Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,864
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 5

"SEDAP tak? Amin jangan sedih lagi tau. Kek coklat ni semua untuk Amin. Kakak minta maaf sebab pekerja kakak layan Amin kasar sangat tadi."

             Sayup-sayup kedengaran suara lembut seorang gadis menyapa telinga Athar. Perlahan-lahan, dia cuba mencelikkan matanya. Sakit itu sudah kembali hilang. Seperti kebiasannya, sakit itu akan hilang jika dia tidur dalam jangka masa yang begitu lama. Terkenangkan dia rebah di hadapan Haura membuatkan wajah Athar mula membahang. Jatuh egonya sebagai lelaki akibat rebah di hadapan gadis itu. Lantas, dia bangun dari pembaringannya.

              "Amin... kita balik!" tegas Athar sambil mencabut drip pada kura tangannya. Perlahan-lahan, dia turun dari katil lalu mencengkam tangan Amin untuk bangun.

              "Nak makan!"

              "Athar... bagilah adik awak makan dulu. Lagipun awak perlukan rehat. Muka awak pucat..."

              "Berapa harga kek ni?"

              "Pasal kek ni, anggap sajalah sebagai hadiah. Awak dah tolong saya dulu dan saya nak tebus kebaikan awak dengan bagi kek ni pada awak dan adik awak. Saya minta maaf pasal pekerja saya tadi," ujar Haura.

               Athar senyap. Omongan Haura sayup-sayup kedengaran di halwa telinga. Kelembutan gadis itu bertutur, wajahnya yang manis serta kebaikan gadis ini benar-benar memberikan tarikan kepada Athar. Sekali lagi, wajah manis Haura benar-benar membuatkan Athar senang hati. Athar suka melihat senyuman di bibir munggil Haura. Gadis ini, sememangnya indah di pandangan mata Athar.

          "Athar, saya minta maaf..."

         "Kau dah lupa ke kau dah selamatkan aku sebelum aku tolong kau?" bidas Athar.

        "Kau lupa ke kau tolong aku masa aku kena tikam dengan orang yang cuba nak bunuh aku dulu? Kau lupa ke kau beranikan diri kau untuk selamatkan aku?" soal Athar lagi. Perubahan pada wajah Haura membuatkan segaris senyuman nipis terukir di bibir pemuda itu. Gadis itu seolah-olah cuba mengamati wajahnya.

         "Lelaki yang lari dari hospital..."

        "Aku tak lari. Adik aku, siapa nak jaga kalau aku layan sakit aku. Kan?" bidas Athar lagi. Nada suaranya tidak lagi setegang pada detik awal perkenalannya bersama Haura. Tatkala itu juga, Haura lega melihat lelaki yang diselamatkannya dahulu masih berdiri teguh di hadapannya. Bagaimana dia bisa lupa wajah pemuda di hadapannya apabila dia menemui Athar dalam keadaan yang parah dan berlumuran dengan darah? Wajahnya juga ditutup dengan kesan bengkak.

         "Terima kasih sebab selamatkan aku dan gembirakan adik aku dengan kek coklat tu. Aku minta maaf sebab berkasar dengan kau. So, kita kawan?"

          Tatkala salam perkenalan dihulurkan oleh Athar, tatkala itu juga Haura senang hati dengan kelembutan Athar untuk menerimanya. Haura mengangguk. "Tapi tulah, saya rasa awak kena belajar buang baran awak tu. Betul tak Amin?"

        "Baran tu apa kakak?"

        Tak semena-mena, Haura dan Athar ketawa melihat Amin yang terkial-kial dengan perbualan di antara mereka. Ketika itu juga, Athar seolah-olah menerima nafas baru melihat keceriaan yang terpancar di sebalik wajah manis Haura. Telatah Amin yang ceria membuatkan dia tertarik untuk mengenali Haura dengan lebih dalam. Bukan mudah melihat Amin selesa dengan orang yang baru dikenali. Namun, bersama dengan Haura semuanya berubah. Haura memang bijak mengambil hati adiknya itu.

RINTIK-RINTIK peluh yang mengalir ke pipinya seiringan dengan rasa sakit yang semakin menyucuk saraf kepalanya. Athar mengerekot sambil menjerit kesakitan tatkala rasa sakit itu semakin mencengkam tubuhnya. Nafasnya semakin tercungap-cungap menahan kesakitan yang maha hebat. Ketukan pintu di luar bilik sayup-sayup kedengaran. Air mata terus-terusan mengalir ke pipinya tatkala rasa sakit itu seakan-akan mahu membunuhnya. Wajahnya serta merta membahang kemerahan.

            "Athar! Kau okay tak? Kau nak aku bawa kau jumpa doktor tak?"

             "Abang! Abang sakit ke?"

             Belum sempat Hazrul dan Amin meluru ke arah Athar, pemuda itu segera meluru masuk ke dalam tandas lalu memuntahkan isi perutnya. Amin mula menangis melihat kesakitan abangnya. Dia takut. Athar benar-benar kelihatan menanggung sakit tatkala pemuda itu tak henti-henti memuntahkan isi perutnya sambil terbatuk-batuk.

           "Athar, kenapa kau diam je kalau sakit kau datang lagi? Kita pergi hospital sekarang! Aku hantarkan kau!" tegas Hazrul. Dia memulas-mulas tombol pintu tandas yang dikunci. Namun, tiada jawapan yang kedengaran. Hanya bunyi air sinki sahaja kedengaran.

          Di dalam tandas, Athar berkumur-kumur sambil membasahkan wajahnya. Nafasnya tercungap-cungap setelah memuntahkan isi perutnya. Perlahan-lahan, dia mendongak memandang wajahnya di sebalik cermin. Bibirnya masih menggeletar menahan sakit. Mengenangkan nasib yang sedang menimpanya membuatkan tangisannya pecah. Dia takut. Dia risau. Bagaimana dengan nasib Amin jika dia mati? Dia harus memikirkan sesuatu untuk memberikan masa depan yang cerah buat adiknya itu. Athar mengesat kasar air mata yang mengalir ke pipinya. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Dia harus kuat. Ya, itu sahaja caranya untuk dia terus bertahan dan melindungi Amin.

         "Dah! Jangan menangis. Abang okay. Abang makan banyak sangat tadi sampai sakit perut. Sekarang Amin pergi bersiap. Abang nak bawa Amin keluar hari ni," kata Athar sebaik sahaja dia melangkah keluar dari tandas. Rambut Amin diusap lembut sebelum pandangannya beralih ke wajah Hazrul yang sedang menggelengkan kepalanya.

          "Sebelum tu... aku kena bawa kau ke hospital dulu. Aku risau tengok kau macam ni. Jangan biarkan sakit tu terus ragut kekuatan kau. Selagi kau tak buat rawatan dengan baik selagi tu kau hidup dalam keadaan kesakitan macam ni. Sudahlah tu. Jangan seksa diri kau lagi. Kau tak kesian pada Amin?" kata Hazrul. Sebaik mungkin cuba memujuk sahabatnya yang keras kepala untuk menerima rawatan.

           "Aku okay."

          "Okay apanya kalau muka kau pucat. Sampai bila kau nak..."

           "Amin. Pergi bersiap. Kita dah janji dengan seseorang jadi kita kena tunaikan janji kita," bidas Athar seraya memimpin tangan adiknya keluar dari kamar. Amin hanya membuntuti tanpa membantah.

          "Kita nak pergi mana?"

          "Jumpa Kak Haura. Amin kata Amin nak jumpa dia, kan? Cepat bersiap," jawab Athar sebelum menutup pintu biliknya. Tidak mahu Amin mendengar perbualan tegang di antara dia dan Hazrul.

          "Sekarang kau bermain cinta dengan Haura pula ke? Macam tu? Apahal kau tak nak kongsi dengan aku apa yang sedang kau lalui sekarang ni? Bukankah aku ni penasihat kau? Eh kalau bukan aku dengan Fina kau tak akan jumpa Haura tahu," ujar Hazrul tiba-tiba. Tak semena-mena, Athar ketawa dengan kata-kata sahabatnya itu. Dia melabuhkan duduk di birai katil sambil mencapai sebuah bekas lut sinar yang berisi ubat-ubatan. Sesekali dia mengerutkan dahinya tatkala rasa sakit itu masih menyucuk.

         "Kau juga yang nak aku cepat-cepat cari isteri supaya ada orang boleh jaga aku. Sekarang kau nak ungkit sebab kau dan Fina jadi punca pertemuan aku dengan Haura?"

          Hazrul mencebik. Dia bersandar di belakang dinding bertentangan dengan Athar sambil berpeluk tubuh. Wajah pucat Athar yang sesekali berkerut menahan sakit menjadi perhatiannya. Sungguh, Hazrul simpati dengan nasib sahabatnya itu. Lepas satu kejadian, satu kejadian lagi menimpa hidup Athar. Umpama ujian dalam hidup sahabatnya itu tiada hentinya.

           "Mana tahu lepas kau menikah, isteri kau boleh pujuk kau untuk terima rawatan. Kau ni degil sangat! Setakat kau ambil ubat ni, umpama tak ada usaha untuk kau sembuh. Kau tahu tak! Aku risau tengok keadaan kau. Tadi kau meraung kesakitan dan sekarang kau boleh berlagak macam tak ada apa yang berlaku. Kesian aku tengok Amin tu. Menangis, meracau masa hubungi aku suruh datang rumah kau," ujar Hazrul.

          Buat seketika, Athar tertunduk memandang ubat-ubatan yang sudah sebulan menjadi penemannya di kala dia kesakitan. Senyuman sinis terukir di bibir pucatnya. Rasa sebak itu bertandang lagi tatkala dia menerima kata-kata Hazrul. Lebih-lebih lagi saat nama Amin diungkit dalam hal ini.

         "Aku dah nak mati. Tak ada harapan untuk aku sembuh. Aku akan menyusul arwah abi aku. Mungkin ni semua kafarah di atas dosa-dosa silam aku kut. Betul tak?" kata Athar sambil ketawa sinis. Mengejek dirinya yang penuh dengan dosa.

         "Apa kau merepek ni?"

         "Aku tak merepek! Kau tahu tak bila sakit ni menyerang aku... apa yang aku fikir, baik aku mati saja dari menanggung semua kesakitan ni. Tapi aku cuba kuatkan diri aku untuk Amin. Dia cuma ada aku seorang saja dan cuma aku tempat dia bergantung. Sebab tulah, aku nak cari seseorang yang mampu jaga Amin bila aku dah tak ada nanti," kata Athar. Ada getaran di sebalik nada suaranya yang berubah tegas. Perlahan-lahan, dia mengangkat wajahnya. Memandang wajah Hazrul yang kelihatan tercengang dengan kata-katanya.

        "Aku memang tak rasa apa yang kau rasa. Tapi kau ada pilihan untuk terus bertahan! Kalau kau nak terus bertahan... kau kena kuatkan diri kau dan percaya akan ada keajaiban di setiap perkara yang berlaku saat ini. Usahalah, Athar. Usaha untuk kembali sembuh. Lagi satu, aku nak kau ingat yang kau ada aku. Aku takkan sia-siakan persahabatan yang kita bina selama ni. Aku akan jaga Amin macam adik aku sendiri. Jangan fikirkan masa silam kau lagi. Sekarang yang penting pandang ke hadapan dan jangan toleh ke belakang," pesan Hazrul sambil menepuk bahu Athar.

          Tatkala itu, Athar sudah kehilangan kata. Hazrul memang bijak membuatkan dia mati bicara. Dia membenarkan kata-kata Hazrul. Semenjak dia disahkan menghidap penyakit yang boleh membawa maut, dia seolah-olah orang yang tak bersemangat untuk meneruskan hidup lagi. Apa yang dia tahu sisa hidupnya ini hanya untuk membahagiakan dan menyenangkan Amin. Itu sahaja.


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa