Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,791
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 14

PERLAHAN-LAHAN, Athar cuba mencelikkan matanya. Namun, kepalanya yang terasa berat membantutkan segalanya. Bau ubat-ubatan yang menusuk rongga hidungnya membuatkan dia kurang selesa. Apa yang sedang berlaku? Itu persoalan yang bermain di benak fikiran Athar. Dia seolah-olah tidak mengingati kejadian yang menimpanya sehingga dia merasakan seluruh tubuhnya terasa sengal. Saat tangannya ingin di angkat mengurut pelipisnya, saat itu juga tangannya sedang digenggam erat oleh seseorang.

               Maka, sekali lagi Athar cuba mencelikkan matanya. Sekali dua kali tidak berjaya. Kali ketiga, dia mencuba lagi. Pandangan pertama yang dilihat adalah wajah seorang wanita yang sedang tersengguk-sengguk sambil mengenggam tangannya yang berbalut. Melihat wajah Haura baru dia ingat apa yang baru berlaku kepadanya. Dia membantu Hazrul dari dipukul oleh dua orang samseng. Pengakhirannya, dia dan Haura bergaduh kerana Haura menyangkakan bahawa barannya muncul lagi. Memikirkan kata-kata Haura membuatkan Athar kecewa lagi. Namun, segera ditangkis semua perasaan itu. Dia tidak punya masa untuk terus marah. Waktunya hampir tamat.

             Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringannya. Pandangannya menerawang ke sekeliling. Suasana malam itu kelihatan sunyi. Pesakit kelihatan sedang tidur nyenyak ditemani dengan penjaga masing-masing. Sayup-sayup kedengaran suara dua orang jururawat yang sedang berbual di kaunter. Lantas, Athar menarik langsir untuk menutup katilnya. Tubuh Haura lantas dicempung dan dibaringkan di atas katilnya.

           "Athar..."

            Belum sempat Athar keluar, namanya sudah diseru oleh Haura. Dia tersenyum melihat Haura tidak henti-henti menyeru namanya. Athar menghampiri Haura lalu membaringkan tubuhnya bersebelahan isterinya itu. Tangan Haura digenggam erat sebelum Athar memejamkan matanya. Saat itu juga dia merasakan kehangatan Haura tatkala Haura memeluk tubuhnya dengan erat. Terasa sakit pada sendi-sendinya hilang begitu sahaja. Namun, suatu hal yang mula bermain di benak fikiran Athar adalah sampai bila dia mahu merahsiakan penyakitnya pada Haura? Hari demi hari tumornya semakin membesar sehingga memberikan impak dalam hidupnya.

           Dia tidak tega. Haura baru sahaja kehilangan seorang ayah. Athar tidak sanggup melihat Haura harus bersedia dengan sebuah kehilangan lagi. Apa yang harus dia lakukan untuk membahagiakan Haura? Apa yang harus dia lakukan untuk membuat Haura tidak sedih bila dia hilang suatu hari nanti? Apakah Haura bisa bahagia jika dia pergi? Semuanya bermain di benak fikiran Athar sehingga akhirnya, dia terlelap di sisi Haura.

           Pagi itu, Haura kaget apabila dia sudah berada dalam pelukan Athar. Lantas dia bangun dari pembaringan. Namun, tangkas sahaja Athar menarik tangannya sebelum tubuhnya dirangkul erat. Haura jadi sesak dengan tindakan spontan Athar. "Kau dah buat aku marah semalam, ini balasan untuk kau," kata Athar seraya mengeratkan lagi rangkulannya. Dahi Haura dikucup lembut.

         "Awak..."

        "Ya sayang."

        Athar mencelikkan matanya. Rangkulannya dilonggarkan tatkala dia merasakan detak jantung Haura semakin laju. Saat mata mereka saling bertaut, saat itu juga dia mengucup pucuk hidung Haura. Wajah Haura yang membahang kemerahan membuatkan dia tertawa kecil.

       "Aku cintakan kau, Haura Ilyana. Aku minta maaf sebab tengking..."

      "Saya yang patut minta maaf sebab buat awak sedih. Saya serang awak tanpa beri awak kesempatan untuk jelaskan pada saya apa yang dah berlaku. Sebab saya awak pitam. Tengoklah muka awak. Dah tak kacak macam sebelumnya," bidas Haura sambil mengusap wajah Athar. Nada suaranya sudah bergetar menahan sebu. Dia kesal menyakiti suaminya dengan kata-katanya yang lancang.

        "Okay. Kita sama-sama salah. Kita lupakan hal semalam dan kita terus bina kebahagiaan kita. Kau janganlah sedih macam ni. Nanti esok-esok eloklah balik muka suami kau yang kacak ni," giat Athar sambil mengusap air mata Haura.

         Haura tersenyum dengan omongan Athar. "Saya takut hilang awak sebab tu saya marah. Saya takut baran awak bagi kemudaratan pada awak nanti. Awak maafkan saya kan?"

        Tatkala kata-kata itu diujarkan, Athar jadi sebu. Haura memang tak pernah menyatakan perkataan cinta kepadanya. Tapi Athar tahu bahawa perasaan mereka sama. Kalau tidak, Haura pasti akan meninggalkannya begitu sahaja. Dia tahu perkahwinan ini hanya disebabkan Haura ingin menyenangkan ayahnya sahaja. Tambahan pula, Haura itu orang berada. Berbeza dengan Athar yang hanya bekerja sebagai seorang pomen di bengkel Hazrul.

      "Kenapa awak diam? Awak fikir apa?"

     "Masa depan kita. Dengan anak-anak kita yang akan tambahkan kebahagiaan kita," jawab Athar. Dia tersenyum nipis sambil memandang wajah tenang Haura.

       "Awak tak akan tinggalkan saya, kan?"

        "Kenapa kau tanya soalan macam ni? Aku dah janji yang aku akan selalu ada untuk kau sampai hujung nyawa," kata Athar. Entah mengapa dia merasakan pandangan Haura seolah-olah sedang membaca isi hatinya. Malahan, soalan isterinya itu membuatkan hatinya semakin sebu. Haura seolah-olah tahu bahawa masa Athar hampir berakhir. Kesakitan ini seolah-olah menjadi petanda.

        "Saya takut tengok awak sakit. Awak tahu tak nak luruh jantung saya tengok awak sakit semalam. Awak ada sembunyikan sesuatu daripada saya ke?" soal Haura.

        Athar ketawa kecil dengan soalan polos Haura. Dahi Haura dijentik sebelum dia bangun dari pembaringan. Saat itu juga matanya mula berkaca-kaca. Bagaimana dia mahu menyatakan perkara ini kepada Haura. Sungguh, dia mahu memberitahu Haura bahawa masanya semakin tamat. Tumornya semakin membesar. Bila-bila masa sahaja dia akan buta. Bila-bila masa sahaja dia akan lumpuh dan bila-bila masa sahaja dia akan mati.

           "Athar..."

          "Aku nak balik. Ada banyak lagi kerja yang aku tak siapkan. Tapi, aku nak minta tolong kau boleh?" bidas Athar. Dia berpaling menghadap Haura yang duduk di belakangnya. Jelas, riak wajah Haura dihurung dengan persoalan. Dahi berkerut. Tiada senyuman. Tahulah Athar bahawa Haura memerlukan penjelasan.

       "Awak tak sihat lagi. Doktor tak izinkan..."

      "Tak lama lagi hari jadi Amin. Aku nak minta tolong kau sediakan kejutan untuk dia boleh? Selama ni aku nak buat tapi tulah aku tak pandai semua ni. Dia suka kek coklat, dia suka mainan kereta dan lego. Nanti kau carikan hadiah untuk dia sekali. Aku takut aku tak sempat nak cari semua tu," bidas Athar lagi. Nada suaranya yang kedengaran teruja membuatkan Haura rasa pelik. Seolah-olah Athar mahu pergi jauh sahaja ketika menuturkan permintaannya.

        "Hey, dengar tak?"

         Haura bungkam. Tiada kata yang mampu keluar dari mulutnya. Hanya pandangannya sahaja yang tunak memandang raut wajah Athar yang bengkak dan pucat itu. Saat itu juga Athar sedar bahawa Haura benar-benar mencintainya. Tubir mata Haura sudah menjelaskan segalanya. Dia merasakan pandangan itu menyusup masuk ke dinding hatinya yang sebu. Lantas, dia menarik tubuh Haura ke dalam pelukan. Ketika itu juga esakan Haura kedengaran. Saat itu juga Athar sendiri tidak mampu menahan air matanya lagi. Dia mengetap bibirnya sambil memeluk tubuh Haura dengan erat. Air mata yang mengalir ke pipinya lantas dikesat kasar.

       "Saya takut..."

        "Tak ada apalah. Semuanya akan baik-baik sahaja. Kau tahu kan aku tak cukup rehat. Aku terlalu sibuk nak siapkan semua kerja sampai tak cukup rehat. Aku sihat. Janganlah risau pasal aku," pujuk Athar. Dia tiada cara lain lagi selain menipu isterinya itu.

        Perlahan-lahan, Haura mendongak. Dia memandang wajah Athar dengan pandangan yang sayu. "Janji?" Haura mengunjukkan jari kelingkingnya pada Athar.

        Athar tergelak lagi melihat bibir Haura yang monyok. Lantas, dia memicit bibir isterinya itu sebelum mengangguk. Jari Haura disatukan dengan jari kelingkingnya.

        "Okay! Saya buat permintaan awak tu. Tapi awak tak payahlah sibuk sangat sampai buat saya risau dan takut. Awak nak buat saya mati katak eh bila awak tiba-tiba pengsan macam semalam?" tegas Haura. Dia mengesat lembut air matanya. Nafas ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Mencuba untuk menenangkan dirinya yang diserang gundah sebentar tadi. Melihat wajah Athar yang ceria baru Haura rasa senang hati.

       Tak semena-mena, pipi Haura menjadi mangsa cubitan Athar. Senyuman Athar semakin lebar dengan wajah cemberut Haura. Jadi, Athar sudah temui jawapannya. Dia harus tetap bersemangat untuk orang sekelilingnya. Hanya itu yang mampu Athar lakukan di samping menjadi seorang pejuang kanser.


Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa