Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
118,427
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 17

ATHAR hanya mahu menghabiskan sisa waktunya dengan menyenangkan Amin dan Haura. Walaupun dia masih dikawal dengan kemoterapi namun dia mahu menguatkan tubuhnya dengan memberikan sirna dalam hidup mereka. Bagi Athar, Haura dan Amin sahajalah harta yang paling bernilai dalam hidupnya. Kalau bisa, Athar mahu diberikan lebih banyak waktu agar dia bisa hidup dan menemani hari-hari tua bersama Haura. Bersama dengan anak-anak yang akan menjadi pelengkap hidup mereka. Namun, semuanya hanyalah sebuah angan-angan. Semakin hari, Athar merasakan masanya hampir berakhir. Ketika sakit itu menyerang ketika itu juga Athar hanya mampu berdoa agar dia diberikan waktu.

              "Abang! Kak Haura takut nak naik roller coaster. Abang temanlah Amin naik. Amin nak naik permainan tu. Jomlah abang!" rengekan Amin menyapa telinga Athar yang sedang duduk di sebuah bangku. Dia sudah kelelahan setelah hampir tiga jam mereka berada di taman tema itu. Wajah cemberut Amin dipandang sebelum pandangannya berakhir ke laman wajah Haura yang duduk di sebelahnya sambil meneguk air mineral.

            "Awak temanlah Amin. Saya tak berani nak naik roller coaster tu," kata Haura. Dia tersengih kelat menampakkan gusinya yang tersusun cantik.

            Timbul satu akal di benak fikiran Athar. Dia berdeham seraya menarik bahu Haura ke tubuhnya. Buat seketika, mereka saling berpandangan. Saat itu juga wajah Haura serta merta membahang panas dengan kedekatan mereka di khalayak ramai. Sesekali, Haura memandang sekelilingnya sebelum pandangannya bersatu dengan Athar. "Tak ada. Nak tak nak kau kena naik. Kau kena belajar atasi rasa takut. Kalau kau tak belajar dari sekarang sampai bila-bila kau akan jadi macam ni," bisik Athar seraya menjentik dahi Haura.

          "Tak nak!" tegas Haura seraya menolak kuat tubuh Athar. Dia mencebik geram sambil mengusap dahinya. Athar memang suka jentik-jentik dahi. Kadang-kadang Haura pun jadi geram.

         "Kesah apa aku! Apa yang aku tahu aku nak ajar kau atasi rasa takut," tegas Athar seraya menarik tangan Haura dan memimpin tangan Amin menuju ke roller coaster. Sesekali, Haura mengeraskan tubuhnya. Melihat telatah Haura membuatkan Athar tertawa kecil. Reaksi Haura sering sahaja membuatkan Athar terhibur.

        "Kau nak aku angkat kau?" ugut Athar. Kening kirinya diangkat sambil senyuman sinis tersimpul di bibirnya. Suka melihat reaksi Haura yang sering berubah-ubah itu.

         "Okay! Saya naik! Tapi kalau saya pengsan awak yang bertanggungjawab," tegas Haura seraya menolak tubuh Athar. Bersama Amin, dia terkocoh-kocoh menuju ke platform tersebut. Melihat Haura kelam kabut membuatkan Athar menggelengkan kepalanya. Senyuman terkulum di bibir. Sungguh, dia bahagia bersama dengan Haura. Setiap masa dia mahu melihat wajah itu terus tersenyum tanpa sebuah tangisan.

         Nyata, ketakutan Haura sememangnya luar biasa. Berkali-kali Haura memejamkan matanya sambil menutup kedua belah telinga. Sesekali, Athar menarik dan mengenggam tangan Haura namun Haura tetap berdegil dengan menekup kedua belah telinga. Sesekali Haura juga mengujarkan kata-kata yang membuatkan Athar tertawa. Namun, melihat pemandangan di depan mata membuatkan Athar rasa bersyukur. Indah sekali! 7 warna pelangi yang kelihatan begitu jelas. Namun, hanya seketika cuma apabila pandangan Athar kembali kabur.

          "Hey, kau suka pelangi tak?"

           "Sukalah!"

         "Ok buka mata. Rugi tak tengok pelangi dari atas ni," bisik Athar sambil menarik tangan Haura.

         "Jangan takutlah. Aku ada dekat sebelah kau. Kalau Amin pun okay naik benda ni. Mesti kau pun akan okay. Aku tak akan lepaskan genggaman tangan ni. Jadi, bukalah mata kau," pujuk Athar.

           Seperti biasa, pujukan Athar sering menenangkan Haura. Dia menurut. Dia cuba mengawal dirinya dari ketakutan. Perlahan-lahan, Haura mencelikkan matanya. Serta merta senyuman di bibirnya tergaris melihat 7 warna pelangi yang begitu indah pada waktu petang. Dia mengucapkan kesyukuran di atas anugerah yang diberikan kepadanya. Saat genggaman tangan Athar semakin ketat saat itu juga Haura mengalihkan pandangannya memandang wajah pemuda itu. Mereka saling berbalas senyuman.

          "Kalau kau takut, kau ingat saja pemandangan ni. Di sebalik keresahan pasti akan berakhir dengan sebuah keindahan. Kita hanya perlu bersabar. Aku harap kau akan terus jadi wanita yang kuat dan selalu memberikan kesenangan kepada semua orang sekeliling kau. Macam sekarang," ujar Athar. Memberikan kata-kata semangat kepada Haura dan mendoakan kesejahteraan isterinya itu. Sungguh, ingin sekali Athar memberitakan bahawa masanya hanya tinggal sedikit. Tapi dia tidak kuat.

         Haura hanya mengangguk. Serta merta ketakutan itu seolah-olah hilang dengan semangat yang dihulurkan oleh Athar. Saat ini, Haura benar-benar mengharapkan agar Athar terus berada di sisinya hingga ke akhir hayat. Menemani dan melindunginya dari segala keresahan dan kesusahan yang muncul.

           Mereka terus menghabiskan waktu bersama-sama hingga waktu makan malam tiba. Celoteh Amin hanya dilayan dengan baik oleh Athar. Sesekali, Haura tertawa dengan sikap Amin yang ceria. Sememangnya Amin memang sudah banyak berubah. Dia sudah menjadi seorang yang berdikari dan tidak bergantung dengan Athar lagi. Kadangkala Amin juga tidak mahu pulang ke rumah kerana keseronokannya di institusi sekolah khas itu.

           "Eh, sejak bila kau keluar dari penjara?"

            Soalan yang begitu nyaring mematikan perbualan mereka bertiga. Athar memandang seorang lelaki bertopi hitam yang sedang menjinjing plastik berisi bungkusan makanan. Bahkan soalannya itu membuatkan beberapa orang pelanggan memandang ke arah mereka.

          "Kau siapa?"

           Lelaki itu ketawa dengan soalan Athar. Melihat wajah Athar yang bingung membuatkan dia seolah-olah tidak mengenali pemuda itu lagi. Sesekali pandangannya tertancap pada wajah Haura yang turut memandangnya. Cantik sekali perempuannya Athar ini. Manis dengan hijab menutupi rambutnya. Berbeza dengan perempuan Athar beberapa tahun yang lalu.

          "Kenapa kau pandang isteri aku macam tu? Kau ada masalah dengan aku ke?"

           "Isteri kau? Cantik. Siapa je tak suka barang cantik..."

            DUM!

          "Barang? Kau ingat bini aku ni barang dagangan ke? Kau siapa hah?! Kalau aku ada hutang dengan kau baik kau cakap," tegas Athar seraya bangun dari duduknya. Turun naik nafasnya tatkala lelaki itu memandang Haura dengan renungan tajam. Dia cemburu!

         Melihat ketegangan Athar membuatkan Haura gerun. Dia tidak mahu kekacauan berlaku di gerai itu. Lantas, dia mengenggam pergelangan tangan suaminya. "Athar..."

        "Wo! Relaks. Aku abang Aria. Kau jangan lupa siapa Aria pula. Oh ya girl... kalau kau nak tahu laki kau ni dulu kekasih adik aku. Tapi dia ni bodoh sebab terlalu ikut kata adik aku yang materialistik tu. Tak nak dengar cakap aku bila aku suruh dia tinggalkan adik aku. Last-last adik aku yang tinggalkan dia terkontang-kanting dekat penjara tu. Aria hilang macam tu saja lepas laki kau ni masuk penjara. Tapi ya semua orang dalam kumpulan kami tahu yang dia orang ni..."

           "Cukup!" jerkah Haura sekuat hati. Panas hatinya apabila lelaki bertopi itu membuka topik silam Athar.

           "Okay! Alang-alang aku dah jumpa kau ni aku just nak cakap aku harap kau boleh maafkan adik aku. Dia dah dapat balasannya. Sekarang ni tak pasal-pasal aku yang kena jaga dia. Oklah! Aku pergi dulu. Aku doakan kebahagiaan kau dengan perempuan kau ni," kata lelaki itu seraya menepuk bahu Athar. Dia melangkah meninggalkan gerai itu seraya mengenakan helmet pada kepala.

           Tatkala itu, suasana mula sepi. Haura pandang wajah Athar yang kelihatan tergamam. Ada kekecewaan yang terbias di sebalik wajah pemuda itu. Ada kesakitan yang terzahir di sebalik anak mata Athar. Kenapa? Apakah yang Athar rasakan setelah mendapat khabar mengenai kekasih lamanya? Sungguh, Haura bungkam.

         "Makanan dah sampai!" suara Amin terus mematikan lamunan Athar. Keluhan berat dilepaskan. Athar memandang wajah Haura yang sedang memandangnya. Dia tersenyum simpul menyembunyikan rasa terkilannya mendapat khabar mengenai Aria.

         "Kenapa kau pandang aku macam tu?"

          "Awak tu... saya punya sampai bila-bila!" tegas Haura seraya meneguk air sejuk. Menyejukkan hatinya dari rasa cemburu.

          Tak semena-mena, Athar ketawa. Pucuk hidung Haura dicuit sebelum kepala Haura diusap lembut. "Kau ni kalau cemburu comel sangat! Ya. Aku ni kau punya sampai bila-bila. Tak ada perempuan lain yang boleh ambil aku daripada kau sebab nama kau je yang dah tertulis dalam hidup aku," pujuk Athar.

         Haura mencebik geram. Athar memang bijak memainkan peranan untuk menenangkannya seperti selalunya. Namun, dia tidak mampu menyembunyikan senyuman di bibirnya dengan kata-kata manis Athar. 


Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa