuah keajaiban daripada ALLAH. Bawakan bersabar. Encik Athar perlu terus jalankan rawatan supaya kanser ni terkawal. Yakinlah yang ALLAH memakbulkan doa hambaNya. Teruskan berdoa," pesan Doktor Ilham sambil menepuk bahu Athar. Pemuda itu kelihatan terdiam seribu bahasa tatkala Doktor Ilham mula memberikan dorongan dan sokongan agar Athar terus melawan penyakitnya.

                 "Awak termenung apa wahai Encik Athar!" suara yang menyapa halwa telinga Athar menyedarkan dia daripada lamunannya. Dia tersentak. Pandangannya terus menerawang memerhatikan dewan yang bergemerlapan di majlis resepsi pasangan pengantin yang sedang duduk di pelaminan sebelum berakhir ke laman wajah Haura yang tampak ayu dengan sepersalinan baju kurung songket berwarna biru muda.

                 Tak semena-mena, Athar kembali dengan lamunan panjangnya. Senyuman Haura yang menampakkan kedua lesung pipitnya sangat memukau Athar. Hanya dengan solekan natural sahaja Haura memang tampak indah di pandangan mata Athar. Segaris senyuman nipis terukir di bibirnya tatkala pandangannya bersatu dengan gadis itu. Serta merta, fikirannya yang jauh melayang memikirkan keadaan kesihatannya dilupakan buat seketika.

                  "Kenapa awak pandang saya macam nak telan? Awak marah saya ke sebab saya lambat?" soal Haura. Wajahnya membahang dengan renungan tajam Athar itu.

                 "Kau cantik," puji Athar.

                 "Amin mana?" soal Haura. Dia terkial-kial mencari keberadaaan Amin untuk menyembunyikan keresahannya dengan pujian Athar bersama dengan renungan tajam itu. Sungguh, Haura rasa sesak dengan pandangan Athar terhadapnya tika ini. Hatinya berdebar kencang sehingga membuatkan dia tak senang duduk.

                  Athar ketawa kecil melihat Haura cuba menyembunyikan rasa malunya. Kening yang tak gatal digaru. Dia menghulurkan segelas air suam yang belum disentuh kepada Haura. "Sebelum kau makin sesak, baik kau minum air ni dulu. Aku baru puji kau sekali saja kau dah macam cacing kepanasan," giat Athar.

                  Segelas air yang dihulurkan oleh Athar lantas diteguk oleh Haura perlahan-lahan. Kemudian, dia bersandar di belakang kerusi lalu memandang penampilan Athar yang kelihatan kemas. Berbeza dari hari-hari sebelum dia menemui pemuda itu. Kalau Athar mula membolak-balikkan hatinya, dia juga bisa. "Tak sangka awak pandai sikat rambut. Cari baju yang sesuai untuk majlis macam ni. Yalah selalu awak kan serabai je," giat Haura pula.

                 Tak semena-mena, Athar ketawa lagi dengan gurauan kasar Haura. Dia memandang sahabatnya yang sedang berada di atas pelaminan sebelum memandang wajah Haura yang masih mencuba untuk menyembunyikan wajahnya yang kemerahan. "Majlis sahabat aku. Takkan aku nak serabai pula dalam majlis dia. Pasal Amin, berkat dengan pujukan kau dia dah mula selesa tinggal kat asrama sekolah tu. Lepas ni kakak Haura dia ni tak payah susah-susah ajar dia mengira atau membaca lagi," kata Athar. Jelas, nada suaranya kedengaran begitu teruja menceritakan serba sedikit mengenai perkembangan Amin.

               "Kan saya dah cakap! Awak kena buang baran awak supaya Amin tak degil. Baguslah kalau dia dah mula selesa tinggal kat asrama tu. Tapi, saya nak awak tahu yang saya akan selalu ada untuk dia. Awak jangan risaulah. Saya dah anggap Amin tu macam adik saya sendiri," ujar Haura.

                   Kata-kata Haura membuatkan Athar kembali sebu. Sebahagian hatinya mula belajar untuk meninggalkan Amin. Namun, sebahagian besar hatinya tidak rela untuk meninggalkan adiknya itu. Keyakinan yang ditaburkan oleh Haura kepadanya juga sedikit sebanyak membuatkan dia yakin bahawa dia tidak salah menjemput Haura masuk ke dalam hidupnya. Haura sudah banyak memberikan dia kesedaran.

                "Kau dah banyak tolong aku. Terima kasih sangat-sangat. Kalau aku tak jumpa kau mungkin aku takkan belajar buang sikap baran aku. Mungkin Amin tak akan jadi budak aktif macam sekarang. Sekarang ni, kau nak apa dalam hidup kau? Kau tak pernah jawab soalan ini lagi. Kau suka tukar topik kalau aku tanya soalan ni pada kau," kata Athar. Tutur bicaranya yang kedengaran tenang membuatkan Haura senang hati. Tak sia-sia dia mencetuskan perang dinding dengan pemuda ini dahulu kerana pengakhirannya, Athar semakin bijak mengawal emosi baran.

                 "Ya saya jawab. Dalam hidup ni, saya cuma nak buat abah senang hati lepas saya dah capai impian saya untuk membuka sebuah kafe. Awak tahu kan abah saya menghidap penyakit jantung. Dia dah tak mampu nak buat sebarang pekerjaan. Keadaan dia pun makin kronik. Setiap bulan mesti dia kena duduk hospital. Penderma jantung untuk dia pun tak ada yang sesuai. Yalah, abah dah lanjut usia. Abah cuma nak tengok saya dilindungi oleh seseorang. Itu yang selalu dia ujarkan pada saya," jelas Haura. Bibirnya tak lekang dengan senyuman saat dia menceritakan hajatnya sebagai seorang anak.

                 "Kalau macam tu, bagi alamat rumah ibu bapa kau. Nanti aku datang melawat," ujar Athar. Tatkala pandangannya bersatu dengan pandangan Haura, senyumannya semakin lebar. Saat inilah Haura merasakan ketulusan di sebalik wajah pucat Athar. Baru kali ini dia melihat wajah manis pemuda berkulit sawo matang itu.

             "Awak mengarut apa?"

             "Aku tak mengarut. Aku sukakan kau. Jadi, aku nak jumpa ayah kau dan cakap pada dia yang aku nak jaga anak dia dengan baik. Aku janji yang aku tak akan sakiti dia dan aku akan jaga dia sehingga nafas aku yang terakhir. Aku serius, Haura. Aku serius nak jadi pelindung dalam hidup kau," luah Athar dengan nada yang penuh dengan ketegasan.

             Haura bungkam. Pandangannya terus dialihkan dari memandang wajah Athar. Dia benar-benar kematian kosa kata saat Athar melamarnya. Dia dapat rasakan keikhlasan Athar untuk menunaikan permintaan abahnya. Ada rasa sebak yang bermain di relung hati Haura saat Athar menuturkan kata-kata yang penuh dengan ketulusan itu. 



Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa